Deruan ombak yang ganas memecah kesunyian malam. Tubuh mereka dihempas kasar ke dada pantai.
Zayn merangkak naik ke atas pasir putih dengan nafas yang tercungap-cungap. Tekak dan hidungnya terasa perih dikerjakan air garam. Di sebelahnya, lelaki tua berparut itu terbatuk-batuk teruk, memuntahkan sisa air laut yang tertelan sewaktu mereka bergelut meredah arus lautan yang gelap.
“Buka sut tu. Cepat!” arah lelaki berparut itu separuh berbisik. Suaranya tenggelam timbul di sebalik tiupan angin laut. “Kita perlu cari tempat berlindung. Sekarang.”
Zayn tidak membantah.
Tangannya yang masih menggeletar menahan sejuk pantas merentap zip di bahagian dada. Dalam beberapa saat sahaja, sut selam berserta alat pernafasan itu ditanggalkan, mendedahkan semula pakaian buruk penjara yang melekat pada tubuhnya.
Dia mencampakkan kelengkapan berat itu ke tepi sebelum merenung tepat ke arah lelaki tua di hadapannya. Pandangannya redup, sarat dengan seribu satu persoalan.
Lelaki itu yang baru sahaja selesai melucutkan kelengkapannya tersentak kecil. Dia membalas renungan Zayn dengan dahi yang berkerut.
“Kenapa kau pandang aku macam tu?” soal lelaki itu.
“Kau… siapa sebenarnya?” Zayn menyoal kembali.
Satu senyuman sinis mekar pada bibir lelaki tersebut, mempamerkan barisan giginya yang rongak. “Panggil aku Dom.”
“Kenapa kau pilih untuk selamatkan aku seorang?”
Dom melepaskan tawa seraknya. Dia menepuk-nepuk pasir yang melekat pada telapak tangannya. “Sebab tahanan lain dalam sel kita dan sel lain jauh lebih laju melarikan diri, budak. Bila dinding tu pecah, mereka semua terus lesap. Tinggal kau seorang yang masih terkebil-kebil tengok orang bertarung.”
Zayn terdiam. Mindanya ligat memproses logik kata-kata Dom.
Jika difikirkan semula, dia memang tidak perasan ke mana perginya dua orang tahanan yang menggigil di sudut sel tadi. Maksudnya, mereka pantas mengambil peluang untuk meloloskan diri sebaik sahaja pertempuran bermula. Ini bermakna, Dom sememangnya sengaja menghabiskan masa menunggu semata-mata untuk menariknya keluar dari runtuhan penjara terapung tersebut bersama-sama.
“Terima kasih,” ucap Zayn perlahan. Tulus.
“Baru sedar yang aku memang tunggu kau?” balas Dom sambil ketawa kecil. “Aku tak rasa kau ni ancaman dan layak untuk berada di sana, budak.”
Usai berkata-kata, dia menjeling tajam ke arah laut yang gelap gelita, memerhati sebarang tanda-tanda kehadiran bot peronda tentera yang mengejar.
Zayn turut meninjau keadaan sekeliling. Sepanjang matanya memandang, dia hanya mampu melihat hamparan pasir putih yang disimbah cahaya bulan yang samar-samar. “Kau tahu ke kita ada di mana sekarang?”
“Kalau ikut arah laluan paip pembuangan tadi dan jarak kita berenang melawan arus…” Dom mengecilkan matanya, mencongak logik geografi di dalam kepala. “Kita sekarang sepatutnya berada di pesisir pantai Terengganu.”
“Terengganu?” Zayn mengulang sebut nama tempat itu. Lidahnya terasa sangat kekok.
“Kenapa? Ada teringat apa-apa?”
Zayn menggeleng perlahan. “Tak. Semuanya terasa asing. Tempat ini… nama itu.” Dia berjeda seketika sebelum memandang tepat ke mata Dom. “Tapi, apa yang pelik, aku boleh faham dan bercakap dalam bahasa yang sama dengan kau. Maksudnya… kita berasal dari tempat yang sama, bukan?”
Satu lagi derai tawa pendek meletus dari tekak Dom. “Boleh jadi sama, boleh jadi dari tempat lain. Sebab kalau kau nak tahu, bunyi lenggok percakapan kau ni pelik. Macam orang luar.”
“Orang luar? Orang mana?” Dahi Zayn berkerut.
Dom mengangkat bahu. “Entah. Orang luar dari wilayah Nusantara ni selalunya bunyi macam kau lah,” selorohnya, masih bersisa dengan ketawa.
Dia kemudiannya memusingkan tubuh, menghadap ke arah runtuhan blok konkrit yang kelihatan sayup-sayup di hujung pantai. “Dah. Kita kena gerak sekarang.”
“Kau tahu nak ke mana?”
“Aku akan cuba cari cara selamat untuk hubungi kawan lama aku. Tapi sekarang kita kena jauhkan diri dari pantai. Aku risau Kala atau Skuad Mekanika datang menjejaki kau ke mari.”
Langkah Zayn terhenti sejenak. Kala… Skuad Mekanika. Dia menggumam dua nama itu berulang kali di dalam hati, cuba memahatnya ke dalam ingatan.
Dom yang menyedari Zayn ketinggalan di belakang, menoleh. Matanya mengecil memandang remaja itu.
“Di penjara tadi, aku nampak dengan jelas Kala gergasi tu berjalan ke arah kau. Jadi, aku yakin kau adalah sasaran mereka.” Dom menjeda seketika, menimbang serba salah. “Ada Kala tu cuba berinteraksi dengan kau? Guna telepati, mungkin?”
Soalan itu ibarat sebongkah batu besar yang dihempap tepat ke dada Zayn. Kata-kata Kala gergasi tadi kembali bergema di dalam mindanya. Zayn menelan liur. Dia membuka mulut untuk menjawab, namun lidahnya menahan kebenaran.
“Tak ada,” balas Zayn, ringkas.
Sepasang mata Dom yang setajam serigala tua itu pantas menangkap keraguan pada jawapan Zayn. Namun, Dom hanya mengangkat sedikit keningnya, memilih untuk tidak mendesak.
“Kalau macam tu, kenapa kau rasa Skuad Mekanika pun nak tangkap aku juga?” soal Zayn pantas, cuba melarikan topik perbualan.
“Manalah aku tahu,” jawab Dom acuh tak acuh sambil menyambung langkah. “Tapi, logiknya mudah. Kalau entiti pemusnah dunia macam Kala pun cari kau, tak peliklah kalau pihak tentera Nusantara pun cari kau hidup-hidup.”
Zayn terdiam akur. Realiti baharu yang mengikat nyawanya kini terasa amat membebankan.
Mereka berdua berjalan merentasi pesisir pantai tersebut dengan langkah yang berjaga-jaga. Namun, semakin jauh mereka berjalan, keindahan pantai berpasir putih itu mula dicemari dengan parut-parut kemusnahan.
Zayn memerhati ngeri rangka kereta berkarat yang separuh tenggelam di dalam pasir. Bongkahan konkrit bangunan yang ditumbuhi belukar liar berserakan di merata-rata tempat, seolah-olah dicampak dari dada langit. Tidak jauh dari situ, runtuhan jambatan lebuh raya terputus dua, melengkung kaku ke arah lautan bagaikan sebuah tugu kematian.
Tempat itu tidak ubah seperti tapak pelupusan sisa tamadun lampau.
“Apa… apa yang dah berlaku dekat sini?” soal Zayn. Suaranya bergetar melihat skala kemusnahan di sekelilingnya.
Dom berhenti melangkah. Dia memandang wajah Zayn lama sebelum melepaskan keluhan berat. “Teruk betul penyakit hilang ingatan kau ni.” Tangannya diayunkan ke arah hamparan konkrit hancur di hadapan mereka. “Ini semua peninggalan peristiwa Retakan, tiga puluh tahun lepas.”
“Retakan?”
“Ya. Masa langit tiba-tiba merekah dulu, gerombolan Kala muncul mencengkam bumi. Mereka serang sana, serang sini. Bunuh jutaan manusia. Bawa kemusnahan ke seluruh dunia,” hurai Dom. Suaranya perlahan-lahan bertukar parau.
Zayn menelan liur. Matanya tidak lepas daripada memandang rangka sebuah bas persiaran yang diselimuti akar menjalar. “Jadi… semua kemusnahan ni… sebab Kala?”
Dom mengangguk perlahan. Dia membuang pandang ke arah ufuk horizon yang gelap.
“Dulu… kawasan ni sangat meriah. Cantik. Tenang. Orang awam datang hujung minggu, bawa keluarga berehat, mandi-manda. Makanan di Terengganu ni bukan main sedap lagi. Keropok lekor, nasi dagang…” Dom mengukir senyum pahit, tenggelam sebentar dalam pusaran nostalgia dunia yang tidak akan mungkin kembali.
Zayn mendengar dengan tekun.
Penceritaan Dom perlahan-lahan melukiskan satu gambaran yang amat asing di dalam kepalanya. Sebuah dunia hijau yang aman tanpa ketakutan. Namun, tatkala Zayn cuba memaksa fikirannya menggali lebih dalam untuk melihat bayangan dunia tersebut, satu denyutan yang amat tajam terus menikam saraf otaknya.
“Argh!”
Zayn jatuh melutut di atas pasir putih. Kedua-dua belah tangannya mencengkam kuat tengkorak kepalanya. Rasa sakit itu datang menerpa tanpa amaran, seolah-olah ada sebilah pisau panas yang sedang diputar di dalam kepalanya.
“Arghhh!!”
Zayn menjerit sekuat hati. Kesakitan itu merobek batasan kewarasannya.
Dom tersentak. Riak wajah orang tua itu drastik bertukar panik.
“Hei! Apa masalah kau ni?!” Dom meluru ke arah Zayn, cuba menekup mulut remaja itu. “Senyap, budak! Jangan menjerit dekat kawasan luar macam ni!”
Namun, jeritan Zayn tidak mampu dibendung. Ia bergema membelah kesunyian malam, memantul garang pada sisa runtuhan konkrit di sekeliling mereka.
Dom melepaskan keluhan resah. Peluh sejuk mula merembes laju membasahi dahi. Dia sangat arif tentang hukum alam di luar sempadan kubah. Bunyi yang kuat adalah jemputan terbuka kepada pemangsa maut.
Satu deraman yang amat rendah dan garau bergetar dari celah rangka bas persiaran berhampiran.
Darah Dom tersirap. Dia perlahan-lahan menoleh ke belakang. Di sebalik bayang-bayang rangka kenderaan berkarat itu, sepasang demi sepasang mata merah mula menyala menembusi kegelapan.
Empat ekor raksasa melangkah keluar satu per satu.
Rupa bentuknya menyerupai anjing liar, namun saiz tubuh raksasa-raksasa itu menyamai seekor anak lembu. Di sebalik bulu kelabu yang kotor, kelihatan jalinan urat tebal yang memancarkan cahaya biru malap. Urat-urat itu berdenyut ganas di bawah kulit, memancarkan sisa radiasi Batu Kuvil, tanda mereka adalah haiwan yang bermutasi menjadi raksasa. Liur likat menitis laju dari barisan taring yang meruncing tajam.
“Jangan bersuara, budak. Diam,” bisik Dom perlahan.
Jantung tua itu berdegup kencang. Dia mengundur beberapa tapak. Matanya meliar mencari apa-apa sahaja di atas pasir yang boleh dijadikan senjata. Sekeping besi tajam, ranting belukar, serpihan konkrit—apa-apa sahaja.
“Tak cukup nak lawan raksasa ni,” gumam Dom perlahan.
Memandangkan mereka terpaksa berenang meredah lautan tadi, dia tidak terfikir untuk mengutip sebilah pisau dari mayat pengawal penjara. Kini, dengan kudrat tuanya yang masih lemah dijamah seksaan bertahun-tahun di dalam sel, ditambah pula dengan kepenatan berenang meredah arus laut, Dom tahu tenaganya bukan berada di puncak.
Dalam kekalutan itu, raksasa mutasi yang paling besar—ketua kepada kawanan tersebut—merendahkan tubuhnya, bersedia merobek mangsa yang tidak bersenjata di hadapan mereka.