Switch Mode

Senjata Jiwa – Bab 5

Hutan Besi Purba

Lelaki misteri itu menyapu darah pada hujung bibirnya. Dia merenung Tariq dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Kemudian, dia mengangkat tangan kanannya.

Di jari telunjuknya, terdapat sebentuk cincin perak pudar dengan permata hitam legam yang tidak pernah disedari oleh Tariq sebelum ini.

Lelaki itu memejamkan mata. Tiba-tiba, permata hitam itu bercahaya malap. Udara di sekeliling tangannya bergetar, seolah-olah ruang dimensi sedang dirobek. Dalam sekelip mata, sebiji pil kecil berwarna putih muncul entah dari mana, terus berada di atas tapak tangannya.

Tariq berundur setapak. Matanya terbeliak luas. Mulutnya ternganga. Sihir?

Lelaki itu menelan pil putih tersebut tanpa mempedulikan reaksi terkejut Tariq. Dia kemudiannya menepuk kedua-dua belah pipinya dengan kuat. Kesan kemerahan akibat alkohol pada wajahnya terus pudar. Matanya yang kuyu kini kembali tajam dan jernih. Pil itu adalah penawar mabuk serta-merta.

“Apa… apa benda tu?” soal Tariq, suaranya tersekat. Dia tidak pernah melihat teknologi sebegitu sepanjang hidupnya.

“Ini cincin simpanan dimensi,” jawab lelaki itu mendatar. “Peninggalan teknologi Zaman Earther purba. Menarik kan?”

Lelaki itu menyapu tangannya pada cincin itu sekali lagi. Kali ini, beberapa keping gulungan kertas tebal dan sebuah kompas logam yang pelik muncul di tangannya. Dia membentangkan kertas-kertas tersebut di atas meja, menolak tepi bikar-bikar kaca yang bersepah.

“Ke mari,” arah lelaki itu.

Tariq melangkah perlahan menghampiri meja. Kertas itu adalah peta lakaran tangan yang sangat terperinci, jauh lebih baik daripada peta sampah yang dijumpainya di pos pengawal tadi. Ia dipenuhi koordinat, nota tulisan tangan yang kemas, dan lakaran topografi.

“Ini adalah himpunan laporan risikan dan kajian aku selama bertahun-tahun,” terang lelaki itu sambil jarinya menunjuk ke beberapa titik merah pada peta. “Kulat Darah Miasma tumbuh di kawasan tanah berpaya di sektor barat daya hutan ini. Manakala Teras Akar Besi Purba pula membelit runtuhan menara jam lama di sektor tengah. Laluan ini sangat berbahaya.”

Lelaki itu berhenti bercakap. Dia menatap wajah Tariq dalam-dalam. Wajahnya menggambarkan penyesalan dan keterpaksaan yang amat sangat. Sebolehnya, dia tidak mahu menyerahkan tugas sebahaya ini kepada seorang remaja. Namun, masa tidak menyebelahi mereka. Kedua-dua mereka tiada pilihan lain.

Tariq merenung titik-titik merah di atas peta itu. Dia menelan air liur yang terasa berpasir. “Saya dah tak peduli. Bahaya macam mana sekalipun, saya akan teruskan. Nyawa adik saya lebih penting.”

Mendengar jawapan itu, lelaki tersebut melepaskan keluhan berat. Dia sekali lagi menggunakan cincin dimensi di jarinya. Ruang udara bergetar lagi.

Satu botol kaca kecil yang mengandungi berbelas-belas pil berwarna kelabu dan sebentuk cincin yang kelihatan serba hitam muncul di atas meja.

“Dengar sini baik-baik, Tariq,” suara lelaki itu bertukar menjadi arahan seorang guru. “Kabus di dalam Hutan Besi Purba itu kabus toksik. Kalau kau bernafas di sana tanpa perlindungan, peparu kau akan hancur dalam masa kurang dari lima minit.”

Dia menolak botol kaca berisi pil kelabu itu kepada Tariq.

“Ini Pil Penapis Udara. Makan sebiji sebelum kau melangkah masuk ke sempadan hutan itu. Ia akan melindungi peparu dan salur pernafasan kau daripada kabus beracun. Tetapi ingat…” Lelaki itu mencengkam bahu Tariq. “…kesan sebiji pil ini hanya bertahan selama satu jam sahaja. Kau perlu telan pil seterusnya sebelum tempoh itu tamat, atau kau mati.”

Tariq mengangguk laju, mencengkam botol kaca itu erat-erat.

“Dan ini…” Lelaki itu mengambil cincin hitam tersebut dan menyerahkannya kepada Tariq. “…ambil cincin simpanan ini. Ia mungkin cincin gred rendah, tapi ia akan menyelamatkan nyawa kau.”

Tariq menyambut cincin yang terasa sejuk seperti ais itu. Tangannya teragak-agak. “Saya tak tahu macam mana nak guna benda magik ni.”

“Bukan magik. Aku akan ajar kau,” balas lelaki itu. “Sarungkan ke jari kau. Fokuskan fikiran kau ke dalam cincin ini. Bayangkan sebuah ruang di dalam minda kau.”

Tariq menyarungkan cincin itu pada jari telunjuknya. Dia memejamkan mata dan menarik nafas panjang. Dia cuba mengosongkan fikirannya dan memfokuskan mindanya pada cincin tersebut. Tiba-tiba, dia dapat merasakan satu ‘ruang’ gelap yang terapung di dalam mindanya.

Di dalam ruang dimensi itu, tersusun kemas beberapa barangan, antaranya peta dan laporan tadi, bungkusan bekalan makanan kering, lebih banyak pil penapis udara, pil tenaga penambah stamina, sebuah kit perubatan lengkap, dan yang paling mengejutkan, sebilah pedang pendek berbilah tajam, tali bercangkuk, dan sebatang suar penunjuk arah.

“Paling penting,” suara lelaki itu memecah tumpuannya, “kau boleh gunakan ruang di dalam cincin itu untuk menyimpan sebanyak mungkin bahan yang kau akan temui nanti, termasuk Kristal Aethel. Ruangnya tidak terhad untuk saiz tertentu, selagi ia bukan benda bernyawa.”

Tariq membuka matanya. Dia merenung lelaki misteri itu dengan pandangan yang berbeza kali ini. Dia tahu identiti sebenarnya lelaki misteri ini pastinya sangat hebat. Segala kelengkapan ini bukanlah murah. Mustahil untuk orang biasa miliki semua ini.

“Kenapa tuan bagi semua ini pada saya?” soal Tariq perlahan.

“Sebab nyawa aku, nyawa adik kau, dan harapan dunia ini kini terletak di atas bahu kau, budak. Jangan mati.”

Tariq mengangguk faham. Tanpa berlengah lagi, dia melangkah keluar meninggalkan pondok usang itu, memikul beban takdir yang jauh lebih berat daripada usianya.

Perjalanan menuju ke sempadan Zon Larangan bukanlah mudah.

Tariq perlu melepasi kawalan Anjing Pemburu Mekanikal—robot separa haiwan ciptaan tentera Empayar yang dilengkapi deria bau yang sangat sensitif dan gigi gergaji besi yang mampu mengoyakkan daging manusia dalam sekelip mata. Robot-robot ini meronda di sepanjang tembok pemisah setiap sepuluh minit.

Untuk mengelak daripada dikesan, Tariq memilih laluan yang paling jijik.

Dia merangkak masuk ke dalam terowong pembentungan lama yang sudah runtuh separuh. Bau najis, bangkai tikus dan haiwan-haiwan lain, dan bahan kimia buangan menusuk hidung sehingga dia hampir muntah. Dalam kegelapan yang menjijikkan itu, Tariq mengaut selut sisa toksik yang hitam pekat dan melumurnya ke seluruh pakaian, lengan, dan wajahnya. Bau busuk itu adalah satu-satunya perisai yang mampu mengaburi deria bau anjing mekanikal tersebut.

Dia merangkak keluar dari pembentung, bersembunyi di sebalik tong dram berkarat berhampiran pintu pagar sempadan yang sudah lama terbiar.

Klik. Klak. Klik. Klak.

Bunyi gear besi dan rantai mekanikal kedengaran menghampiri. Seekor Anjing Pemburu Mekanikal meronda perlahan. Mata merahnya yang memancarkan laser pengimbas menyapu kawasan sekitar.

Robot itu berhenti betul-betul di hadapan tong dram tempat Tariq bersembunyi. Hidung besinya berkeriut, menghidu udara.

Tariq menahan nafas. Selut busuk yang mengering di wajahnya terasa merenyam, namun dia langsung tidak bergerak. Jantungnya berdegup laju, berdoa agar penyamaran baunya berkesan.

Selepas beberapa saat yang terasa seperti berjam-jam lamanya, robot itu memalingkan kepalanya dan meneruskan rondaan menjauhi kawasan tersebut.

Tariq melepaskan nafas lega. Dia segera menelan sebiji Pil Penapis Udara. Sebaik sahaja pil itu melepasi kerongkongnya, satu rasa sejuk yang menyegarkan merebak ke bahagian peparunya. Dia memeriksa cincin dimensinya sekali lagi, memastikan senjata dan peta sedia untuk ditarik keluar pada bila-bila masa.

Dengan langkah yang senyap dan pantas, Tariq memanjat sisa tembok pemisah yang runtuh.

Sebaik sahaja kakinya mencecah tanah di sebelah sana, suasana berubah drastik. Bunyi serangga malam mati serta-merta. Udara terasa tebal dan berwarna kelabu kehitaman. Suhu jatuh merudum.

Di hadapannya, terbentang luas pemandangan yang mengerikan. Hutan Besi Purba.

Tiada daun hijau atau dahan kayu di sini. Sejauh mata memandang, yang wujud hanyalah batang-batang pokok raksasa yang seakan-akan diperbuat daripada besi berkarat dan logam yang berpintal sesama sendiri. Akar-akar besi menjalar di atas tanah seperti urat gergasi yang sudah mati.

Tariq menarik nafas dalam-dalam. Tangannya meraba hulu pisau buruan di pahanya. Dengan mata yang merenung tajam ke dalam kegelapan rimba besi itu, Tariq melangkah masuk.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset