Switch Mode

Satria: Darah Terakhir – Bab 9

Lelaki Tua Misteri

Indra tersentak. Dia memalingkan kepala. Pergerakan kecil itu cukup untuk menikam urat lehernya dengan nyeri tajam. Di penjuru pandangan, susuk seorang lelaki tua kelihatan dipasung kemas pada dinding batu.

Tujuh hari jasad itu tidak berkutik. Indra menyangka dia sekadar mayat menanti reput.

“Siapa kau…” Indra memaksa kata-katanya melepasi bibir yang bengkak. “Aku… tak bercakap dengan kau.”

“Siapa peduli, budak.”

Indra membiarkan dagunya terkulai ke dada. Kudratnya putus untuk terus menopang kepala. “Sangkaku… kau dah jadi mayat, orang tua.”

“Aku? Mati?” Hilaian tawa serak memecah sunyi. “Jangan bergurau.”

Indra menelan liur, namun rongga mulutnya kontang. Tulang rusuknya bergeser ngilu saat dia mencuri nafas. “Memandangkan kau… masih bernafas. Mari berbual. Buat kali terakhir… sebelum aku mati.”

Lelaki tua itu berdekah lantang. Indra mengeraskan tubuh, cemas menanti derap capal pengawal merempuh turun dari tangga.

Namun, lorong di luar kekal sunyi.

“Mati?”

Suara serak itu berubah tegang. Nada lemahnya ghaib serta-merta. Satu tekanan berat yang luar biasa menghenyak dada Indra.

Lima bebola api biru menyala mendadak di udara. Ruang gelap penjara itu kini diterangi cahaya kebiruan.

Pasung besi yang mengunci pergelangan tangan lelaki tua itu lebur. Debu kelabu berterbangan melolosi celah jemari saat dia mendarat senyap di atas lantai.

Nafas Indra terhenti.

Lelaki tua itu berdiri tegak. Sisa debu ditepuk dari pakaiannya yang compang-camping.

“Kau mahu mati kerana duka lara cinta?” Dia melangkah masuk ke bawah cahaya api biru. “Hanya kerana Puteri Wangsa dari kota sempadan membuang kau?”

Hinaan itu membakar maruah Indra.

Mati kerana Ratna?

Bertahun-tahun dia menelan segala cacian, hidup dengan Urat Prana yang mati. Tanpa nama. Tanpa ingatan sebelum dikutip oleh Wangsa Rentaka pada usia dua belas tahun. Dia tidak akan membiarkan nyawanya tamat sebagai korban murahan permainan politik ini.

Indra merentap tubuh melawan ikatan tali kasar. Rahangnya digagahkan terkatup rapat lantas dia meludah darah pekat ke lantai batu.

“Tidak.” Setiap patah perkataan terasa menyiat kerongkong, namun nadanya keras tidak bergetar. “Aku takkan mati. Bukan di tangan mereka.”

Wajah lelaki tua itu kekal tanpa riak. Dia menapak merapat lantas menekan jari kasarnya ke dahi Indra. Tiada sebarang pancaran cahaya. Sekadar satu tekanan tumpul namunn amat berat menghenyak tengkoraknya.

“Bagus,” katanya. “Kau takkan mati hari ini. Biar aku ubah takdir kau, budak.”

Indra tersentak. “Ubah… takdir?” soalnya keliru. “Siapa kau sebenarnya?”

Lelaki tua itu menjatuhkan tangannya. “Seseorang yang belum layak kau kenali.”

Tubuh pemuda itu dibiarkan terus terikat. Langkahnya diatur bersahaja merentasi nyalaan api biru. Tapak kakinya langsung tidak membuahkan bunyi saat menyentuh lantai.

“Kenapa Urat Prana kau masih mati?” soal lelaki tua itu, nada datarnya menyembunyikan kehairanan. “Bukankah sudah lebih tiga tahun?”

Rahang Indra terkatup. Dia cuba menjawab, namun suaranya pecah disusuli batuk. Buih merah pekat meleleh di bibir. “Bukan… kehendak aku—”

Lelaki tua itu mendengus kecil. Sebatang jarinya dijentik. Satu percikan api biru meluncur laju lantas meresap ke dalam kerongkong Indra.

Indra tersentak memburu nafas. Hawa panas melilit kerongkong, mencantum semula tisu dan otot yang robek dalam sekelip mata. Teknik pemulihan sesempurna itu menuntut berjam-jam kawalan tenaga daripada seorang Tabib Tahap Tinggi. Namun, orang tua itu melakukannya semudah memetik jari.

Indra menelan liur. Rasa perit dan payau darah di pangkal lidahnya lenyap sepenuhnya. Matanya tajam memandang lelaki misteri tersebut. “Apa yang kau dah buat?”

“Sekarang lebih baik. Bernanah telinga aku menadah suara kau,” kata lelaki tua itu mendatar. “Sekarang, jawab soalan aku. Ilmu perubatan kau tinggi, tapi kau reda membusuk diikat pada palang ini… Kenapa?”

Indra menguji suaranya sebelum membalas. “Sebab tubuh ini memang tidak mampu disembuhkan. Aku dah kaji keseluruhan sistem badanku sendiri.”

Lelaki tua itu menghentikan langkah. “Tapi dengan mudah kau membuka Gerbang Prana budak perempuan Baskara tu. Sama juga waktu kau sembuhkan Urat Prana dan Gerbang Prana Kurnia Rentaka secara sembunyi.”

Tubuh Indra kaku.

Rahsia dia memulihkan Ratna hanya dikongsi oleh Kurnia, Jagat, Aditya, Ratna, dan Melur. Rahsia merawat Ketua Wangsa Rentaka pula? Perkara itu hanya diketahui oleh mereka berdua.

“Macam mana kau tahu?” soal Indra merenung lelaki tua itu.

Lelaki tua itu langsung tidak mengendahkan pertanyaannya. “Jawab soalan aku dulu. Kenapa Urat Prana kau masih mati?”

“Macam aku cakap dan… aku sedar batasanku,” tegas Indra.

Lelaki tua itu merenung tajam. “Itu yang kau benar-benar percaya?”

“Itu hakikat,” bantah Indra. “Kalau aku paksa Prana masuk, kesakitannya saja sudah cukup untuk bunuh aku.”

Lelaki tua itu diam, sekadar menunggu.

Indra mahu membela diri, namun kata-katanya tersekat di kerongkong. Dahinya berkerut.

Aku boleh mati? Pernahkah aku benar-benar mencuba?

Dia menunduk memandang kakinya yang terawang. Tiga tahun dia mengkaji kedudukan Gerbang Prana yang paling selamat untuk dibuka pada Ratna. Mencari jalan agar gadis itu tidak merana. Tapi jasad sendiri? Dibiarkan reput tanpa walau sekali dia berjuang sehabis daya.

“Aku…” Indra buntu, meragui pilihan hidupnya. “Aku tak tahu. Aku terlalu leka membaiki kerosakan orang lain.”

“Sudah,” pangkas lelaki tua itu kasar. “Aku tak peduli niat kau nak tolong orang. Tapi kau menyerah semata-mata sebab takut sakit?”

Dia melangkah rapat, menjegil lurus ke wajah Indra. “Kau rela dirantai macam anjing hanya sebab takut pada rasa sakit? Tiga tahun jadi khadam budak perempuan dari kota sempadan, dan kau abaikan tubuh sendiri?”

Lelaki tua itu menggeleng jijik. “Ini bukan kau, budak. Menyedihkan.”

Indra tersentak. Anak matanya menikam wajah lelaki tua itu. “Sekejap. Kau cakap begitu… kau tahu siapa aku?” soalnya. Harapan yang terdesak seakan memadamkan bisa pada tubuhnya.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset