Switch Mode

Bintang Utara: R.I.M.A.U – Bab 6

Kuasa

Ketua raksasa mutasi itu akhirnya menerkam.

Otot-otot pada kaki belakangnya menegang, melantunkan tubuh gergasi itu membelah udara. Mulutnya ternganga luas, mempamerkan deretan taring yang menitiskan air liur berasid.

Kudrat tuanya yang merosot dijamah seksaan penjara merentap segala sisa keberanian. Dom terus memejamkan mata. Kedua-dua belah tangannya disilangkan ke hadapan wajah—satu formasi pertahanan terakhir yang dia sendiri tahu teramatlah sia-sia.

Namun, taring maut itu tidak pernah menyentuh dagingnya.

Sebaliknya, deria telinga Dom menangkap satu deruan angin yang pantas, disusuli bunyi seretan pepasir yang berterbangan kasar—seolah-olah ada sesuatu yang meluru dan berhenti mengejut tepat di hadapannya. Sedetik kemudian, satu lolongan kesakitan yang amat nyaring memecah kesunyian malam.

Lolongan itu parau dan kasar. Melalui telinganya, Dom tahu itu mustahil suara manusia. Apatah lagi suara Zayn. Dahinya berkerut tajam.

“Apa… yang jadi?” gumam Dom.

Dia membuka matanya perlahan-lahan. Nafas lelaki tua itu serta-merta tersekat di kerongkong. Dia tergamam, kaku merenung realiti yang sedang terhidang di ruang matanya.

Zayn, remaja yang tadinya meronta kesakitan dan kelihatan tidak bermaya, kini berdiri tegap membelakanginya. Tangan kiri remaja itu diangkat lurus ke hadapan, mencengkam kuat tengkuk anjing mutasi sebesar anak lembu itu.

Tubuh raksasa seberat ratusan kilogram tersebut tergantung kaku di udara, ditahan hanya menggunakan kudrat sebelah tangan yang langsung tidak dikuasakan oleh Sut Mekanika.

“Za… Zayn? Kau okey?” soal Dom. Suaranya bergetar. Dia tidak tahu bagaimana dia harus bereaksi.

Zayn tidak bersuara. Tangan kanan remaja itu masih menekan pelipis kepalanya yang berdenyut hebat. Bahunya berombak kencang, seolah-olah dia sendiri sedang bergelut menahan kesakitan yang sedang membelah saraf otaknya.

Ketua raksasa itu meronta ganas. Ia merengus kasar lalu melibas kuku tajamnya tepat ke arah lengan kiri Zayn.

Kain baju penjara itu terkoyak. Tiga garisan luka yang dalam terukir pada kulit lengan Zayn, memancutkan darah merah pekat.

Bagi manusia biasa, kesakitan itu sudah pasti melonggarkan pegangan. Namun, Zayn langsung tidak mempedulikan luka tersebut. Denyutan di kepalanya terasa jauh lebih menyeksakan.

Terdorong oleh rasa sakit yang membelah benaknya, Zayn merentap tengkuk haiwan itu lalu mencampakkan tubuh gergasinya dengan kasar ke tepi. Raksasa itu terhempas berdebuk membelah pasir.

Dalam sekelip mata, keadaan di pesisir pantai itu berubah. Suhu persekitaran terasa menjunam dingin. Melihat ketua mereka telah dihempas teruk, empat ekor lagi anjing mutasi yang menanti di sekeliling jelas kelihatan teragak-agak.

Dom melepaskan satu hembusan nafas lega yang bergetar. Otot lehernya yang menegang sedikit kendur. Orang tua itu menyangka ancaman maut mereka sudah berakhir.

Namun, Zayn tiba-tiba jatuh melutut di atas pasir.

Remaja itu kembali mengerang kesakitan. Dia kembali mencengkam kepalanya dengan kedua-dua belah tangan, bergelut menahan kesakitan yang tidak terperi.Jantung Dom yang baru sahaja berehat kembali berdegup kencang. Dia terburu-buru melangkah ke hadapan lalu memegang kuat bahu remaja itu.

“Budak! Kenapa dengan kau ni?!” jerit Dom, panik.

Kelemahan mangsa di hadapan mata pantas ditangkap oleh naluri pemangsa. Keempat-empat anjing mutasi itu tidak lagi menanti. Mereka meluru pantas secara serentak dari pelbagai arah. Mata merah binatang itu menyala rakus, bersedia meratah daging mereka berdua.

Deretan taring yang menitiskan asid sudah ternganga luas di ruang mata Dom. Dia terkaku.

Sebelum sempat taring maut itu menembusi daging mereka, Zayn bertindak.

Tangan kiri remaja itu diangkat, mendarat perlahan tepat pada permukaan dada Dom sebelum menolaknya. Tolakan itu terasa sangat lembut, langsung tidak menyakitkan, namun kekuatan yang menolaknya teramatlah ganjil.

Tubuh Dom terpelanting ke belakang. Dia melayang ringan membelah udara, diseret belasan meter menjauhi pusat maut dan cengkaman taring musuh.

Belum pun sempat belakang tubuh orang tua itu menghempas pasir, kelibat Zayn sudah lenyap dari titik asalnya.

Pergerakan remaja itu terlampau laju sehinggakan otak Dom gagal memproses apa yang sedang berlaku. Menembusi ruang udara yang kosong, jasad Zayn tiba-tiba terpacak tepat di hadapan salah seekor anjing mutasi yang sedang menerkam dari arah sisi.

Zayn melepaskan satu tumbukan lurus. Kasar dan tidak berseni.

Namun, letusan impaknya menghasilkan bunyi ngeri tulang yang meretak. Tengkorak anjing mutasi itu remuk ke dalam. Daya padu daripada pertembungan itu sahaja sudah cukup untuk menghasilkan gelombang tekanan udara yang menyapu bersih pasir di bawah tapak kaki Zayn.

Tubuh raksasa seberat anak lembu itu terus terpelanting deras ke belakang, menghempas kuat sisi rangka bas berkarat lalu senyap tidak berkutik.

Dom yang baru sahaja tertiarap di atas pasir, kaku. Nafasnya tersekat. Matanya terbuntang luas memerhati tubuh kurus itu. Tanpa Sut Mekanika? Budak ni… apa sebenarnya?

Sekalipun begitu, tiga ekor raksasa yang lain tidak memperlahankan rentak. Mereka menerkam tubuh Zayn serentak. Kali ini, Zayn tidak mengelak. Taring-taring tajam itu selamat dibenamkan terus ke dalam daging bahu dan paha remaja tersebut.

Namun, tiada walau satu jeritan atau rintihan pun yang ditankap telinga Dom.

Remaja itu langsung tidak mempedulikan gigitan tersebut. Sebaliknya, tangan kiri Zayn laju naik mencengkam leher raksasa yang sedang rakus cuba merobek bahunya.

Dalam samar-samar cahaya bulan, Dom melihat jaringan urat hitam menimbul ganas pada lengan Zayn. Otot yang asalnya kurus itu memejal padat seolah-olah dipam dengan kuasa yang menongkah hukum biologi. Hanya dengan satu sentapan kejam, Zayn mematahkan leher raksasa itu lantas mencampakkan bangkainya ke atas pasir bagaikan sampah.

Darah biru raksasa bercampur merah membasahi wajah Zayn, namun pergerakan remaja itu menjadi semakin buas.

Raksasa ketiga masih membenamkan taring rakus pada kakinya. Tanpa meronta, Zayn sekadar mengangkat dan mengayunkan kaki tersebut lurus ke atas dengan kudrat yang menongkah akal.

Daya sentapan yang teramat pantas itu memaksa rahang raksasa tersebut ternganga luas. Jasad gergasi seberat ratusan kilogram itu terus terlucut dari kaki Zayn lantas melambung tinggi membelah udara malam.

Zayn tidak membiarkannya terlepas. Dia melompat tinggi, mengejar mangsanya di udara. Sebaik sahaja posisinya sedikit lebih tinggi di atas tubuh anjing mutasi itu, Zayn memusingkan tubuhnya sebelum melibas tumit kakinya ke bawah bagaikan sebilah kapak.

Tumit itu menghentam keras tepat pada kepala musuh. Tubuh raksasa itu menjunam deras sebelum terhempas ganas ke dada pantai. Impak libasan itu meremukkan terus tengkorak haiwan tersebut sehingga tenggelam ke dalam pasir.

Kini, hanya tinggal ketua kawanan itu. Haiwan tersebut menyalak gerun, pantas berundur ke belakang setelah menyedari pemangsa mutlak di pesisir pantai itu bukanlah dirinya.

Namun, Zayn tidak memberinya peluang.

Remaja itu melompat tinggi ke udara sebelum membiarkan tarikan graviti bumi merentap tubuhnya turun dengan kelajuan tinggi, lantas menghentak keras kedua-dua belah kakinya tepat ke dada ketua raksasa tersebut.

Bunyi serpihan tulang patah kedengaran ngeri.

Tulang rusuk raksasa gergasi itu hancur berkecai. Daya pijakan Zayn meremukkan organ dalaman raksasa itu, menekan bangkainya jauh terbenam ke dalam kawah pasir yang terhasil akibat impak pendaratan tersebut.

Kesunyian kembali merampas malam.

Hanya bunyi deruan ombak yang menemani saat-saat akhir penyembelihan mutasi itu. Bangkai anjing bergelimpangan di merata-rata tempat. Darah pekat mengalir, diserap oleh pepasir putih yang kini bertukar hanyir.

Di tengah-tengah kawah pasir itu, Zayn berdiri kaku. Kepalanya tertunduk ke bawah. Dadanya berombak kencang menyedut udara.

Perlahan-lahan, urat hitam yang menimbul pada tangannya tadi kembali mengendur, menyelinap hilang di sebalik kulit pucatnya. Aura buas yang menguasai ruang udara sebentar tadi lenyap sekelip mata.

Tiba-tiba, tubuh remaja itu terhuyung-hayang. Dia kehilangan paksi keseimbangan lantas jatuh tersembam ke hadapan, tertiarap kaku di atas pasir sebelum hilang kesedaran.

“Apa pula kali ni?!” dengus Dom, nadanya cemas. Detak jantung tua itu masih bergemuruh hebat memukul sangkar rusuknya.

Dia melangkah berhati-hati, merapati tubuh Zayn yang sudah rebah. Matanya meliar meneliti setiap bangkai raksasa mutasi di sekeliling mereka. Apa yang terhidang di matanya benar-benar melangkaui batas logik kemampuan manusia. Dom pernah menyaksikan kekuatan Skuad Mekanika. Dia pernah menyaksikan kejamnya kuasa Kala.

Tetapi, kekuatan fizikal yang hadir daripada kekuatan otot semata-mata tanpa penggunaan teknologi sut perisai mahupun kuasa artifak purba, adalah sesuatu yang tidak pernah dicatatkan dalam rekod sejarah Nusantara.

“Budak… kau ni siapa sebenarnya?” gumam Dom perlahan.

Orang tua itu melepaskan keluhan berat. Kepalanya mula berdenyut memikirkan langkah seterusnya.

Jika dia meninggalkan remaja ini di sini, ia adalah satu kerugian besar. Jika dia memikulnya merentasi sisa runtuhan konkrit ini, dia pasti akan mati kepenatan sebelum subuh menjelma. Tumpahan darah anjing mutasi ini pasti akan pantas menarik perhatian pemangsa liar yang lain, atau lebih teruk, dikesan oleh unit dron rondaan tentera.

Mata Dom melilau mencari akal. Matanya tertancap pada hamparan sisa kenderaan yang bergelimpangan tidak jauh dari situ. Jika dia memikul remaja ini merentasi runtuhan konkrit, dia pasti akan mati kepenatan.

Orang tua itu menghampiri sebuah rangka kereta yang tertimbus di dalam pasir. Tangannya lincah membongkar sisa buangan tersebut lalu mencabut empat buah rim besi. Tayar getahnya sudah mereput teruk.

Tiba-tiba, pergerakannya terhenti.

Mata tajam Dom menangkap satu kilatan biru pudar di celah serpihan enjin.

“Batu Kuvil? Biar betul?” ujar Dom, separuh yakin.

Secebis Batu Kuvil itu saiznya tidak lebih dari sebesar ibu jari, namun wajah Dom berubah drastik. Dia mengutip serpihan kecil itu dengan tangan yang menggeletar teruja.

Satu senyuman lebar mekar pada bibir kasarnya.

Dengan kelincahan jari yang membelakangi usianya, Dom memetik serpihan batu tersebut. Percikan api biru meletus kecil. Haba panas mendadak meruap di udara.

Dom tidak sekadar membakar tayar itu. Dia pantas mengutip beberapa sisa hos getah dan plastik tebal dari runtuhan berhampiran. Nyalaan api biru itu dihalakan tepat pada bahan buangan tersebut sehingga ia melebur likat.

Tanpa mempedulikan bau hangit yang menusuk hidung, tangan Dom lincah meratakan leburan getah panas itu ke atas permukaan tayar yang mereput, menyumbat setiap rekahan yang ada.

Haba anomali dari Batu Kuvil itu tidak hanya membakar; ia mengimpal. Molekul getah yang mati kembali bercantum. Tayar tersebut tidak berubah menjadi baharu, sebaliknya ia memejal membentuk lapisan getah mampat yang kasar, berparut tebal, namun keras persis konkrit.

Hanya dalam masa beberapa minit, kepingan logam berkarat, paip bengkok, dan empat roda tayar itu berjaya dikimpal dan siap dicantumkan. Dom telah menghasilkan sebuah troli besi empat tayar yang kukuh.

Sebelum kembali kepada Zayn, Dom beralih semula ke arah sisa enjin bas berkarat berhampirannya. Tangannya lincah merentap keluar sebentuk gegelung dawai tembaga dan sebuah kapasitor kuasa yang masih utuh.

Menggunakan lebihan haba Batu Kuvil, Dom memanaskan sekeping sisa logam. Keluli yang memerah panas itu diketuk dan dibengkokkan pantas berlapikkan batu. Perlahan-lahan, ia membentuk satu struktur mampat yang melengkung pada bahagian pemegang dengan satu laras lurus—persis bentuk asas sebuah pistol.

Dom menyumbat komponen enjin tadi ke dalam rongga laras besi tersebut. Satu percikan cas elektrik kecil berdesir tajam sewaktu hujung wayarnya dipintal kasar, menghasilkan bunyi renjatan yang halus.

Sebaik sahaja siap, senjata aneh itu disisip kemas ke pinggang seluarnya. Senyuman kelicikannya kembali terukir.

Dom berjalan pantas ke arah Zayn. Luka remaja itu dibalut seadanya menggunakan cebisan kain rentang buruk. Tubuh Zayn yang terkulai layu kemudian diangkat perlahan dan diletakkan ke atas troli.

Dom meludah ke atas tapak tangan lalu menggenggam kuat pemegang troli tersebut. Dia mula menolak, meredah laluan pasir berbukit merentasi kegelapan.

Sambil menolak, mata Dom sesekali melirik pada wajah Zayn yang masih pengsan.

Pada mulanya, dia sekadar mahu menarik remaja ini keluar dari penjara kerana kasihan. Namun kini, rencananya telah berubah sepenuhnya. Kekuatan yang Zayn pamerkan sebentar tadi seolah-olah membuka kembali jalan untuk menjayakan sebuah misi yang sudah terlalu lama terkubur.

“Nampaknya, manusia masih ada harapan lagi…” bisik Dom sendirian.

Bibirnya tersenyum puas. Troli besi itu terus ditolak rancak, menyelinap hilang ke dalam perut sisa pesisir pantai Terengganu.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset