Switch Mode

Satria: Darah Terakhir – Bab 10

Batas Kuasa Satria

Lelaki tua itu ketawa kecil. Pandangannya menjelajah jijik dari atas ke bawah tubuh Indra. “Budak lemah macam kau? Langsung tak.”

Indra merentap ikatan, menyiat kasar kulit dari pergelangan tangan. “Ya, aku memang lemah!” jerkahnya lantas meludah darah ke lantai batu. “Sebab itu aku tergantung di sini! Tapi kau? Kau kuat, bukan? Kenapa kau merempat dalam kurungan ini bersama orang cacat macam aku?”

Lelaki tua itu tidak segera membalas. Dia hanya memandang Indra untuk beberapa ketika. Kemudian, dia mendongak lantas meledakkan tawa lantang.

Gema tawanya membelah ruang penjara. Indra mengeraskan tubuh. Sekali lagi dia cemas menanti derap langkah pengawal merempuh turun dari tangga.

Namun, lorong di luar kekal sunyi.

“Merempat?” Lelaki tua itu mendengus sinis. “Dikurung? Oleh wangsa dari kota sempadan ini? Kau fikir pengawal-pengawal lemah itu mampu tahan aku?”

Indra berhenti meronta. Akalnya kembali menjejak memori tujuh hari lalu. Pengawal kerap turun mengayun cemeti dan rotan. Namun, tidak sekalipun mereka menjeling ke arah penjuru sel ini. Tiada mangkuk air tambahan. Tiada walau sebaris cacian dilemparkan ke arah orang tua itu.

“Tak nampak… Mereka langsung tak nampak kau,” bisik Indra. “Kau sebenarnya bukan tawanan di sini. Kau sengaja tunggu di sini… sebab aku?”

“Tepat.” Lelaki tua itu berpaling menghadap pintu besi tebal. “Kalau kau terus diamkan diri tadi, aku sudah melangkah pergi. Aku biarkan sahaja kau mati berdarah. Selesai janjiku.”

“Janji?” Indra berkerut menahan bisa, menggerakkan tubuh membetulkan ikatan. “Kepada siapa?”

Lelaki tua itu menjeling dari hujung bahu. “Seseorang yang sudah mati. Seseorang yang belum layak kau kenali.”

Indra menyandarkan kepalanya pada palang. Kudratnya terlalu lemah untuk melayan teka-teki. “Baiklah. Janji orang mati. Habis tu, apa untungnya untuk aku?”

Lelaki tua itu menyilangkan tangan di dada. “Sebelum aku jawab soalan kau, beritahu aku, budak. Apa yang kau tahu tentang Satria?”

Indra mengerutkan dahi. Soalan tiba-tiba itu memaksa akalnya bekerja. Dia sebenarnya tidak ingin menjawab soalan yang entah apa-apa itu. Namun, dia tidak boleh abaikannya juga jika dia inginkan jawapan bagi soalannya. Dia menarik nafas dalam sebelum menjawab.

“Bintang Separuh adalah titik mula,” balas Indra mendatar. “Diikuti Bintang Satu, Dua, dan Tiga. Hampir kesemua Ketua Wangsa bergelar Satria Bintang Tiga Tahap Puncak. Selepas itu, barulah Bintang Empat. Tingkat kuasa mutlak.”

Indra berhenti, mengumpul sisa nafas. “Ketua Wangsa Mulia dan Ketua Wangsa Agung bertakhta di tingkat tersebut, berlegar sekitar Tahap Terendah dan Tahap Rendah. Dan penguasa paling kuat… Raja Cawala. Satu-satunya entiti pada kelas Satria Bintang Empat Tahap Pertengahan.”

“Bintang Empat, tingkat kuasa mutlak?” Lelaki tua itu melepaskan tawa serak. “Tak sangka sesempit ini dunia kau.”

Dahi Indra berkerut.

“Bintang Empat bukan batasnya,” sambung lelaki tua itu. “Ia cuma permulaan. Masih wujud tahap Satria Bintang yang mampu membunuh Raja Cawala kau hanya dengan satu hembusan nafas dan… masih ada kuasa lain selain kuasa Satria. Kuasa Satria yang bersepadu dengan alam lain.”

“Alam lain? Apa maksud kau?”

“Satu alam yang wujud seiring dengan alam Satria. Sebuah kuasa yang hanya pernah disentuh oleh segelintir manusia di kerajaan ini.”

Indra tergamam. Alam yang lain? Dia pantas membuka mulut untuk menyoal, namun mengatupnya kembali. Dia sudah meneka jawapan orang tua itu.

“Kau belum layak untuk tahu,” kata lelaki tua itu, seakan-akan membaca fikirannya. “Buat masa ini, kau hanya perlukan satu matlamat. Bergelar seorang Satria.”

Dia menapak rapat, menatap lurus ke dalam anak mata Indra. “Kerana hanya melalui jalan itu, kau akan temui siapa diri kau yang sebenar dan kenapa ingatan kau disapu bersih.”

Nafas Indra tersekat. Dua belas tahun sejarah hidupnya kosong. Wangsa Rentaka memberinya tempat berteduh, tapi tidak pernah menyajikan jawapan.

“Maknanya…” ujar Indra. Dadanya berombak kencang. “Kau tahu siapa aku.”

Lelaki tua itu tidak membalas. Dia duduk bersila di atas lantai batu lantas mengangkat tangan kanan. Jari telunjuknya melakar pantas di udara kosong.

Aksara bercahaya terus terukir tanpa sebarang medium.

Indra terkesima. Mengukir Aksara di udara kosong adalah mustahil. Tanpa medium pepejal untuk membumikan tenaga, Prana pasti akan lesap. Namun, lelaki tua itu mampu memaksa udara di sekeliling menopang struktur tersebut.

Dengan satu jentikan jari, lelaki tua itu menolak Aksara tersebut meluncur ke hadapan. Ia saling berantai lalu mengembang, membentuk sebuah kubah tenaga yang terus menelan palang kayu tempat Indra terikat.

Satu tekanan mendadak memekakkan telinga.

“Aku cuma mampu menahan formasi ini selama tiga jam dengan tubuh ini,” kata lelaki tua itu. “Ia menelan setiap bunyi. Sesiapa sahaja yang lalu di luar cuma akan nampak ilusi, akan nampak kau tergantung sunyi.”

Dia mendongak. “Rempuh buka kesemua Gerbang Prana kau. Sekarang.”

Indra merenungnya. “Semua sekali?”

“Kau sedang buang masa,” jerkah lelaki tua itu. “Kalau kau rasa sakit, kau boleh menjerit sampai kerongkong kau pecah. Kau boleh patahkan tulang kau sendiri pada kayu tu. Tiada siapa akan dengar. Buat sekarang.”

Indra menelan liur. Andai dia menyerah kalah, nyawanya pasti tetap diratah Wangsa Agung Merah. Jika wujud walau satu peluang untuk bebas, dia wajib merebutnya.

Indra memejamkan mata. Dia melepaskan beban tubuhnya, membiarkan ia bergantung sepenuhnya pada pergelangan tangan yang berdarah.

Berpandukan ilmu perubatannya, dia mula menelusuri laluan Urat Prana di dalam badan yang sudah lama mati. Dia menemui halangan tersumbat yang pertama—sebuah Gerbang Prana yang terkunci rapat tepat di tengah-tengah dadanya.

Seorang Satria biasa akan mampu mengalirkan Prana dalaman yang dikawal rapi untuk membuka gerbang dengan selamat. Indra tidak punya kelebihan itu. Jadi, dia mengubah teknik pernafasan. Walaupun Urat Prananya mati dan gagal mengalirkan tenaga, laluan urat tersebut masih wujud.

Satria biasa mengawal aliran Prana dari dalam badan untuk membuka gerbang dengan selamat. Tubuh Indra pula berbeza. Urat Prananya mati, sekadar berfungsi sebagai laluan yang lompong.

Selama ini, jasadnya cuma menjadi tempat persinggahan. Dia menyedut Prana dari luar, membiarkannya mengalir pantas melalui urat yang kosong itu, lantas menolaknya terus ke dalam tubuh pesakit.

Namun hari ini, dia menyekat aliran tersebut.

Indra merentap masuk Prana dari udara sekeliling. Sebaik sahaja tenaga itu menerpa masuk, dia menahannya di dalam dada. Dia memampatkan tenaga yang terperangkap itu lantas meradaknya lurus ke arah Gerbang Prana yang terkunci.

Tenaga itu menghentam kasar urat sarafnya yang mati.

Indra tersentak keras lantas merentap tali ikatan. Dadanya kejang. Darah pekat membuak keluar membasahi bibir.

Satu hentakan padu bergema dari dalam tubuhnya.

Gerbang Prana pertamanya pecah terbuka.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset