Bagi penduduk Gaia, Menara Seribu bukanlah sekadar binaan gergasi yang menjanjikan kuasa, artifak, dan teknologi peradaban asing. Ia adalah sebuah medan ujian maut. Sejak gerbangnya terbuka enam tahun lalu, puluhan ribu manusia telah melangkah masuk mempertaruhkan nyawa demi berevolusi, namun menara itu hanya menjanjikan kematian yang pasti bagi mereka yang lemah.
Kael Novera mendaftar sebagai Pendaki bukan untuk memburu kegemilangan. Dia melangkah masuk dengan satu matlamat mutlak: menjejak keberadaan bapanya, lelaki yang bertanggungjawab membuka menara tersebut enam tahun lalu. Sama seperti bapanya, Kael nekad untuk merungkai misteri sebenar yang disembunyikan oleh Menara Seribu.
Namun, Kael bermula dari titik yang paling bawah. Dia sekadar seorang Pendaki Level 0. Di dalam dunia yang dikawal sepenuhnya oleh hukum kekuatan fizikal, laluannya jauh lebih berliku dan berbahaya berbanding orang lain.
Segala perancangan asalnya berkecai sebaik sahaja dia menjejak kaki di Tingkat Satu. Dalam satu pertemuan di luar jangkaan, Kael telah melakukan satu kemustahilan. Tubuhnya menyerap Astra milik Azurion, seekor naga purba berkelas Raksasa Sakti.
Kini, dengan kuasa purba yang bergelora dan boleh merobek tubuhnya dari dalam pada bila-bila masa, Kael terpaksa berhadapan dengan ancaman yang jauh lebih besar. Dia harus mengawal kuasa naga tersebut, bertahan hidup daripada buruan musuh, dan meneruskan pendakian ke tingkat atas demi mencari jawapan yang telah lama menantinya.