Angin malam Lembah Sisa bertiup lebih kencang daripada biasa, menerbangkan debu yang menampar dinding kanvas pondok usang itu.
Di dalam bilik yang gelap gelita, mata kiri Tok Kadir terbuka luas.
Dia bingkas bangun dari tempat tidurnya. Naluri seorang bekas tentera yang telah diasah berpuluh tahun lamanya tidak pernah menipu. Ada sesuatu yang tidak kena. Suasana di dalam pondok itu terlalu sepi.
Tok Kadir mengheret kaki kirinya yang cacat keluar dari bilik. Matanya terus tertumpu ke arah ruang tamu. Tikar mengkuang tempat Tariq selalu tidur, kosong. Dia menoleh ke sudut pondok. Laila masih di situ, dadanya berombak lemah dalam lena yang diselubungi kesakitan.
Namun, pisau buruan, beg kanvas, dan tali rami yang selalu tersangkut pada dinding papan telah hilang.
Wajah Tok Kadir berubah tegang. Urat-urat di dahinya timbul.
“Budak bertuah,” gumamnya perlahan. Rahangnya diketap rapat sehingga kedengaran bunyi gigi berlaga.
Tanpa membuang masa, Tok Kadir mencapai tongkat kayunya. Dia menyarung sehelai jubah kain kasar yang menutupi separuh tubuhnya, lalu melangkah keluar meredah kegelapan malam. Walaupun kakinya cacat dan jalannya terhencut-hencut, kelajuannya sangat luar biasa. Langkahnya tidak menghasilkan sebarang bunyi, seolah-olah dia sedang meluncur di atas angin.
Tujuannya hanya satu. Sebuah pondok usang yang terletak tersembunyi di hujung gaung.
Sebaik sahaja Tok Kadir tiba, dia melihat pintu pondok itu sudah separuh pecah, terbiar renggang.
BANG!
Hujung tongkat kayunya menolak daun pintu itu sehingga tercabut dari engselnya.
Di dalam, di bawah cahaya pelita yang bergoyang-goyang, seorang lelaki berambut panjang menggerbang sedang duduk di lantai, mengutip serpihan botol kaca yang berteraburan. Lelaki itu mendongak perlahan-lahan. Tiada riak terkejut pada wajahnya. Sebaliknya, dia hanya tersenyum nipis.
“Aku dah agak kau akan datang, Kadir,” sapa lelaki itu tenang.
Tok Kadir melangkah masuk. Mata kirinya merenung tajam, menembusi ke dasar jiwa lelaki tersebut.
“Kau hantar cucu aku ke neraka tu, Zumar?” Suara Tok Kadir mendesir tajam, sarat dengan amarah yang ditahan.
Zumar. Itulah nama sebenar lelaki misteri tersebut. Jika ada pengawal Empayar Valerius yang melihat wajahnya ketika ini, Panglima Empayar pasti akan dikerahkan ke Lembah Sisa. Zumar bukanlah calang-calang manusia. Dia adalah bekas Ketua Pengkaji Empayar Valerius—otak di sebalik banyak teknologi moden empayar, sebelum dia dikatakan membelot dan menjadi pelarian.
“Buat apa kau nak marah, Kadir?” Zumar meletakkan serpihan kaca ke atas meja dan berdiri, menepis debu pada seluarnya. “Tariq dah buat keputusan dia. Dia nak selamatkan Laila. Bukan aku yang paksa dia. Tapi kau dan aku tahu… dia takkan mampu duduk diam.”
“Tempat tu bahaya! Bukan untuk manusia tidak terlatih. Dia cuma budak mentah!” herdik Tok Kadir, tongkatnya dihentak ke lantai.
Zumar tersenyum sinis. Dia berjalan menghampiri mejanya. “Apa yang Tariq buat malam ini bukan salah dia. Salah darah keturunannya. Darah yang mengalir dalam tubuhnya itu darah pahlawan, Kadir. Darah yang sama mengalir dalam tubuh kau. Kau lupa? Apa yang jadi pada kau hari ini, cacat dan buta… bukankah sebab kau sanggup korbankan diri kau demi orang yang kau sayang?”
Tok Kadir terdiam. Dada lelakinya berombak laju, namun lidahnya kelu untuk menafikan kebenaran pahit itu.
Zumar memusingkan tubuhnya, bersandar pada meja sambil menyilangkan tangan. Riak wajahnya berubah serius.
“Sebab itulah aku datang ke tempat buangan ini mencari kau, Kadir. Aku tinggalkan kedudukan selesa aku di makmal Empayar kerana aku tahu ada banyak benda aku boleh belajar dari kau tentang dunia purba. Kau tahu rahsia mereka.” Zumar menunding jari ke arah dada Tok Kadir.
“Kita berdua tahu kebenaran yang jijik itu. Sumpahan Debu Aethel bukanlah satu kebetulan. Ia bukan sekadar pencemaran semulajadi. Ia… adalah senjata biologi. Penyakit buatan yang dicipta oleh Bangsawan Valerius untuk memastikan golongan bawahan sentiasa lemah, sentiasa bergantung kepada ubat mereka, dan tidak akan pernah mampu memberontak!”
Suara Zumar bergema di segenap ruang pondok. Matanya berkaca menahan marah. “Aku mahu selamatkan rakyat yang tidak berdosa ini. Aku perlukan bahan dari Hutan Besi Purba untuk mencipta penawar paling mujarab. Dan Tariq adalah satu-satunya peluang yang kita ada. Lagipun, siapa yang lebih layak memusnahkan senjata Empayar, kalau bukan keluarga kau? Kau adalah—”
SWOOSH!
Belum sempat Zumar menghabiskan ayatnya, hujung tongkat kayu Tok Kadir sudah pun berada tepat di kerongkong Zumar. Pergerakan lelaki tua itu terlampau pantas, malah angin libasannya sempat membelah kulit kerongkong Zumar. Darah mengalir perlahan dari luka itu.
“Aku tak nak dengar gelaran tu lagi,” amaran Tok Kadir, matanya dingin dan kosong. “Dah berapa lama dia pergi?”
Zumar menelan liur, merasakan hujung tongkat yang tajam, hampir menekan halkumnya. “Ku-kurang satu jam yang lalu. Dia menuju ke sektor barat daya dan sektor tengah hutan itu.”
Mendengar jawapan itu, Tok Kadir menurunkan tongkatnya perlahan-lahan. Dia memusingkan tubuhnya, memandang ke arah pintu yang terbuka menghadap kegelapan malam.
“Bagi aku barang tu, Zumar.”
Zumar terpinga-pinga sejenak. Namun, apabila dia menyedari maksud di sebalik permintaan orang tua itu, tawanya tiba-tiba meletus. Tawa yang kuat dan penuh dengan rasa ironi.
“Tengoklah. Sama saja. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi,” ujar Zumar sambil menggelengkan kepala. “Satu jam lepas, cucu kau berdiri di tempat yang sama, meminta informasi dari aku. Sekarang, datuknya pula datang menuntut perkara yang hampir sama.”
Zumar mengeluarkan sesuatu dari cincin simpanan dimensinya, lalu melontarkan sebuah balang kaca bersaiz kecil ke arah Tok Kadir.
Tok Kadir menyambut balang itu dengan sebelah tangan tanpa menoleh. Di dalam balang itu, terdapat lapan biji pil berwarna merah pekat.
“Dua biji, Kadir. Maksimum,” pesan Zumar dengan nada tegas. “Kau tahu kesan sampingannya kalau kau ambil lebih. Jantung kau boleh meletup.”
Tok Kadir membuka penutup gabus balang itu. Dia langsung tidak mempedulikan amaran Zumar. Tanpa berfikir dua kali, dia menuangkan kesemua lapan biji pil merah itu ke dalam telapak tangannya, lalu menelan semuanya serentak.
Mata Zumar terbeliak. “Gila! Kau nak mati ke?!”
KRAK!
Satu bunyi tulang berderak bergema dari tubuh Tok Kadir.
Lelaki tua itu jatuh melutut, mencengkam dadanya. Urat-urat tebal berwarna hitam mula timbul menjalar di leher, muka, dan lengannya. Peluh bercampur darah merembes keluar dari liang romanya. Bunyi otot yang terkoyak dan bercantum semula kedengaran dengan sangat ngeri.
Tongkat kayu yang selama ini menjadi penyokong tubuhnya, dilepaskan ke lantai.
Selama hampir seminit, Tok Kadir mengerang menahan kesakitan yang tidak terperi. Namun, perlahan-lahan, erangan itu bertukar menjadi helaan nafas yang panjang dan stabil.
Satu aura yang sangat luar biasa mula memancar keluar dari tubuhnya, menekan udara di dalam pondok itu sehinggakan Zumar terpaksa berundur ke belakang.
Tok Kadir berdiri.
Dia tidak lagi terhencut-hencut. Kaki kirinya yang cacat kini lurus dan tegap, dipenuhi dengan otot-otot yang kembali padat. Selaput putih yang menutupi mata kanannya pudar dan menghilang, mendedahkan sepasang mata helang yang sangat tajam dan berwarna coklat kemerahan. Kedut-kedut pada wajahnya berkurangan secara drastik.
Walaupun rambutnya masih beruban, susuk tubuh yang berdiri di hadapan Zumar ketika ini bukanlah seorang datuk tua yang uzur, sebaliknya persis seorang pahlawan perang yang sedang berada di kemuncak kekuatannya.
“Pil Kebangkitan…” gumam Tok Kadir perlahan, sambil mengepal dan membuka telapak tangannya, merasai aliran tenaga yang mengalir deras dalam nadinya. “…ciptaan teragung kau yang ditakuti oleh Empayar Valerius. Memang sehebat namanya.”
Zumar menyandarkan tubuhnya pada meja. Kakinya terasa lembik melihat metamorfosis di hadapan matanya. Bulu romanya meremang tegak.
Di hadapannya ketika ini, bukan lagi si tua Kadir, si cacat di Lembah Sisa.
Di hadapannya kini berdiri Panglima Perang Kadir, penyelamat golongan bawahan Empayar Valerius. Bekas Panglima Perang yang pernah menggegarkan seluruh benua sebelum dia memilih untuk hilang dari radar dunia demi menyembunyikan keturunannya.
Lebih dari itu, Zumar tahu satu rahsia purba yang hanya tercatat dalam manuskrip larangan istana.
Lelaki yang sedang berdiri tegak ini adalah keturunan langsung Panglima Perang Agara—panglima perang purba yang paling berkuasa dalam lipatan sejarah dunia. Pahlawan legenda yang mengetuai tentera bangsa Earther menentang golongan elit Skyer di langit. Panglima yang bertanggungjawab menghancurkan benua gergasi Diracasia dan menenggelamkan peradaban Skyer ke dasar lautan seribu tahun yang lalu!
Dan kini, darah yang sama, kehendak yang sama, kembali bangkit.
Tok Kadir menoleh ke arah Zumar.
“Kalau apa-apa jadi pada cucu aku di dalam Hutan Besi Purba malam ini…” Suara Tok Kadir tidak lagi serak, tetapi dalam, garau, dan bergema dengan kuasa mutlak. “…aku akan bunuh kau, Zumar.”
Tanpa menoleh lagi, Tok Kadir melangkah keluar. Dengan satu tolakan kakinya ke tanah, tubuhnya hilang dari pandangan dalam sekelip mata, meninggalkan satu letusan angin kencang yang menerbangkan segala helaian kertas di dalam pondok Zumar.
Zumar meraup wajahnya yang berpeluh. Dia memandang ke arah pintu yang terbuka luas. Bibirnya mengukir senyuman nipis yang bergetar.
“Empayar Valerius… akhirnya akan runtuh juga.”