Switch Mode

Menara Seribu: Astra Naga – Bab 4

Empat Lawan Satu

Ugutan tenang itu serta-merta memanaskan suasana.

Dari sisi Ariel, Kudus pantas melangkah ke hadapan. Tanpa ragu, tubuh tegapnya diposisikan sebagai perisai antara Tuan Mudanya dan Roberto. Hampir serentak, seorang lelaki dari kumpulan Sera turut mara. Namanya Albert. Dia tidak berpedang, sekadar memegang sebatang belantan kayu yang nampak teramat berat. Namun, gaya pegangannya yang bersahaja—seolah-olah kayu itu cuma sebatang ranting—cukup untuk memberi amaran tentang tahap kekuatannya.

Pergerakan pengikut Roberto yang sedang mengepung terus terhenti. Senyum sinis di bibir Roberto mula pudar, diganti dengan riak bosan.

“Oh. Kau pun ada,” tegur Roberto mendatar saat memandang Albert. “Aku ingatkan kau masih menyorok macam biasa, di belakang perempuan.”

Albert kekal tenang, langsung tidak termakan dengan provokasi murahan itu.

Kehadiran dua individu terkuat dari kem Ariel dan Sera itu sedikit pun tidak menggugat Roberto, namun ia satu halangan yang melecehkan. Dia tahu konflik ini tidak akan selesai sekadar dengan air liur; ia bakal mengundang kecederaan yang tidak perlu.

Sebaliknya, Ariel dan Sera sempat menarik nafas lega. Biarpun kalah dari segi angka, kemunculan Kudus dan Albert dirasakan mampu menyeimbangkan semula skala pertarungan. Secara logiknya, gabungan mereka berempat sudah pasti dapat memberi tentangan sengit. Paling tidak, Roberto tidak akan pulang tanpa kecederaan serius.

Menangkap riak lega pada wajah dua ketua kumpulan itu, Roberto kembali tersenyum sinis. Dia merenung empat sosok di hadapannya yang kini berani bermimpi untuk menandinginya.

“Kau orang yakin boleh halang aku?” ejek Roberto.

Wajah Albert kekal beku. “Cubalah.”

Kudus di sebelahnya hanya mengangguk, pandangannya melekat tajam pada setiap inci pergerakan Roberto.

Tanpa isyarat, Roberto memulakan serangan.

Bukan Ariel atau Sera yang menjadi sasaran, sebaliknya Albert. Tangan kanannya diayun deras menjadi satu tumbukan lurus berkelajuan tinggi yang padat dengan daya pemusnah. Udara di sekeliling seakan-akan bergetar membelah angin. Namun, Albert sudah bersedia. Berbekalkan naluri petarung yang berpengalaman, dia tidak mengelak. Pusat gravitinya direndahkan, kedua-dua butnya mencengkam kemas pada tanah, dan belantan kayunya diangkat melintang sebagai perisai.

BOOM!

Buku lima Roberto menghentam kayu itu dengan bunyi memekakkan, persis satu letupan kecil. Impaknya terlalu drastik. Debu dan dedaun kering berpusar laju ke udara akibat gelombang hentaman tersebut.

Biar betul dia kuat macam ni?! getus Albert dalam hati penuh terkejut. Matanya membulat saat menyerap kekuatan fizikal di sebalik serangan itu. Tubuhnya tertolak ke belakang. Tapak butnya terseret melelakan alur tebal pada permukaan tanah. Belantan di tangannya bergetar hebat bagai menanti masa untuk retak. Dia masih mampu bertahan, tetapi jelas bukan untuk tempoh yang lama.

Sebelum pertahanan Albert bolos, Kudus pantas meluru ke arahnya untuk menyokong. Dia tahu mustahil untuk Albert mengekang Roberto bersendirian. Kudus memposisikan dirinya di sisi Albert; sebelah tangannya menekan kuat pada paksi belantan kayu itu, manakala sebelah lagi menahan belakang tubuh Albert. Kuasa dua Pendaki itu digabungkan untuk menyerap hentaman Roberto. Urat-urat pada lengan Kudus dan Albert timbul tegang. Namun, mujurlah hasil kerjasama itu, getaran pada belantan kayu akhirnya berjaya distabilkan.

Momentum tumbukan Roberto dimatikan.

Albert dan Kudus saling berpandangan. Mereka berdua setuju tanpa suara, tanpa reaksi. Roberto benar-benar ‘seekor raksasa’.

Sedar bahawa lengan Roberto kini terikat dalam adu tenaga fizikal, Sera tidak membuang masa. Peluang ini akan dimanfaatkannya. “Ariel!” jeritnya.

“Aku tahu!”

Dua bilah pedang dihunus pantas dari sarung. Tanpa menyerang dari sudut hadapan yang sudah dikunci oleh Kudus dan Albert, Ariel dan Sera meluncur laju membelah rusuk kiri dan kanan Roberto. Hujung pedang Ariel kini berhenti tajam hanya beberapa inci dari urat leher Roberto. Mata pedang merah Sera pula ditala tepat ke arah jantung lelaki itu.

Kunci empat penjuru itu nampak kukuh. Kalau Roberto berdegil merempuh Kudus dan Albert, leher dan jantungnya pasti ditembus. Kalau dia memilih untuk menepis Ariel atau Sera, titik butanya terdedah untuk dihentam oleh Kudus dan Albert.

Tapi, bilah-bilah itu kekal statik. Masing-masing masih waras. Sekalipun nyawa Roberto sudah berada di hujung pedang, membunuhnya bermakna mereka menempah maut secara perlahan. Perjalanan di Tingkat Satu baru bermula. Misi Utama Menara Seribu yang mendambakan tenaga kerja berskala besar sedang menanti di hadapan. Menghapuskan aset terkuat Gelombang Ketujuh demi ego… itu kerja orang gila.

Roberto faham sangat percaturan di kepala mereka. Hari ini, dia pun tidak berniat menumpahkan darah sesiapa. Dia cuma mahu mereka sedar di mana tempat mereka.

Bebola matanya melirik bilah di leher, turun ke mata pedang di dada, sebelum tepat menikam wajah tegang Ariel dan Sera.

“Hahaha!” Tawa garaunya pecah. Nadanya sinis dan mengejek.

Sekalipun begitu, keempat-empat mereka kekal mematung, sekadar memantapkan kuda-kuda tanpa mampu melakukan apa-apa. Roberto memiringkan kepalanya sedikit.

“Takkan macam ni saja? Kata nak bunuh aku?”

Soalan berani mati itu terus menjerut keyakinan mereka. Ariel menggenggam hulu pedang terlalu kuat sampai hujung bilahnya menggeletar. Rahang Sera bergerak-gerak. Kedua-duanya buntu.

Roberto tidak menunggu lama. Dia tidak berundur walau seinci, sebaliknya momentum tubuh terus dihenyak ke depan. Senyumannya melebar saat tangan kanannya menggandakan tekanan. Belantan tebal di tangan Albert dan Kudus mula berkeriut ngeri.

KRAK!

Dengan satu tolakan ganas yang memusatkan seluruh daya fizikalnya, belantan kayu itu patah dua. Tidak sempat Albert dan Kudus membetulkan paksi badan, cengkaman sasa Roberto pantas menyambar kolar pakaian mereka. Tubuh dua lelaki tegap itu diangkat sebelum diayun dengan mudah lalu dihempas terus ke arah Ariel dan Sera.

“Sial!” Ariel menyumpah. Dia dan Sera terpaksa membatalkan serangan, melompat laju ke belakang bagi menyelamatkan diri daripada dirempuh pengawal sendiri. Kunci empat penjuru itu musnah serta-merta.

Kekalutan satu saat… itu sahaja yang Roberto perlukan.

Tubuh sasanya melompat laju dan dalam seklip mata, dia sudah mendarat di titik buta tepat di belakang Ariel. Pinggangnya dipulas ligat. Kaki kanan Roberto melibas udara, membentuk lengkungan tajam yang menyasarkan terus rusuk pemuda berambut perang itu.

“Tuan Muda!”

Teriakan Kudus bergema. Walaupun nafasnya baru ditarik selepas terhumban tadi, naluri pelindungnya mengatasi logik akal. Dia menerpa laju, mencampak tubuhnya ke laluan libasan maut itu sebagai perisai hidup.

BAM!

Hentaman tumpul memecah keheningan hutan. Kudus menjadikan tulang lengan kanannya sebagai benteng. Benar, ia satu tindakan yang amat bodoh. Kekuatan Roberto jelas berada di luar batas ketahanan manusia biasa. Rasa sakit yang teramat sangat terus merobek saraf Kudus. Tulangnya bergetar ngeri menanti masa untuk patah.

Daya libasan itu gagal ditahan, sebaliknya terus menyapu Kudus ke udara. Ariel tergamam, nyaris rebah ditepis angin libasan itu. Tubuh tegap Kudus terhempas kasar beberapa meter ke belakang dan berguling-guling di atas debu serta daun kering.

“Kudus!” Pengikut-pengikut Ariel berteriak panik, meluru ke arah tubuh yang terlentang itu.

Rahang Kudus berlaga rapat. Jeritan cuba ditahan. Dia tidak ingin untuk kelihatan lemah di hadapan semua orang. Cukuplah dia dihantar melayang beberapa kali. Urat di dahi timbul, menahan kesakitan yang tidak tertahan. Namun, dia tetap gagahkan juga kaki untuk kembali berpijak, tegak berdiri melindungi Tuan Muda Ariel walau lengan kanannya kini terkulai layu di sisi. Jari-jemarinya bergetar pucat, hampir lumpuh daripada sebarang fungsi.

Semua yang berada di kawasan lapang itu—pengikut Ariel, ahli kumpulan Sera, malah anak buah Roberto sendiri—terus membisu. Nafas mereka tertahan saat pandangan masing-masing melekat pada susuk tubuh yang berdiri penuh angkuh di tengah-tengah ruang tersebut. Dalam benak setiap manusia di situ, hanya satu kesimpulan mutlak yang terukir.

Roberto adalah raksasa.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset