Switch Mode

Satria: Darah Terakhir – Bab 2

Darah di Hujung Budi

Ketiga-tiga pengawal itu terpempan. Suara remaja itu mengalir tenang tanpa sekelumit gentar. Matanya tajam memandang mereka bertiga umpama serigala pemangsa. Ketenangan yang dipamerkan itu menggelegakkan darah pengawal berotan.

“Budak, baik kau lepaskan rotan aku sekarang,” arah pengawal berotan, merentap rotannya dengan kasar. Namun, tubuh remaja itu berpasak kukuh di lantai, mencengkam kuat sehinggakan jeriji sel itu bergegar hebat.

Kekecohan itu bergema ke segenap pelosok sel tahanan utama. Tidak sampai beberapa saat, derap langkah berpusu-pusu memijak lantai batu kedengaran mendekat. Lebih dua belas orang pengawal bertugas meluru laju. Mereka sememangnya dahagakan pesta berdarah.

“Drama apa pula malam ni?” soal ketua pengawal sel, lehernya dipanjangkan meninjau dari belakang bahu pengawal berparut.

“Kau pegang kunci?” tanya pengawal berotan. Nadanya kasar.

Ketua pengawal mengangguk.

“Buka sekarang!” Jari dituding lurus ke arah saudagar tua dan remaja tadi. “Heret dua ekor keparat tu keluar!”

“Cakap elok-elok sikit. Pangkat kita sama. Jangan nak mengarah macam ketua,” rungut ketua pengawal, tubuhnya merempuh bahu pengawal berotan sebagai tanda protes. Namun, dia tetap membuka pintu sel.

“Heret sendiri. Aku bukan ‘anjing’ kau,” balas ketua pengawal sel sinis.

Pengawal bercemeti dan berparut hanya mengabaikan nada bicara rakan mereka itu. Mereka menerkam masuk, mengheret saudagar yang mengerang di lantai serta remaja itu terus ke koridor. Tubuh mereka dihumban kasar menyembah lantai batu.

Pengawal berotan melangkah ke hadapan, langkahnya berhenti betul-betul di hadapan remaja itu. “Budak, cuba kau ulang balik apa yang kau cakap tadi.”

Remaja itu langsung tidak gentar. Dia menolak tubuhnya perlahan-lahan untuk berdiri, ekor matanya meliar tenang menghitung susuk musuh yang sedang mengepungnya. Sebaik sahaja kakinya berdiri stabil, dia membalas, “Aku suruh kau berhenti.”

“Berhenti?” Pengawal berotan melepaskan rotannya ke lantai. Badannya dirapatkan ke hadapan sehingga dahi mereka bertembung. “Kalau aku tak nak? Kau nak buat apa?”

Remaja itu diam membisu.

“Jawablah!” Satu tumbukan padu diayun deras, hinggap tepat di pipi remaja tersebut.

Tumbukan kuat itu menyentap kepalanya terteleng ke sisi. Namun kakinya sedikit pun tidak berganjak. Dia tidak tumbang. Perlahan-lahan, posisi kepalanya dibetulkan semula, segumpal darah diludah tenang ke lantai.

Kali ini, riak wajah remaja itu berubah. Matanya menajam, mengunci setiap pergerakan pengawal berotan.

Wajah pengawal berotan berkerut hodoh menahan amarah yang membuak. Dia menunduk laju ke sisi, menyambar semula rotan yang dilepaskannya tadi. Dia meluru ke hadapan, mengayun rotan dengan bukaan ayunan yang luas.

Remaja itu tidak berkelip walau sesaat. Tubuhnya direndahkan, tapak tangan dibuka seraya kekudanya dikunci kemas. Kakinya beralih mengorak langkah kecil, namun jarak yang direntasnya jauh.

Dia meluncur mudah di bawah ayunan maut tersebut, menembusi titik buta pengawal berotan, sebelum melepaskan satu tumbukan deras yang membenam tepat ke ulu hati lawannya.

“Argghh!” Pengawal tersebut mengerang senak memburu nafas. Dia segera berpaling. Sangkanya, remaja itu bakal menyusul dengan satu lagi tumbukan deras. Sebaliknya, jari-jemari remaja itu bertaut rapat, membentuk hujung yang teguh dan tajam. Persis paruh gagak.

“Patukan Paruh Gagak.” Remaja itu membisik nama serangan. Dengan satu teknik serangan yang sempurna, dia menyasarkan tepat ke celah sempit pada sendi bahu lawannya.

Serangan itu terlalu deras untuk ditepis. ‘Paruh’ tersebut menusuk dalam merobek sendi dan urat saraf. Pengawal berotan mengerang kesakitan. Lengannya serta-merta terkulai lumpuh di sisi.

Sebelum musuhnya itu sempat berundur, remaja itu bergerak mendekat. Lengan yang lumpuh direntap. Menggunakan momentum berat badan pengawal berotan itu sendiri, dia menyentap tubuh lawannya ke hadapan lantas melepaskan serangan lutut yang tepat ke ulu hati.

Tatkala musuhnya tertunduk senak, tangan remaja itu bergerak laju ke pinggang. Dengan satu kilasan pantas, pending tembaga direntap. Sarung tempur bertenun ditarik dari tubuh pengawal berotan.

Pengawal berotan itu ditolak kasar menyembah lantai batu, rebah tidak sedarkan diri. Remaja itu kembali tegak. Sarung tempur digenggam kemas. Bersiap siaga membenam sisa musuh yang ada.

“Mari,” cabar remaja itu tenang.

Peluh dingin merenek di dahi seorang pengawal. “Apa kita patut buat sekarang?!” Kejadian seperti ini tidak pernah terlintas akal. Tahanan membelasah pengawal? Masing-masing terpinga-pinga, buntu.

“Cepat! Belasah dia!” laung pengawal yang lain. Urat wajahnya menegang melihat seorang tahanan selamba melunyaikan salah seorang dari mereka.

“Bunuh terus budak celaka tu!” sambut yang lain.

Dua pengawal menerkam sambil mengayun rotan di udara. Remaja itu melibas sarung tempur dengan tenang. Kain tebal melilit kuat rotan pertama yang melayang turun. Satu sentapan pantas merentap imbangan musuh, sebelum libasan Siku Sayap Gagak dihentam tepat meremukkan rusuk pengawal tersebut. Tubuh itu terus rebah.

Melihat seorang lagi rakan mereka tewas, kali ini pada sehelai kain, beberapa pengawal menghambur caci maki. Ada juga yang sudah tidak dapat menahan sabar. Keris dihunus laju. Geseran keluli bergema di segenap koridor. Bilah-bilah keris memantulkan cahaya obor yang samar.

Remaja itu kekal tenang. Sarung dilibas lagi, menangkap tikaman lurus keris ke dalam lipatan kain. Kain dikilas ganas, mengunci bilah senjata. Tapak tangan lantas dihentak tepat pada halkum musuh. Seorang lagi pengawal menerpa. Remaja itu pantas menyapu kekuda pengawal tersebut dari bawah, lantas menyepak keris yang tercicir meluncur jauh merentasi lantai batu.

Di sebalik jeriji sel, tahanan lain melekapkan wajah mereka pada palang besi. Terpegun menyaksikan keunikan pencak silat remaja tersebut.

“Perhatikan langkahnya,” bisik seorang satria tua. “Pencak silatnya… sungguh aneh. Belum pernah aku saksikan bunga dan buah silat sebegini.”

“Lima orang dia tumbangkan macam tu saja,” gumam tahanan tua, seakan akalnya menolak apa yang terpampang di mata. “Dia bukan budak jalanan biasa.”

“Tak ada gunanya,” pintas suara serak seorang lelaki botak. Nadanya bergetar menahan gerun. “Dia tetap bertarung sendirian. Tiada ruang untuk dia melarikan diri. Semuanya sudah tertutup rapat.”

Seorang lagi melepaskan keluhan berat. “Sayang sungguh bakat dia. Tubuhnya pasti dibelasah sampai lumat nanti.”

Baki pengawal yang tinggal sudah hilang kewarasan. Semuanya direntap oleh maruah mereka yang tercalar dimalukan seorang remaja.

“Jangan lawan dia sendirian. Serang serentak!”

Enam pengawal meluru mara. Masing-masing rakus menghunus senjata. Rotan dan keris sedia dalam genggaman.

Riak tenang remaja itu akhirnya berubah kelat. Dia tahu dia sudah tidak punya peluang lagi. Dia hanya mampu bertarung membalas dengan seribu daya. Libasan sarung, tepisan keris, dan pukulan maut diayun tepat. Namun, dia bukanlah kebal. Hujan keris dan penumbuk yang membedal dari segenap penjuru mustahil ditepis serentak.

Sebatang rotan tebal hinggap keras di pelipat lutut. Kuda-kudanya goyah, lantas patah. Satu sepakan deras mendarat padu memecah rahang. Sarung tempur terus disentap lepas dari genggaman.

Dalam hitungan detik, tubuhnya tenggelam di bawah amukan buta. Dihujani tendangan, hentakan rotan, dan hirisan keris. Bukan sekadar remaja itu, saudagar malang yang patah tangannya tadi turut diseret sama. Kedua-duanya dibelasah lumat sehingga lantai batu licin disimbah darah.

Seringai rakus mekar pada wajah para pengawal. Mereka berpesta memijak mangsa yang sudah ranap. Saudagar tua itu kini kaku, putus nyawa. Remaja itu pula sekadar mengais sisa nafas, jasadnya terkulai layu di dalam lopak merah.

“Puas hati aku,” seringai seorang pengawal. Tangannya memaut bahu yang kebas sambil menatap susuk saudagar tua yang kaku sebelum memandang remaja itu. “Tapi liat betul nyawa budak ni.”

Hilai tawa kasar bergema merentasi koridor. Perlahan-lahan pudar meleret menuruni anak tangga batu. Sekadar sayup-sayup menembusi pintu besi tebal penjara di tingkat paling bawah.

Nun jauh di dasar, Putera Wangsa itu kekal terbungkus dalam kegelapan pekat.

Tujuh hari yang lalu, Indra pasti meronta mahu memutuskan tali ikatan. Pasti melolong sehingga kerongkongnya robek berdarah. Namun kini, dia sekadar pasrah. Membiarkan kelelahan menyeretnya tumbang. Penjara bawah tanah itu membusuk dengan bau hancing dan hanyir darah. Tetapi, sebaik sahaja kelopak matanya terpejam, memorinya kembali mengheret dia terhidu wangi asap setanggi teratai.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset