Switch Mode

Bintang Utara: R.I.M.A.U – Bab 7

Dominic Ooi

Angin laut yang menderu kencang gagal memadamkan bau hanyir darah yang meluap pekat di ruang udara malam.

Derapan but berat memijak pasir pantai, sedikit menenggelamkannya ke bawah. Langkah itu diatur perlahan namun penuh disiplin ketenteraan. Kapten Malik menghentikan pergerakannya tepat di tubir sebuah kawah pasir yang terhasil daripada satu impak hentaman yang amat dahsyat.

Dia berseorangan.

Sut Mekanika Bintang Kuning Satu miliknya tidak lagi melepaskan wap panas mahupun memancarkan cahaya biru terang sepertimana ketika pertempuran di Penjara Terapung 08.

Segalanya dimalapkan ke tahap minimum. Malik sengaja mengunci sistem Sut Mekanika pada tetapan senyap, membiarkan susuk tubuhnya sebati dengan kegelapan bayang-bayang rangka kenderaan berkarat dan runtuhan konkrit di pesisir pantai tersebut.

Radar di sebalik visor gelapnya tidak menunjukkan sebarang bacaan haba biologi di radius terdekat, tetapi naluri perangnya menjeritkan amaran yang berbeza. Jari telunjuk Malik kekal melekat pada picu pistol tenaga di pinggang.

Di wilayah luar kubah pelindung Nusantara, terlampau yakin adalah tiket paling pantas ke alam barzakh.

Matanya yang tajam menyoroti segenap pelosok tapak penyembelihan tersebut.

Lima bangkai raksasa mutasi bergelimpangan. Semuanya bersaiz gergasi. Jalinan urat biru yang menimbul pada kulit kasar haiwan-haiwan itu sudah pudar cahayanya, tanda nyawa mereka telah lama direntap keluar.

Malik melangkah perlahan menghampiri bangkai raksasa yang terhempas rapat pada sisi rangka bas persiaran. Dia merendahkan tubuh, membelek tengkorak tebal haiwan itu yang remuk berkecai ke dalam.

Dahinya berkerut.

Dia bangkit dan beralih pula ke arah bangkai ketua raksasa yang terbenam di dasar kawah pasir. Tulang rusuk haiwan itu hancur sepenuhnya, meranapkan segala organ dalaman menjadi sisa daging hancur yang tidak lagi berbentuk.

“Apa yang jadi dekat sini?” gumam Malik perlahan. Suara garaunya tenggelam di sebalik bunyi deru ombak.

Sebagai kapten elit Pasukan Khas Nusantara, minda taktikal Malik ligat membina semula visual pertempuran tersebut. Hujung jari perisainya mencalit darah pekat pada rusuk haiwan itu. Tiada sebarang sisa kuasa anomali dikesan.

Bukan Kala.

Kemusnahan di pesisir pantai ini langsung tiada ciri serangan kosmik. Tiada kesan lecuran api. Tiada hirisan rapi belati angin. Tiada kesan rekahan graviti. Malah, entiti Kala terlalu angkuh untuk menyentuh raksasa kotor ini dengan tangan kosong.

Jika bukan Kala, adakah ini operasi rahsia R.I.M.A.U atau skuad negara jiran?

Malik menggeleng. Andaian itu juga mati. Bangkai-bangkai ini bersih daripada sisa senjata moden. Tiada walau sebutir peluru konvensional. Tiada kulit yang hangus ditebuk tembakan laser. Tiada juga sisa radiasi biru yang sering ditinggalkan oleh Sut Mekanika.

Luka-luka di hadapannya ini terlalu primitif. Terlampau kasar dan langsung tidak berseni.

Setiap tengkorak yang pecah dan rusuk yang hancur terhasil daripada satu hentaman daya fizikal yang terlalu brutal. Ia seolah-olah raksasa-raksasa ini telah dihentak berulang kali menggunakan sebuah bongkah besi padu seberat puluhan tan yang diayunkan pada kelajuan peluru.

“Ada pemangsa liar jenis lain dekat sini?”

Malik bangkit berdiri tegak. Matanya meliar menikam kegelapan runtuhan konkrit di sepanjang pantai itu.

Jika bukan Kala, dan bukan juga Skuad Mekanika… makhluk jenis apa yang dikurniakan dengan kudrat sekejam ini?

Satu kemungkinan melanggar benaknya. Remaja pelik dari Penjara Terapung 08. Anomali tunggal yang menjadi sasaran Kala dan Mejar Amirin. Mengikut rakaman kamera litar tertutup yang berjaya dipintas oleh pasukannya daripada lohong pembuangan paip penjara tadi, jejak sasarannya menghala tepat ke pesisir pantai ini.

Adakah remaja kurus tanpa sebarang perisai pelindung itu yang membunuh kejam kesemua raksasa ini hanya dengan tangan kosong? Atau adakah remaja itu sebenarnya telah dibaham menjadi mangsa oleh pemangsa baharu yang kini sedang berkeliaran merayau di luar sana?

“Siapa kau sebenarnya, budak? Habis kecoh satu Nusantara.” Malik mengetap rahangnya keras. Pistol tenaga ditarik kemas dari sarung. Langkahnya bersedia untuk mendepani apa sahaja anomali yang menanti di sebalik bayang-bayang sisa tamadun Terengganu ini.

Malik kembali merendahkan tubuhnya, memerhati keadaan pasir dengan lebih teliti. Di bawah panahan cahaya bulan yang samar, penderia visualnya tertancap pada sesuatu yang ganjil.

Bukan lekukan tapak kasut. Tetapi dua alur garis mampat yang diseret memanjang lurus ke hadapan, merentasi pepasir menuju ke arah utara.

Kesan tayar berat.

Dahi Malik berkerut curiga. Tiada kenderaan perisai tentera yang mendapat kelulusan untuk beroperasi di luar perimeter ini malam ini. Dengan pantas, dia menjejak laluan alur tersebut. Langkahnya yang tadi perlahan kini dikunci pantas menjadi larian taktikal, memburu sisa jejak di celah-celah runtuhan tamadun.

Beberapa kilometer dari situ, nafas Dom menderu laju bagaikan injap enjin yang hampir pecah. Paru-paru tuanya terasa perih seolah-olah disiat dari dalam. Rasanya sudah belasan minit dia berlari meredah kawasan itu dari berpasir sehingga ke kawasan jalan raya yang sudah rosak itu sambil menolak troli besi yang mengangkut tubuh Zayn.

Kudrat tuanya yang sudah merosot dikerjakan seksaan penjara bertahun-tahun lamanya, kini dipaksa bekerja menongkah had fizikal.

Dom mematikan langkah. Troli besi itu diberhentikan sementara dia terbongkok-bongkok mencengkam lutut menahan lelah. Peluh dingin merembes deras membasahi parut tebal di wajahnya.

Sambil menyedut nafas rakus, tangan kanannya pantas meraba objek besi sejuk di pinggang seluarnya. Jari kasarnya mengusap laras senjata buatan sendiri yang dikimpalnya menggunakan lebihan cas kapasitor enjin bas sebentar tadi.

“Kalau aku jumpa Batu Kuvil yang lebih besar, aku boleh buat lebih baik,” gumam Dom perlahan. Satu senyuman sinis mekar di bibir, cuba menyedapkan hati sendiri.

Belum pun sempat Dom menolak semula troli tersebut, satu deruan angin yang amat kuat membelah ruang udara di atas kepalanya.

Satu susuk tubuh melompat dari bumbung runtuhan bangunan lantas mendarat pantas hanya beberapa meter di hadapannya. Impak pendaratan itu menyebabkan pasir dan debu konkrit berterbangan meliar.

Tubuh Dom menegang. Rahangnya diketap keras tatkala sepasang matanya menangkap reka bentuk teknologi di sebalik debu yang bertebaran itu.

Sut Mekanika berserta ukiran Bintang Kuning Satu. Lelaki di hadapannya ini adalah Mekanika sama yang merempuh Kala gergasi tanpa gentar di dalam penjara terapung beberapa jam yang lalu.

“Cis… bala betul,” desis Dom perlahan, tangannya terus dikunci bersedia pada hulu senjata pada pinggang seluarnya. Dia langsung tidak menyangka anggota Mekanika itu mampu memintas jejaknya secepat ini. Tapi mujurlah hanya seorang sahaja Mekanika yang muncul. Jika satu skuad, nasibnya sudah lama dinoktahkan.

Di sebalik visor yang dimalapkan itu, Kapten Malik terus mengaktifkan penderia imbasan retina. Cahaya laser halus memancar sepintas lalu, merayap ke seluruh wajah berparut orang tua itu. Dalam masa kurang tiga saat, pangkalan data bersepadu Sut Mekanika memaparkan profil jenayah lelaki tua itu pada antara muka (HUD) visor Malik.

“Dominic Ooi,” suara garau Malik memecah kesunyian malam, kedengaran bergetar dingin dari corong interkom helmetnya. “Pakar pencipta senjata haram dan salah seorang anggota pengasas Bayang Purba. Kumpulan pengganas ekstremis yang memulakan pemberontakan menentang sistem pemerintahan berpusat Wilayah Nusantara, serta penentang mutlak program penciptaan Sut Mekanika.”

Dom menelan liur kelat.

“Habis tu?” balas Dom sengit. “Kau nak aku sokong kau orang?”

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset