Udara di Hutan Tabun bertukar padat dan menyesakkan. Campuran bau hanyir darah naga dan tekanan aura purba yang memancar dari tubuhnya sudah cukup untuk membungkam seluruh hutan. Tiada seekor raksasa pun berani merapati kawasan tersebut.
Kael kekal mematung. Dia terduduk di atas tanah dengan tubuh yang menggigil di luar kawalan. Biarpun begitu, dia memaksa dirinya untuk membalas renungan Sang Naga.
Paru-parunya seakan-akan berhenti berfungsi sebaik sahaja mendengar permintaan gila tersebut. Dia buntu sama ada perlu melarikan diri atau terus membisu. Namun, semakin lama kebisuan itu dibiarkan, dadanya berdegup semakin kencang.
“Maafkan aku,” balas Kael dengan suara serak. “Aku tak salah dengar, kan?”
Air liur ditelan kelat sebelum dia menyambung pertanyaannya, “Kau nak aku, Pendaki Level 0… bunuh kau?”
Satu senyuman aneh terlakar pada raut wajah naga itu.
“Manusia… kau tahu aku apa?”
Soalan yang sama diulang tetapi dengan nada yang berbeza. Suara telepati itu kini kedengaran amat letih, memantulkan beban berat yang sedang ditanggungnya.
Kael teragak-agak untuk menjawab. Dia sekadar mengangguk dan cuba menstabilkan suaranya.
“Kau adalah naga. Salah satu Raksasa Sakti. Dan kau…” Kael berhenti seketika, menarik nafas sebelum merenung tepat ke dalam mata naga itu. “…simbol kuasa di Menara Seribu. Makhluk Legenda.”
Fakta itu bukan rekaannya. Ia dipetik terus daripada catatan purba penduduk asal di Arkib Menara. Gelaran ‘Makhluk Legenda’ merujuk kepada entiti yang memiliki sejarah dan kekuatan di luar logik akal, tidak kira sama ada ia manusia, raksasa, roh, atau entiti asing yang lain.
Naga merupakan Makhluk Legenda pada hierarki Sakti. Entiti yang setakat ini mustahil untuk ditumbangkan oleh Pendaki, apatah lagi di Tingkat Satu ini.
Suasana kembali sunyi. Hanya bunyi desiran angin Hutan Tabun yang memecah kesunyian.
“Benar,” suara naga itu bergema perlahan. “Aku adalah salah satu daripada apa yang kau sebutkan. Tapi… simbol kuasa?”
Persoalan terakhir itu bukan ditujukan kepada Kael. Nadanya berbaur kecewa, seolah-olah menyindir dirinya sendiri yang menganggap dia sudah hilang kelayakan untuk memegang gelaran tersebut.
Sang Naga diam seketika sebelum merengus. Hembusan nafasnya terasa hangat menampar kulit Kael.
“Kau pernah dengar mengenai Penjaga Tingkat?”
Kael mengangguk.
“Aku adalah Azurion, Penguasa Segala Elemen.” Pandangannya ditumpukan pada Kael. “Aku juga merupakan Penjaga Tingkat pada tingkat yang belum pernah dijejaki oleh mana-mana Pendaki. Tapi…” Azurion berjeda. “Aku bukan lagi simbol kuasa yang boleh dibanggakan.”
Matanya dipejam rapat, seakan-akan memendam tekanan yang mendalam.
“Sejak kalian, para Pendaki, menjejakkan kaki ke Menara Seribu, kalian mula mempamerkan potensi yang mampu menggugat hierarki Makhluk Legenda,” sambung Azurion bersama keluhan berat di minda Kael. “Kalian menyebabkan ramai dalam kalangan kami memilih kelahiran semula… semata-mata untuk menjadi lebih kuat.”
“Kelahiran semula? Macam phoenix?” soal Kael dengan suara bergetar.
Konsep itu terasa sangat canggung. Walaupun proses tersebut popular dalam mitos dan kisah fantasi, dia kini sedang bernafas di realiti Menara Seribu.
“Ya,” jawab Azurion, gema suaranya bertambah letih. “Tapi, bukan hanya phoenix yang mampu melakukannya. Semua makhluk yang berjaya mencapai tahap tertentu mampu untuk melalui proses ini.”
Kael menarik nafas panjang. Jantungnya masih berdegup laju. Menara Seribu sarat dengan lambakan misteri yang menolak logik akal manusia biasa.
“Seperti yang kau tahu, aku tidak datang dari tingkat ini. Aku turun sendiri ke sini… untuk mati.”
Mata Kael membulat. “Mati? Tapi… kenapa?”
Senyum sinis Azurion kembali terukir, terselit sedikit sisa keegoannya.
“Makhluk Legenda seperti aku tidak akan mati dengan mudah. Aku sudah mencuba pelbagai cara. Kecederaan parah yang kau lihat pada sisikku ini adalah kesan daripada peperangan dengan Empayar Makhluk Legenda yang lain.”
Kael mengunci mulut. Dia tahu ini fasa untuk mendengar dan menyerap segala informasi penting yang dikongsikan oleh Azurion. Besar kemungkinan semua ini tiada dicatat dalam Arkib Menara.
‘Ketika berperang, aku hanya menadah tubuh untuk diserang. Aku biarkan mereka menikam, membakar, dan menghancurkan tubuh ini. Tapi, setakat ini sahajalah kerosakan yang mampu mereka tinggalkan pada aku.” Azurion diam sejenak, mengenang rentetan kegagalan tersebut. Suaranya sedikit bergetar saat menyambung, “Sehinggalah seorang Penjaga Menara mengingatkan aku tentang satu perkara yang sudah lama aku lupakan. Sumpah Menara.”
Dahi Kael berkerut rapat menerima lambakan data baharu itu. “Sumpah Menara?”
“Ya. Sumpah purba yang mengikat takdir aku di dalam Menara Seribu. Sumpah itu menetapkan aku mustahil untuk mati atas kehendak sendiri… melainkan dibunuh oleh tangan yang masih suci.”
“Suci?” Kael mengulang perkataan itu dengan penuh rasa keliru.
“Pendaki yang belum memiliki Astra,” jelas Azurion lagi. “Individu yang belum mencemarkan dirinya dengan kuasa Menara.”
Fikiran Kael terus menangkap hubung kait tersebut. Segala kepingan teka-teki kini bersambung menjadi satu gambaran maklumat yang jelas. Motif sebenar Sang Naga menjejaknya kini terjawab.
Air liurnya ditelan kelat. Pandangan dialihkan dari susuk naga itu ke arah tangannya sendiri. Tangan seorang Pendaki Level 0. Senyum hambar memekar di bibir Kael. Dia kini menghadam maksud tersirat di sebalik Sumpah Menara. Dia dipilih bukan kerana tahap kekuatannya, tetapi kerana tahap kelemahannya.
Sumpah itu bukan sekadar menghalang kematian. Syarat tersebut menuntut agar Azurion terbunuh bukan sekadar pada jasad, malah pada keangkuhannya. Tiada bentuk kematian yang lebih memalukan buat entiti Sakti berbanding mati di tangan Pendaki Level 0 yang lemah di Tingkat Satu.
Tiba-tiba tawa Azurion bergema di dalam fikiran Kael. Ketawa yang garau namun disulami rasa duka yang mendalam.
“Itulah bahagian yang paling menyakitkan,” Azurion membenarkan telahan Kael. “Aku dilahirkan sebagai naga untuk berkuasa. Tapi untuk melepasi kitaran itu… aku terpaksa tunduk kepada makhluk yang sering kami hina.”
Kael tersentak. Rasa seram sejuk menjalar di tengkuknya. “Kau… boleh baca fikiran aku?”
“Bukankah dari tadi aku sedang bercakap di dalam minda kau?” jawab Azurion tenang. “Lagipun, apa yang nak dihairankan? Ia cuma kebolehan yang biasa.”
Kael nyaris melepaskan tawa kecil. Logik Azurion sangat tepat. Membaca kotak fikiran Pendaki bawahan pastinya semudah membelek helaian buku buat makhluk yang berada di hierarki Sakti.
Fikiran Kael memproses setiap bait maklumat tersebut. Ketakutan yang tadi mencengkam dadanya kini perlahan-lahan mencair, digantikan dengan rasa rasional dan satu pertimbangan kritikal yang perlu dimuktamadkan.
Azurion seolah-olah dapat membaca ketenangan baharu itu. “Jadi, suara itu mengulang permintaannya, kau dah sedia nak bunuh aku?”
Kael menimbang tara pilihan selama beberapa detik. Peluang gila sebegini tidak akan datang dua kali. Jika dia mahu menanggung risikonya, dia perlu menuntut balasan setimpal.
“Aku sedia. Tapi…” Pisau perak di tangannya digenggam erat. Mata Kael kini membalas renungan naga itu dengan tenang. “Kalau aku bunuh kau, apa kesannya? Apa ganjaran aku?”
Prinsip Menara Seribu sangat lurus. Setiap pembunuhan raksasa adalah tiket untuk mengaut kuasa. Kael tidak akan akan mengambil risiko membunuh seekor Makhluk Legenda secara percuma tanpa pulangan Mata atau… Astra.
Azurion jelas membaca niat Kael. Tiada rasa tersinggung, malah raksasa itu seakan tersenyum.
“Kau akan mewarisi legasi dan menanggung sumpahan yang aku tinggalkan.”
“Maksud kau?”
“Sebahagian daripada jiwa dan kuasa aku akan berpindah ke tubuh kau. Ia proses yang menyakitkan. Tapi jika kau berjaya bertahan, ia akan mengubah potensi kau selama-lamanya.”
“Jiwa dan kuasa naga?” Jantung Kael berdegup kencang. Secara logiknya, kenyataan itu merujuk kepada satu perkara sahaja.
“Tepat. Kau akan memperoleh Astra Naga – Azurion.”
Mulut Kael terkunci rapat. Bebola matanya melirik pada pisau di tangan. Tubuhnya kembali menggeletar, namun kali ini bukan didorong oleh ketakutan, tetapi disuntik keterujaan yang melampau. Denyutan jantungnya memecut pantas memukul dada.
Pilihan yang terhidang di depan matanya sangat jelas. Tamatkan riwayat Sang Naga yang menyerah leher, atau menolak tawaran dan membiarkan peluang ini bersemadi selamanya. Kael tidak perlukan masa untuk berfikir panjang.
“Kalau ini kemahuan kau,” lafaz Kael dengan nada tekad, “aku tunaikan.”
“Bunuhlah aku.” Kelopak mata Azurion tertutup perlahan. Sisik peraknya memantulkan kusam cahaya Hutan Tabun. Ia telah berserah sepenuhnya. “Hunus senjata kau sekarang. Lakukan dengan tangan kau sendiri.”
Kael mengangguk tegar. Dia memaksa lututnya untuk berdiri tegak. Hulu pisau dikemaskan di dalam genggaman yang masih bergetar. Dia melangkah mara dan mematikan langkah di sisi kepala Azurion. Dengusan nafas naga itu kedengaran perlahan.
“Sebelum kau tikam, manusia…”
Kael membatalkan pergerakannya. “Ya?”
“Aku nak kau jejak aku di Tingkat Seratus. Selepas proses kelahiran semula itu tamat, jasad baharu aku akan muncul di sana dalam masa setahun lagi.”
Sebaik sahaja syarat itu dilontarkan, satu tetingkap lut cahaya yang memancarkan corak unik menceroboh pandangan Kael.
=====
[Misi Warisan]
Pewaris Naga I – Pertemuan
Gred: Epik
Objektif: Bertemu semula dengan Azurion selepas dia melalui proses kelahiran semula.
Klu: Tingkat Seratus. Kota Naga.
Tempoh masa: 364 Hari 23 Jam 59 Minit
Ganjaran: Misteri
=====
“Misi Warisan Gred Epik?” detik hati Kael.
Tumpuannya terpaku pada aksara biru itu. Tingkat Seratus. Berdasarkan rekod setahun lalu, para Pendaki Gelombang Pertama yang diangkat sebagai wira baru sahaja menjejakkan kaki di Tingkat Tiga Puluh Lima. Permintaan Azurion ini meletakkan satu penanda aras yang bunyinya agak mustahil.
Pandangan Kael ditarik semula pada jasad Azurion. Makhluk itu setia menunggu. Dia yakin, perjalanan hidupnya di menara ini akan berubah seratus peratus bermula dari saat ini. Objektif mengumpul 100 Mata Biasa kini sekadar misi picisan jika dibandingkan dengan misi ini.
“Sekarang, tikam tepat pada Kristal Tenaga aku,” arah Azurion mematikan sebarang kelengahan masa.
Sang Naga itu menundukkan kepalanya sedikit, merelakan pangkal lehernya terdedah. Satu cahaya keemasan mendedahkan Kristal Tenaga miliknya, berdenyut perlahan di sebalik rekahan kulit dan sisik perak yang tebal. Sasarannya sudah dikunci.
Kael mengangguk sekali lagi. Oksigen ditarik penuh ke dalam peparu. Hulu pisau peraknya dicengkam kemas menggunakan kedua-dua belah tangan. Menolak ke tepi sisa keraguan, dia melompat ke hadapan dan memacu Pisau Perak Gred F miliknya tepat merobek kulit dan mencari cahaya tersebut.
Besi perak itu menujah lapisan keras di dalam daging sebelum ledakan cahaya keemasan memancar keluar. Sinaran cahaya keemasan itu serta-merta menelan kegelapan senja Hutan Tabun. Tenaga yang terbebas meletus ibarat guruh, menggegarkan paksi tanah dan ruang hutan di sekitar mereka.
Kael terpelanting ke belakang. Matanya berpinar disimbah kilauan emas yang semakin mengganas. Dalam detik penuh huru-hara itu, Kristal Tenaga Azurion memecut keluar dari rongga luka seperti sebutir peluru, membujur laju lalu terus masuk ke dalam mulut Kael yang ternganga cemas.
Gulp!
Kristal Tenaga Azurion itu terus tertelan masuk ke tubuhnya.
Dalam sekelip mata, tubuh Kael terasa seperti dibakar dari dalam. Haba yang melampau meledak dari dadanya, terus merayap laju ke seluruh tubuh. Dia cuba menjerit, tetapi tekaknya terkunci. Tiada suara yang keluar.
Melalui pandangannya yang semakin kabur, dia sempat melihat kelopak mata Sang Naga itu perlahan-lahan tertutup rapat.
Mata Kael juga sama. Ledakan tenaga asing di dalam badannya terlalu kuat untuk ditahan. Kelopak matanya semakin memberat. Rentak nafasnya mula hilang dikawal rasa sakit yang tidak tertanggung. Sebelum pandangannya gelap sepenuhnya, suara Azurion bergema buat kali terakhir di dalam fikirannya.
“Mulai saat ini, kau dan aku berkongsi takdir yang sama.”
Dan, semuanya lenyap.
[Astra Diperoleh — Astra Naga – Azurion (Level 0)]
[Tubuh Azurion disimpan di dalam Inventori]