Jari-jemari pucat entiti gergasi itu dihulurkan dengan perlahan.
Ruang udara di sekeliling hujung jarinya bergetar halus. Tanpa walaupun satu sentuhan fizikal, palang jeriji keluli setebal lengan manusia di hadapan Zayn mula berkeriuk keras. Logam padat itu perlahan-lahan meleding, membengkok memutarbelitkan hukum fizik akibat tolakan kuasa entiti kosmik tersebut.
Lutut Zayn menggeletar hebat. Ketakutan yang teramat sangat segera mencengkam tangkai hatinya, menyekat aliran nafas di kerongkong. Dia berundur merangkak ke belakang sehingga bilah bahunya terlanggar dinding sel yang membeku.
Zayn menoleh pantas ke sekeliling.
Namun, lelaki tua berparut dan dua lagi tahanan di sudut sel itu sekadar merengkok rapat memeluk lutut di atas lantai. Mereka menggigil ketakutan, langsung tidak berani mengangkat muka untuk berhadapan dengan realiti ngeri yang sedang berlaku.
Zayn kembali merenung ke hadapan. Tubuhnya kejung, enggan menurut perintah. Hujung jari Kala setinggi tiga meter itu menceroboh masuk melepasi jeriji yang sudah melengkung sepenuhnya itu. Ia meleret halus di udara, hanya berbaki beberapa inci daripada permukaan wajah Zayn.
Satu dentuman keras bergema dari sisi koridor. Pergerakan Kala itu terhenti.
Namun, belum sempat dia berpaling, satu susuk tubuh meluru bagai kilat, merempuh tepat ke arah rusuk entiti gergasi itu. Namun, rempuhan padu berkelajuan peluru itu gagal menumbangkan sasarannya. Susuk pucat itu sekadar berganjak sedikit ke tepi, kekal teguh seolah-olah dipasak ke lantai.
Menyedari rempuhan fizikal itu gagal, penyerang tersebut terus melepaskan serangan susulan jarak dekat. Satu letusan gelombang tenaga biru berpusar meledak tepat di dada Kala.
Daya kinetik dari letupan padat itu menyentap keseimbangan entiti gergasi tersebut. Tubuh Kala itu terpelanting laju, merempuh hancur dinding keluli di hujung koridor.
Debu berat dan percikan logam berterbangan mengaburkan pandangan.
Dari celah kepulan asap tebal itu, tujuh susuk tubuh melangkah masuk. Derapan but tempur mereka bergema serentak, menjejak lantai yang masih lencun dengan darah mangsa korban. Perlahan-lahan, angka ‘30’ yang terukir terang pada dahi topi keledar visor gelap mereka mula kelihatan.
“Skuad Mekanika 30! Mereka dah sampai!” laung seorang pengawal yang terselamat. Suaranya pecah antara teruja dan kelegaan yang amat sangat.
Dari dalam sel, Zayn mengecilkan matanya. Ada terlalu banyak persoalan yang bermain di fikirannya.
Siapa mereka? Perisai jenis apa yang membalut tubuh mereka itu?
Ia jelas bukan sekadar kepingan besi taktikal. Sut itu kelihatan seolah-olah bernyawa. Di celah-celah sambungan logam tersebut, Zayn nampak urat-urat aneh yang memancarkan cahaya biru malap. Urat bercahaya itu menjalar liar, mencengkam tajam dan menembusi terus ke pangkal leher pemakainya.
Ia berdenyut-denyut sekata seiring dengan setiap hela nafas mereka, tidak ubah seperti lintah bercahaya yang sedang mengepam masuk tenaga ke dalam urat darah manusia.
Zayn meneliti lagi permukaan kiri dada enam anggota di barisan belakang. Tiga lelaki dan tiga wanita itu memakai perisai yang kelihatan lebih ringan dan nipis. Pada plat keluli mereka, Zayn menangkap perbezaan corak ukiran yang bercahaya. Tiga daripada anggota itu memiliki ukiran tiga butir bintang berwarna putih, manakala tiga lagi sekadar mempunyai dua butir bintang putih.
Namun, susuk gagah yang baru sahaja merempuh entiti gergasi tadi berdiri megah di posisi paling hadapan.
Sut miliknya ketara berbeza. Reka bentuknya jauh lebih tebal, nampak lebih kuat, dan sentiasa melepaskan tujahan wap penyejuk dari celah plat bahunya. Paling menonjol, di permukaan kiri dadanya terukir satu butir bintang tunggal berwarna kuning.
Cahaya kuning itu memancar garang seolah-olah meletakkan jurang pemisah bagi darjat kekuatannya waima jika dibandingkan dengan kesemua ahli skuad di belakangnya.
“Arahan, Kapten Malik?” soal salah seorang anggota berbintang putih tiga dari arah belakang. Senjatanya sudah siap dihalakan tepat ke arah tiga lagi Kala yang tenang tidak bereaksi sejak tadi.
“Formasi Tempur! Dua lawan satu!” laung Kapten Malik. Suara garaunya membelah kekacauan koridor, jelas kedengaran di sebalik topi keledar visor gelapnya. “Aku ambil yang paling besar.”
Arahan itu pantas disambut dengan tindakan. Tanpa membuang masa walau sesaat, enam Mekanika Bintang Putih itu berpecah kepada tiga pasukan. Penimbal graviti pada tumit but keluli mereka meletus terang.
Tarikan graviti bumi seakan-akan terpadam. Tubuh mereka meluncur deras ke hadapan, merobek angin bak peluru berpandu.
Pasukan pertama meluru deras membelah koridor, menghala tepat ke arah Kala yang memanipulasi ais.
Tanpa sebarang riak pada wajah, entiti pucat itu memetik jarinya. Serta-merta, bongkah tembok ais setebal lapan inci terbentuk teguh dari udara kosong, menghalang laluan.
“Aktifkan perisai!” laung Mekanika di posisi hadapan.
Rakannya mengangguk laju.
Dua Mekanika Bintang Putih Tiga itu langsung tidak memperlahankan rentak. Mereka menyilangkan lengan keluli serentak. Sebuah perisai tenaga berwarna biru muncul sekelip mata dari lengan sut mereka sebelum merempuh kasar bongkah ais tersebut.
Tembok itu hancur berderai menjadi serpihan ais. Menembusiserpihan itu, Mekanika pertama melancarkan tumbukan kuat terus ke dada Kala, manakala rakan sepasukannya melibas pedang tenaga ke arah kaki musuh dari sudut bawah, memaksa entiti itu pantas bertahan.
Di sisi lain, pasukan kedua bertindak laju mengambil alih ancaman seterusnya.
Kala yang kedua mula memampatkan ruang udara, pantas mencipta puluhan belati angin. Serangan dilepaskan tanpa sebarang reaksi pada wajahnya.
“Alih perhatian dia!” arah salah seorang Mekanika Bintang Putih Dua.
Tanpa lengah, but keluli mereka menyala terang. Sistem penimbal graviti terus mengurangkan tarikan graviti, membenarkan dua anggota Mekanika itu meluncur pantas memanjat permukaan dinding penjara secara menegak, mengelak serangan belati angin.
Dari sudut atas, mereka menghujani entiti tersebut dengan tembakan pistol tenaga tanpa henti. Asakan bertubi-tubi itu memaksa Kala tersebut berundur jauh ke belakang, tanpa mampu untuk mengatur serangan seterusnya.
“Hebat…” gumam Zayn yang memerhatikan segala apa yang berlaku, hanya mampu tergamam. “Siapa mereka ini?”
Baru sebentar tadi dia merasakan nyawa semua yang berada di sini akan tamat. Namun, kehadiran mereka yang dikenali sebagai Skuad Mekanika 30 ini telah mengubah semuanya.
Pasukan ketiga pula berdepan ancaman yang paling merbahaya di antara tiga Kala yang bersaiz manusia; Kala yang mengawal graviti.
Tapi mujurlah setiap kali penceroboh itu cuba meremukkan tubuh mereka dengan tekanan graviti yang ditambah, kelajuan dan ketangkasan fizikal Sut Mekanika menjadi penyelamat nyawa.
“Berpecah! Dia hanya boleh gunakan kuasanya pada satu titik pada satu masa!” jerit anggota Mekanika di sebelah kanan.
Kedua-dua anggota Bintang Putih itu melompat jauh ke arah bertentangan, mengelak maut tepat pada saat-saat akhir. Ruang kosong di atas lantai di antara mereka remuk sebelum berkecai menjadi sebuah lohong.
Sebaik sahaja but mereka menjejak lantai, mereka terus menghunus pedang tenaga yang mendesis nyaring. Bilah cahaya biru itu menari-nari rakus, melibas pantas musuh. Pertempuran jarak dekat mereka begitu laju sehingga mengaburkan pandangan.
Tetapi, di tengah-tengah koridor, pertarungan yang sebenar baru sahaja bermula.
Kala bersaiz gergasi itu perlahan-lahan bangkit dari runtuhan dinding. Ajaibnya, tiada walau sekelumit calar mahupun setitik darah pada tubuhnya.
Entiti itu menelengkan kepalanya sedikit. Sepasang mata emasnya merenung tajam ke arah Kapten Malik dengan pandangan yang angkuh. Riaknya masih kekal tanpa sebarang emosi.
“Kau ingat kau kebal?” dengus Kapten Malik.
Dia memecut deras ke hadapan. Kelajuannya jauh berlipat ganda berbanding ahli Mekanika yang lain. Lantai keluli melekuk teruk setiap kali but tempurnya menghentak bumi.
Entiti gergasi itu sekadar mengangkat perlahan sebelah tangannya.
Secara tiba-tiba, ruang udara di hadapan Malik termampat, cuba meremukkan tubuh kapten itu hidup-hidup. Namun, Malik tidak langsung memperlahankan rentak. Dia memusingkan tubuhnya di udara, mengelak pusaran ruang itu tepat pada saat-saat kritikal.
Sebaik merapati sasaran, telapak tangannya dihalakan lurus ke arah rahang Kala gergasi.
Satu letusan gelombang tenaga biru meledak membelah udara.
Impak pertembungan itu menghasilkan gegaran yang amat dahsyat. Tubuh Kala gergasi itu terseret jauh ke belakang, mengukir dua alur parut yang dalam pada permukaan lantai keluli.
Dari dalam sel yang sudah ranap sebahagiannya, Zayn hanya mampu memerhati. Dadanya berombak laju menyedut sisa udara. Pertempuran di hadapannya terlalu pantas, brutal, dan menongkah akal waras.
Apa… semua ni?
Aksi pertempuran di hadapan matanya persis dua Dewa Maut yang rakus mahu meragut nyawa satu sama lain.
Namun, tubuh Zayn memberikan satu reaksi yang ganjil. Haba panas mula merayap perlahan ke segenap urat sarafnya. Daripada menggigil ketakutan melihat tumpahan darah, nadi di lehernya berdenyut pantas akibat satu rasa teruja yang sukar dimengerti. Jantungnya berdegup laju, seolah-olah mendesak jasadnya untuk turut sama merempuh masuk ke medan peperangan itu.
Sedang leka melayan adrenalin tersebut, pandangan pinggir Zayn pantas menangkap satu pergerakan di sudut sel.
Lelaki tua berparut itu tidak lagi meronta-ronta di atas lantai. Rengekannya mati. Rona pucat pada wajahnya juga sudah pudar.
Sebaliknya, dia berdiri tegak. Bibir kasarnya mengukir satu senyuman senget yang penuh muslihat. Di kedua-dua belah tangannya, tergenggam kemas dua set kelengkapan selam berserta alat bantuan pernafasan.
Zayn mengecilkan mata. Entah dari mana orang tua itu mendapatkan kelengkapan tersebut di dalam tempat yang katanya penjara terapung ini, dia buntu. Tetapi, satu hakikat menampar mindanya.
Lelaki tua ini tidak pernah berasa takut.
Jeritan dan rengekannya sebentar tadi hanyalah satu lakonan licik untuk mengelak daripada menjadi sasaran. Dia sekadar menunggu tumpuan kedua-dua pihak berada di kemuncak pertempuran sebagai tiket emas untuk meloloskan diri.
Lelaki berparut itu menoleh. Dia melemparkan salah satu set kelengkapan selam itu tepat ke dada Zayn. Senyuman nakalnya masih mekar terukir.
“Jom, budak. Kita lari.”