Switch Mode

Menara Seribu: Astra Naga – Bab 8

Sang Naga

Kael terduduk kaku di atas tanah. Dada dan bahunya berombak kencang, bukan kerana kepenatan, tetapi dihenyak kekecewaan yang melampau. Bilah pisau dalam genggamannya bergetar seiring sisa amarah yang belum padam. Bangkai Arnab Putih keempat terbiar sepi di hujung kakinya, simbol sebuah kejayaan yang dibayar dengan kegagalan.

“Empat puluh tiga,” luahnya perlahan, sepasang matanya memandang kosong pada paparan lut cahaya Panel Status.

[Mata Biasa: 43/100]

“Jauh lagi. Separuh pun belum sampai.” Keluhannya tenggelam bersama deruan angin Hutan Tabun.

Akal Kael laju membuat perkiraan. Jika spesis bawahan seperti Kumbang Hitam dan Arnab Putih hanya memberikan sekitar 10 hingga 15 Mata Biasa sebelum ganjarannya menjunam sifar, ini bermaksud dia perlu memburu sekurang-kurangnya enam spesis baharu semata-mata untuk menggenapkan angka seratus.

Otaknya dipaksa bekerja keras. Atribut 30 Kecerdasan miliknya bertarung hebat menolak gelombang putus asa yang mula meracuni fikiran. Dia tidak boleh mematikan rentak di sini.

“Ada sasaran lain dekat-dekat sini,” gumamnya perlahan, cuba menyelongkar memori senarai raksasa Level 0. “Kodok Hijau… Cacing Berduri.”

Dia harus segera beralih ke tapak perburuan baharu. Sebuah kawasan lembap tidak jauh dari situ, yang merupakan habitat rasmi Kodok Hijau, telah pun dikenal pasti. Namun, serentak dengan perancangan itu, rasa loya tiba-tiba menjerut kerongkongnya. Terbayang wajah kodok berlendir itu yang dagingnya perlu dikunyah dan ditelan mentah-mentah.

Jika ini di luar Menara Seribu, jangankan makan, menyentuhnya pun tidak akan sekali-kali dia lakukan.

Kepalanya pantas digeleng berkali-kali. Bayangan menjijikkan itu perlu dihapuskan. Emosi lemah sebegini tidak boleh dibiarkan menguasai pergerakannya.

Pak!

Kedua-dua belah pipinya ditampar kuat. Bunyi tamparan itu bergema seketika, cukup padu untuk merentap kembali kewarasannya ke dunia nyata.

“Fokus, Kael. Kau nak jadi kuat,” pesannya pada diri sendiri.

Nafas ditarik panjang untuk mengumpul semula sisa semangat. Dia terpaksa akur bahawa dia perlu bermula dari sifar sekali lagi. Membaca corak pergerakan musuh baharu, merangka teknik untuk membunuh yang lebih lancar, dan berharap agar ganjaran kali ini tidak akan cepat kering.

Pandangannya menembusi celah-celah kanopi tebal Hutan Tabun. Langit di atas mula beransur kelam. Malam bakal melabuhkan tirai dalam masa beberapa jam sahaja lagi.

Satu lagi rintangan muncul. Menurut catatan di Arkib Menara, waktu malam di Hutan Tabun adalah waktu di mana Raksasa Level 2 menjadi lebih aktif dan agresif memburu mangsa. Jika dia sudah berada di Level 2 atau 3 seperti Ariel, Sera, atau Roberto, dia tidak akan risau. Tetapi, dia masih terikat di Level 0.

Kekecewaan tadi mula bercampur dengan rasa risau.

Lamunannya terputus serta-merta. Telinganya menangkap satu bunyi pergerakan tidak jauh di belakangnya.

“Arnab Putih lagi?” duganya.

Kael segera berpusing dalam satu gerakan pantas, pisaunya diangkat ke paras dada, bersedia. Dia tidak lagi bersembunyi di sebalik tirai daun itu; perburuannya di laluan sempit ini sudah selesai. Daging Arnab Putih sudah tidak memberikan apa-apa manfaat. Dia baru sahaja mahu mengeluarkan Kristal Tenaga daripada empat bangkai arnab di dalam Inventori apabila bunyi itu menghentikannya.

Nafasnya ditahan. Telinganya menajam, cuba mentafsir bunyi tersebut. Di sebalik semak tebal di belakangnya, dia yakin ada sesuatu yang sedang memerhati.

Kedengaran bunyi ranting patah dipijak, disusuli dengan getaran halus pada tanah di bawah kakinya. Dia tahu serta-merta bahawa makhluk itu besar dan berat. Jauh lebih besar daripada Kumbang Hitam atau Arnab Putih.

Kael menelan air liur. Peluh sejuk mula mengalir. Dia sudah mengenal pasti beberapa raksasa yang ada di kawasan ini. Setakat ini, tiada yang besar dan berat.

Raksasa apa kali ini?

Jika makhluk itu adalah Raksasa Level 2, dia mungkin tiada peluang untuk lari, walaupun pada waktu siang. Getaran ini terasa begitu mengancam.

“Tolonglah, jangan Raksasa Level 2,” bisiknya dalam hati. “Banyak lagi aku nak selesaikan sebelum mati.”

Dia membuat keputusan pantas. Kael berundur perlahan, berusaha untuk keluar dari laluan sempit yang kini bertukar menjadi perangkapnya. Berada di sini adalah satu kesilapan taktikal. Jika di luar, di kawasan yang lebih terbuka, peluang untuk dia melarikan diri jauh lebih tinggi.

Namun, ketika dia berundur, Kael menyedari sesuatu yang lebih menakutkan. Makhluk di sebalik semak itu turut bergerak selari mengikut rentaknya. Ia seolah-olah meniru langkahnya, bermain dengannya sebelum mendedahkan diri.

Kael memerhati sekeliling, otaknya ligat menyusun laluan untuk melarikan diri. Berdasarkan bunyi yang semakin jelas, dia tahu dalam beberapa saat lagi, mereka akan saling bertembung.

Kael sudah bersedia. Dia bersedia untuk memecut ke mana-mana arah tanpa menoleh. Namun, sebaik sahaja makhluk itu melangkah keluar dari balik semak, langkah Kael terhenti serta-merta.

Kakinya bagai terpaku ke tanah. Nafasnya tersekat. Dia tidak percaya dengan apa yang sedang berdiri di hadapannya.

“Naga…?”

Satu nama Raksasa Sakti terluah dari bibirnya. Kael terundur ke belakang, kakinya tersadung batu kecil dan dia jatuh terduduk di atas tanah. Matanya tidak mampu diangkat untuk memandang ke hadapan. Dia hanya melihat kaki dan tubuhnya yang sedang menggigil kuat, tidak terkawal. Nafasnya menjadi pendek dan laju.

Satu aura memancar dari makhluk itu. Ia terasa berat dan menekan sehingga ke tulang. Jika makhluk itu mahu, aura itu sahaja sudah cukup untuk menghancurkannya tanpa perlu menyerang.

“Kau tahu aku apa?”

Suara itu bergema. Ia bukan bunyi di telinganya, tetapi gema yang datang terus ke dalam mindanya, seperti suara sistem notifikasi Menara. Cuma, suara ini lebih dalam dan purba.

“Jawab soalan aku.”

Tubuh Kael berpeluh lebat. Bukan dia tidak mahu menjawab, tetapi dia terlalu takut. Dia cuba menguatkan semangat, memaksa lehernya untuk bergerak, dan akhirnya berjaya mengangkat kepala. Dia memandang tepat ke arah mata makhluk tersebut—mata yang bersinar dengan kuasa dan kebijaksanaan.

“K-kau…” Kael berjaya bersuara, suaranya pecah dan bergetar. “Kau yang bercakap dalam kepala aku?”

Kael sedar betapa bodohnya soalan itu. Segala mata Kecerdasan yang dimilikinya seolah-olah tidak berguna lagi. Dia terlalu takut. Dia tahu tiada perancangan yang mampu melepaskannya dari makhluk ini.

“Ya. Aku sedang bercakap dengan kau, manusia.”

Suara itu bergema di dalam mindanya sekali lagi. Nadanya keras.

Kael menelan air liur. Dia mula memberanikan diri untuk meneliti susuk tubuh naga itu. Matanya berkelip beberapa kali. Saiz makhluk itu tidak seperti yang dibayangkan dalam legenda. Ia tidak sebesar gunung, mungkin hanya sebesar sebuah van. Dia terus melihat setiap inci tubuh makhluk itu, dan barulah dia perasan.

Kulit bersisik peraknya yang sepatutnya megah itu… penuh dengan kesan luka dan calar. Luka yang dalam dan kelihatan masih baru.

“Kau… cedera?” gumam Kael perlahan, lebih kepada dirinya sendiri.

“Ya. Aku cedera,” balas Sang Naga sinis di dalam fikirannya. “Kenapa? Kau fikir kau mampu bunuh aku?”

Kael menggeleng pantas.

“Tidak.” Dia membalas terburu-buru, “Aku tak ada niat macam tu. Aku tak akan mampu. Aku cuma nak lari… selamatkan diri.”

Berhadapan makhluk seperti itu, dia tidak akan berlagak berani. Dia tahu, jika ada sepuluh ribu Pendaki Level 0 sekalipun, mereka tidak akan mampu membunuh seekor naga yang cedera.

“Aku tahu kau lemah,” ujar suara itu lagi, nadanya kali ini lebih perlahan dan kedengaran letih. “Sebab itu aku datang kepada kau.”

Kael cuba memproses kata-kata itu. Seekor naga—makhluk legenda yang menjadi simbol kekuatan—turun ke Tingkat Satu Menara hanya untuk menghinanya? Dia tidak rasa naga ini mempunyai banyak masa terluang untuk berbuat begitu.

Dia membuka mulut, tetapi tatapan tajam naga itu mematikan niatnya. Makhluk itu bergerak perlahan menghampiri Kael. Mulutnya tidak terbuka, tetapi suaranya bergema lagi.

“Aku perlukan bantuan kau, manusia.”

Nadanya tenang, namun permintaannya itu menggetarkan Kael lebih teruk daripada auranya tadi. Kael tergamam. Dia memandang Sang Naga, tidak pasti sama ada dia salah dengar.

“Kau… perlukan bantuan aku?”

Naga itu mengangguk perlahan. Auranya terasa sedikit menurun, tidak lagi sekuat tadi.

Walaupun masih menggigil, Kael berasa sedikit lebih tenang. Dia menarik nafas dalam-dalam, cuba mengawal getaran pada suaranya.

“Apa yang kau nak aku lakukan?”

Sang Naga memandangnya lama, mata peraknya yang berkilau menembusi pandangan Kael.

Jantung Kael mula berdebar kembali.

Suara makhluk itu kedengaran lagi. Berat tetapi tenang.

“Bunuh aku.”

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset