Arka dan Jelal meneruskan latihan itu untuk beberapa ketika. Tiba-tiba, sebelum sempat Arka melancarkan Peluru Halilintar yang seterusnya, Jelal mengangkat tangan kanannya.
“Berhenti,” arah Jelal.
Arka menurut sekalipun dia terpinga-pinga dengan arahan itu.
Tiba-tiba, satu kubah kuasa berwarna keemasan muncul dari lantai bumbung, terus mengurung Arka dan Jelal di dalamnya.
“Apa yang berlaku?” soal Arka, sedikit gementar. Namun, dia cuba untuk mengawal segala kegusaran kerana yakin bahawa dengan adanya Jelal di sisi, dia pasti tidak akan apa-apa.
Jelal tidak membalas. Dia memandang sekeliling. Udara mendadak bergetar.
Satu demi satu, bayangan instrumen muzik ghaib terbentuk dari ketiadaan. Trompet emas, deretan gendang perang gergasi, dan pelbagai alat tiupan lain muncul terapung mengelilingi mereka berdua. Tanpa walau seorang pun pemain, instrumen-instrumen itu mula bergerak dan bermain sendiri.
Serta-merta, satu melodi unik bergema membelah suasana, seolah-olah sedang meraikan sebuah kemunculan yang telah lama dinantikan. Melodinya berupa melodi perang yang mampu menaikkan semangat sesiapa sahaja yang mendengarnya.
Arka tergamam.
Di sisinya, dahi Jelal berkerut tajam. Secara logiknya, kubah kuasa untuk Cabaran Wangsa hanya akan menyedut masuk Pewaris. Entiti luar seperti Penjaga tidak sepatutnya ada di dalamnya, kecuali…
Di tengah-tengah alunan melodi perang itu, sekeping tiket bercahaya muncul di udara lalu melayang perlahan ke atas tapak tangan Jelal.
Jemputan Khas: Penjaga Wangsa.
Jelal merenung tiket tersebut lama. Rahangnya diketap keras. Hakikatnya, dia langsung tidak berniat untuk membuat kemunculan terbuka di hadapan sesiapa seawal ini. Tindakan ini tidak ubah seperti mendedahkan tengkuk kepada mata pisau milik musuh.
Tetapi, pandangannya kemudian beralih ke arah Arka yang masih berdiri kebingungan. Jelal melepaskan keluhan yang cukup berat. Dia risau seandainya Arka akan diapa-apakan jika dibiarkan bersendirian di dalam pentas berdarah itu.
Dia tiada pilihan. Dia perlu menerima jemputan ini.
Jelal menggenggam tiket bercahaya itu erat-erat, membiarkannya lebur menjadi debu keemasan di celah jari. Keputusan telah pun muktamad.
Tanpa membuang masa, tangan kanannya diangkat. Satu petikan jari dibunyikan.
ZAPP!
Arus kilat biru memetir ganas, membalut seluruh tubuh Jelal dalam sekelip mata.
Arka yang masih terkejut dengan bunyi bingit instrumen muzik di sekeliling mereka, kini tergamam luas. Dia memandang Jelal, seakan-akan meronta menuntut penjelasan logik atas apa yang sedang terhidang di depan mata.
Imej gelandangan selekeh berseluar lusuh dan berbau hapak tadi sudah ghaib sepenuhnya.
Susuk tubuh Jelal kini tersarung megah dengan sepersalinan pakaian seorang lelaki budiman Inggeris era klasik. Baju kot labuhnya berpotongan rapi, dipadankan sempurna dengan ves tenun dan kemeja berkolar tinggi.
Malah, rambut dan jambang lebatnya yang serabai sebentar tadi telah tersisir kemas, mengubah terus raut wajahnya menjadi jauh lebih tajam dan berkarisma. Di atas kepalanya, terletak elok sebuah topi klasik yang melengkapkan gaya bangsawan tersebut.
Jelal kini kelihatan berbeza. Sangat berbeza.
Dia bukan lagi lelaki buangan jalanan. Aura seorang Penjaga Wangsa Agung akhirnya memancar keluar tanpa sebarang selindung.
“Arka.”
Panggilan mendatar itu mematikan lamunan pemuda tersebut.
“Buka mulut kau.”
Belum sempat akal Arka memproses arahan ganjil itu, mulutnya melopong secara automatik. Jelal memetik jemarinya sekali lagi ke arah pemuda tersebut.
Sebiji pil kecil bercahaya biru ditembak pantas membelah udara. Ia meluru persis peluru, meloloskan diri tepat ke dalam kerongkong Arka.
Arka tersedak teruk. Objek ghaib itu tertelan secara refleks.
Namun, belum sempat dia mahu memuntahkannya kembali, satu perubahan drastik melanda fisiologi tubuhnya. Haba panas yang nyaman merayap laju ke segenap urat saraf. Tubuhnya yang tadi sedikit keletihan akibat berlatih Peluru Halilintar, kini terasa membuak-buak dengan tenaga baharu.
“Apa yang kau bagi aku makan?” soal Arka, tidak mengharapkan jawapan.
Sambil memperbetulkan hujung lengan kotnya dengan riak selamba, Jelal menuding jari lurus ke satu arah di hadapan mereka.
Sebaik sahaja Arka berpaling, sebuah pintu gerbang gergasi yang sarat dengan ukiran kuno sudah pun terbina megah di hujung bumbung.
“Masuk,” arah Jelal ringkas sambil berjalan melintasi Arka. “Ikut aku.”
Tanpa menoleh lagi, Jelal melangkah menembusi gerbang bercahaya itu.
“Tunggu!” Dengan dada yang berdebar kencang, Arka laju membuntuti langkah lelaki tersebut.
Sebaik sahaja melintasi pintu gerbang, pandangan Arka memutih sepenuhnya.
Detik berikutnya, tapak kakinya mendarat di atas satu permukaan batu yang amat sejuk. Mata Arka perlahan-lahan merakam keluasan ruang yang baru dimasukinya. Ia merupakan sebuah gelanggang gladiator berskala epik yang tidak masuk akal saiznya.
Kawasan itu padat, dihimpunkan dengan seribu satu orang Pewaris berserta Penjaga Wangsa masing-masing. Malah, ekor mata Arka dapat menangkap beberapa orang yang dia serta-merta tahu bahawa mereka adalah Penjaga, berdiri gah mengiringi lebih daripada sepuluh orang Pewaris serentak. Itu adalah lambang dominasi mutlak Wangsa mereka.
Lebih mengerikan, di sekeliling arena tersebut, puluhan ribu susuk bayang-bayang tanpa rupa memenuhi teres tempat duduk penonton. Mereka sekadar kabus hitam pekat, bersorak dan memerhati dalam kesunyian yang membingitkan.
“Itu penonton dari pelbagai dimensi. Para Ketua Wangsa, bangsawan Wangsa, dan mereka yang bertaruh nyawa di atas kepala para Pewaris yang bertanding,” terang Jelal. “Jangan pedulikan mereka. Fokus hanya pada musuh di depan mata.”
Arka menelan liur. Penerangan Jelal itu terasa sangat panjang dan terperinci, namun realitinya, informasi tersebut disampaikan hanya dalam beberapa detik.
Sedang Arka memproses segala apa yang dilihatnya ketika ini, satu letupan cahaya tiba-tiba meledak tepat di tengah gelanggang.
Tiga susuk tubuh muncul, terapung tinggi di udara. Tiga Pemerhati Bandar Metro Selatan—Goru, Zox, dan Vael—kini mengambil peranan mereka sebagai hos rasmi.
“Selamat datang ke pentas berdarah! Cabaran Wangsa kini bermula!” laung Goru lantang. Suara garaunya bergema menampar segenap penjuru arena.
Zox pantas menyambung. Rahang kelulinya berdetap teruja. “Dan hari ini, satu sejarah tercipta di zon kita. Mari kita sambut… Pewaris dan Penjaga dari Wangsa Agung Halilintar!”
Gelanggang yang hingar-bingar tadi serta-merta jatuh sepi.
Senyap sunyi. Tiada sorakan. Tiada bunyi bisikan. Malah, puluhan ribu bayang-bayang di bangku penonton turut kaku membeku. Suasana di dalam arena itu bertukar menjadi terlampau tegang, sehinggakan ketiga-tiga Pemerhati yang terapung di udara itu sendiri mula berasa kekok dan pucat.
Jelal memandang mereka bertiga. Sebelum mereka yang lain sempat bereaksi, aura membunuh yang memancar dari tubuh Jelal benar-benar menekan dada semua yang hadir.
“Tenang semua. Tenang.”
Satu suara angkuh tiba-tiba memintas dari arah platform tertinggi gelanggang.
Serentak, beribu-ribu pasang mata mendongak. Di sana, berdirinya Penguasa Bandar Metro Selatan. Susuk tubuhnya disarung kemas dengan jubah sutera berwarna putih. Dia merupakan seorang lelaki pertengahan usia dengan rambut pendek dan jambang rapi berwarna putih. Senyuman sinis yang terukir di wajahnya jelas memancarkan keangkuhan tahap tertinggi.
“Apa kata kita persilakan dengan penuh hormat Pewaris dan Penjaga Wangsa Halilintar ke bandar kita?” sambung suara itu.
Matanya mencerlung tajam, menyapu pandangan ke arah setiap Penjaga dan Pewaris di gelanggang, sebelum pandangan itu dikunci tepat pada Jelal.
“Semua Wangsa adalah sama darjatnya dalam Cabaran Wangsa ini. Tak begitu… Jelal?”
Sebaris nama itu bergema.
Gelanggang yang sedia sunyi, terus membeku. Tiada seorang pun Penjaga atau Pemerhati yang berani bernafas kasar, apatah lagi menyebut nama sebenar raksasa dari Wangsa Halilintar tersebut. Masing-masing mengunci mulut rapat-rapat.
Namun, di dalam benak setiap entiti yang berada di situ, terbit satu persoalan yang amat meresahkan akal.
Kenapa Penguasa bandar kelas bawahan ini kelihatan terlalu berani, malah langsung tidak gentar berhadapan dengan Jelal?