Di sebalik kecacatannya, Indra menyimpan satu rahsia besar—dia adalah Tabib Dewa. Bermodalkan kelebihan istimewanya, dia menyelamatkan banyak nyawa secara sembunyi. Namun, kebaikannya dibalas dengan pengkhianatan paling hina.
Wangsa Baskara mengambil kesempatan atas kelebihannya. Indra dikurung, diseksa tanpa belas kasihan, dan bakal dihidangkan sebagai korban kepada Wangsa Agung Merah. Alasannya cukup kejam: tunangnya, Ratna Baskara, akan dikahwinkan dengan Putera Agung Rudra. Sebagai bekas tunang, kewujudan Indra mencemarkan penyatuan itu dan dia wajib mati. Lebih dari itu, darah dan kelebihannya adalah cagaran korban yang paling sempurna. Di mata mereka, Indra cuma seekor haiwan sembelihan.
Namun, siapa sangka tragedi berdarah itu adalah tiket untuk dia mengubah takdir.
Di ambang maut, keajaiban berlaku. Nadi Prana dan Gerbang Prana miliknya yang selama ini musnah, kembali pulih. Fikirannya disuntik dengan memori milik seorang remaja misteri yang hanya dikenali sebagai ‘Satu’. Menerusi pengalaman dan ingatan Satu, Indra menemui jalan untuk menjadi seorang Satria yang sebenar. Dia bangkit dan berjaya merobek buka seratus dua puluh Gerbang Prana, menghancurkan terus logik Kerajaan Cawala yang berpegang teguh bahawa dunia ini cuma ada tujuh puluh dua gerbang.
Kini, dia kembali untuk meruntuhkan segalanya.
Pertunangan antara Ratna Baskara dan Putera Agung Rudra rupa-rupanya bukan sekadar wayang politik murahan. Di sebalik penyatuan itu, wujud satu konspirasi gila untuk membangkitkan semula Roh Dewata milik pemerintah purba yang kejam, Raja Bara.
Namun, sengketa dan konspirasi puak-puak di bumi Nusantara ini hanyalah papan catur yang pertama.
Indra sebenarnya adalah seorang Asadi—jaguh yang terpilih untuk bertarung merebut Warisan Tuhan dalam Sayembara Agung (Grand Trial) yang bakal menggegarkan dunia. Untuk menjejaki semula memori masa silamnya yang dipadam, kembara ini akan mengheretnya keluar dari hutan rimba tanah air, menuju ke benua-benua buas yang dikuasai empayar berdarah Rom, Yunani, Cina, dan Jepun (Saya jamin, anda akan suka part ini).
Rupa-rupanya, ada dalang yang merancang semua ini sejak awal supaya dia boleh menelan kayangan. Dan Indra… adalah buah catur yang terakhir.