Switch Mode

Zoran: Pertempuran Dewa – Bab 10

Pemedang Misteri

Namun, ketika hanya beberapa sentimeter sebelum kuku beracun Kongi menembusi kulit Zen, pergerakan Ketua Pekan itu terhenti secara mendadak.

BOOM!

Kongi telah diserang hendap. Salah seorang Pengawal Pekan Level 25 telah merempuh tubuh Kongi menggunakan skil Rempuhan, memaksa Manusia Serigala itu masuk ke dalam status Pegun selama satu saat.

Tanpa membuang walaupun sesaat, Zen pantas berguling menjauhkan diri dari jangkauan Kongi.

Sebaik sahaja Kongi mampu bergerak semula dan bersedia untuk menerkam Zen kembali, pergerakannya terganggu sekali lagi apabila Pengawal Pekan yang kedua muncul merantainya dari sisi.

Kedua-dua Pengawal Pekan itu adalah dari kelas Pahlawan Level 25. Biarpun mereka bukan berstatus Elit, kuasa serangan gabungan mereka tidak boleh dipandang remeh. Rempuhan yang disusuli dengan serangan biasa tadi dengan mudah meragut 300 HP daripada Kongi. Gabungan serangan dua orang pengawal NPC itu sahaja sudah berjaya melesapkan sejumlah 600 HP, memaksa baki HP Kongi jatuh ke angka 1700 dalam sekelip mata.

Macam yang aku jangka. Kuasa serangan Pengawal Pekan memang sentiasa boleh diharap, desis Zen sambil ketawa kecil melihat keadaan Kongi yang mula terdesak.

Pengawal Pekan adalah benteng mutlak yang dipertanggungjawabkan untuk melindungi keselamatan penduduk dan menentang pencerobohan makhluk jahat. Ditambah pula identiti dan plot Kongi yang unik sebegini, sudah tentulah pencipta Zoran sendiri sudah bersedia dengan cara untuk pemain menyelesaikan misi ini. Salah satunya adalah dengan memastikan para Pengawal Pekan mempunyai kekuatan yang mencukupi untuk mengekang Kongi.

Di saat Kongi bertukar menjadi Manusia Serigala, ia adalah bukti nyata bahawa dia bukanlah seorang manusia NPC, melainkan seekor pengintip dari kuasa gelap.

Melihat entiti jahat itu mendedahkan rupa sebenar di tengah-tengah pekan, Pengawal Pekan secara automatik akan terus bertindak. Mereka tidak akan melepaskan Kongi, dan dia akan dilayan layaknya seperti raksasa buas di kawasan liar.

Pada zahirnya, syarat misi [Permintaan Songi] memang kelihatan terlalu mustahil. Namun hakikatnya, apa yang pemain perlu lakukan hanyalah dengan menyerang atau menaikkan kemarahan Ketua Pekan terlebih dahulu, dan bertahan agar mereka tidak terbunuh oleh serangan balas yang pertama.

Selebihnya, sistem akan mengambil alih. Para Pengawal Pekan akan uruskan segalanya sebaik sahaja Ketua Pekan itu bertukar dan mendedahkan identitinya yang sebenar.

Dalam kehidupan Zen yang lalu, Misi Unik ini telah menggegarkan seluruh Bandar Sungai Putih bukan hanya kerana ganjarannya, tetapi kerana status Ketua Pekan itu sendiri sebagai pengintip dari kuasa gelap. Pendedahan ini telah memaksa para pemain untuk melihat Zoran dari satu sudut pandang yang baharu—bahawa NPC di dalam permainan ini tidak boleh dipercayai bulat-bulat. Sesiapa sahaja berpotensi untuk menjadi musuh dalam selimut.

Pada masa yang sama, identiti pemain bertuah yang berjaya menyelesaikan misi ini suatu ketika dahulu telah mengejutkan ramai pihak kerana kebijaksanaannya memancing kemarahan Ketua Pekan. Pemain tersebut pasti memerah otak dan mengorbankan nyawanya beberapa kali sebelum menjumpai strategi ini. Sebab itulah dia dengan bangganya mendedahkan strategi tersebut di ruangan forum.

Kini, Zen dengan mudahnya telah ‘merampas’ dan menggunakan strategi tersebut sebagai batu loncatannya.

Di ruang tengah dewan, Kongi sedang dibelasah teruk oleh dua Pengawal Pekan. Biarpun serangan yang diterimanya sangat menyakitkan, sasaran pandangan Kongi tidak pernah beralih daripada Zen. Dia berang dan tekad mahu membunuh Zen dengan tangannya sendiri.

Malang bagi Kongi, dua Pengawal Pekan itu tidak ubah seperti lintah yang melekat pada tubuhnya. Seorang Pengawal melancarkan skil Penghancur Tulang, manakala seorang lagi menggunakan Libasan Guruh. Dua skil yang akan sangat digemari oleh para pemain tidak lama lagi. Serangan bertali arus ini menyebabkan Kelajuan Pergerakan Kongi merudum ke tahap paling bawah. Zen pula, dengan 5 mata pada Kelajuan Pergerakannya, sentiasa berada selangkah lebih pantas untuk mengelak dan bersedia menanti Kongi ditumpaskan.

Dalam masa yang singkat, jumlah HP Kongi yang melebihi 2000 mata tadi kini telah susut dan hampir kosong.

Apabila pemain-pemain lain melihat Kongi berada di ambang kematian, ramai yang mula gelisah dan tidak senang duduk. Masing-masing mengintai peluang untuk melancarkan serangan terakhir. Walaupun mereka masih keliru mengapa Pengawal Pekan bertindak menyerang Ketua Pekan, fakta bahawa Kongi adalah seekor raksasa Elit Level 15 tidak boleh disangkal.

Jika Kongi mati, ganjaran yang mereka akan jatuh dari bangkainya pasti sangat luar biasa!

Dari kejauhan, Zen tersenyum sinis memerhatikan gelagat rakus para pemain di situ.

Ingat boleh ambil kesempatan curi bunuh? Jangan harap.

Biarpun Kongi telah bertukar rupa menjadi entiti dari kuasa gelap, perubahan itu hanyalah sebahagian daripada jalan cerita misi peribadinya. Bagi sistem pandangan pemain lain, status Kongi masih kekal pada tahap Mesra. Oleh sebab itu, mustahil untuk mereka melepaskan walau satu serangan pun ke atas NPC tersebut.

Sebaik sahaja bar HP Kongi menjunam ke paras 100 mata, kesabaran para pemain terus lebur. Beratus-ratus manusia meluru serentak bagaikan pemangsa kelaparan. Masing-masing kemaruk mahu melancarkan serangan penamat demi merampas apa sahaja item yang bakal digugurkan oleh raksasa Elit itu.

Melihatkan nyawa Kongi yang kini benar-benar di hujung tanduk, Zen pantas melompat menghampiri Ketua Pekan itu.

Malang bagi pemain-pemain yang rakus tadi, riwayat Kongi terlebih dahulu ditamatkan oleh libasan tajam pedang Pengawal Pekan. Tiada seorang pun daripada mereka yang sempat mencederakan waima sehelai bulu Manusia Serigala tersebut.

Walaupun Zen berpeluang untuk membuat pukulan penamat, dia tidak mahu mengambil risiko. Boleh jadi disebabkan dendam, Kongi mampu melancarkan satu serangan terakhir ke atas Zen.

Serentak dengan rebahnya tubuh sasa Kongi ke lantai dewan, Zen dengan pantas menyambar [Lencana Ketua Pekan] yang jatuh berhampiran, lalu segera meloloskan diri dan ghaib ke dalam kesesakan pemain.

Mereka langsung tidak tahu satu hakikat penting. Membunuh NPC di dalam kawasan zon selamat seperti pekan tidak akan memberikan sebarang EXP mahupun menjatuhkan walau sekeping syiling. Jangankan harta karun atau perisai, waima Lencana Ketua Pekan ini pun tidak akan muncul jika tiada siapa yang mengaktifkan Misi Unik tersebut.

“Kenapa ni? Ada bug dalam sistem ke?! Kenapa aku tak boleh serang Ketua Pekan ni?!”

“Aku nak buat report! Kenapa tak ada satu barang pun jatuh lepas Ketua Pekan ni mati?!”

Rungutan dan maki hamun mula bergema. Rata-rata pemain pemula berasa sangat tertipu. Seekor raksasa Elit Level 15 mati di depan mata, namun mereka terpaksa berputih mata tanpa mendapat walau satu pun ganjaran.

“Bodoh. Kau orang tak nampak ke status hubungan dengan NPC tu masih Mesra? Sistem takkan benarkan kita serang NPC dalam status macam tu. Asas permainan pun tak tahu, ada hati nak main Zoran,” tempelak seorang pemain veteran dengan nada sinis.

Usai menyelar para pemain amatur tersebut, golongan pemain elit itu pantas meliarkan pandangan, mula mencari kelibat Zen. Pemain yang berani dan mampu merancang pembunuhan seorang Ketua Pekan di fasa seawal ini semestinya seorang pakar yang luar biasa. Individu berkaliber begitu sangat wajar direkrut dan dijadikan sekutu.

Namun, puas mereka meninjau ke segenap penjuru dewan, susuk Zen sudah pun lesap tanpa jejak. Memandangkan tiada sesiapa yang sempat mengecam nama ID pemuda itu sebentar tadi, mereka sekadar mampu mengeluh kecewa.

Sementara itu, berita mengenai kematian Kongi tersebar pantas, mencetuskan sensasi luar biasa di seluruh Pekan Daun Merah.

Di saat lambakan pemain biasa masih terkial-kial membidik Level dengan memburu raksasa kecil di kawasan liar, pemimpin pekan ini pula mati dipermainkan dengan helah yang sangat licik. Perkara ini kedengaran cukup mustahil dan tidak masuk akal!

Tidak sampai tiga puluh minit Zoran dilancarkan, sebuah bebenang berita hangat telah pun mendominasi muka depan forum rasmi permainan:

[GEMPAR: Pemedang Misteri Bunuh Elit Level 15, Ketua Pekan Daun Merah! NPC Pemimpin Rupa-rupanya Manusia Serigala Jadian. Permainan Jenis Apa Zoran Ni?!]

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset