Kulit di tengah dada Indra merekah, terus mengoyakkan luka yang lebih luas. Dia mengetap gigi rapat menahan jeritan. Darah pekat membuak keluar dari dada, mengalir lencun bercampur peluh sejuk.
Bisa yang mencengkam uratnya langsung tidak reda, namun segaris senyuman tetap terukir di bibirnya.
Aku berjaya, desisnya di dalam hati. Aku betul-betul berjaya.
Satu lagi perkara aneh berlaku. Urat Prana di pangkal gerbang pertama itu perlahan-lahan sembuh. Laluan yang selama ini mati kini kembali berdenyut, membenarkan Prana mengalir lancar.
Tetapi, dia tiada masa untuk berehat. Jika dia tekad mahu memecahkan kesemua tujuh puluh dua Gerbang Prana, dia mesti bertindak pantas sebelum tenaga itu lesap dan badannya mengalah.
Nafas ditarik dalam. Indra mengeraskan dadanya, mencipta daya sedutan paksa. Lebih banyak Prana liar ditarik masuk menembusi liang roma lantas ditahan terus di dalam Gerbang Prana yang pertama.
Tujuh puluh dua Gerbang Prana, desisnya. Aku mesti buka semuanya.
Tenaga yang terkumpul itu dikawal ketat, lalu dimampatkan menjadi satu titik yang padat dan tajam.
Sekarang!
Prana liar itu dihentam lurus untuk merempuh buka Gerbang Prana kedua.
Kesakitan kali ini jauh lebih perit berbanding yang pertama. Aliran Prananya menghentam Gerbang Prana kedua bertalu-talu. Sedar daya asakannya masih lemah, Indra terus merentap masuk lebih banyak Prana untuk memadatkan serangan.
Beberapa detik kemudian, Gerbang Prana kedua berderai terbuka.
“Argh!”
Indra mengerang senak. Tulang belakangnya terhempas keras pada palang kayu. Tubuhnya bergetar teruk sehingga geseran tali menyiat kulit di pergelangan tangannya dengan lebih dalam lagi. Darah panas membuak, meninggalkan rasa payau di pangkal kerongkong.
Sakitnya tidak tertanggung. Niat untuk menyerah kalah mula berdetik di hati. Jika gerbang pada tahap awal ini pun sudah menderanya separuh mati, bagaimana pula dengan baki gerbang yang lain? Pasti azabnya berlipat kali ganda.
“Tidak… Ini baru permulaan. Aku tak boleh mengalah,” desis Indra.
Rahangnya diketap rapat menelan kembali rasa payau darah. Tanpa berlengah, dia menarik lebih banyak Prana luar. Memandangkan pangkal uratnya mula sembuh, aliran tenaganya menjadi lebih stabil. Dia memandu Prana itu menghentam Gerbang Prana ketiga. Terbuka. Dia merempuh pula gerbang keempat.
Pandangannya beransur kabur, namun akalnya dipaksa kekal waras. Setiap kali gerbang baru dirempuh, tekanan di dalam dada menebal hingga menyekat nafas. Seluruh badannya panas membahang.
Namun, di sebalik keperitan itu, dia sedar satu perkara.
Aku… belum mati. Jantung aku masih berdegup.
Bertahun-tahun dia hidup dalam ketakutan. Dia sentiasa percaya badannya pasti hancur jika mengalirkan Prana secara paksa. Gelaran ‘si cacat’ itu ditelannya saban hari semata-mata kerana dia takut mati.
Tetapi malam ini, terbukti berbeza. Jasadnya tidak berkecai. Sebaliknya, Urat Prana yang selama ini mati kini mula berdenyut. Badannya perlahan-lahan menyesuaikan diri untuk menampung kapasiti kuasa tersebut.
Berbekalkan keyakinan itu, rentak Indra berubah. Asakannya menjadi lebih laju dan teratur. Dia memecahkan gerbang kelima, keenam, dan terus mendaki. Kesakitan yang pada mulanya tajam mencengkam, perlahan-lahan bertukar menjadi kebas.
Masa berlalu sunyi di dalam kubah tenaga itu. Apa yang kedengaran cuma bunyi nafas yang berat dan geseran tubuhnya pada palang kayu.
Sejam kemudian, tubuh Indra terkulai lelah. Dagunya jatuh ke dada, tercungap-cungap mencari nafas. Pakaiannya lencun dibasahi peluh dan darah yang menitik ke lantai batu.
Dia berjaya. Empat puluh Gerbang Prana kini terbuka. Dia juga kini mempunyai Darjat Jiwa Lima, sama seperti Ratna.
Jumlah Gerbang Prana yang memakan masa tiga tahun untuk dibuka pada tubuh Ratna, baru sahaja dicapainya ke atas jasad sendiri dalam masa satu jam.
Namun, rentaknya terhenti. Keletihan mula melemahkan badannya. Saat akalnya mencari ruang untuk berehat, bayangan Ratna tiba-tiba menjengah ingatan.
Tujuh hari lalu, dia membuka empat puluh Gerbang Prana gadis itu. Dia rela menanggung segala kesakitan semata-mata kerana tidak mahu Ratna menderita.
Adakah dia dah tahu rancangan bapanya sejak awal? Hatinya berdesis perit. Adakah dia senyum dan genggam tangan aku, sedangkan dia dah tahu Baskara akan merantai aku sebaik saja rawatan selesai?
Fikiran itu merosakkan tumpuannya. Kawalan terhadap aliran Prana di dalam uratnya mula goyah. Sebaik sahaja fokusnya terganggu, tolakan tenaga itu semakin mengendur. Gerbang Prana yang baru dibuka tadi mengecil perlahan-lahan, sedia tertutup semula akibat tekanan badannya.
Di satu sudut, lelaki tua itu ketawa sinis. “Sakit? Baru sakit sikit dah nak mengalah?”
Indra langsung tidak larat untuk mengangkat kepalanya. “Empat puluh,” balasnya mengah bersama sisa darah di bibir. “Sama… macam dia.”
“Empat puluh,” tempelak lelaki tua itu. “Kau seksa badan sendiri semata-mata nak setaraf dengan budak perempuan tu?”
Jari Indra yang berlumuran darah mula bergetar menahan marah.
“Kau cuma batu loncatan,” sambung lelaki tua itu. “Tapi… kau nak berhenti begini saja? Atau kau nak bangkit dan pijak Wangsa Baskara tu sampai mereka melutut?”
Kata-kata itu menampar maruahnya. Rasa dikhianati perlahan-lahan membuak menjadi dendam.
Dia betul.
Indra perlahan-lahan mendongak. Dia menarik nafas dalam lalu memusatkan kembali fokusnya. Aliran Prana di dalam uratnya yang semakin pudar tadi, terus berdegup ganas saat disuntik dengan amarah.
Berbekalkan dendam, Indra tidak lagi menahan asakannya. Dia memampatkan aliran tenaganya lantas merempuh gerbang seterusnya tanpa berlengah.
Empat puluh satu.
Empat puluh lima.
.
.
Lima puluh.
Pakaiannya semakin lencun dibasahi darah, namun Indra tidak peduli. Dia kini digerakkan sepenuhnya oleh dendam.
Lima puluh enam.
Indra tersentak lalu menghembus nafas lelah. Seluruh badannya menggeletar. Lima puluh enam Gerbang Prana. Tahap itu bersamaan dengan Darjat Jiwa Tujuh. Satu angka yang mustahil. Barisan penguasa terhebat di Kerajaan Cawala pun sekadar memegang Darjat Jiwa Lima, manakala Raja Cawala di takhta Darjat Jiwa Enam. Darjat Jiwa Tujuh langsung tidak pernah wujud dalam sejarah.
Walaupun seluruh badannya berdenyut menahan sakit, senyuman terukir di bibirnya. Dia bukan sahaja sudah mengalahkan Ratna. Dia baru sahaja menjadi individu dengan Darjat Jiwa tertinggi dalam seluruh kerajaan. Dia bukan lagi ‘si cacat’.
“Apa yang kau senyumkan pada lantai tu?” jerkah lelaki tua itu.
Indra membuka matanya perlahan-lahan menahan pedih peluh.
“Baru buka lima puluh enam gerbang kerdil, kau dah tersenyum?” Lelaki tua itu meludah kasar ke lantai. “Kau ingat kau dah cukup hebat? Sedar sikit. Kalau macam ni, memang layaklah kau merempat di kota sempadan ni. Sampah.”
Senyuman Indra mati. Dia baru sahaja memecahkan rekod Kerajaan Cawala, namun lelaki tua di hadapannya ini selamba memanggilnya sampah.
Bagus, desis Indra. Aku tak boleh rasa selesa.
Rasa marahnya kembali menyala.
“Tengok baik-baik,” seraknya sambil meludah segumpal darah pekat ke lantai. “Aku akan buka… semuanya.”
Dia memejamkan mata. Fokusnya beralih sepenuhnya ke dalam badan. Dia menjejaki baki gerbang yang masih tertutup, membawa aliran Prananya melepasi dada dan rusuk, lalu memetakan alirannya supaya tiba di halangan terakhir di dasar tulang belakang.
Indra merempuh kesemuanya secara berterusan. Dia sudah mampu mengagak berapa banyak Prana yang diperlukan untuk melakukannya dengan sempurna.
Pandangannya terus menjadi gelap. Telinganya berdengung. Otot-otot badannya tiba-tiba kejang. Tubuhnya terhempas kasar pada palang kayu, sementara geseran tali terus menyiat kulit di pergelangan tangannya.
Enam puluh… Enam puluh lapan.
.
.
Tujuh puluh dua.
Gerbang terakhir di dasar tulang belakangnya berjaya terbuka.
Indra mengetap rahang dan melepaskan nafas berat. Badannya kembali terkulai lemah pada tali ikatan.
Tujuh puluh dua Gerbang Prana. Had mutlak manusia. Kesemua Urat Prananya kini terbuka luas.
Namun, dia sudah tidak larat untuk menggerakkan walau sebatang jari. Tenaganya benar-benar habis.
“Kenapa kau berhenti?”
Telinga Indra sayup-sayup menangkap soalan itu. Dia membuka kelopak matanya sedikit. Lelaki tua itu masih berdiri tegak di tempat yang sama.
“Itu… semuanya,” balas Indra dengan nafas putus-putus. “Tujuh puluh dua.”
“Semua?” Lelaki tua itu mendengus. “Siapa yang kata begitu? Kau dah ditipu, budak.”