Switch Mode

Menara Seribu: Astra Naga – Bab 10

Wanita Misteri

Apa yang berlaku antara Kael dan Azurion di lorong sempit itu langsung tidak disaksikan oleh mata makhluk lain.

Namun, sebaik sahaja pisau Kael merobek Kristal Tenaga Azurion, letusan cahaya keemasannya meledak senyap sebelum memancar lurus ke dada langit. Tiang cahaya itu membelah kanopi tebal Hutan Tabun, menyimbah seluruh Tingkat Satu Menara Seribu dengan cahaya semberono yang membutakan mata, sebelum padam serta-merta.

Fenomena ganjil itu menarik perhatian seluruh populasi Tingkat Satu, baik kumpulan Pendaki mahupun Penduduk Asal.

“Apa yang berlaku?”

“Cahaya tadi! Ada kemunculan Artifak Menara ke?”

Di zon tengah Hutan Tabun yang tidak jauh dari lokasi Kael, Kumpulan Ariel, Sera, dan Roberto yang baru selesai menguji kemampuan satu sama lain sebentar tadi turut terpaku memandang ke arah punca cahaya tersebut.

“Cahaya tu… datang dari kawasan Kodok Hijau,” kata Ariel dengan mata yang bersinar tamak. “Kalau betul itu Artifak Menara, siapa jumpa dulu dia yang punya!”

“Saya yakin ia akan jadi milik Tuan Muda Ariel,” Kudus mencelah laju, sekadar membodek walau lengannya masih berdenyut menahan sakit. “Tapi, kalau ikut arah yang sebetulnya cahaya tu puncanya dari kawasan Arnab Putih.”

“Kau tak payah nak betulkan aku.” Ariel menjeling tajam. Matanya kemudian kembali memandang ke arah cahaya itu. “Tapi… padan muka Roberto. Gila sangat nak tempat kita tadi kan. Sekarang, kita yang lagi dekat.”

Bibir Ariel mengukir senyuman angkuh. Mustahil ada pihak yang berani menempah maut berebut artifak itu dengannya, waris Keluarga Venus. Tanpa membuang masa, dia mengerahkan anak buahnya bergerak.

“Cepat! Kita kena sampai dulu!”

“Baik, Tuan Muda!” sahut mereka yang lain.

Situasi dan arahan yang sama turut berlaku di tempat lain. Kumpulan demi kumpulan Pendaki, termasuk skuad bersenjata dari Penduduk Asal Tingkat Satu, sudah mula mengorak langkah. Masing-masing memecut menuju ke titik koordinat yang sama. Sekalipun jika ia bukan Artifak Menara, mereka tidak ingin terlepas dari mengetahui apa puncanya.

Perlumbaan merebut apa yang disangka mereka sebagai Artifak Menara, kini bermula.

***

Sementara itu, di lokasi kejadian, sisa cahaya keemasan itu sudah pudar sepenuhnya.

Tapak di mana Azurion dibunuh oleh Kael sebentar tadi kini hanyalah sebuah kawah terbakar. Ia hitam pekat, persis kawasan yang baru disambar petir berskala besar. Tidak jauh dari situ, Kael terbaring kaku. Dia langsung tidak sedarkan diri.

Tubuhnya langsung tidak bergerak. Namun, jika diperhati dari dekat, satu garisan cahaya keemasan berdenyut perlahan dari sebalik dadanya. Rentaknya sekata, selari dengan degupan jantung.

Di peringkat selular, tubuhnya sedang berevolusi. Kristal Tenaga Azurion kini menulis semula fitrah biologinya. Ia merombak sel manusia Kael, membina tisu otot baharu, dan meningkatkan ketahanan organ secara total. Sistem nadinya mula menyalurkan dua darah yang berbeza—darah manusia dan darah naga.

Kumpulan Pendaki dan Penduduk Asal belum sempat tiba namun, satu susuk bertubuh sederhana telah tiba lebih awal. Berselubung di sebalik mantel kelabu lusuh, dia mendarat di atas dahan pokok, menilai keadaan di bawah seketika sebelum melompat turun ke tanah tanpa sebarang bunyi.

Langkahnya diatur perlahan, menghampiri Kael dengan berhati-hati.

Tubuh remaja yang terbaring kaku itu direnung lama. Sama seperti yang lain, dia turut menjangkakan tiang cahaya tadi adalah petanda kemunculan Artifak Menara. Tetapi, apa yang ada di depan matanya cumalah seorang remaja yang pengsan di tepi kawah hangus.

Pandangannya melilau meneliti persekitaran, mencari jika ada apa-apa yang disorokkan, sebelum kembali melekat pada wajah Kael.

“Mana Artifak Menara ni?” rungutnya perlahan. “Dan siapa budak ni?”

Dari suaranya, jelas dia seorang wanita. Angin Hutan Tabun bertiup kasar, menyelak sedikit mantel kelabu itu lalu mendedahkan hulu sebilah pedang pendek di pinggang. Sebaik sahaja hud kelabu di kepalanya beralih, seraut wajah yang menawan jelas kelihatan.

Wanita itu melangkah ke tepi kawah lalu melutut. Sebaik sahaja jarinya cuba menyentuh mendapan hitam itu, sisa tenaga asing menolak perlahan tangannya. Dahinya berkerut rapat.

“Tenaga apa pula ni?”

Matanya kembali beralih kepada Kael. “Budak ni dah ambil artifak tu ke?”

Buat masa ini, hanya teori itu yang masuk akal. Sedang dia asyik memerhati, satu proses ganjil berlaku.

Permukaan kulit Kael mula merekah. Perlahan-lahan, ia pecah dan gugur ke tanah persis kulit ular yang sedang disalin. Di sebalik lapisan lama yang reput itu, muncul kulit baharu yang bersih dan lebih tegang. Ia memancarkan bias cahaya keemasan yang samar.

“Menarik…” Bibir wanita itu mengukir senyum.

Dia merapati remaja itu dan cuba mengangkatnya. Satu keluhan berat terlepas. “Kenapa kau berat sangat?”

Segulung tali segera ditarik dari balik mantel. Tangannya cekap memunggah tubuh Kael ke belakang badan, melilit tali itu berulang kali untuk memastikan ikatan tersebut kemas dan ketat.

“Macam ni baru mudah aku nak bergerak,” gumamnya.

Derap tapak kaki berserta pekikan kumpulan Pendaki semakin jelas kedengaran, memecah kesunyian Hutan Tabun. Wanita itu tahu masanya sudah tamat.

“Maaf, kawan,” bisiknya perlahan, hampir ke telinga Kael. “Aku tak kenal kau… tapi kalau mereka nampak kau macam ni, pasti kau jadi tawanan.”

Dia memandang ke arah utara Hutan Tabun, atau lebih tepat, pada laluan ke Kubu Hutan Tabun Utara. Ironinya, jalan itu adalah satu-satunya ruang lolos yang masih terbuka daripada dirempuh kumpulan Pendaki dari arah lain. Tanpa membuang masa, tenaga dikumpul pada kaki, dan dia terus memecut membawa Kael, menghilang pantas di balik rimbunan bayang-bayang pepohon.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset