Jagat melangkah keluar ke laluan utama. Sebelum berlalu, dia mengambil masa sejenak memandang kembali ke dalam bilik yang hampir musnah itu.
Dia mengeluh perlahan.
Mangkuk porselin yang berderai dan tumpahan nasi serta kuah bersepah di atas lantai. Kata-kata Melur tentang mendiang isterinya bergema di dalam minda. Namun, riak wajah Jagat kekal keras membeku. Menjadi seorang Ketua Wangsa bermaksud dia terpaksa menelan kebencian sebegini. Dia menarik daun pintu kayu yang berat itu dan menutupnya rapat. Bunyi kayu berlaga bergema kuat.
Dia terhenti di lorong yang suram itu lantas meraup pangkal hidungnya. Amarah yang meledak sebentar tadi terus surut, meninggalkan susuk seorang lelaki tua yang kepenatan.
“Dia tidak akan maafkan perbuatan Tuan,” tegur satu suara.
Jagat tidak menoleh. Dia kenal derap langkah yang berat dan tersusun milik Panglima Ragi. Lelaki itu hampir sebaya dengan Jagat, raut wajahnya tenang dan terkawal. Biarpun sekadar berjalan tenang, tubuh Ragi memancarkan aura yang kuat dan berat milik seorang Satria Bintang Tiga Puncak.
“Aku bukan minta dia maafkan aku,” balas Jagat serak. Dia bersandar berat pada pintu. Kali ini, riak wajahnya berubah. Jelas segala apa yang dilakukannya ketika ini adalah keputusan yang berat. “Aku cuma minta dia faham bahawa aku hanya inginkan dia, inginkan Wangsa Baskara ini terus hidup.”
Ragi mengangguk faham sebelum berhenti beberapa langkah di belakangnya.
“Apa tujuan kau cari aku?” soal Jagat.
Ragi tidak segera membalas. Dia berjeda untuk menyusun kata. “Ketua Wangsa, kawasan kediaman kita agak sunyi hari ini.”
Jagat kekal diam, menanti sambungan bicara Ragi.
“Kerabat Tetua Ketiga dan Kelima juga sudah secara rasmi memaklumkan pembatalan rancangan mereka kepada Tetua Satu sebentar tadi.”
Jagat menjeling melalui bahunya. “Mereka pilih untuk batalkan cabaran merebut kerusi Tetua Satu dan Tetua Dua?”
“Itu adalah apa yang rasmi buat masa ini,” Ragi mengangguk. “Lagipun, kitaran tiga puluh tahun sudah semakin hampir. Mereka pasti akan kembali kemukakan cabaran ini.”
“Apa yang buat kau begitu yakin?”
“Mana-mana kerabat di dalam Wangsa Baskara memegang teguh adat dan tradisi kita. Mereka akan tetap merancang untuk mengambil alih posisi Tetua Satu bagi membolehkan mereka mencabar kedudukan Tuan sebagai Ketua Wangsa.”
Jagat mengangguk faham. “Apa yang kau rasa buatkan mereka memilih untuk membatalkan cabaran?”
“Berita Puteri Wangsa Ratna dan kedatangan Wangsa Agung Merah.”
Jagat melepaskan tawa kecil yang sangat sinis. “Mereka takut. Bagus.”
“Mereka berhati-hati.” Ragi membetulkan pandangan Ketua Wangsanya itu. “Penyatuan Puteri Wangsa Ratna dan Wangsa Agung Merah, sedikit sebanyak menjadikan kerabat Tuan lebih kuat dan berpengaruh. Puteri Wangsa hanya perlu berjaya menjadi Satria terkuat sahaja dengan Darjat Jiwanya dan penguasaan Tuan ke atas Wangsa Baskara akan kekal menjadi milik Tuan selamanya.”
Ragi menambah, “Setidak-tidaknya, buat masa ini, Tuan sudah berjaya menyatukan Wangsa Baskara sepenuhnya. Tapi…”
“Tapi apa?” pintas Jagat.
Panglima itu kelihatan sedikit teragak-agak. Riak tenangnya sedikit berubah ketika ini. “Tapi… budak itu. Indra Rentaka. Tidakkah keterlaluan untuk Tuan mengurung dan bakal mengorbankan dia? Dia sudah selamatkan Puteri Wangsa. Dia juga setia dengan Wangsa Baskara. Bukankah bakatnya itu lebih sesuai digunakan untuk menguatkan keseluruhan Wangsa atau setidak-tidaknya kerabat Tuan?”
“Takdir Indra sudah tertulis, Ragi,” balas Jagat. Suara berbaur sedikit penyesalan. Dia meraup tapak tangannya ke wajah. “Kau rasa aku tidak fikirkan semua itu?”
Ragi terdiam.
“Ada yang bocorkan kepada Wangsa Agung Merah. Ada yang beritahu mereka bahawa Indra yang menyembuhkan Ratna. Indra yang melakukan keajaiban buat Ratna.”
“Benarkah dakwaan Tuan?” Ragi menyoal. Dia sangat terkejut. “Siapa?”
Jagat menggeleng. “Aku tidak tahu. Tapi sekarang ini Wangsa Agung Merah tahu akan kelebihan Indra. Tapi aku tidak tahu apa yang mereka akan lakukan padanya. Mereka cuma minta Indra diserahkan kepada mereka. Jika tidak berbuat demikian…”
Jagat masih tidak menoleh namun bagi mereka yang melihatnya, matanya merah dan sarat dengan satu ketakutan yang nyata. “Mereka akan sembelih setiap lelaki, perempuan, dan kanak-kanak di kediaman ni semata-mata untuk pastikan tiada siapa lagi yang tahu rahsia ini.”
Ragi terdiam. Lorong itu terus menjadi sunyi-sepi.
Jagat menolak tubuhnya dari pintu. Bunyi pergerakannya memecah kesunyian lorong. Perlahan-lahan, topeng dingin dan kejam seorang Ketua Wangsa kembali menyarung wajah Jagat. Dia menegakkan postur tubuhnya, kembali memikul beban berat pangkat itu ke bahunya.
“Aku terpaksa,” bisik Jagat lantas melangkah pergi. “Dan aku sanggup buat apa sahaja untuk pertahankan Wangsa Baskara.”
Panglima Ragi menunduk hormat merenung susuk Ketua Wangsa yang semakin menjauh, lalu berpaling menuruni anak tangga ke arah bertentangan.
Jagat melangkah sendirian. Derap tapak kakinya yang kasar bergema saat dia meninggalkan lorong yang suram itu. Tatkala dia merapati kamar peribadinya, kepulan cahaya obor bertukar kepada nyalaan terang dari pelita tembaga. Cahaya itu menyingkirkan bayang-bayang, memaparkan susuk tubuh Ratna yang sedang berdiri tenang di sisi pintunya.
Dia belum pergi menjauh dari bilik Melur. Dia mendengar semuanya. Wajah Ratna tenang, tetapi ruas jarinya memutih mencengkam kuat persalinan suteranya.
“Ayahanda,” sapa Ratna perlahan. Matanya merenung jauh ke arah anak tangga. “Kenapa pilih untuk selamatkan Ratna? Kenapa bukan Melur.”
Jagat melepaskan hembusan nafas yang berat. Dia melangkah merapati cahaya yang terang itu. Garis-garis keras pada wajahnya mengendur tatkala dia memandang puterinya itu.
“Kamu berdua darah daging Ayahanda,” kata Jagat, suaranya jatuh menjadi bisikan berat. “Kamu berdua sangat berharga. Tapi disebabkan oleh darah Bonda, kamu seorang sahaja yang terpaksa menanggung penyakit misteri itu.”
Ratna mendongak, matanya sarat dengan rasa bersalah. “Dia baru tiga belas tahun, dan dia memiliki Darjat Jiwa Tiga. Andai Indra habiskan tiga tahun lalu untuk bantu Melur, pasti masa depan dia lebih cerah. Dia boleh capai Darjat Jiwa Lima… mungkin enam, sama seperti Raja Cawala sendiri.”
“Seorang Ketua Wangsa, tidak boleh bertaruh pada perkara yang belum pasti,” pangkas Jagat mendatar. “Sebab itulah Ayahanda pilih kamu, Ratna.”
Dia terdiam sejenak, merenung wajah Ratna. Perlahan-lahan, dia menyarung semula topeng seorang bapa. “Tapi, bagaimana dengan kamu, Ratna?” soal Jagat.
“Maksud Ayahanda?”
“Ayahanda paksa semua ini ke atas kamu, supaya kamu mampu terus hidup. Supaya kamu mampu bawa Wangsa Baskara ke tahap yang lebih tinggi. Tapi… adakah kamu sanggup teruskan dengan penyatuan dua wangsa ini atau kamu… menentang?”
Ratna mengangkat dagu. Sisa rasa bersalah di matanya… mati. Semuanya kini berubah menjadi satu tekad yang kuat.
“Apa pun tujuan penyatuan ni… Ratna takkan biarkan diri ini menjadi alat untuk Wangsa Agung Merah,” kata Ratna., penuh ketegasan. “Ratna kini pemegang Darjat Jiwa Lima. Ratna akan berlatih. Lebih keras. Kuasa ni akan diasah sehingga tiada siapa akan berani pandang rendah pada kita. Kedudukan Wangsa Baskara ni… Ratna akan angkat dengan tangan Ratna sendiri.”
Jagat merenungnya. Impian itu kelihatan jelas di dalam sepasang mata Ratna itu… dan ia adalah susuk tubuh pewaris yang selalu diimpikannya.
Tanpa sepatah kata, Jagat menyeluk baju sikapnya. Seutas loket perak ditarik keluar. Permukaannya sangat sejuk. Logam itu dihulur kepada Ratna.
Ratna mengerdipkan mata. Ketenangannya goyah sedikit. Logam itu disambut. Ia terasa amat berat di tapak tangan. “Loket apa ini, Ayahanda?”
“Loket ini milik bonda kau.” Suara Jagat memberat dengan kenangan. “Kata Bonda, ini adalah artifak warisan Puak Salju Putih. Ia hanya akan bertindak balas dengan darah pewaris yang sah. Selama ini Ayahanda sembunyikan. Tapi sekarang, kamu dah cukup layak untuk menerimanya.”
Sebelah tangannya yang kasar naik menekan bahu Ratna. Cengkamannya erat.
“Ayahanda tak peduli akan permainan politik Kota Bayu Timur. Tempat ini terlalu kecil,” kata Jagat. Renungannya memaku tepat ke dalam mata puterinya. “Ayahanda cuma inginkan satu perkara sahaja. Kamu, Melur dan Aditya. Jangan sesekali terkurung di dalam kota sempadan ini.”
Tangannya dijatuhkan. Jagat berpaling, menghadap daun pintu biliknya yang tebal. Postur tubuhnya kembali tegak. Riak wajahnya juga berubah, membawa semula aura seorang Ketua Wangsa yang disegani.
“Berehatlah, Ratna. Esok… kita akan ubah nasib kita.”