Switch Mode

Bintang Utara: R.I.M.A.U – Bab 3

Rancangan

Zayn mengutip sut selam itu. Pergerakannya sedikit teragak-agak.

Fikirannya masih kelam. Dia langsung tiada memori tentang apa yang sedang berlaku, mengapa dia berada di sini, dan ke mana harus dia pergi. Namun, matanya melirik pantas menembusi jeriji sel yang sudah ranap.

Letusan tenaga biru, dan pusaran ruang terus memporak-perandakan koridor penjara. Skuad Mekanika 30 dan empat entiti Kala sedang bertarung nyawa, saling membalas serangan maut tanpa mempedulikan kemusnahan mereka di sekeliling.

Zayn tahu, ini bukan tempatnya. Fikirannya terus diganggu oleh suara entiti gergasi tadi.

Bintang Utara? Dia tahu ke aku siapa?

Jika difikirkan semula, berbanding dirinya sendiri atau mereka yang digelar Mekanika itu, besar kemungkinan hanya entiti kosmik inilah yang tahu sejarah lampaunya.

Mungkin… aku patut ikut mereka?

“Tunggu apa lagi? Pakai cepat!” desak lelaki tua berparut itu separuh berbisik, mematikan lamunan Zayn. Tangannya begitu lincah menyarungkan sut hitam kalis air itu ke tubuhnya sendiri. “Kau tahu kan apa nasib kita nanti? Semua yang ada di sini, yang dikurung dalam penjara ni, semuanya akan dibunuh!”

Zayn menelan liur. Memandangkan dia sendiri buntu, dia memilih untuk tidak membantah. Naluri kelangsungan hidupnya pantas mengambil alih. Segala persoalan yang menyesakkan minda boleh dijawab kemudian. Asalkan dia terus bernafas, dia masih boleh mencari jawapan kepada segala persoalan.

Sambil ekor matanya mengawasi pergerakan Kapten Malik yang sedang mengasak Kala gergasi, Zayn pantas menyarung sut selam dan alat bantuan pernafasan itu ke tubuhnya.

“Kita nak lalu mana?” soal Zayn. Kelam-kabut, matanya meliar mencari arah keluar di sebalik kekacauan pertempuran yang sedang memuncak.

Lelaki tua itu tersenyum licik. Dia menurunkan telapak tangannya, memberi isyarat perlahan supaya Zayn bersabar. Matanya tajam merenung ke arah pertembungan Kapten Malik dan entiti gergasi di tengah-tengah koridor.

Bukan mereka sahaja yang sedang mencari jalan keluar.

Di luar sel, keadaan sudah bertukar menjadi zon maut yang huru-hara. Baki pengawal penjara dan anggota Pasukan Khas Nusantara tidak lagi mempedulikan protokol keselamatan, jauh sekali mahu memikirkan nasib para tahanan. Nyawa mereka lebih berharga. Masing-masing sibuk memapah rakan yang cedera dan merangkak laju berundur dari blok tersebut, membiarkan Skuad Mekanika 30 menahan asakan musuh.

Itulah ruang lengah yang dinantikan oleh lelaki berparut tersebut.

Tepat pada saat Kapten Malik melepaskan letusan tenaga biru dari telapak tangannya, satu gegaran kinetik yang amat dahsyat meledak. Pertembungan kuasa itu memporak-perandakan struktur penjara terapung.

Tubuh Kala gergasi setinggi tiga meter itu gagal menahan impak lantas terpelanting deras ke belakang. Susuk pucat itu merempuh hancur dinding keluli penahan tekanan yang terletak tepat di sebelah sel mereka.

Logam tebal itu remuk dan terkoyak luas.

Serta-merta, angin malam yang membeku dan berbau masin laut menderu masuk dengan ganas. Ia mendedahkan kegelapan Laut China Selatan yang sedang bergelora membadai berpuluh meter di bawah sana.

Lelaki berparut itu memalingkan wajahnya ke arah Zayn. Deruan angin laut menampar-nampar wajahnya. Senyuman nakal terukir lebar pada bibirnya.

“Hah. Tu jalan keluar kita.”

Tatkala Skuad Mekanika 30 dan entiti Kala kembali bertempur nyawa, mereka berdua pantas merangkak keluar melalui koyakan dinding keluli yang masih berasap itu. Tanpa disedari oleh walau sepasang mata pun, Zayn dan lelaki tua itu terus menyelinap laju ke dalam bayang-bayang paip gergasi yang menghala ke injap pelepas di laut lepas.

Sementara itu, satu lagi dentuman bergema apabila Kapten Malik menghentak Kala gergasi itu ke dinding koridor.

Pada masa yang sama, enam anggota Mekanika di bawah pimpinannya pantas membentuk formasi pertahanan separa bulatan. Mereka melancarkan serangan bertali arus, berjaya menolak tiga Kala yang lain ke belakang, sekali gus membuka satu ruang selamat untuk baki pengawal Pasukan Khas Nusantara yang cedera parah.

“Pasukan perubatan, bawa yang tercedera ke belakang!” laung salah seorang Mekanika wanita. Sambil memberi arahan, pistolnya pantas melepaskan tembakan tenaga bagi mematahkan manipulasi angin musuh.

Beberapa orang pengawal lantas memapah rakan mereka ke zon selamat di hujung koridor. Nafas mereka tercungap-cungap menahan perih. Namun, mata mereka tidak mampu terlepas daripada menyaksikan Skuad Mekanika 30 yang sedang mendominasi medan pertempuran.

“Hebat… Mereka memang luar biasa,” gumam seorang pengawal Malaysia. Tangannya menekan kuat luka di bahu yang terus berdarah. Matanya bersinar penuh kekaguman melihat pacuan cahaya biru malap dari Sut Mekanika tersebut.

Pengawal Singapura di sebelahnya mengangguk laju. “Ini kali pertama aku nampak Skuad Mekanika bertarung depan mata. Kemampuan mereka… seolah-olah legenda Mekanika Generasi Pertama itu hidup semula.”

“Tiga puluh tahun lepas…” suara pengawal Indonesia itu bergetar, sarat dengan rasa takjub dan ngeri tatkala menyoroti sejarah gelap dunia. “Sewaktu Retakan mula-mula terjadi, senjata konvensional kita masih bisa menembus kulit Kala. Tapi makin lama, gelombang entiti yang keluar dari Retakan tu makin kebal.”

“Sebab itulah artifak purba terpaksa dibangkitkan,” celah Ketua Penjara yang sedang menahan sakit merawat luka parah pada kakinya. Suaranya serak mengimbau sejarah agung umat manusia. “Sejarah mencatatkan, semuanya bermula beberapa hari selepas Rekahan. Hanya seorang pahlawan dari setiap negara yang terpilih. Di Malaysia, artifak itu muncul dalam bentuk sebilah keris dengan hulu bermotifkan harimau.”

“Di Indonesia, sebuah perisai kebal dengan sayap garuda,” tambah pengawal Indonesia itu dengan nada bangga.

“Singapura dengan kelewang bermotif singa, dan Brunei dengan senapang bermotif helang,” tambah Ketua Penjara itu lagi. “Pahlawan pertama dari setiap negara inilah yang berjaya membangkitkan Sut Mekanika dan menggunakan senjata purba tersebut untuk melawan entiti kosmik ini.”

“Tapi sayangnya…” Pengawal Singapura menelan liur sambil merenung Kapten Malik yang sedang bergelut sengit. “Walaupun semakin ramai manusia dikurniakan kuasa Sut Mekanika hari ini, mereka masih gagal membunuh kesemua Kala. Kuasa sut itu hanya mampu mengekang serangan mereka.”

Kata-kata pesimis pengawal Singapura itu pantas diterjemahkan kepada realiti di hadapan mata mereka.

Di tengah-tengah koridor, Kala gergasi menangkis tumbukan kencang Kapten Malik menggunakan satu libasan tangan yang sangat kuat. Kapten itu terundur beberapa tapak. But Sut Mekanika miliknya menggeser lantai keluli sehingga menghasilkan deretan percikan api.

Kala gergasi itu kembali berdiri tegak. Mata emasnya tidak lagi memandang Kapten Malik. Sebaliknya, pandangan entiti itu mencerlung tajam menembusi asap pertempuran, menghala terus ke arah sel tahanan yang sudah musnah.

Sel itu kosong.

Kala gergasi itu terdiam. Ruang udara di sekelilingnya bergetar halus, menghantar isyarat telepati secara terus kepada tiga rakannya. Kapten Malik menangkap reaksi pelik entiti itu namun dia memilih untuk tidak segera bertindak. Dia ingin melihat apa sebenarnya tujuan mereka datang ke sini.

Tanpa sebarang pergerakan, Kala yang memanipulasi ais dan angin membatalkan serangan mereka secara serentak. Entiti-entiti pucat itu berundur pantas, meluncur lalu berkumpul rapat di belakang Kala gergasi.

Satu lohong hitam yang memutarbelitkan dimensi perlahan-lahan merekah di belakang susuk mereka.

Kala gergasi itu memandang wajah Kapten Malik buat kali terakhir. Wajah pucatnya kekal tanpa sebarang emosi. Bibirnya tidak bergerak, namun satu suara asing bergema keras, menghentak terus ke dalam minda Kapten Malik.

“Kau tunggu balasannya nanti.”

Kapten Malik membalas ugutan itu dengan senyuman sinis.

“Teleportasi?” ujar salah seorang Mekanika Bintang Putih Dua, merendahkan kekuda serangannya. “Kita nak kejar ke, Kapten?”

Kapten Malik mengangkat tangannya. “Jangan. Kita tidak tahu ke mana lohong itu menghala. Jika ke sarang musuh, kita hanya menempah maut.”

Keenam-enam anggota bawahannya mengangguk faham. Sekalipun begitu, senjata mereka tetap diacu waspada, risau sekiranya musuh merangka serangan hendap.

Dalam sekelip mata, keempat-empat entiti kosmik itu melangkah masuk ke dalam lohong hitam tersebut. Rekahan dimensi itu tertutup rapat, melenyapkan mereka sepenuhnya tanpa meninggalkan sebarang jejak melainkan kemusnahan berdarah di dalam blok penjara.

Keadaan tiba-tiba bertukar sunyi. Kebingitan pertempuran di antara kebanggaan manusia dan Kala kini digantikan dengan bunyi rintihan mangsa yang cedera dan percikan wayar elektrik yang putus.

Kapten Malik menurunkan perisai tenaganya. Sut Bintang Kuning Satu miliknya melepaskan wap penyejuk yang berdesir kuat. Dia tidak langsung meraikan pengunduran musuh itu. Sebaliknya, dia berpaling laju dengan riak yang menegang di sebalik visor gelapnya.

Dia melangkah gagah meredah runtuhan, menghampiri Ketua Penjara yang sedang bersandar lemah pada dinding keluli.

“Di mana dia?” soal Kapten Malik. Suara garaunya menuntut jawapan mutlak.

“Tuan?” Ketua Penjara itu mengerutkan dahi, bingung.

“Tahanan dari Zon Merah. Anomali yang Mejar Amirin arahkan untuk kami bawa pulang. Di mana dia?!” soal Kapten Malik, nadanya kini bertukar jauh lebih keras.

Ketua Penjara itu tersentak. Dia tidak pernah tahu ada arahan sebegitu diberikan. Dia lantas menuding jari ke arah sel yang terletak di hujung lorong. “Di sana! Blok Keselamatan Maksimum. Sel 08!”

Tanpa berlengah, Kapten Malik melangkah ke arah sel tersebut, diikuti rapat oleh dua orang anggota pasukannya. Namun, sebaik sahaja kakinya menjejak lantai di hadapan sel yang jerijinya sudah musnah itu, langkah Kapten Malik mati.

Lampu dari perisai dadanya menyuluh pantas ke dalam ruang sel yang gelap.

Kosong.

Hanya terdapat pakaian buruk dan selimut koyak yang terapung di atas genangan air masin. Tiada bayangan remaja itu, mahupun mana-mana tahanan yang berkongsi sel dengannya.

Kapten Malik mengetap rahang.

“Mana dia?!” laung Kapten Malik membelah kesunyian. Penumbuknya digenggam begitu erat sehingga perisai kelulinya berderak keras.

Sasarannya, anomali tunggal yang menjadi buruan seluruh Nusantara… kini telah hilang dari radar.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset