Switch Mode

Satria: Darah Terakhir – Bab 5

Wangsa Baskara

Balai Besar Wangsa Baskara tersergam megah, ditopang teguh oleh tiang-tiang cengal gergasi. Asap gaharu meliuk-liuk di udara, menyebarkan keharuman yang menyelubungi segenap ruang.

Jagat Baskara duduk bersemayam di atas singgahsana. Kepalanya bermahkota tanjak hitam yang dilipat kemas. Baju sikap gelap bersulam benang emas membalut tubuh tegapnya, manakala sarung tempur berwarna emas melilit di pinggang.

Di bawah singgahsana, duduk berdisplin Lima Tetua. Seragam hitam mereka kelihatan serupa, namun dibezakan dengan sarung tempur putih bersih. Ketiadaan warna emas menjadi tanda bahawa kedudukan mereka adalah lebih rendah.

Balai itu sunyi sepi. Semua mata tertumpu pada warkah di tangan Tetua Satu. Lilin mohor dipecahkan, lalu gulungan kertas itu dibentang seluasnya.

“Helang utusan mendarat waktu subuh tadi, Ketua Wangsa,” lapor Tetua Satu sambil menunduk hormat. “Rombongan utusan Wangsa Agung Merah memacu kuda menepati jadual. Namun…” Dia berhenti seketika, memandang Ketua Wangsa Jagat.

Jagat mencondongkan tubuhnya ke hadapan. “Teruskan.”

Tetua Satu memanggung wajah. Riaknya kelihatan sedikit tegang. “Putera Agung Rudra sendiri yang berangkat turun.”

Ketenangan mutlak dewan itu berkecai serta-merta.

“Putera Agung Rudra sendiri?” soal Tetua Empat terkejut. Cengkamannya membenam kuat pada pemegang kerusi. “Buat apa dia bersusah payah menunggang kuda ke kota sempadan ini semata-mata demi—”

Mulut Tetua Empat tidak menghabiskan bicaranya. Sebaliknya terkunci rapat. Menyedari suaranya terlajak lantang dan biadab, dia pantas menundukkan kepalanya. “Ampunkan aku, Ketua Wangsa.” Dia berpaling semula kepada Tetua Satu. “Berapa orang Tetua yang mengiringinya?”

Tetua Satu menjeling semula warkah di tangan. “Dua orang. Tetua Sembilan, Madura, dan Tetua Sepuluh, Mahani. Rombongan mereka dijangka tiba di gerbang utama kita pagi esok.”

“Dua Tetua? Itu sudah berlebihan—” Sekali lagi Tetua Empat bereaksi namun kali ini dia tidak dapat sempurnakan bicaranya kerana dipintas oleh Ketua Wangsa Jagat.

“Jaga tingkah kau, Tetua Empat,” pintas Jagat. Nadanya yang dalam dan keras terus mematikan segala suara di dalam balai itu.

Tubuhnya kembali disandarkan perlahan, namun riak wajahnya berbeza. Ketenangan pada wajahnya itu sangatlah dingin. Jagat menarik nafas dalam. Dia memandang setiap Tetua Wangsa, seorang demi seorang. “Bila Putera Agung menapak masuk, aku haramkan wujudnya sekelumit kesilapan. Kamar tetamu, jamuan santapan, barisan peronda. Semuanya mesti serba sempurna.”

“Semuanya sudah selesai disediakan, Ketua Wangsa,” balas Tetua Dua. “Kamar tetamu sudah sedia menanti.”

“Bahagian dapur juga sedang giat bekerja,” tambah Tetua Tiga berserta anggukan hormat. “Daging paling segar dan rempah ratus terbaik dari kota sebelah sudah pun diborong.”

“Kawasan sekeliling juga sudah dikawal ketat,” maklum Tetua Lima dengan nada berat. Biarpun suaranya kedengaran kasar, posturnya kekal merendah taat. “Bilangan pengawal peronda telah digandakan. Barisan Satria terbaik kita juga sudah dipacak mengawal setiap pintu masuk.”

Tetua Empat kelihatan resah. Laporan demi laporan itu membuatkan seperti dirinya tiada langsung fungsi sebagai seorang Tetua Wangsa. Gelojoh mahu membuktikan akalnya bergeliga, dia mencelah lagi.

“Ketua Wangsa, aku ada satu usul.” Tetua Empat bersuara. Tanpa menunggu balasan Jagat, dia terus menyambung, “Aku tidak rasa kita perlukan kawalan sebegitu ketat. Bayangkan apa yang Wangsa Agung Merah akan rasa?”

Tiada yang memilih untuk bereaksi. Melihatkan mereka yang lain seperti menanti sambungan usul geliganya, dia menambah, “Tiada siapa di kota ini berani membuat onar selagi mereka berkampung di sini. Tindakan kita hanya akan membuatkan Wangsa Agung Merah terasa seperti mereka lemah pula. Perlu dilindungi Wangsa Baskara.”

Dia menjeda bicara dengan senyuman, kemudian barulah tersedar suaranya berbunyi sedikit angkuh. Kepalanya lekas ditunduk. “Namun tentu sekali, bukan semua perisai dan senjata kita akan diturunkan.”

Tetua Satu mengurut janggut perlahan. “Usul Tetua Empat itu ada asasnya. Perlindungan daripada kita umpama mencurah air ke laut bagi mereka. Tetapi… inilah pentas terbaik untuk mempamerkan taring kita. Kita boleh menyusun lurus barisan Satria Bintang Satu dan Dua membelah gerbang utama. Kita pamerkan Wangsa Baskara juga bukanlah wangsa lemah.” Tetua Satu merenung ke arah singgahsana. “Bagaimana, Ketua Wangsa?”

Jagat mengibaskan tangannya ke udara. “Nak pamer atau simpan, aku tak peduli. Pastikan saja semuanya berjalan sempurna.”

Susuk tubuhnya kembali mencondong ke depan. Renungan matanya tajam seperti menembusi para tetua sebelum berhenti dan memandang Tetua Dua. “Tetua Dua. Rombongan ini datang untuk menyimpul ikatan. Tapi setiap ikatan yang teguh menuntut harga sandaran yang mahal.”

Tetua Dua menelan air liur tatkala dia cuba untuk memahami apa maksud sebenar kata-kata Jagat Baskara.

Melihat Tetua Dua yang keliru, Jagat mengeluh. “Kau dah sebar berita tentang Ratna?”

Bibir Tetua Dua mengukir senyum. Mujurlah itu sahaja soalannya. Tubuhnya ditegakkan seboleh-bolehnya. “Sudah, Ketua Wangsa. Saudagar dan Satria muda kita di Akademi Satria sedang rancak menyebar cerita. Sebelum matahari terbenam hari ini, setiap kota, setiap wangsa di seluruh Kerajaan Cawala bakal menelan satu hakikat bahawa Ratna Baskara kini mendakap Darjat Jiwa Lima.”

“Bagus.” Jagat mengangguk. Seringai sinis dan penuh kelicikan perlahan-lahan mekar di wajahnya.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset