“Kau tak tipu aku, kan?” Renungan lelaki itu mula berbelah bahagi.
Jika lubuk emas itu benar-benar wujud, dia pasti mampu memintas ribuan pemain lain. Namun, 20 Syiling Tembaga bukanlah jumlah yang kecil. Raksasa di dalam Zoran pula terlalu kedekut untuk memberikan wang sebagai ganjaran selepas mereka dikalahkan. Ia menjadikan setiap keping Syiling Tembaga itu teramatlah bernilai. Setidak-tidaknya untuk peringkat awal sebegini.
“Kalau tak percaya, bayar deposit 10 Syiling Tembaga dulu. Kau pergi lokasi tu dan cuba sendiri. Kalau betul macam apa yang aku cakap, baru kau bayar baki lagi 10 Syiling Tembaga. Aku beritahu ni pun sebab kau nampak berpotensi dan kita mungkin boleh bekerjasama nanti. Tapi, kalau kau tak, lupakan. Aku boleh jual maklumat ini kepada pemain lain.”
Usai berkata-kata, Zen terus berpusing, mengacah mahu pergi.
Jika tidak kerana dia benar-benar kesempitan wang sekarang, mustahil dia sanggup berniaga maklumat di tepi jalan sebegini. Lebih baik dia gunakan pengetahuannya itu untuk memperkuatkan diri dia, Blake dan pemain yang bakal direkrutnya.
Namun, belum sempat Zen melangkah jauh, Pahlawan Gasar itu pantas melaung.
“Kejap, Tuan Pemedang Mulia!” laung Pahlawan Gasar, tiba-tiba memberikan Zen gelaran yang membuatkan semua mata memandang mereka.
Zen menepuk dahinya. Dia sudah sedaya-upaya bercakap perlahan bagi mengelakkan dari menarik perhatian pemain-pemain lain. Tapi, lelaki ini… agak lantang dalam bersuara.
Dia berlari-lari anak menghampiri Zen. “Tuan Pendekar, setakat deposit 10 Syiling Tembaga, apalah sangat. Ambil ni. Aku percayakan orang hebat macam kau.” Lelaki itu tersengih. Dia menekan tetingkap sistem.
“Apa ID Tuan Pemedang?”
“Zen Voss.”
“Baik.” Dia terus memindahkan 10 Syiling Tembaga miliknya ke dalam akaun Zen.
Zen menerima pemindahan itu dalam tempoh tidak sampai sesaat. Bibirnya mengukir senyuman nipis.
Umpan mengena.
“Sebab kau laju ambil peluang, aku kongsikan lokasi tu. Nanti tambah aku sebagai rakan kau, aku berikan koordinat. Tempat ni agak tersorok dan jauh sikit dari sini. Tapi, kat situ cuma ada satu jenis raksasa Level 0, Gnome Hijau. Pertahanan mereka sangat lemah, dan macam yang aku cakap tadi, kadar kemunculan semula dia tersangatlah pantas. Peluang nak dapat Syiling Tembaga pun tinggi. Memang lubuk yang paling sesuai untuk Pahlawan Gasar macam kau.”
Pahlawan Gasar itu melepaskan keluhan lega. Namun, dia berasa sangat curiga akan identiti sebenar lelaki di hadapannya ini. Seolah-olah semua maklumat tersimpan rapi di dalam kepalanya.
Mindanya ligat berfikir. Dia memandang Zen lama. Riak wajahnya berubah terkejut. Dia mempunyai kesimpulan yang sama seperti Blake. Dia yakin Zen adalah salah seorang Beta Tester. Dia semakin teruja dan ingin mencuba nasib mendapatkan beberapa maklumat lagi.
“Tuan Pemedang Mulia, alang-alang kau sedang menjual maklumat… kau tahu tak kat mana lubuk yang selalu jatuhkan buku kemahiran untuk kelas Pahlawan Gasar? Susah aku nak bertarung kalau ada satu kemahiran saja,” soal lelaki itu. Renungan matanya pada Zen ketika ini seolah-olah dia sedang meminta dengan pencipta Zoran sendiri.
“Oh? Ada. Aku tahu beberapa tempat. Kau betul nak?” balas Zen dengan soalan.
Pahlawan Gasar itu tersenyum riang. “Mestilah aku nak. Cepat. Cepat. Kat mana?”
“Tapi, harga untuk maklumat tu… 2 Syiling Perak,” balas Zen, kekal dengan senyumannya. Mustahil untuk dia melepaskan maklumat bernilai sebegitu secara percuma.
Wajah Pahlawan Gasar itu terus bertukar pucat lesi. Dua Syiling Perak adalah bersamaan dengan 200 Syiling Tembaga. Sewaktu Zoran baru sahaja dilancarkan sebegini, Guild berskala sederhana pun benlum tentu mapu untuk terus mengumpul wang tunai sebanyak itu.
“Fuh. Boleh tahan juga harga tu,” ujar lelaki tersebut. “Macam ni. Aku pergi naikkan Level aku di lokasi ni dulu. Nanti kita jadi rakan dalam sistem. Nama ID aku Zack Loner. Bila aku cukup duit, aku hubungi kau.”
Tanpa membuang masa, dia terus menghantar permintaan untuk menjadi rakan di dalam sistem.
“Baik. Tiada masalah.” Zen sebenarnya turut menahan rasa teruja. Semuanya selepas dia menerima wang daripada Zack Loner sebentar tadi.
Zack sebenarnya adalah salah seorang pemain yang mengungguli carta Top 100 Rookie dan pada fasa awal Zoran, dia banyak bergerak solo. Siapa sangka dia akan bertemu salah seorang sasaran rekrutnya seawal ini dan mereka sudah menjadi rakan.
“Kalau macam tu, aku pergi berburu dulu, Tuan Pemedang Mulia! Nanti bila duit aku dah cukup, aku akan hantar baki 10 Syiling Tembaga tu.”
Zack beredar dengan wajah yang sangat gembira. Dia terus melangkah keluar dari barisan panjang itu dan berlari laju menuju ke arah lokasi lubuk yang dijanjikan.
Kini, Zen akhirnya mempunyai sedikit wang.
Dia melangkah santai keluar dari kawasan dewan dan menuju ke sebuah gerai buah-buahan yang terletak tidak jauh dari laluan masuk Dewan Pekan.
“Bos, berapa harga sebiji tomato ni?” soal Zen sambil menimbang sebiji tomato merah yang masak ranum di tangannya.
Di dalam Zoran, apa sahaja jenis buah-buahan dan sayur-sayuran sememangnya boleh dimakan untuk memulihkan HP dan MP pemain. Malah, rasanya juga direka cukup enak. Namun, kelemahan terbesarnya adalah pada kadar pemulihan yang tersangat perlahan.
Dalam keadaan normal, mana-mana pemain pun tidak akan gila untuk membelinya. Terutamanya pada fasa awal di mana isu kewangan merupakan masalah terbesar setiap pemain. Menghabiskan wang untuk buah-buahan dan sayur-sayuran hanyalah satu tindakan membazir.
“2 Syiling Tembaga sebiji,” jawab NPC pemilik gerai itu.
“Bagi aku sepuluh biji.”
Zen membayar 20 Syiling Tembaga tanpa teragak-agak. Sebaik sahaja menerima 10 biji tomato merah tersebut, dia terus menyambung langkahnya dan berjalan masuk semula ke dalam Dewan Pekan.
“Hoi budak baru, nak ke mana tu? Pergi beratur! Kau buta ke tak nampak orang lain tengah beratur ni?”
“Wei Pemedang, kau nak buat apa tu? Kau tak nampak ke ada berapa ramai orang tengah baris panjang kat belakang tu?!”
Beberapa orang pemain di dalam dewan itu mula berang dan melepaskan maki hamun apabila melihat Zen selamba memotong barisan dan melangkah lurus menuju ke arah Ketua Pekan.
Kalau diikutkan hati, sudah lama mereka beramai-ramai ingin membelasah Zen hingga lunyai. Namun, memandangkan sebarang serangan terhadap pemain lain di dalam zon selamat akan menyebabkan mereka terus dipenjarakan oleh Pengawal Pekan, mereka hanya mampu menahan kemarahan.
“Maaf, aku bukan datang sini untuk cari Misi. Aku cuma nak tengok-tengok,” senyum Zen kepada pemain-pemain tersebut.
Dia kemudiannya menoleh ke arah sosok Ketua Pekan yang berbadan gempal itu. Para pemain, termasuk Zen dapat melihat dengan jelas status Ketua Pekan itu.
=====
[Kongi – Ketua Pekan Daun Merah]
(Elit, Mesra)
Level: 15
HP: 2400/2400
MP: 1500/1500
=====
Berdasarkan status di atas, mustahil ada walau seorang pun pemain yang mampu mengalahkannya pada fasa ini. Biarpun dengan serangan berpasukan sekalipun, ia masih kekal mustahil.
Dengan bersahaja, Zen mengeluarkan sebiji tomato dari dalam begnya dan terus menggigit buah merah yang ranum itu.
“Apa mamat tu tengah buat?”
“Gila! Dia tengah makan tomato? Sebiji tomato tu berharga 2 Syiling Tembaga kot! Kayanya!”
Pemain-pemain di dalam barisan itu terpinga-pinga, tidak faham dengan apa yang sedang cuba dilakukan oleh Zen. Masuk ke dalam Dewan Pekan semata-mata untuk makan buah tomato di hadapan Ketua Pekan? Atau dia cuba untuk menunjuk-nunjuk kekayaannya di hadapan pemain lain?
Baru separuh tomato itu dihabiskan, Zen secara tiba-tiba mengangkat tangannya lalu membaling baki tomato tersebut tepat ke arah wajah Ketua Pekan Kongi.
BUK!
Tomato itu berkecai menghentam muka Kongi. Cecair merah pekat memercik dan mengalir kotor membasahi wajah NPC elit itu.
[Sistem: Tahap kemesraan Kongi terhadap Zen Voss telah menurun sebanyak 100 mata.]
Sekalipun begitu, senyuman Zen melebar. Rancangannya sudah bermula.