Lamunan Indra tersentak. Dia merentap tali ikatan secara tidak sengaja. Bahunya yang terkehel terasa membakar saat dia menyedut udara penjara bawah tanah yang hapak.
Tiga tahun aku buang masa, desisnya kesal.
Merawat Ratna bukanlah rancangan asalnya. Ia bermula atas permintaan bapa angkatnya, Kurnia, Ketua Wangsa Rentaka.
Tiga tahun lalu, Indra tidak punya ingatan masa silam mahupun nama. Dia cuma tersedar di sebuah lorong sempit di belakang warung di Kota Bayu Timur. Tubuhnya dibalut sepersalinan hitam yang asing berbanding pakaian penduduk tempatan. Melangkah keluar, matanya menangkap susuk seorang lelaki tua rebah. Sekilas pandang, dia tahu jantung orang tua itu hampir terhenti.
Tanpa berfikir, tubuhnya dipacu naluri. Dia melutut, merentap Prana mentah dari udara lantas memaksanya menyusup laju ke dalam tubuh lelaki nazak itu. Jantung yang terhenti kembali berdegup normal.
Wisa, anak sulung Kurnia yang kebetulan berada di warung itu menyaksikan segalanya. Sebaik sahaja Indra beredar, Wisa bingkas bangun mengejar.
“Nanti!” Tangan Wisa mencengkam kemas bahu Indra, memaksanya berhenti.
Indra tersentak. Dia berpaling dengan wajah pucat dan bingung.
Wisa merenung tajam. “Lelaki tua tadi… macam mana kau buat?”
Indra menggeleng laju. Dadanya berombak. “Aku… aku tak tahu.”
Kening Wisa berkerut. Dia menyalurkan sekelumit Prana ke tapak tangannya di bahu Indra, membaca tahap kekuatan budak itu. Riak wajah Tuan Muda Wangsa Rentaka itu berubah serta-merta.
“Urat Prana kau mati,” gumam Wisa terkejut. “Tubuh kau kosong. Tapi kau mampu kawal Prana dari luar? Siapa kau sebenarnya?”
“Aku betul-betul tak tahu!” Indra menepis tangan Wisa lantas berundur. Matanya meliar cemas. “Aku tak ingat apa-apa! Nama aku sendiri pun aku tak tahu.”
Wisa diam. Akalnya pantas menilai situasi. Seorang budak jalanan tanpa identiti dan tanpa Prana, namun memegang kebolehan yang mustahil. Jika dibiarkan berkeliaran di Kota Bayu Timur, budak ini pasti akan dibunuh atau dieksploitasi wangsa musuh.
“Ikut aku,” arah Wisa mendatar. “Ketua Wangsa perlu tengok kebolehan kau.”
Wisa membawa budak itu menghadap bapanya. Biarpun Indra mempunyai kebolehan ganjil, Kurnia langsung tidak cuba memanipulasinya. Ketua Wangsa itu menerimanya dengan hati terbuka, mengurniakan nama Indra Rentaka, dan melayannya ibarat anak sendiri.
Niat Indra untuk membalas budi hanya tercapai pada suatu senja.
Ketika melintasi bilik pertapaan Kurnia, dia mengesan kejanggalan. Daun pintu bergegar halus. Aliran Prana yang meluru masuk ke bilik itu terlalu ganas dan bercelaru. Melalui celah pintu, dia melihat susuk Kurnia menggeletar menahan azab. Prana yang diserap sedang merobek urat di dalam badan, memaksa Ketua Wangsa itu memuntahkan darah pekat ke lantai.
Tanpa berfikir panjang, Indra merempuh masuk lantas merapati Kurnia. Kedua-dua tapak tangannya ditekap lurus pada belakang bapa angkatnya.
Bertindak sebagai laluan penyerap, Indra menarik dan mengawal amukan tenaga tersebut. Dia menyusun semula aliran Prana yang bercelaru lantas merawat Urat Prana serta Gerbang Prana Kurnia yang rosak. Baki tenaga dipusatkan lantas merempuh buka tahap Gerbang Prana Kurnia yang seterusnya.
Hawa panas di dalam bilik itu lesap serta-merta.
Kurnia kaku. Dia duduk mematung, merenung tapak tangannya. Prana yang padat dan terkawal kini berdenyut mengalir di segenap tubuh.
“Aku… dah sembuh,” serak suara Kurnia. Dia berpaling menatap wajah Indra dengan mata membulat. “Kau bukan saja baiki tubuh Ayahanda yang rosak… Darjat Jiwaku… Apa yang kamu dah buat, Indra?”
Indra berundur selangkah, memandang tapak tangannya yang menggeletar. “Ayahanda sedang hancurkan tubuh sendiri. Saya cuma tolak aliran itu ke tempat sepatutnya.”
Kurnia bingkas bangun. Wajahnya serius lantas tangannya mencengkam bahu Indra.
“Dengar sini,” pesannya berat. “Bakat ini luar biasa. Kalau hal ini terbongkar, mereka pasti akan buru kamu. Setiap Wangsa akan cuba peralatkan kamu. Jangan tunjuk kebolehan ini kepada sesiapa.”
Indra mengangguk faham.
Cengkaman Kurnia mengendur. Senyum nipis terukir di bibirnya. “Soal apa yang berlaku hari ini? Kita simpan rahsia. Hanya antara kita berdua. Boleh?”
“Saya janji, Ayahanda,” balas Indra patuh.
Kurnia mengotakan janjinya. Dia tidak pernah mendedahkan kebolehan Indra atau memaksanya merawat para Satria Wangsa Rentaka. Dia menelan rahsia itu dan memberikan perlindungan mutlak buat remaja tersebut.
Biarpun begitu, Indra tetap mahu membalas budi. Dengan keizinan Kurnia, dia memakai topeng lantas menggalas gelaran Tabib Dewa. Bekerja di balik tabir, dia merawat barisan Tetua dan generasi muda Wangsa Rentaka tanpa mendedahkan identitinya.
Atas dasar kesetiaan itu jugalah, Indra tidak menolak saat Kurnia merayu bantuannya.
“Anak perempuan Wangsa Baskara tenat,” luah Kurnia pada suatu malam, wajahnya sarat kerisauan. “Ayahanda bukan mengarah sebagai Ketua Wangsa. Ayahanda minta tolong sebagai seorang ayah. Boleh kamu periksa keadaannya?”
“Saya akan pergi, Ayahanda,” balas Indra patuh.
Ia sepatutnya sekadar rawatan biasa. Namun, sebaik Indra membuktikan kemampuannya mencairkan gerbang beku Ratna, Wangsa Baskara bertindak pantas. Mereka merantai khidmatnya dengan jerat pertunangan. Pada waktu itu, Indra menyangka ia satu penghormatan.
Aku bodoh, desisnya.
Wangsa Baskara merencana segalanya sejak hari pertama. Mereka mengumpan tali pertunangan semata-mata untuk memerah keringatnya memulihkan Gerbang Prana Ratna. Segalanya lakonan. Jagat Baskara yang memanggilnya ‘anakanda’. Ratna dengan senyuman palsunya. Aditya, abang kandung Ratna yang sekadar memerhati, Indra yakin remaja itu juga turut sama mengetahui rancangan Wangsa Baskara. Menanti masa jerat membaham mangsa.
Malah kebaikan Melur kini diragui. Hakikatnya, dia tidak pernah dianggap akan menjadi sebahagian daripada keluarga itu. Dia sekadar alat suruhan.
Saat kuasa Ratna bangkit, nilainya lenyap. Mereka terus merantainya pada palang kayu untuk membusuk di sini untuk dijadikan korban Wangsa Agung Merah.
Indra mengetap rahang. Giginya dibenam keras pada lidah. Jika digigit sedikit lagi, dia pasti mati tersedak darah sendiri. Kematiannya akan meranapkan segala perancangan Wangsa Baskara itu terhadapnya.
“Tiga tahun,” bisiknya senak. “Sia-sia.”
“Seminggu. Lama sungguh kau nak hadam hakikat tu,” tegur satu suara serak tiba-tiba dari balik bayang-bayang.