Switch Mode

Zoran: Pertempuran Dewa – Bab 7

Maklumat

Zen menyusuri lorong yang menghala lurus ke Dewan Pekan.

Laluan yang sememangnya sempit itu, kini sesak dan padat dengan lambakan pemain. Di kiri dan kanan, masing-masing sibuk berkerumun. Mencuba nasib untuk berinteraksi dengan setiap NPC yang ada, semata-mata demi memancing secebis Misi.

Riuh-rendahnya mengalahkan suasana pasar malam.

Malang bagi mereka. Mendapatkan sebuah Misi di dalam Zoran bukanlah semudah memetik jari.

Algoritma dan kecerdasan buatan (AI) NPC di sini direka pada tahap yang sangat luar biasa. Mereka mampu berfikir dan berinteraksi layaknya seorang manusia sebenar. Silap gaya bahasa atau tersalah adab, NPC ini tidak akan teragak-agak untuk memulaukan pemain tersebut.

Ditambah pula dengan saingan puluhan ribu pemain lain, peluang untuk mendapat walau sebuah Misi Biasa sekalipun adalah tersangat tipis.

Buktinya jelas. Sudah lebih sepuluh minit pelayan Zoran dibuka, namun masih belum ada walau seorang pun pemain di Pekan Daun Merah yang berjaya memperoleh Misi Biasa.

Berbanding mereka, kelebihan Zen yang kembali dari masa hadapan ternyata berada di liga yang sama sekali berbeza. Bukan setakat berjaya mendapatkan misi biasa, dia malah telah mengunci satu-satunya Misi Unik di pekan ini.

Walaupun syarat misi itu kedengaran gila dan menempah maut, ganjaran yang menanti di penghujungnya amatlah lumayan. Jika ia didedahkan, pasti akan ada pemain yang sanggup membunuh Zen dengan harapan Misi Unik itu akan berubah tangan.

Berbekalkan pengalaman sedekad mengemudi puluhan ribu ahli Zenith Guild dan membina berpuluh wilayah sebelum ini, pangkalan data maklumat di dalam minda Zen jauh melangkaui apa yang diketahui oleh mana-mana pemain.

Terutamanya maklumat yang melibatkan strategi rahsia untuk menaikkan Level dan menjana wang. Ini adalah asas kelangsungan hidup yang wajib dikuasai oleh mana-mana Guild untuk mengukuhkan empayar.

Dalam kehidupan keduanya ini, Zen nekad.

Dia akan memanipulasi segala maklumat tersebut demi merampas kelebihan mutlak seawal mungkin. Semuanya demi membina asas masa hadapan yang kebal.

Jadi, sudah tentu dia tidak akan menjadi seperti pemain-pemain biasa, membazirkan masa berjam-jam di tepi jalan semata-mata untuk merebut sebuah Misi Biasa. Malah, dia juga tidak akan mengikut jejak langkah pemain yang terus meluru ke luar pekan untuk memburu raksasa.

Sebabnya mudah. Pada waktu ini, jumlah pemain di kawasan liar itu pasti jauh lebih ramai daripada jumlah raksasa itu sendiri.

Apa yang Zen mahu lakukan adalah melarikan diri dari kesesakan yang tidak masuk akal ini. Itulah sebab utama mengapa dia menyasarkan Misi Unik untuk membunuh Ketua Pekan tersebut. Namun, untuk melaksanakan rancangan gilanya, dia memerlukan wang—sesuatu yang langsung tidak dimilikinya ketika ini.

Sistem Zoran membekalkan 10 Syiling Tembaga kepada setiap pemain sebagai modal permulaan. Nilai itu sememangnya tidak cukup untuk membeli sebilah senjata mahupun kelengkapan perisai, tetapi ia sudah memadai untuk membeli makanan dan minuman bagi memulihkan HP serta MP.

Langkah Zen terhenti tepat di hadapan bangunan dua tingkat Dewan Pekan.

Matanya disajikan dengan pemandangan ratusan manusia yang sedang beratur memanjang seperti ular. Tidak kira apa jua jenis permainan pun, watak Ketua Kampung, Ketua Pekan mahupun Datuk Bandar sentiasa menjadi sasaran utama untuk mendapatkan Misi.

Lumrah seorang pemain, pantang nampak peluang, pasti mereka tidak akan melepaskannya.

“Hoi budak baru, pergi beratur kat belakang sana kalau kau tak nak aku belasah kau. Semua orang tengah beratur nak minta Misi. Hormat sikit.”

Dari dalam barisan, seorang lelaki berwajah lurus yang memakai kelengkapan kelas Pahlawan Gasar menegur Zen. Dia menuding ibu jarinya lurus ke arah ekor barisan.

“Aku kat sini bukan sebab nak minta Misi,” balas Zen bersahaja.

Matanya merenung barisan panjang itu. Berbanding kawasan dataran pekan tadi, disiplin pemain di sini jauh lebih teratur. Biarpun memakan masa yang lama, sekurang-kurangnya mereka mempunyai peluang berbanding merayau ke sana sini tanpa arah tujuan.

Pahlawan Gasar itu mengecilkan mata, merenung Zen penuh curiga.

Waktu semua orang sedang kemaruk memburu Misi, lelaki ini boleh pula cakap dia tidak berminat?

Melihat riak wajah lelaki itu yang terang-terangan mengesyaki dia mahu memotong barisan, Zen tersenyum kecil.

“Aku serius. Aku bukan datang nak cari Misi. Tapi… sebagai nasihat, lebih baik kau pergi cari Misi kat tempat lain. Kau cuma buang masa beratur kat sini.”

“Buang masa apanya? Dah ada beberapa orang yang keluar dari dewan tu dapat Misi kot.” Pahlawan Gasar itu melepaskan keluhan lega selepas yakin bahawa Zen tidak berniat untuk memotong barisan.

Sudah sepuluh minit dia memacakkan diri di situ, mustahil dia akan membiarkan sesiapa merampas tempatnya. Namun, nada tegas dari pemuda di hadapannya ini sedikit sebanyak mencetuskan rasa ingin tahu di dalam hatinya.

“Habis tu, kenapa kau cakap buang masa?”

Zen menukar topik perbualan. “Memandangkan kau nampak macam orang yang jujur dan kuat, aku tunjukkan kau satu jalan yang lebih mudah.”

“Apa maksud kau?”

Zen tersenyum. “Pergi ke luar pekan. Buru raksasa. Peluang kau untuk naik Level jauh lebih tinggi dari terus beratur di sini.”

“Tak nak aku,” geleng lelaki itu laju. “Zon luar tu dah la sesak gila. Nak berebut raksasa dengan beribu pemain lain? Baik aku tunggu kat sini.”

Dia bukan bodoh. Dengan kemahirannya sekarang, nak sentuh kulit raksasa pun belum tentu sempat.

“Sebab kau pergi ke tempat yang salah,” pangkas Zen dengan senyuman meleret. “Cari kawasan yang tak banyak raksasa. Bila tak banyak, tak ada pemain yang nak datang menyibuk dan berebut dengan kau. Lagipun, respawn rate raksasa tu semua tinggi. Kau tak perlu tunggu lama pun untuk raksasa tu muncul balik. Bunuh. Tunggu. Bunuh. Faham?”

Lelaki itu mengangguk faham. “Tapi… biar betul ada tempat macam tu?”

Mata Pahlawan Gasar itu bersinar teruja.

Daripada beratur lebih satu jam semata-mata untuk Misi yang ganjaran EXP dan wangnya tersangat rendah, lebih baik dia memburu raksasa selama satu jam tanpa gangguan. Dia yakin EXP yang bakal diterimanya adalah jauh lebih lumayan.

“Memang ada.” Zen merapati lelaki itu, bersuara separuh berbisik. “Kalau kau nak tahu lokasi lubuk tu, aku letak harga kawan-kawan… 20 Syiling Tembaga.”

“Eh? Ada harga? Kira kau nak jual maklumat?” soal lelaki itu, sedikit sangsi.

Zen kekal tenang. Dia memandang lelaki itu dan berkata, “Kau kena faham. Tempat itu bukan tempat biasa-biasa.”

“Apa maksud kau kali ini?”

“Bukan setakat EXP, kalau kau luang masa untuk naikkan Level di sana sehari suntuk, semua item yang kau dapat hasil kau kalahkan raksasa, bila kau kumpul semuanya, memang boleh dijual lebih 40 Syiling Tembaga. Kalau nasib kau baik dan ada kelengkapan perisai jatuh, kau terus kaya dan… lebih kuat”

Zen memandang Pahlawan Gasar itu lama. “Macam mana? Nak tak?”

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset