Switch Mode

Satria: Darah Terakhir – Bab 13

Penjaga Benua

Jauh tinggi di atas awan, sebuah binaan batu terapung di ruang udara yang membeku.

Empat susuk tubuh duduk mengelilingi sebuah meja besi yang agak unik. Setiap dari mereka memakai jubah tebal. Masing-masing berwarna merah, biru, putih, dan hitam. Apa yang membuatkan mereka ini lebih lain dari yang lain adalah tenaga yang terpancar dari tubuh mereka.

Jika mereka turun di mana-mana kota dalam Kerajaan Cawala, mereka akan membuatkan Prana di dunia bawah terasa seperti angin biasa. Aura mereka begitu berat dan menyesakkan sehingga memesongkan ruang udara di sekeliling.

Meja besi itu juga tidak kurang luar biasanya. Ia bukanlah meja biasa. Ia dikenali sebagai Atlas Benua. Di atasnya, unjuran dunia ini terpampang dan terapung jelas. Merentasi lautan, benua-benua lain berdenyut dengan puluhan titik cahaya putih yang terang. Tetapi benua mereka sendiri, benua Nusantara tempat berdirinya Kerajaan Cawala, kekal gelap gelita. Tiada satu titik cahaya pun yang kelihatan.

“Tinggal kurang dari sepuluh tahun sahaja lagi,” dengus lelaki bertubuh sasa berjubah merah sambil meraup wajahnya. “Sepuluh tahun sebelum Cabaran Agung bermula di seluruh dunia. Benua lain sudah mempunyai berpuluh-puluh Asadi. Ada yang lebih banyak. Tapi kita? Satu saringan pun belum bermula lagi.”

“Kan aku dah cakap banyak kali. Para Dewata langsung tak pedulikan benua ini!” Usai berkata sedemikian, remaja berjubah biru itu ketawa. Dia terapung dalam keadaan bersila, beberapa meter di atas kerusinya sebelum berputar malas di udara. “Kalian tahu kenapa? Sudah bertahun lamanya tiada Asadi yang berpotensi apatah lagi membanggakan datang dari tanah kalian.”

Mereka yang lain terus membisu. Melihatkan itu, remaja berjubah biru itu menyambung bicara. “Jadi, tidak hairanlah andai kalian tidak akan mempunyai walau seorang pun dengan Teras Dewata di bawah sana. Para Dewata tidak akan mulakan saringan di sini selagi tiada seorang pun yang muncul.”

“Tutup mulut kau,” ujar wanita berjubah putih sebelum melepaskan hembusan angin deras, menolak remaja itu menjauhi meja. Remaja berjubah biru itu menahan dan membiarkan dirinya ditolak sambil ketawa terbahak-bahak seolah-olah ada sesuatu yang sangat lucu yang baru sahaja mencuit hatinya.

Wanita berjubah putih itu kemudiannya memandang lelaki berjubah merah. “Ingatkan aku semula, berapa banyak Cabaran Saringan yang seorang Satria Asadi perlu hadapi sebelum mereka boleh menyertai Cabaran Agung?”

“Sekurang-kurangnya lima puluh,” balas lelaki berjubah merah itu mendatar.

“Lima puluh? Mustahil,” katanya. “Andai ada seorang Asadi yang muncul sekarang sekali pun, dia sudah tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menguatkan Teras Dewatanya.”

Raut wajahnya bertukar kelam. “Sekalipun jika dia layak menyertai Cabaran Agung, para Asadi dari benua lain akan sembelih mereka dengan mu—.”

“Tidak. Itu tidak semestinya akan berlaku.”

Belum sempat wanita tersebut menghabiskan bicaranya, satu suara berat bergema dari hujung meja. Lelaki berjubah hitam itu mencondongkan badan ke hadapan. Dia memandang wanita berjubah putih itu dengan sepasang mata miliknya yang hitam pekat itu.

“Apa maksud kau?” soal wanita berjubah putih.

“Ada beberapa pengecualian. Seperti… ada Dewa Mulia atau Dewa Agung yang mengambil keputusan untuk melanggar peraturan dan menuntut benua kita untuk berada di bawah pengaruhnya.”

“Mana mungkin. Itu semua mimpi sahaja,” celah remaja berjubah biru sambil ketawa dan terapung secara terbalik di udara. “Bila kali terakhir perkara tersebut berlaku di benua ini? Benua lain yang lebih kuat juga jarang dituntut.”

“Sudah. Aku sudah tidak peduli siapa yang ingin menuntut atau memegang benua ini,” pangkas wanita berjubah putih itu. “Aku cuma berharap agar Dewata putuskan Cabaran Harta sebagai permulaan.”

Mereka yang lain memandang wanita itu, menanti sambungan bicaranya.

Wanita itu tersenyum kecil sebelum jarinya melurut perlahan di atas meja besi itu. “Campakkan sahaja para Pencabar yang tamakkan kuasa dan harta bersama-sama Asadi kita. Biarkan mereka tahu betapa mudahnya untuk merampas kuasa Dewata dan harta yang dijanjikan dari sang Asadi. Biar mereka tahu mereka hanya perlu merobek Teras Dewata terus dari dada sang Asadi.”

Dia berjeda seketika sebelum menambah dengan sebuah senyuman yang agak mengerikan. “Biar ketamakan manusia yang membantu kuatkan atau gantikan terus Asadi itu untuk kita.”

“Ada benarnya bicara dan cadangan kau itu,” lelaki berjubah hitam itu bersetuju. Suaranya mendatar. “Jika masa benar-benar tidak memihak pada kita, kita hanya perlukan seorang sahaja Asadi yang benar-benar layak untuk bertanding di Cabaran Agung nanti.” Dia merenung tajam peta gelap Nusantara dengan matanya yang hitam sepenuhnya itu. “Tapi… kita perlukan dia sekarang.”

Sebelum ada yang sempat bersuara, pintu besi berat binaan batu itu terbuka dengan bunyi geseran yang kasar. Seorang Resi melangkah terhuyung-hayang di atas lantai batu yang sejuk. Tapak kakinya yang tidak beralas meninggalkan kesan berdarah yang sangat mengerikan. Jubahnya lencun dengan peluh. Kedua-dua biji matanya lebur, terbakar hangus dari soketnya. Darah panas mendidih meleleh turun ke pipi, berdesing saat titisannya mencecah lantai batu.

Dia terus rebah melutut, tercungap-cungap merentap nafas. “Asadi,” seraknya putus-putus. “Dia yang kita tunggu selama ini… sudah muncul.”

“Teruk sungguh keadaan kau sekarang ini, Resi,” dengus lelaki berjubah merah. “Apa yang berlaku?”

“Orakel! Mereka ini dipanggil Orakel, bukan Resi,” celah remaja berjubah biru itu dari udara.

“Diam!” jerkah lelaki berjubah merah itu. Suara beratnya bergetar sarat dengan amaran. “Kau bukan dari sini. Kau kena ingat sekarang ini kau berada di Nusantara. Kau wajib memanggil mereka sebagaimana kami memanggil mereka.”

Remaja itu merengus lantas memeluk tubuh. Hakikat itu benar. Dia memang bukan berasal dari sini. Dia merantau merentasi lautan dari benuanya sendiri dengan harapan dapat melihat Nusantara sebagai medan pertumpahan darah yang ganas. Sebaliknya, dia terpaksa menelan kebosanan sebegini berdekad lamanya. Tidak ada satu pun Cabaran Saringan yang dimulakan sejak dia tiba.

Wanita berjubah putih itu tidak peduli dengan perbalahan mereka berdua. Dia mengerutkan dahi saat melihat darah mendidih tersebut lantas mengibaskan tangannya. Sebuah gelombang tenaga berwarna putih membasuh tubuh Resi itu. Bahagian tubuh yang hangus terus menyejuk. Urat saraf yang putus kembali bersambung, dan sepasang bebola mata yang baru muncul semula dengan sangat pantas memenuhkan soket yang kosong tadi.

Resi itu merentap nafas. Seluruh badannya menggeletar ketakutan sebaik sahaja penglihatannya kembali. “Te-terima kasih, Penjaga Putih!”

Lelaki berjubah hitam itu langsung tidak peduli dengan rawatan tersebut. Dia terus memaku renungan pada Atlas Benua. Peta benua Nusantara di atas meja itu masih kekal gelap gelita.

“Di mana kedudukannya?” desaknya. Tekanan berat dari suara itu membuatkan remaja berjubah biru tadi terhempas jatuh ke atas kerusi, terus terkunci di tempat duduknya. “Mana cahayanya jika benar ada Asadi yang muncul di benua kita?”

Resi itu sujud merapatkan dahinya ke lantai batu yang membeku. Seluruh badannya menggigil teruk. “Ampunkan hamba, Penjaga Hitam,” rintihnya dalam ketakutan. “Teras Dewata sepatutnya bercahaya. Selama ni, hamba cuma menjejak arah cahaya. Tapi kali ini… ia kosong sepenuhnya. Kehadirannya menelan semua cahaya. Bila hamba beranikan diri untuk mencuri pandang lokasinya, kuasa itu membakar mata hamba.”

Penjaga Hitam itu menghulurkan tangan. Dia memaksa kuasanya untuk masuk ke dalam Atlas Benua, mengerahkan artifak itu untuk mengimbas peta Nusantara secara paksa.

Unjuran peta itu bergetar kasar. Cahaya-cahaya putih yang mewakili Asadi di benua lain masih kekal. Namun tiada satu pun cahaya baru yang muncul di Nusantara.

Sebaliknya, unjuran ruang itu mula meleding. Para Penjaga yang ada di situ, termasuk Resi, dapat melihat dengan jelas satu titik di atas peta Nusantara di mana ruang udaranya tersedut ke dalam sebelum berpusar rakus persis air yang ditelan lubang hitam.

“Atlas ini rosak?” celah Penjaga Merah dengan soalan sebelum bangun mendadak untuk melihat sendiri andai ia benar-benar rosak. “Mustahil ia tidak mampu mengesan Asadi itu.”

“Tidak,” bisik Penjaga Hitam namun cukup kuat untuk didengari semua yang ada. “Atlas ini tidak rosak.”

Dia perlahan-lahan bersandar ke belakang, menyembunyikan wajahnya di dalam bayang-bayang. Segaris senyuman sinis dan dingin mula terukir di bibirnya.

“Asadi kita ini sungguh istimewa. Teras Dewata miliknya bukan cahaya seperti yang lain,” katanya perlahan. Matanya kekal memaku pada titik gelap di atas peta itu. “Sebaliknya ia menelan cahaya. Dia bakal menjadi buah catur yang kdinantikan selama ini.”

Dahi Penjaga Merah mula berkerut. “Buah catur untuk apa?”

“Satu permainan,” balas Penjaga Hitam. Nada keterujaan mula menyerap ke dalam suaranya. “Nampaknya ada pihak yang sudah muak dengan aturan para Dewata. Mereka sengaja menanam satu kuasa yang mampu untuk menelan cahaya Dewata. Mereka ingin mengheret para Dewata supaya jatuh menyembah bumi dan Asadi kita ini…”

Dia mencondongkan badannya ke hadapan. Sepasang matanya merenung tajam ke arah pusaran gelap di atas peta tersebut.

“Dialah buah catur yang terakhir.”

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset