Switch Mode

Senjata Jiwa – Bab 6

Serigala Sisik Besi

Langkah pertama Tariq di atas tanah Hutan Besi Purba disambut dengan bunyi rekahan yang asing. Ia bukan bunyi daun kering yang dipijak, sebaliknya bunyi kepingan logam nipis yang reput dan hancur di bawah tapak kasut butnya.

Suasana di sini tidak ubah seperti sebuah mimpi ngeri yang dihidupkan.

Pokok-pokok gergasi di sekelilingnya langsung tidak mempunyai daun. Batangnya terbentuk daripada jalinan kabel tebal dan paip besi yang sudah berkarat, memanjang ke atas seperti jari-jemari rangka yang cuba menggapai langit gelap. Kabus kelabu kehitaman berlegar-legar di udara, membawa bau belerang dan besi terbakar. Mujurlah Pil Penapis Udara yang ditelannya tadi menjalankan tugas dengan baik. Tariq dapat bernafas tanpa risau paru-parunya akan rosak sekelip mata.

Tiba-tiba, satu ngauman panjang yang sangat nyaring membelah kesunyian hutan itu. Bunyinya bergema, disusuli dengan bunyi pokok besi dirempuh sesuatu yang bersaiz gergasi dari arah timur.

Serta-merta, seluruh tubuh Tariq menggigil teruk. Lututnya berlaga sesama sendiri. Peluh dingin merembes keluar dari pori-pori kulitnya, membasahi dahi.

Dia belum pernah berjumpa raksasa seumur hidupnya. Selama ini, ancaman paling besar yang pernah dilihatnya di Lembah Sisa hanyalah anjing liar yang kebuluran atau babi hutan yang tersesat masuk. Haiwan-haiwan itu pun akan segera ditembak mati oleh Pengawal Empayar sebelum sempat mencederakan sesiapa.

Tetapi ngauman tadi? Itu bukan haiwan liar. Itu adalah pemangsa mutlak yang berada di puncak rantaian makanan.

Ketakutan yang amat sangat mencengkam minda Tariq. Fikirannya menjadi kosong. Segala maklumat dari peta lelaki misteri yang dihafalnya sebelum ini padam dalam sekelip mata. Arahan untuk berjalan tiga ratus meter ke utara sebelum membelok di pokok tembaga bercabang dua hilang dari ingatan.

Tariq mula melangkah tanpa sedar. Dia hanya mahu menjauhi arah ngauman tadi. Kakinya melangkah semakin laju, sehinggalah dia sedar dia telah tersasar jauh dari laluan yang sepatutnya. Dia kini berada di tengah-tengah sebuah kawasan runtuhan konkrit purba yang dipenuhi dengan tembok-tembok pecah dan serpihan bangunan.

Tanpa sengaja, but Tariq terpijak sesuatu yang lembut menyerupai sebiji bebola yang tertanam di celah akar besi.

Bebola itu tiba-tiba mengembang pantas.

Pussssh!

Satu pancutan gas berwarna kuning pekat merembes keluar dari bebola itu. Tariq melompat ke belakang secara refleks, jatuh terduduk di atas tanah berdebu. Hujung lengan bajunya yang terkena sedikit gas kuning itu terus berasap dan berlubang, mencair akibat asid yang sangat kuat.

Tariq menelan air liur. Matanya terbeliak luas.

“Gila. Itu tumbuhan atau apa?” gumam Tariq dalam keadaan menggigil. “Kalau aku lambat tadi, aku dah mati.”

Belum sempat Tariq mengatur nafas, bunyi derapan kaki yang pantas dan berat kedengaran menghampirinya. Geseran asid tadi telah menarik perhatian seekor pemangsa.

Dari celah kabus, muncul susuk tubuh seekor makhluk yang menyerupai serigala, namun saiznya sebesar seekor lembu dewasa. Seluruh tubuh makhluk itu dilitupi sisik keluli hitam yang berkilat. Matanya merah menyala, manakala air liur yang menitis dari rahangnya yang dipenuhi gigi gergaji besi itu meleleh dan menghakis tanah di bawahnya.

Serigala Sisik Besi. Tariq tidak tahu nama raksasa itu. Tapi, ia merupakan salah satu nama makhluk yang dicatat di dalam peta dan laporan milik lelaki misteri itu. Raksasa tahap rendah, namun bukan sesuatu yang mampu ditandingi oleh Tariq.

Tubuh Tariq menggeletar. Dia benar-benar buntu. Dia tidak tahu apa yang boleh dia lakukan sekarang ini.

Raksasa itu merendahkan badannya, bersedia untuk menerkam.

“Lari!” bisik minda Tariq.

Adrenalin mengepam laju ke seluruh tubuhnya. Tariq bingkas bangun dan berlari laju. Dia membelok ke celah-celah runtuhan konkrit, cuba mencari ruang sempit. Serigala itu melolong ganas dan terus mengejar.

Namun, Tariq bernasib baik. Bau busuk selut sisa pembentungan yang melumuri tubuhnya membuatkan deria bau raksasa itu sedikit keliru.

Makhluk itu terpaksa bergantung pada penglihatannya semata-mata, memberi Tariq kelebihan beberapa saat yang sangat berharga.

Akal Tariq yang tajam dan licik itu langsung tidak berguna buat masa ini. Dalam keadaan penuh tekanan sebegitu, dia tidak mampu untuk berfikir, mencari jalan untuk keluar dari masalah ini.

Sehinggalah dia terpandang sebuah bukaan kecil pada dinding konkrit tebal di hadapannya. Tanpa berfikir panjang, dia melompat dan meloloskan tubuhnya ke dalam runtuhan tersebut, berguling di atas tanah yang berdebu.

Serigala Sisik Besi itu yang sedang meluru dengan kelajuan penuh, cuba menerpa masuk ke bukaan yang sama.

Namun, ia terlupa satu perkara. Tubuhnya terlalu besar, dan ia bergerak terlalu laju.

Makhluk itu tidak sempat membrek. Serta-merta, tubuhnya merempuh dinding konkrit itu.

Satu bunyi daging dirobek logam bergema kuat.

Tariq yang sedang meniarap di dalam runtuhan itu menoleh ke belakang dengan mata yang terbuntang. Serigala itu sedang meronta-ronta di hadapan bukaan runtuhan tersebut. Dada raksasa itu telah tertembus sepenuhnya oleh sebatang cerucuk besi karat setebal lengan manusia yang tersembul keluar dari runtuhan tersebut.

Tariq meneguk liur. Dia langsung tidak perasan akan cerucuk besi tersebut. Mujurlah bukan dia yang menjadi mangsa besi karat itu. Dia kembali memandang Serigala Sisik Besi.

Darah berwarna merah kehitaman memancut keluar, membasahi dinding konkrit. Raksasa itu melolong kesakitan, mencakar-cakar lantai tanah cuba melepaskan diri. Namun semakin ia meronta, semakin dalam cerucuk besi itu menembusi organ dalamannya.

Beberapa saat kemudian, rontaan makhluk itu semakin lemah. Nafasnya perlahan-lahan terhenti, dan tubuhnya kaku tergantung pada cerucuk besi berkarat itu.

Tariq bersandar pada dinding, tercungap-cungap. Jantungnya berdegup bagai mahu pecah. Dia merenung bangkai raksasa itu agak lama sebelum perlahan-lahan kembali berdiri.

“Gila… Semua ini gila,” gumamnya penuh ketakutan.

Berkali-kali minda separa sedarnya menjerit supaya dia keluar semula dari hutan ini. Apa yang ada di dalam hutan ini jauh mengatasi kemampuannya. Namun, sebahagian dari mindanya pula menjerit untuk teruskan, mengingatkan dia akan nasib yang bakal menimpa Laila andai dia memilih untuk berputus asa.

Tariq menggigit bibirnya kuat. Dia ingin membuang segala ketakutan itu. Dia menarik nafas dalam beberapa kali sebelum memejamkan mata. Lama dia begitu.

Apabila ketakutannya mula reda, ada satu perkara terlintas di fikirannya. Dia teringat perbualan penduduk Lembah Sisa tentang ‘Teras Raksasa’. Khabarnya, Saudagar Bo sanggup membayar ratusan keping syiling tembaga untuk mendapatkan kristal tenaga yang terbentuk di dalam tubuh raksasa.

Ada juga yang mengatakan nilai Teras Raksasa, sekalipun tahap terendah, mampu memberikan mereka syiling perak. Saudagar Bo tidak membayar harga yang setimpal. Apapun, wang sebanyak itu bukan sahaja boleh menebus nyawa hamba, malah cukup untuk mengubah hidupnya, Laila dan Tok Kadir untuk beberapa ketika. Mungkin mereka boleh memilih untuk keluar dari Lembah Sisa.

Keluar dari Lembah Sisa, desis hati Tariq.

Tanpa dia sedar, dipandu dengan segala kemungkinan dan kehidupan yang lebih baik, tangan Tariq yang masih menggeletar mencapai pisau buruan yang terikat di pahanya. Dia mendekati bangkai Serigala Sisik Besi itu. Dia mengangkat pisaunya tinggi, dan menikam bahagian dada raksasa tersebut yang tidak dilindungi oleh sisik besi dengan sekuat hati.

PRAK!

Bilah pisau buruannya patah dua, terpelanting ke tanah. Tariq tergamam. Kulit makhluk itu langsung tidak tercalar, malah kekerasan kulitnya itu mematahkan satu-satunya senjata yang dia ada.

“Habislah aku,” keluh Tariq sendirian. “Macam mana aku nak pertahankan diri dalam ni?”

Dia meraup wajahnya. Entah mengapa, semuanya dirasakan seolah-olah memberikannya petanda untuk menyerah kalah.

“Kejap…”

Ketika itulah dia teringat akan senjata yang ada di dalam cincin simpanan dimensi yang diberikan oleh lelaki misteri tadi. Tariq memejamkan mata, memfokuskan mindanya ke dalam cincin di jari telunjuknya. Ruang gelap di dalam mindanya terbuka. Dia memandang pedang pendek berbilah tajam itu, dan dalam sekelip mata, senjata logam itu muncul dalam genggamannya.

Berat pedang itu sangat seimbang. Bilahnya bersinar kemilau, jauh berbeza dengan besi buruk yang biasa dijumpai di Lembah Sisa.

“Senjata gred tinggi ke ni?” tanya Tariq kepada dirinya sendiri. Dia membelek-belek pedang pendek tersebut untuk beberapa ketika. Hanya satu saja cara untuk dia tahu sama ada senjata ini akan menjadi berguna atau tidak buatnya.

Dia memandang bangkai Serigala Sisik Besi itu semula.

Namun Tariq sudah belajar dari kesilapannya tadi. Dia tidak melulu menikam. Dia menggunakan hujung pedang pendek itu untuk menusuk beberapa bahagian tubuh raksasa tersebut.

Tusukan di dada dan belakang badan menghasilkan bunyi seperti mengetuk perisai besi. Sangat keras. Tariq kemudian menelentangkan sedikit badan makhluk itu, dan menusuk bahagian bawah perut serta lipatan sendi kakinya.

“Haa… Ada beza rupanya,” gumamnya, teruja.

Bunyi pada bahagian bawah tubuh raksasa itu berbeza. Bahagian perutnya tidak bersisik keluli, hanya dilitupi kulit tebal yang kasar.

Tariq menarik nafas panjang. Dengan pergerakan yang kemas, dia membelah perut raksasa itu. Bilah pedang pendek yang tajam memotong kulit tebal makhluk tersebut dengan mudah. Bau hanyir darah dan cecair organ yang meloyakan terus meruap ke udara.

Tariq tidak mempedulikan bau itu. Dia sangat teruja ketika ini. Tangannya menyeluk ke dalam rongga dada raksasa yang masih suam. Dia meraba-raba di sebalik tulang rusuk dan peparu, sehinggalah jarinya tersentuh satu ketulan keras berbentuk sfera sebesar telur ayam yang suam.

Dia menariknya keluar.

Seketul Teras Raksasa yang memancarkan cahaya merah kekuningan bersinar di atas telapak tangannya. Tariq tersenyum lebar.

“Macam ni rupa Teras Raksasa,” ujarnya sebelum membayangkan teras tersebut masuk dan disimpan di dalam ruang cincin simpanan dimensi.

Senyuman Tariq masih mekar di bibir. Dengan adanya pedang pendek ini, keyakinannya untuk menjayakan misi ini meningkat. Dia memandang semula bangkai Serigala Sisik Besi itu.

Dia memilih untuk tidak berhenti setakat itu sahaja. Tariq menyiat kulit dan memotong bahagian-bahagian daging raksasa yang dirasakan berharga. Daging raksasa dikatakan mampu memberikan tenaga dan menyembuhkan luka jika dimasak dengan betul. Tulang-temulangnya boleh digunakan sebagai bahan penempaan. Dengan bantuan ruang yang dirasakan tanpa had di dalam cincin dimensinya, Tariq memuatkan kesemuanya—kulit, tulang, dan daging ke dalam cincin tersebut.

“Balik nanti… aku akan kaya,” bisiknya sendirian. Namun, keningnya bertaut sejenak. “Macam mana aku nak sorok cincin ini nanti? Pengawal Empayar pasti akan merampasnya kalau mereka nampak cincin ni.” Namun, dia memutuskan untuk memikirkan soal itu kemudian. Fokusnya kini adalah mencari penawar untuk Laila.

Setelah berhadapan dengan raksasa dan berjaya melapahnya, ketakutan melampau yang mencengkam Tariq sebentar tadi mula terhakis. Perlahan-lahan, keyakinan mula meresap ke dalam dirinya.

Dia merenung sisa darah merah kehitaman yang masih banyak di atas tanah.

Otaknya ligat merangka sebuah helah baharu.

“Jika kotoran pembentungan boleh mengelirukan anjing mekanikal, bau darah raksasa ini pasti akan buat makhluk lain ingat aku adalah spesies mereka, atau sekurang-kurangnya, raksasa yang sama menakutkan,” fikir Tariq. Ia satu kesimpulan logik yang terbentuk dari akal seorang remaja yang hanya biasa hidup di kawasan buangan.

Dengan penuh yakin, Tariq mengutip sisa darah Serigala Sisik Besi itu menggunakan tapak tangannya. Dia menyapu cecair hanyir itu ke seluruh tubuhnya, di atas kotoran selut hitam yang sudah mula mengering di wajah, leher, dan pakaiannya. Bau hamis darah yang sangat pekat kini menjadi perisai baharunya.

Tariq tersenyum puas. Dia menggenggam erat pedang pendek di tangannya dan melangkah keluar dari kawasan runtuhan, bersedia untuk meneruskan pencarian, demi penawar yang paling mujarab.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset