Cemeti dilibas kasar, berdesing memecah suasana. Kulit di belakang tubuh Indra sudah lama lumat, namun libasan demi libasan tanpa belas itu terus merobek, memamah daging. Darah pekat menitik tanpa henti, melukis lopak merah pada lantai batu yang dingin.
Sepanjang seminggu dia dikurung, tiga pengawal Wangsa Baskara itu menjadikan penderitaannya sebagai satu hiburan. Bergilir-gilir mereka menghayun cemeti, melibas rotan, dan membedal rusuknya yang sedia patah.
“Nanti,” tegur pengawal bercemeti. Dia berpaling kepada dua orang pengawal lagi dan bertanya, “Budak ni dah mati ke?”
Masing-masing terdiam. Itu adalah perkara yang paling mereka bimbang. Salah seorang pengawal perlahan-lahan merapat. Hujung rotannya ditepuk-tepuk perlahan ke tapak tangan, matanya tajam melirik susuk tubuh Indra.
“Teruk sangat ke kita belasah dia? Tak mungkin dah mati…” Nadanya meleret ragu, sehinggalah matanya menangkap getar halus pada tubuh itu. “Hah! Betul. Tengok dada dia.”
Masing-masing melepaskan nafas yang mereka sendiri tidak sedar ditahan. Pengawal ketiga meraup parut di kening kirinya. Dahinya berkerut merenung Putera Wangsa Indra Rentaka yang dibiarkan tergantung pada palang kayu di tengah-tengah penjara bawah tanah itu.
Tali kasar mencerut pergelangan tangan yang didepakan, memaksa tubuh Indra terawang menahan azab. Sudah seminggu dia digantung sebegitu. Bahunya sudah lama terkehel, tewas menampung berat badannya sendiri. Geseran tali pula menyiat lumat kulit dan daging, sedikit sahaja lagi akan mendedahkan putih tulang.
“Hei, Putera Wangsa,” sindir pengawal bercemeti. “Aku tahu kau sedang menahan sakit.” Dia berjeda, mengukir senyum herot. “Kau nak kami berhenti, bukan?”
“Kalau nak kami berhenti… kau kena merayu,” arah pengawal berotan. Hujung kayunya diradak kasar, mencucuk perut Indra.
“Bukan. Itu mudah sangat,” celah pengawal berparut. “Kau patut melutut panggil kami ‘Tuan Besar’. Baru kami berhenti.”
Anehnya, biarpun mereka yang memegang senjata, merekalah yang kelihatan lemas dalam keterdesakan. Segala bentuk seksaan sudah dilakukan, namun wajah Indra kekal beku tanpa sekelumit riak. Berbeza sungguh dengan tiga hari pertama dahulu. Sekarang, Putera Wangsa itu cuma membalas dengan renungan kosong. Langsung tiada jeritan.
Wajah pengawal berotan menegang panas. Dia tidak suka dengan reaksi kaku Indra itu. “Sakit pula hati aku tengok muka kau ni!”
Rotan dilibas deras ke rusuk Indra. Tidak cukup sekali, rotan itu dilibas bertalu-talu sehinggalah nafas pengawal itu sendiri mengah kepenatan. Namun Indra tetap kaku. Giginya diketap menahan bisa, matanya merenung mati.
Dalam kurungan sempit yang cuma diterangi cahaya sebatang obor itu, ketiga-tiga pengawal itu akhirnya melepaskan lelah. Riak tubuh mereka jelas mempamerkan kepenatan yang amat. Peluh menitik dari balik tanjak, meresap lencun ke dalam baju silat hitam mereka. Pending tembaga berukir lambang Tedung Perak mengikat kemas sarung tempur di pinggang.
“Kau masih fikir orang cacat macam kau layak mengahwini Puteri Ratna?” soal pengawal berotan itu. Belakang tangannya naik menyeka peluh yang merenek di dahi.
Indra membisu. Namun, sebaris nama itu berjaya mencuit sisa hatinya yang hampir mati. “Rat… na…” bisiknya. Suaranya serak, seakan tersekat di kerongkong.
Biarpun sekadar bisikan, ia sudah cukup untuk memancing amarah si pengawal. Bagi kasta bawahan yang selalu diherdik dan ditindas, melihat seorang ‘Putera Wangsa’ tergantung lemah di hadapan mereka membuahkan satu kepuasan. Menyeksa Indra adalah satu-satunya peluang untuk mereka memijak orang yang pernah berada di ‘atas’, melampiaskan segala kebencian yang terbuku terhadap golongan bangsawan.
“Mulut kotor kau tak layak sebut nama dia!” jerkah pengawal itu.
Rotan diayun rakus, kali ini laju memburu paha Indra. Namun, sebelum hujung rotan itu sempat hinggap pada mangsa, lengan pengawal itu pantas ditahan keras oleh rakannya yang berparut.
Pengawal berotan menoleh bengang. “Apa masalah kau?”
Pengawal berparut sekadar menggeleng. Tindakannya itu jauh sekali atas dasar ihsan. “Tepi,” arahnya mendatar.
Dia menolak bahu rakannya itu dan melangkah tenang sebelum berhenti di hadapan Indra. Dia tidak terus bertindak. Sebaliknya dia merenung tajam wajah Indra. Perlahan-lahan tangannya bergerak, mencengkam kasar rambut Indra, memaksa wajah yang berlumuran darah itu mendongak memandangnya.
“Kau dengar sini,” kata pengawal berparut.
Indra tidak bereaksi. Matanya lurus menikam wajah pengawal itu tanpa berkelip.
“Kau tu cacat,” sambung pengawal berparut. “Bakat Puteri Wangsa kami laksana permata, satu dalam sejuta. Kau? langsung tak layak untuk dia. Faham?”
Indra memerah sisa nafas melepasi dadanya yang senak.
“Aku… yang berikan… semua tu,” balasnya lemah.
Pengawal berparut mengerutkan dahi sebelum meledak tawa. “Kau yang berikan? Kau merepek apa ni?” Tawanya pantas berjangkit, disambut hilai rakan-rakannya yang lain.
“Budak ni dah hilang akal agaknya. Patutlah kena libas pun tak menjerit,” sampuk pengawal berotan, geli hati.
Pengawal bercemeti mendekatkan wajahnya ke arah Indra, berpura-pura menadah telinga dengan gaya mengejek. “Apa dia? Cuba kau ulang. Aku tak dengar sangat tadi.”
“Kuasa Ratna… aku yang… bagi…”
“Kau!” Geram dengan balasan Indra, pengawal berparut mengepal buku limanya lantas diangkat tinggi, bersiap untuk meremukkan rahang Indra. Namun, sebaik sahaja ayunan itu dilepaskan, lengannya tersentak ragu. Pada detik akhir, genggaman itu terbuka, bertukar pantas menjadi tamparan yang menampar keras pipi Indra.
Kepala Indra berpusing ke kanan. Darah terasa payau di pangkal lidah. Dia tersenyum sinis namun tidak berkata-kata. Dibiarkan sahaja segala perbuatan mereka. Indra sudah masak benar dengan tingkah mereka. Itu sahaja yang berani mereka lakukan. Tubuhnya sentiasa dibelasah separuh mati, namun mereka bimbang andai jantung Indra benar-benar terhenti.
“Sudah,” tegur pengawal bercemeti sambil menggulung tali cemetinya yang menitikkan darah. “Kalau dia mati sebelum utusan Wangsa Agung Merah tiba, Tetua Empat pasti memenggal kepala kita.”
“Kau betul. Itu… menempah maut namanya.” Pengawal berotan mengangguk laju. Dia menunduk lalu meludah tepat ke pipi kiri Indra. “Nampaknya Tuhan masih nak kau bernafas, Putera Wangsa.”
Indra kekal kaku. Dia membiarkan sahaja ludah pekat itu melurut ke rahangnya sebelum jatuh menitik ke lantai batu. Segala rasa jijik sudah lama mati. Ekor matanya memerhati pergerakan tiga orang pengawal tersebut.
Obor disentap kasar dari dinding. Mereka berlalu pergi, membiarkan Indra kembali ditelan kegelapan. Derap capal bergema mendaki anak tangga batu yang curam. Sebaik tiba di puncak, pintu besi dihempas keras, disusuli bunyi lagaan mangga dikunci rapat.
“Budak tu dah hilang deria sakit?” sayup-sayup suara pengawal berotan kedengaran dari balik pintu. “Bukan main kuat aku libas tadi, tapi sikit pun dia tak menjerit.”
“Entah. Mungkin dah lali,” balas pengawal berparut. “Atau mungkin esok kita patut cuba cara lain?”
“Sudahlah,” pangkas pengawal ketiga yang memegang cemeti. “Aku dah cakap tadi. Kalau budak tu mati, nyawa kita pun melayang sama.”
Dua pengawal itu menelan liur lantas mengangguk akur. Mereka faham akibat jika mereka bertindak melampaui batas. Langkah segera diatur menjauhi pintu besi tersebut.
Lorong sempit di sebalik pintu itu panjang dan gelap. Selain penjara bawah tanah yang menempatkan Indra, terdapat tiga lagi pintu yang membawa ke penjara bawah tanah yang berbeza pada dinding batu di kiri dan kanan.
Mereka bertiga membelok ke kiri, menyusuri laluan yang menghubungkan pintu penjara bawah tanah dan sel tahanan utama. Sepuluh sel berderet membelah lorong. Lima di kiri, lima di kanan.
Obor disuluh menembusi jeriji besi sel. Setiap sel padat menempatkan sekitar enam ke sepuluh tahanan Wangsa Baskara—atau lebih tepat, mangsa kesombongan mereka. Kebanyakannya hanyalah rakyat biasa Kota Bayu Timur; para peniaga, saudagar musafir, pemuda tempatan, dan beberapa orang Satria malang yang tersilap langkah bersengketa dengan wangsa tersebut.
Selain para Satria, kesemuanya kurus melidi, tubuh berbirat lebam, dan lunyai dibelasah. Namun, beberapa orang tahanan yang masih mencelikkan mata mencerlung benci barisan pengawal itu.
“Tengok apa?! Tak puas hati?!” jerkah pengawal berotan memecah sunyi.
Seorang saudagar tua merangkak laju ke jeriji sel. Tangannya dihulur terketar-ketar melalui celahan jeriji. “Tolonglah… tolonglah aku,” rayunya serak. “Lepaskan aku.”
“Nak aku lepaskan kau?” Pengawal berotan mengukir senyum sinis. Rotan dihentak sekuat daya tepat ke atas pergelangan tangan lelaki tua itu.
Prak!
Bunyi tulang patah bergema ngilu. Saudagar itu menjerit kesakitan. “Tangan aku!”
Sedar jeritannya hanya akan mengundang seksaan yang lebih kejam, lelaki tua itu menggigit bibir hingga berdarah. Tangannya pantas ditarik, disorok rapat ke dada.
Ketiga-tiga pengawal itu berdekah memuntahkan ketawa.
“Macam mana? Nak aku lepaskan kau lagi?” soal pengawal berotan di celah sisa tawanya.
Saudagar malang itu menggeleng laju, sedaya upaya menelan kesakitannya. Namun, rintihan perit yang tertahan di kerongkong itu malah membakar lagi jiwa sadis mereka. Sambil menyeringai, pengawal berotan menapak merapati palang sel. Hujung rotannya disodok kasar melalui jeriji, meradak jasad saudagar itu bertalu-talu tanpa sekelumit belas.
“Jangan… tolonglah…”
“Apa? Aku tak dengar—”
Bicara pengawal itu mati. Hujung rotannya tiba-tiba tersangkut, gagal ditolak mahupun ditarik. Dari celah kegelapan sel, kelihatan hanya sebelah tangan menggenggam kemas kayu tersebut.
Pengawal berotan terkesima. Tanpa perlu diarah, rakannya menapak ke hadapan lantas menyuakan cahaya obor rapat ke arah jeriji.
Di bawah suluhan cahaya itu, terpacak susuk seorang remaja. Pemuda itu berdiri tegak, sepasang matanya tajam menikam lurus wajah si pengawal.
“Siapa kau?” dengus pengawal berotan. Dia cuba menyentap senjatanya semula, namun batang rotan itu langsung tidak berganjak.
Sekalipun tubuh remaja itu nampak kurus, cengkamannya luar biasa kuat. Urat-urat kasar timbul menegang pada lengannya, manakala kulit yang menggenggam kayu itu jelas dipenuhi birat luka dan parut.
“Hentikan,” arah remaja tersebut, mendatar.