Sekitar tiga puluh batu di hadapan dari pedati mewah berkuda Wangsa Agung Merah, laluan dagang itu beransur hilang. Berganti dengan hamparan jalan berbatu rata di Kota Bayu Timur.
Kota ini, sekalipun sebuah kota sempadan, ia bukanlah penempatan yang biasa-biasa. Ia merupakan sebuah kota lengkap dengan kubu binaan kayu dan batu gergasi. Bangunan-bangunan kayu bersaiz mega berdiri megah ditopang tiang-tiang batu yang tebal. Bumbungnya berlapiskan genting tanah liat melentur, direka khas untuk mengawal hentaman hujan monsun.
Udara di sini juga unik. Selain kesegaran bau dari lautan tidak jauh dari kota itu, ada juga bau wangi kopi panggang, rempah ratus, dan manis gula melaka meruap dari warung-warung kayu di setiap simpang jalan.
Kaum lelaki di kota ini melangkah dengan dada mendabik megah. Baju sikap berstruktur tegap membalut tubuh. Tanjak berlipat kemas di kepala. Sarung terikat rapi di pinggang. Ramai juga yang memakai semutar dan baju tidak berlengan.
Di dada lorong, para pengawal upahan golongan bangsawan bergerak lincah. Mereka sekadar menyarung baju silat gelap yang longgar, mengutamakan pergerakan berbanding penampilan. Senjata dibiarkan tergantung bebas di pinggang.
Kaum wanita pula menyusuri khalayak dengan pelbagai gaya kebaya. Seorang peniaga yang berjualan buah sekadar mengenakan Kebaya Lurik senteng berpadan sarung longgar. Beberapa langkah dari situ, seorang saudagar wanita jelita melangkah anggun dalam balutan Kebaya Janggan berleher tinggi. Dia diiringi oleh beberapa orang pengawal peribadi.
Di luar sebuah warung yang sibuk, akar menjalar pohon beringin purba menawarkan teduhan tebal. Seorang lelaki botak bertubuh sasa duduk bersandar pada batang pokok gergasi itu.
Lengan besarnya meregangkan kain baju tanpa lengan yang lusuh. Terendak...