Derap langkah yang bertalu-talu memecah kesunyian Hutan Tabun. Semak berduri dirempuh kasar. Kumpulan demi kumpulan Pendaki mula membanjiri tapak kejadian dengan nafas yang masih tercungap-cungap. Senjata masing-masing sudah terhunus, bersedia untuk berebut.
Namun, harapan mereka hancur berkecai sebaik sahaja mata menjamah keadaan di situ.
Tiada Artifak Menara. Apa yang ada hanyalah sebidang tanah lapang yang hangus terbakar, meninggalkan kawah hitam berserta sisa wap panas.
“Apa dah jadi ni?!” Kudus menjerkah, matanya meliar memeriksa setiap sudut gelap di sekeliling kawah. Tangannya menggenggam kemas hulu senjata. “Mana Artifak Menara?”
Wajah Ariel terus bertukar kelat. Ketika otaknya ligat mencari jawapan, derap langkah dari dua arah berbeza mematikan lamunannya. Kumpulan Sera meredah masuk dari arah barat, manakala Roberto muncul dari utara. Dahi Ariel berkerut rapat. Jarak mereka dengan kawasan ini sebenarnya agak jauh, tapi bagaimana mereka berdua mampu memintas dan tiba serentak dengannya?
Belum sempat Ariel menyusun kata, dua ketua itu terus mencerlung tepat ke arahnya. Sera tidak berbasa-basi. Jari telunjuknya diangkat lurus ke dada Tuan Muda itu.
“Kau… mana artifak tu?” soal Sera. Nadanya menuduh, menganggap Ariel sudah menyorokkan habuan mereka. “Bagi sekarang. Kau tak layak untuk simpan artifak tu.”
Robertopula sekadar mendiamkan diri tanpa berkata apa-apa. Namun, otot tubuhnya yang menegang dan mata helangnya yang memaku wajah Ariel turut menyampaikan soalan yang sama. Dia ingin tahu di mana Artifak Menara itu.
Darah Ariel mendidih. Dia sendiri buntu tanpa jawapan, dan kini dia dituduh serta dimalukan di hadapan pengikutnya sendiri. Egonya sebagai waris Keluarga Venus benar-benar tercabar.
“Berani kau tuduh aku, Sera?!” jerkah Ariel. Jari telunjuknya membalas tudingan wanita berambut merah itu. Pandangannya kemudian beralih tajam ke arah Roberto. “Kau! Ada hati nak tuduh aku juga? Entah-entah kau orang berdua dah berpakat dari awal sengaja nak tuduh aku!”
“Kau merepek apa ni, Ariel?” Roberto memotong tenang. Matanya terus mengunci setiap inci gerak-geri pemuda berambut perang itu. “Tadi aku tak ada masalah nak lepaskan kau. Tapi bukan kali ni.”
Tanpa amaran, Roberto melangkah setapak ke hadapan. Tanpa sedar, naluri mengambil alih tubuh semua ahli kumpulan Ariel dan Sera. Mereka berundur serentak. Satu tekanan aura yang berat memancar dari tubuh lelaki itu, menghimpit ruang udara jauh lebih teruk berbanding pertempuran di kawasan lapang siang tadi. Jika Roberto melepaskan amukannya sekarang, mereka tahu nyawa Ariel dan Sera berisiko untuk melayang.
Namun, sebelum darah sempat ditumpahkan, satu bunyi asing mematikan ketegangan.
Gegaran tapak kaki kuda bergema dari arah timur. Gegaran itu perlahan pada mulanya, sebelum bertukar menjadi semakin ganas, membuatkan tanah Hutan Tabun bergegar.
Kesemua mereka terdiam. Senjata diturunkan dan nafas ditahan. Ada satu perkara yang mereka, sebagai para Pendaki, faham. Tiada walau seorang pun Pendaki yang memiliki keupayaan menjinakkan kuda. Keupayaan itu, buat masa ini hanya dimiliki oleh Penduduk Asal Menara.
Tidak lama kemudian, seekor kuda hitam berotot tegap meredah keluar dari celahan pepohon. Susuk tubuh lelaki yang menunggangnya bersarung perisai zirah perang yang sudah kemik dan lusuh. Di belikat belakangnya tersilang sebilah kapak bersaiz raksasa. Mereka semua tahu bahawa senjata pemusnah itu hanya mampu diangkat oleh manusia dengan Atribut Kekuatan ekstrem.
Kuda itu mendengus kasar sebelum berhenti hanya beberapa meter di hadapan mereka.
Wajah penunggangnya amat dikenali oleh mereka semua. Dia adalah Lo-Er, pahlawan yang memegang Token Perintah bagi Kubu Hutan Tabun Timur. Wajah yang sudah lama dipahat di dalam minda mereka.
Dalam Misi Utama pertama Pendaki Gelombang Ketujuh, nama itu adalah sasaran rasmi. Dia wajib dikalahkan bagi merampas Token Perintah tersebut untuk membuka laluan ke tingkat seterusnya. Selagi Lo-Er masih memegangnya, kesemua Pendaki ini akan terus terkurung di Tingkat Satu dan gagal misi utama.
Pandangan tajam Lo-Er meneliti ketiga-tiga ketua kumpulan itu silih berganti. Senyuman sinis terlakar di bibirnya sebelum dia bersuara dalam Bahasa Purba Tabun. Suaranya kasar dan berat.
“Serahkan Artifak Menara tu pada aku, pendatang.”
Tiada kompromi. Ayat itu adalah satu amaran maut yang jelas.
Di antara mereka bertiga, hanya Roberto yang tidak berundur. Sebaliknya, dia membalas dengan satu langkah ke hadapan. Semua Pendaki yang dihantar ke mari memang telah dilatih untuk menguasai asas Bahasa Purba semasa di Pusat Pendaki Gaia, jadi komunikasi bukanlah halangan.
Wajah Roberto kekal tenang. Renungan Lo-Er dibalas tepat, membuktikan bahawa dia bukan jenis yang mudah melatah hanya dengan satu gertakan.
“Lo-Er. Kami pun baru sampai,” balas Roberto. Sebutan bahasa purbanya cukup fasih. Dia berdiri tegak, cara seorang petarung menunjukkan rasa hormat tanpa perlu memijak maruah sendiri.
“Dan kami tak tahu siapa yang dah ambil artifak tu,” sambungnya mendatar, langsung tidak menunjukkan tanda-tanda gentar.
Senyuman Lo-Er makin melebar. “Kau fikir aku akan percaya macam tu saja? Kalian pendatang. Penceroboh yang rakus merampas wilayah Tabun. Percayakan kaum kalian adalah satu kebodohan.”
Di sebelah, Ariel sekadar mengetap bibir. Berbeza dengan Roberto, dia sedar sebarang kesilapan dalam bicara di hadapan Pahlawan Asal ini akan dibayar dengan nyawa. Ada beberapa Item Menara yang digunakan oleh Pendaki mengesahkan Lo-Er adalah pahlawan di Level 3.
Walaupun hakikatnya Ariel, Sera, malah Roberto sendiri sudah mencapai level yang sama, Ariel masih waras. Jurang Atribut Kekuatan sebenar antara Pendaki dan Penduduk Asal apatah lagi Pahlawan Asal adalah tersangat besar. Roberto sendiri jelas belum bersedia untuk beradu tenaga secara berdepan dengan Lo-Er pada hari ini.
“Terpulang pada kau nak percaya atau tak, Lo-Er,” balas Roberto tanpa emosi, menepis provokasi itu dengan bersahaja. “Kau sendiri boleh kesan kalau kami ada sorok artifak tu.”
Kata-kata Roberto itu ada asasnya. Penduduk Asal Menara lahir dengan deria khas untuk membaca aliran tenaga dan mengesan niat—satu kebolehan semula jadi yang mustahil dimiliki oleh Pendaki.
Lo-Er mendiamkan diri. Matanya menikam setiap wajah di hadapannya, mengimbas jika ada tanda penipuan. Selepas berpuas hati, tumpuannya beralih. Pandangannya kini mendarat pada kawah hangus di mana Azurion meledak sebentar tadi.
Dia melompat turun dari kuda lalu berjalan merapati kawah tersebut.
Lo-Er melutut sebelah kaki. Tapak tangan kasarnya dilekapkan ke atas permukaan tanah yang masih berwap. Matanya dipejam rapat. Dia memusatkan sepenuh derianya, membaca sisa gelombang tenaga yang masih berpusar lemah di bawah kerak bumi.
Beberapa saat berlalu sebelum matanya kembali terbuka.
Pandangannya kini terpaku tepat ke arah utara Hutan Tabun. Hujung bibirnya ditarik sinis. Jejak tenaga itu sudah dikesan. Arah tujuannya telah dikunci.
Kumpulan Pendaki di sekeliling hanya diam dan berbalas pandangan. Realitinya sudah jelas. Ke mana pun Lo-Er pergi selepas ini, di situlah letaknya artifak yang mereka buru.
Perlumbaan untuk mendapatkan Artifak Menara ini masih belum tamat.