Ribuan pasang mata dari armada kini menumpukan perhatian kepada pergerakan Radiz. Teropong taktikal dan binokular optik dihalakan tepat ke arahnya, manakala sebahagian lagi sekadar memantau menggunakan mata kasar.
Di atas kapal-kapal yang menempatkan pasukan pengkaji, suasana bertukar kecoh. Para saintis tergamam. Mereka sama sekali tidak menyangka rakan sekerja yang selama ini disangka hanya memiliki keupayaan intelektual yang luar biasa, turut memiliki kekuatan fizikal sebegitu rupa.
Scott memerhatikan semua itu melalui binokularnya tanpa berkelip. Dia tahu Radiz memang sangat berdisplin dalam melakukan latihan fizikal. Malah, Radiz sering mengingatkannya untuk turut sama berlatih jika ada kelapangan.
“Aku sendiri tak tahu apa sebenarnya yang menanti di dalam sana, Scott,” ujar Radiz kepadanya suatu ketika dahulu. “Pengkaji kita dah buat terlalu banyak andaian. Tapi teori orang awam di luar sana lebih ekstrem. Mereka samakan menara ni macam kisah fiksyen, manusia terpaksa panjat tingkat demi tingkat dan selesaikan cabaran, atau nasib seluruh manusia akan musnah.”
Waktu itu, Scott sekadar ketawa. Dia mengusik Radiz kerana kelihatan seperti sudah mula percaya pada imaginasi penulis fantasi.
Namun, balasan Radiz pada hari itu mematikan tawanya.
“Macam mana kau tahu yang kita ni bukan sedang hidup dalam dunia rekaan penulis fantasi macam tu juga? Apapun, lebih baik kita bersedia.”
Kata-kata itu membuatkan Scott terdiam. Dan kini, melihat tahap keupayaan fizikal yang dipamerkan Radiz meredah arus Laut Sutera, Scott terkejut besar. Dia baru...