Arka meraba rusuk kirinya perlahan. Tiada langsung kesan lebam. Rasa takjub mula mengusir sisa amarah yang membakar dadanya sebentar tadi.
Dia mendongak memandang Jelal. “Habis tu… apa lagi yang aku boleh buat dengan badan ni?”
Jelal melepaskan keluhan berat. Asap rokok berkepul nipis ditiup angin. Akalnya ligat mencongak masa. Kurang tiga puluh minit. Mustahil untuk mengajar Arka menguasai Kuasa Halilintar secara menyeluruh dalam tempoh ini. Segala teori wajib dibuang, dan fokus mereka kini hanya tertumpu pada kelangsungan hidup.
“Kau takkan bertarung jarak dekat,” putus Jelal. “Kita tak tahu jenis Cabaran Wangsa yang kau akan masuk nanti. Bertumbuk bukan gaya kau buat masa ni.”
Dia memandang Arka tepat. “Kau cuma akan fokus pada dua benda. Bergerak pantas, dan serang dari jauh.”
Tanpa sebarang amaran, Jelal menghentakkan tumit kasutnya ke lantai konkrit.
Satu gelombang tenaga biru meledak keluar dari bawah tapaknya. Dalam sekelip mata, urat-urat petir merayap laju bersilang-seli di atas permukaan bumbung, membentuk satu grid gergasi persis sebuah papan catur yang bercahaya garang. Udara juga dengan mendadaknya berbau sedikit hangit.
“Petak catur?” Arka tergamam.
“Dalam petak catur ni, semua ruang akan dipanah arus elektrik berkuasa tinggi,” suara Jelal bergema tenang. Dia sekadar memasukkan kedua-dua belah tangannya ke dalam saku kot. “Kecuali satu petak.”
Jelal merenung Arka. “Cari petak tu, dan elak yang lain.”
Belum sempat minda Arka menghadam arahan tersebut, seluruh grid di bawah kakinya menyala buas.
Refleks tubuhnya pantas merampas kawalan. Mata Arka menangkap satu petak kosong di sebelah kanan yang tidak memancarkan sebarang cahaya. Dia melompat laju ke arah itu.
Namun, kelajuannya memakan diri.
Kakinya melangkah terlampau laju, menyebabkan otaknya terlewat menekan brek momentum. Tapak kakinya tergelincir melepasi petak selamat tersebut, lalu terpijak terus garisan kilat di petak sebelah.
ZAPP!
“Argh!”
Arka terpelanting. Tubuhnya bergegar hebat menahan renjatan elektrik yang terus menggigit urat saraf. Biarpun tidak merobek kulit tebalnya, kesakitan itu tetap menyengat dan merentap ototnya menjadi kejang buat sesaat.
“Kau terlalu gopoh,” tegur Jelal dari kejauhan. “Bila kau bergerak pantas, otak kau kena baca ruang lebih laju daripada kaki. Bangun. Buat lagi.”
Arka mendengus kasar. Dia meronta bangun sambil mengetap gigi. Matanya terus dikunci pada rentak percikan di lantai. Petak catur itu mendadak berubah formasi. Sekali lagi, semua menyala kecuali satu petak di hujung kiri.
Dia meluru ke depan, kemudian pantas menukar arah.
SWOOSH!
Sekali lagi dia terbabas teruk, merempuh tembok bumbung sebelum jatuh tergolek ke lantai.
“Aduh…” rungutnya sambil memicit bahu yang sengal.
Berpuluh kali percubaan diulang. Berpuluh kali juga Arka direnjat arus dan terbabas merempuh konkrit. Namun, secara perlahan-lahan, tubuh dan mindanya mula bersatu menangkap ritma kelajuan tersebut.
Selepas lima belas minit diseksa, pergerakannya mula kemas. Sebaik sahaja lantai bercahaya, Arka meluncur zig-zag. Dia memintas tiga petak silang berturut-turut dengan licin, sebelum berhenti mengejut tepat di dalam petak selamat tanpa hilang imbangan sedikit pun.
Arka mencuri nafas.
Dia berdiri tegak di dalam petak tersebut sambil tersengih lebar memandang tapak tangannya. Dadanya berombak kencang memburu nafas. Otaknya ligat merangka angan-angan. Jika di tahap permulaan ini pun dia sudah mampu bergerak selaju ini, bayangkan apa yang mampu dilakukannya jika dia berjaya menguasai kuasa ini sepenuhnya nanti.
“Jangan berangan.”
Suara Jelal pantas mematikan lamunan itu. Dengan satu kelipan mata, seluruh rangkaian papan catur kilat di lantai ghaib serta-merta, disedut kembali ke tubuhnya.
“Apa yang kau buat tadi tu tak sampai satu peratus pun daripada kemampuan sebenar darah dan kuasa Wangsa Halilintar. Jauh lagi perjalanan sebelum kau boleh mendabik dada.”
Senyuman Arka mati. Dia sekadar meraup peluh di dahi.
“Sekarang, teknik kedua. Serangan jarak jauh.”
Jelal mengangkat tangan kanan. Dia merenggangkan jemarinya seketika sebelum menuding jari telunjuk lurus ke arah sebatang tiang logam penangkal petir di hujung bumbung.
“Tengok betul-betul,” arahnya mendatar.
Perlahan-lahan, urat-urat biru mula timbul di permukaan lengan Jelal. Arus statik berkerdipan, merayap laju dari pangkal bahunya, terus menjalar turun ke pergelangan tangan, sebelum memusat sepenuhnya di hujung jari telunjuk.
Udara di atas bumbung itu serta-merta berdesir kasar.
Satu titik cahaya biru mula terbentuk. Ia berputar ligat, memampatkan tenaga elektrik yang liar itu ke dalam bentuk sebiji bebola kecil yang sarat dengan daya pemusnah.
Sebaik sahaja bebola kilat itu stabil, Jelal melepaskannya.
ZAP!
Satu pancaran cahaya bersaiz peluru meluru tajam membelah udara Kelajuannya langsung tidak sempat ditangkap oleh mata kasar.
BANG!
Tiang besi padu di hujung bumbung itu berlubang kemas tepat di bahagian tengah. Tepi lubang tersebut melebur merah menjadi cecair logam, berasap rentung dijamah haba tembakan yang melampau.
Arka menelan liur. Matanya terbeliak luas.
Jelal sekadar menurunkan tangan, meniup nipis sisa haba di hujung jarinya.
“Peluru Halilintar,” terangnya ringkas. “Konsepnya mudah. Kau kumpul cas kuasa di hujung jari. Semakin lama kau tahan cas tu, semakin kuat daya mampatan dan tembakannya bila dilepaskan. Tapi…”
Jelal mendadak berpaling. Matanya merenung tajam ke arah Arka, memastikan perhatian pemuda itu tidak lari walau sesaat.
“…ada harga yang kau kena bayar.”
“Harga apa?” soal Arka berdebar.
“Tahap tenaga kau sekarang masih sangat rendah. Dalam pertempuran sebenar, kau jangan gunakan kelajuan kau lebih dari tiga puluh minit. Habis tempoh tu, tubuh kau akan perlahan-lahan melemah sebelum kau akan terus tak mampu bergerak lagi.”
Arka mengangguk perlahan, tekun menanti syarat seterusnya.
“Untuk Peluru Halilintar pula, kapasiti kau cuma lima das tembakan. Itu tahap maksimum.” Nada Jelal bertukar sangat tegas. “Dan kapasiti peluru ni amat bergantung pada pengurusan stamina kau. Bagi setiap tambahan enam minit kau bergerak laju, kuota tembakan kau akan dipotong sebanyak satu das.”
Otak Arka pantas menterjemah sifir kelangsungan hidup itu.
“Maksud kau… kalau aku sibuk elak serangan musuh dan terlebih selama dua belas minit, peluru aku cuma tinggal tiga?”
“Tepat.” Jelal mengiyakan tekaan itu. “Dan kalau kau perah tenaga berlari sana sini lebih lama dari itu… kau mungkin takkan mampu lepaskan walau satu tembakan pun. Kau cuma tinggal tubuh yang kosong. Jadi sasaran mudah. Faham?”
Otak Arka ligat mencerna congakan tersebut. Sifir kelangsungan hidup itu kedengaran sangat kejam.
Dahinya berkerut tegang. “Kejap… kalau macam tu, macam mana aku nak menang?”
Jelal sekadar mengangkat sebelah kening. Dia diam. Sengaja membiarkan pemuda itu merungkai sendiri kelemahan taktiknya.
“Musuh takkan berdiri tegak biarkan aku kumpul cas dan tembak,” sambung Arka. Nadanya mula naik, didorong pantas oleh rasa cemas. “Kalau kerja aku cuma lari dan mengelak, masa aku akan terus berjalan. Peluru aku pula makin susut. Silap-silap, belum sempat aku nampak peluang nak serang, peluru aku dah habis dulu!”
Arka mendepakan tangannya buntu. “Betul ke strategi kita ni?”
Keheningan menyelubungi bumbung itu buat seketika. Hanya bunyi titisan hujan di luar kubah kedengaran menampar permukaan tenaga halimunan.
Jelal menghembus nafas perlahan, lalu mendengus kecil. Hujung bibirnya ternaik mengukir satu senyuman sinis.
“Siapa cakap Cabaran Wangsa tu tempat kau bertumbuk semata-mata?”
Arka terdiam. Dahinya berkerut. “Maksud kau?”
“Sistem Cabaran Wangsa diuruskan oleh satu hukum atau sistem kuno yang rawak,” terang Jelal tenang, memecah kesunyian. “Ia bukan sentiasa berkonsepkan pertempuran berdarah secara berhadapan. Boleh jadi cabaran kau hari ni… adalah sebuah perlumbaan.”
Arka terkebil-kebil. “Perlumbaan?”
“Tepat.” Jelal melangkah setapak ke hadapan. “Sebuah perlumbaan kelangsungan hidup untuk sampai ke titik penamat. Dan kalau nasib menyebelahi kau, kelajuan Halilintar kau tu adalah satu kelebihan yang mutlak.”
Jelal merenung tepat ke dalam mata Arka.
“Dalam perlumbaan, kau tak perlu bazir stamina untuk berlawan secara berhadapan. Tugas kau cuma satu. Berlari lebih laju daripada mereka semua.”
Tekak Arka yang kering terasa sedikit lega. Otaknya pantas menangkap jalan keluar tersebut.
“Habis tu… macam mana dengan Peluru Halilintar ni?” soal Arka sambil memandang hujung jarinya.
“Simpan.” Jelal membalas tegas. “Itu kelebihan kau. Kau hanya gunakan peluru tu bila betul-betul terdesak.”
Lelaki itu berjeda seketika. Matanya menikam tajam, memastikan pesanan itu melekat kuat di dalam tengkorak pemuda tersebut.
“Gunakan ia untuk hancurkan halangan yang sekat laluan kau. Atau… untuk musnahkan sesiapa sahaja yang cuba cantas kau dari belakang.”
Jelal menepuk perlahan bahu Arka yang masih kaku.
“Jangan jadi orang bodoh yang serang membabi buta. Tiga puluh minit, Arka. Lari, elak bila perlu, dan simpan peluru kau untuk detik penentu.”