Kael tidak membuang masa. Bangkai arnab pertama itu dibiarkan dahulu memandangkan dia belum mencungkil keluar Kristal Tenaganya. Selepas mengelap sisa darah pada pisau, ruang Inventori kembali diakses. Secebis lagi daging Kumbang Hitam ditarik keluar lalu diletakkan tepat di tengah lorong sempit tadi. Dia kemudian berundur perlahan, kembali bersembunyi di balik tirai daun menjalar.
“Cepat. Mangsa kedua,” bisik Kael.
Kali ini, Arnab Putih kedua muncul lebih cepat. Seolah-olah deria baunya sudah merakam aroma ketam segar sejak dari awal lagi, makhluk itu terus menceroboh masuk ke laluan sempit tersebut tanpa teragak-agak.
Sebaik sahaja arnab itu rakus menjamah umpan, Kael menyelinap keluar dan mengunci satu-satunya laluan keluar. Dia lebih bersedia kali ini. Otaknya telah mencerakin corak serangan pertama tadi. Dia menjangkakan lompatan ke sisi—satu helah mengelak yang klise. Mata pisaunya siap diangkat untuk memintas.
Namun, Arnab Putih kedua ini tidak melompat ke sisi.
Makhluk itu melantun lurus membelah udara, satu gerakan akrobatik luar jangkaan bagi memanjat melepasi bahu Kael.
“Apa?!”
Kael tersentak. Akalnya terus bergantung pada refleks semata-mata. Tangan kirinya diayun kasar menepis tubuh kecil itu di udara. Libasan itu mengena, namun kuku tajam raksasa itu sempat merobek lengannya, meninggalkan tiga alur garisan merah yang terus merembeskan darah menodai baju.
Arnab itu mendarat kemas di atas hamparan batu di belakang Kael. Dia menyangka haiwan itu akan terus lari, sebaliknya raksasa itu merenung tajam sebelum melompat kembali melancarkan serangan. Mata merahnya kini memancarkan aura kemarahan.
“Oh. Kau ingat kau boleh kalahkan aku?”
Dicabar oleh raksasa bawahan yang berani merendahkannya, ego Kael tercabar. Rasa marahnya mendidih. Saat arnab itu menerpa ke arahnyapa ke arahnya, Kael berjaya menyambar tubuh berbulu itu di udara lalu menghempasnya sekuat hati ke atas tanah.
Makhluk itu menjerit kecil akibat hentaman tersebut. Belum sempat ia membetulkan paksi badan, Kael menerkam ganas. Adrenalin merajai fikiran dan mengambil alih tubuhnya. Hujung pisau ditekan sedalam yang mungkin untuk merobek perut haiwan itu, sebelum dihunus keluar dan menikam dan terus menikam tanpa henti sehingga pergelutan itu bertukar menjadi satu pembunuhan yang agak kejam.
Selepas beberapa saat, tubuh putih itu akhirnya kaku.
Kael bangkit. Nafasnya kasar. Sebelah tangannya menekan lengan yang masih berdenyut pedih. Matanya dipejamkan rapat, memaksa kewarasannya untuk kembali. Pertarungan kedua ini terlalu berterabur dan mengundang kecederaan yang tidak perlu. Berbekalkan 30 mata Kecerdasan, dia sepatutnya bertindak jauh lebih bijak.
“Banyak lagi aku kena belajar,” keluh Kael berbaur sesal.
Walaupun begitu, tangan berdarahnya terus melapah dada arnab tersebut lalu menyuap secebis daging mentah ke dalam mulut.
[2 Mata Biasa Diperoleh]
Ganjaran yang menjunam teruk berbanding arnab pertama. Dia terus meratah.
[Tiada Mata Biasa Diperoleh]
Satu lagi suapan masuk.
[Tiada Mata Biasa Diperoleh]
Kunyahan Kael terhenti. “Dua mata saja?”
Sisa daging di tangannya dipandang sepi. Sama seperti Kumbang Hitam, ganjaran daripada Arnab Putih menurun dengan mendadak. Memaksa diri menghabiskan bangkai ini sekadar membuang masa dan menyiksa perut. Kael mematung seketika, mengerah otak untuk mengatur semula strategi.
Kael memandang sisa daging arnab di tangannya. Sama seperti Kumbang Hitam, pulangan Mata Biasa daripada daging Arnab Putih juga menurun dengan mendadak. Dia tahu, memakan keseluruhan bangkai ini hanya akan membuang masa. Kael diam sebentar, cuba untuk menyusun kembali rancangannya.
Dia memikirkan kembali dua pertarungan tadi. Yang pertama, dia menang kerana Arnab itu membuat kesilapan. Yang kedua, dia tercedera kerana Arnab itu bertindak di luar jangkaan. Kedua-dua pertarungan itu huru-hara, dia cemas, dan membazirkan tenaga.
Dia memegang lengannya yang masih pedih.
“Aku genius tapi aku juga si dungu,” Kael menggumam. “Aku ada 30 mata Kecerdasan, tapi aku bertarung macam orang yang tak tahu apa-apa.”
Dia sedar kesilapannya. Dia telah mengabaikan kemahiran yang sedang diasahnya selama ini: kemahiran siluman. Dia tidak meluru keluar dari tempat persembunyian, tapi dia tidak bertindak dengan berhati-hati sebaliknya dia memberi amaran kepada mangsanya dan memaksa satu pertarungan yang tidak perlu.
“Baik,” Kael berbisik, matanya kini lebih tajam. “Kita cuba cara lain.”
Dia meletakkan umpan ketiga. Arnab ketiga muncul tidak lama kemudian. Ia meluru masuk ke laluan sempit itu dan mula menikmati daging Kumbang Hitam.
Kali ini, Kael tidak segera melangkah keluar.
Dia menarik nafas perlahan, menenangkan degup jantungnya. Dia mengaktifkan kemahiran siluman yang sedang dilatihnya. Dia bergerak perlahan-lahan tanpa mengeluarkan sebarang bunyi di dalam tirai daun itu, menuju ke sisi laluan, sebelum perlahan-lahan menyelinap keluar.
Tapak kakinya mendarat di atas tanah dan batu tanpa sebarang bunyi. Dia bergerak seperti bayang-bayang, setiap langkahnya cermat dan dikawal. Arnab itu sedang asyik menikmati daging Kumbang Hitam yang merupakan umpan, langsung tidak menyedari pemangsa kini berada hanya beberapa langkah di belakangnya.
Kael semakin hampir. Tiga langkah… dua langkah…
Arnab itu tiba-tiba berhenti mengunyah. Telinganya terangkat. Ia mungkin telah mengesan perubahan halus pada aliran udara. Ia mula berpusing… tetapi ia sudah terlambat.
Kael menerkam ke hadapan dengan satu lonjakan pantas. Pisau Perak miliknya menusuk tepat ke belakang leher Arnab itu, memutuskan tulang belakangnya dalam sekelip mata.
Makhluk itu kaku, rebah ke tanah tanpa sempat mengeluarkan sebarang bunyi.
Tiada pergelutan. Tiada kecederaan. Pertarungan itu selesai sebelum ia bermula.
Kael menarik pisaunya. Dia tersenyum lebar. Inilah cara yang sepatutnya dia lakukan dari awal lagi. Dia perlukan lebih banyak pertempuran dengan Raksasa Level 0 dan menguasai teknik ini sehabis baik dahulu sebelum dia mencuba ke atas raksasa yang lebih kuat. Lagipun, untuk bertempur dengan raksasa level tinggi, dia perlu menaikkan level miliknya juga.
Mata Kael kembali memandang tubuh arnab yang kaku di atas tanah itu.
“Harap dapat banyak mata.”
Dia segera melapah secebis daging dan memakannya.
[1 Mata Biasa Diperoleh]
Matanya membesar sedikit. “Satu?” Dia sedikit kecewa tapi dia tetap cuba untuk bersyukur dan berharap agar ada lagi mata yang akan diberikan. Dia menggigit lagi.
[Tiada Mata Biasa Diperoleh]
Dia terdiam. Pulangan ganjaran jatuh lebih cepat daripada yang dijangkakan. Apapun, teorinya tadi sudah berjaya disahkan. Hanya daging pertama yang memberi ganjaran besar, dan ia menurun dengan drastik.
Dengan keluhan kecil, Kael menyimpan baki daging Arnab ketiga itu ke dalam Inventori. Dia masih perlukan satu lagi pengesahan. Dia hanya akan berhenti sepenuhnya jika daging pertama dari arnab keempat ini langsung tidak memberikan apa-apa kepadanya.
Sekali lagi, Kael menarik nafas dalam sebelum meletakkan umpan keempat.
Arnab keempat muncul, tertarik dengan bau umpan yang segar. Seperti sebelumnya, Kael mengulangi teknik silumannya. Dia keluar dari persembunyian tanpa bunyi, menghampiri mangsanya dari belakang.
Satu tikaman. Tepat. Bersih.
Arnab itu mati serta-merta. Tekniknya kini sudah semakin sempurna. Namun, Kael tidak akan pernah membiarkan fikiran sebegitu meracuni mindanya.
Dengan penuh debaran, Kael melapah daging Arnab keempat itu. Dia menahan nafas sedikit sambil menyuap, menggigit dan menelan daging pertama ke mulutnya.
[Tiada Mata Biasa Diperoleh]
Kael tergamam. Dia menggigit lagi, lebih besar kali ini, seolah-olah tidak percaya.
[Tiada Mata Biasa Diperoleh]
Pisau di tangannya digenggam erat sehingga buku limanya menjadi putih. Dia memandang sisa daging di tangannya sebelum mencampakkannya ke tanah dengan geram.
“Tak dapat apa-apa?”
Kekecewaan melanda dirinya. Dia telah menghabiskan banyak masa, tercedera, dan memerah otaknya untuk mencari strategi hanya untuk empat ekor arnab?
Dia menendang bangkai Arnab keempat itu. Dia telah berjaya menyempurnakan teknik membunuh, tetapi Menara Seribu sekali lagi mempermainkannya. Saat dia menguasai sesuatu, menara itu merampas ganjarannya.
Kael terduduk di atas tanah, nafasnya tercungap bukan kerana penat, tetapi kerana rasa kecewa yang amat sangat. Arnab Putih ini, seperti Kumbang Hitam, kini sudah kekeringan Mata Biasa untuknya.