Seolah-olah belum berpuas hati, Zen mengeluarkan sebiji lagi tomato segar dari dalam begnya dan melemparkannya sekuat hati ke arah Kongi.
“Orang tua hipokrit! Gemuk! Penipu! Kau tak layak jadi Ketua Pekan!”
Jeritan dan makian Zen bergema memenuhi segenap ruang dewan itu, diiringi dengan balingan tomato yang bertubi-tubi. Serentak dengan itu, mata kemesraan Kongi terhadap Zen terus merudum jatuh tanpa henti.
Tubuh Kongi kini dibasahi jus merah tomato. Wajahnya merah padam menahan kemarahan yang meluap-luap. Pemandangan itu sebenarnya sungguh melucukan.
Namun, suasana di dalam Dewan Pekan itu sunyi sepi. Tiada seorang pun yang berani ketawa. Kesemua pemain yang sedang beratur tercengang. Rahang mereka jatuh, terlopong melihat kegilaan yang sedang berlaku di hadapan mata.
“Apa yang dia cuba buat?!”
“Gila. Dia tu dah gila. Kau rasa kita patut lari sebelum Kongi mengamuk?”
Masing-masing tidak tahu bagaimana mereka patut bereaksi ketika ini. Sangka mereka, ini pasti antara pemain yang cuba membuat kacau selepas menyedari betapa sukar dan betapa realistiknya Zoran berbading VRMMORPG zaman dulu.
Apa yang lebih gila adalah, belum sampai tiga puluh minit Zoran dilancarkan, sudah wujud seorang pemain yang berani menyerang NPC secara terbuka! Bukan calang-calang NPC pula, tetapi ketua nombor satu di seluruh Pekan Daun Merah ini.
Semua pemain mempunyai fikiran yang sama. Pemedang dengan paras rupa tidak berapa kacak ini tidak risau akan dipenjarakan oleh Pengawal Pekan? Risiko jika dipenjarakan sekalipun sehari, pemain itu pasti akan ketinggalan dengan sangat jauh berbanding pemain-pemain lain.
Ada juga yang berpendapat Zen sengaja membuat kacau kerana dia sudah tidak berminat untuk meneruskan permainan ini. Tapi, mereka semua sepakat bahawa sekalipun sudah tidak ingin bermain, tidak perlulah melakukan tindakan sebegini yang mungkin akan memberikan kesan kepada pemain-pemain lain.
Kesemua pemain di situ menahan nafas, menanti dengan penuh debaran sama ada pengawal akan menerpa masuk untuk menangkap Zen, atau Kongi sendiri yang akan memancung kepala pemuda itu.
Namun… kedua-duanya tidak berlaku.
Tiada seorang pun daripada para pemain itu yang tahu bahawa tindakan memaki hamun dan membaling objek seperti itu tidak direkodkan sebagai ‘serangan’ oleh sistem Zoran. Itulah sebabnya mengapa para Pengawal Pekan tidak bertindak, dan Kongi juga tidak menyerang Zen.
Walau bagaimanapun, tindakan Zen itu pastinya akan membuatkan NPC tersebut membencinya sepenuh hati. Zen boleh melupakan terus sebarang niat untuk mendapatkan Misi daripada Kongi seumur hidupnya.
Sebaik sahaja tomato kesepuluh dan yang terakhir milik Zen berkecai tepat pada wajah Kongi, tahap kemesraan Ketua Pekan itu jatuh secara drastik. Kini, ia berubah sepenuhnya kepada [Musuh].
Namun, selang beberapa detik kemudian, sesuatu yang tidak dijangka oleh semua berlaku. Status Kongi yang boleh dibaca oleh semua pemain kini bertukar menjadi tanda soal. Simbol kuning yang melambangkan NPC di atas kepalanya kini berubah menjadi warna merah saga yang cukup mengerikan.
“Tak guna! Aku akan bunuh kau!” Satu ngauman yang sungguh mengerikan menggegarkan Dewan Pekan. Kongi yang sudah dibasahi jus merah tomato meluru pantas ke arah Zen, matanya terbeliak dan dia memancarkan aura membunuh yang sangat kuat.
Dengan kelajuan yang tidak masuk akal, tubuh gempal Ketua Pekan itu tiba-tiba sudah berada di hadapan Zen. Penumbuk besarnya diayun deras, menyasarkan terus ke arah tengkuk pemuda itu.
Pemain-pemain lain bergerak menjauh dari tempat itu. Mereka risau jika mereka tersangkut di dalam kawasan letusan serangan Kongi. Sekalipun begitu, mata mereka tidak berhenti dari memandang Kongi dan Zen. Mereka tahu peluang untuk melihat dan menilai kekuatan sebenar seorang Ketua Pekan sebegini tidak akan datang dengan mudah.
Cuma, mereka tahu mereka hanya akan dapat melihat satu serangan sahaja. Mustahil untuk sesiapa di sini menahan serangan seorang NPC Elit Level 15.
“Bodohnya Pemedang tu.”
“Betul. Mana ada sesiapa boleh selamatkan dia sekarang.”
“Veteran dari VRMMORPG lain pun belum tentu boleh selamatkan dia dengan helah mereka.”
Masing-masing memberikan pandangan tanpa diminta.
Namun, reaksi Zen ketika ini benar-benar membingungkan mereka. Dia sangat tenang. Adakah dia sudah bersedia untuk menerima kematian? Adakah dia memang sengaja memilih untuk mati sebegini awal?
Tepat ketika penumbuk Kongi hampir menghancurkan tengkuknya, Zen yang tadinya kaku tiba-tiba bergerak.
Bagaikan seorang pemburu yang sudah lama menanti kehadiran mangsa, Zen pantas menghunus Pedang Perantisnya. Dengan satu gerak langkah lincah, dia mengangkat bilah pedang itu secara melintang untuk melindungi tubuhnya.
PRANG!
Penumbuk padu Kongi singgah tepat pada bilah Pedang Perantis, menyebabkan seluruh tubuh Zen terpelanting ke belakang.
Namun, sebelum tubuhnya menghempas lantai, Zen pantas memusingkan badannya di udara dan mendarat teguh dengan ketangkasan yang tidak masuk akan. Walau bagaimanapun, impak serangannya tidak main-main. HP Zen serta-merta menjunam sebanyak 84 mata, dan Pedang Perantis di tangannya kini bergetar hebat. Tahap ketahanan pedang itu turut jatuh 1 mata; ia akan hancur lebur sekiranya ketahanan itu merudum sehingga angka 0.
Kesemua pemain di situ menarik nafas panjang. Tercengang.
Melihat lagak Zen mencari fasal tadi, mereka menyangkakan pemuda itu hanyalah seorang pemain pemula yang tidak tahu apa. Namun, selepas melihat refleks dan ketangkasannya menyerap serangan Kongi, sesiapa sahaja yang bermata tajam pasti tahu bahawa pemuda ini adalah seorang pakar tempur yang sangat berbakat!
Sekalipun Kongi merupakan Ahli Magis yang terkenal dengan kekuatan fizikal yang rendah, status Elit Level 15 sudah cukup untuk membunuh mana-mana pemain biasa Level 0 dengan hanya satu serangan.
Tetapi, pemuda ini masih hidup!
Dia menggunakan senjata pada sudut yang paling tepat untuk menampan serangan, lantas meminimumkan impak serangan tersebut.
Biar betul? Kalau ikut rekod, dia adalah Ahli Magis, tapi kelajuan dan kekuatan fizikal dia memang gila, gumam Zen di dalam hati sambil memandang Pedang Perantisnya yang masih bergetar.
Nasib baik dia membuat keputusan drastik dengan melaburkan kesemua matanya pada Atribut Ketangkasan, sekali gus meningkatkan Kelajuan Serangannya ke paras 4. Jika tidak, tubuhnya pasti sudah hancur dikerjakan oleh Kongi, dan dia terpaksa menelan kepahitan untuk memulakan misi ini dari awal.
“Mati kau!”
Gagal membunuh Zen dengan serangan pertama, Kongi semakin dirasuk amarah.
Secara tiba-tiba, pakaian mewahnya terkoyak rabak dari dalam, mendedahkan susuk tubuh tegap yang dilitupi bulu hitam pekat. Wajah gempalnya berubah menjadi bengis dengan taring-taring tajam yang menakutkan.
Kongi telah bertukar menjadi seekor Manusia Serigala!
Keadaan di dalam kawasan dewan itu bertukar huru-hara. Kesemua pemain terkejut beruk. Tiada siapa yang pernah menyangka bahawa Ketua Pekan yang selama ini disanjung rupa-rupanya adalah seekor serigala jadian—Manusia Serigala.
Kongi pantas menghilangkan diri dan muncul tepat di belakang Zen dalam sekelip mata. Kuku-kukunya yang putih berkilat dan tajam seperti bilah pisau diangkat tinggi, bersedia untuk merobek jantung Pemedang itu.
Namun, Zen sekadar menyeringai dingin, biarpun baki HP miliknya kini cuma tinggal 16 mata. Dia sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan.