Switch Mode

Raja Bayang – Bab 5

Keluarga Jauhar

Keesokan paginya.

Taha duduk di meja makan sambil membelek surat khabar edisi pagi zon perumahan. Rutinnya nampak sama seperti biasa, cuma kali ini halaman berita tempatan langsung tidak dipedulikannya. Matanya tajam meneliti ruangan iklan jawatan kosong.

“Kilang Giva… gaji tak tetap,” gumam Taha perlahan. “Kilang Seng pula? Aku dah terlalu tua untuk kerja berat macam ni.”

Tidak jauh dari situ, Jura sibuk di dapur menyiapkan sarapan sebelum menghidangkannya di atas meja. Bagi wanita itu, pagi ini hanyalah pagi yang biasa.

Di dalam bilik, jam biologi mengejutkan Noah lebih awal dari kedua ibu dan bapa angkatnya. Namun, dia tidak terus bingkas dari katil. Dia duduk bersila, mengambil masa untuk bertenang sambil menyusun dan menggali semula segala memori serta ilmu yang dipelajarinya sebelum dia ditidurkan selama tiga ratus tahun.

Itulah aset terbesarnya. Sebab utama kenapa dia dipilih untuk menyertai projek hibernasi ini adalah kerana keupayaan otaknya yang luar biasa. Dia mampu merakam setiap butiran maklumat secara mutlak dan menguasai apa sahaja ilmu dengan pantas.

Selang setengah jam kemudian, Noah berdiri perlahan-lahan. Dia melipat selimut, mencuci muka dan berjalan ke dapur.

Noah melangkah ke ruang makan. “Selamat pagi,” sapanya ringkas kepada Taha dan Jura sebelum menarik kerusi.

Jura pantas meletakkan pinggan sarapan di hadapan Noah. Sebaik sahaja Noah menyuap makanan ke dalam mulut, wanita itu bertanya ramah, “Macam mana rasanya?”

“Pedas sikit,” balas Noah. “Tapi saya suka.”

“Baguslah,” senyum Jura, nampak lega.

Di hujung meja, Taha melipat surat khabarnya lalu diletakkan ke tepi. Pandangannya merenung tepat ke wajah Noah, riaknya berubah serius seolah-olah sudah lama menunggu saat itu.

“Noah,” panggil Taha. “Pak cik dan mak cik dah aturkan seorang calon isteri untuk kamu. Untuk perkahwinan. Bersiap sedia hari ni. Pakai baju yang paling elok, kita nak pergi jumpa orang penting.”

Sejak menghadam hakikat sebenar malam tadi, fikiran Noah kini jauh lebih tenang. Dia pantas memakai topeng naifnya, merenung mereka dengan mata terkebil-kebil persis kanak-kanak biasa lalu bertanya, “Perkahwinan apa?”

Jura memandang Noah dengan rasa simpati sebelum berbisik kepada suaminya, “Tengok tu? Saya dah cakap, Noah ni mentah lagi. Kita patut tunggu beberapa tahun.”

“Tiga belas tahun tu umur sah untuk berkahwin,” sangkal Taha pantas. Jelingan matanya bertukar tajam dan dingin. “Kita ikat tali pertunangan dulu. Tak salah kalau kita jamin masa depan dia awal-awal.”

Menyedari suaminya sudah nekad, Jura menelan kembali kata-katanya lalu mendiamkan diri.

“Kita akan kenalkan kamu dengan seorang kakak yang sangat baik,” pancing Taha, beralih semula memandang Noah. “Ini peluang keemasan kamu. Buatlah apa saja untuk pikat hati dia. Kalau kamu berjaya, kamu akan dapat makan sedap hari-hari, pakai baju lawa, dan takkan berlapar lagi. Kamu faham maksud pak cik?”

“Biar betul? Saya nak!” balas Noah bersungguh-sungguh. Demi menyempurnakan wataknya, dia mempamerkan riak teruja bercampur lurus yang cukup meyakinkan.

Taha mengukir senyuman lebar, jelas kelegaan. “Bagus. Noah memang budak baik. Baiklah, kalau macam tu kita dah sepakat. Makanlah.”

Tidak lama kemudian, mereka selesai bersarapan.

Lakonan Noah yang terus-terusan kelihatan teruja benar-benar melegakan hati Taha.

“Mari sini, Noah. Mak Cik tolong pakaikan baju baharu,” panggil Jura, menarik Noah ke arah sebuah almari. Di dalamnya tergantung sepasang sut hitam baharu, tali leher merah terang, dan kasut kulit berkilat. Selesai sahaja Noah menukar pakaian, mata pasangan itu terus bersinar memandangnya. Kulit Noah yang putih bersih dipadankan dengan mata hitam pekatnya secara semula jadi memancarkan aura keturunan bangsawan.

“Segaknya!” Jura ketawa gembira.

Hati Taha berbunga riang melihat ‘aset’ pelaburannya. Dia menepuk tangan. “Sempurna! Jom gerak!”

“Baik!” Noah sengaja mempamerkan riak teruja yang melengkapkan lagi topeng naifnya.

Sebaik sahaja pintu rumah dikunci, Jura memimpin tangan Noah lalu memandang suaminya. “Awal lagi ni. Boleh ke kita dapat kereta kuda di kawasan ini?”

Taha tersenyum yakin. “Di sini memang tak ada. Tapi Keluarga Jauhar dah maklumkan awal lagi, mereka akan hantar kereta kuda khas untuk ambil kita.”

Serentak dengan itu, kedengaran bunyi derapan kaki kuda dari arah sudut jalan. Sebuah kereta kuda berkemasan emas membelok lalu berhenti betul-betul di hadapan mereka. Di atas bumbungnya, terpacak sehelai bendera perak bersulam bunga putih, lambang rasmi Keluarga Jauhar.

Pemandu bersut hitam dan bertopi tinggi itu melompat turun. Dia mengukir senyuman sopan. “Tuan Taha, Puan Jura, Cik Muda dah lama tunggu.”

Dia menunduk sedikit, menghulurkan tangan ke arah pintu kabin dengan gaya bangsawan yang cukup lancar.

Jantung Taha berdegup laju. Dia pantas membalas. “Oh, kami tak berani biarkan Cik Muda Annia menunggu! Biadab pula rasanya. Cepat, naik!” Akibat terlalu kalut, dia menarik tangan Noah dan terus menolaknya masuk ke dalam ruang penumpang.

Ketika itulah pemandu tersebut perasan akan kehadiran Noah. Riak terkejut melintas pantas pada matanya, namun dia segera menyembunyikannya di sebalik senyuman manis.

Sebaik sahaja mereka sekeluarga duduk di dalam, pemandu itu melibas tali kekang. Kereta kuda mula bergerak.

Noah duduk diam. Matanya meliar memerhati deretan bangunan dan pejalan kaki. Kebanyakan orang yang berselisih dengan mereka memandang kereta kuda itu dengan riak kagum. Di dalam kabin, Taha dan Jura terus membisu. Mereka tidak berani membuka mulut, bimbang perbualan mereka didengari oleh pemandu di luar dan sampai ke telinga Keluarga Jauhar.

Kereta kuda itu meluncur lancar sehinggalah tiba di pintu selatan tembok gergasi. Pengawal muda yang bertugas pantas memberi tabik hormat sebaik sahaja melihat bendera Keluarga Jauhar. Dia segera membuka laluan. Selepas kereta kuda itu melepasi pagar, pengawal itu menjatuhkan tangannya dan kembali membuat pemeriksaan ketat ke atas rakyat biasa.

Ini ke zon komersial? Desis hati Noah sambil menjenguk ke luar tingkap.

Jalan di sini sangat bersih. Pejalan kakinya mengenakan pakaian yang elegan. Jurang perbezaannya dengan zon perumahan amat ketara. Jika dibandingkan dengan zon setinggan, bezanya terlalu jauh.

Tidak lama kemudian, kereta kuda berhenti di hadapan sebuah bangunan mewah di hujung jalan. Perhatian Noah tertumpu pada sebuah papan tanda kayu di atas pintu masuk. Ia memaparkan lukisan sebuah piano yang sangat realistik.

Dahinya berkerut. Tamadun pasca-bencana ini sudah teruk mundur sampaikan teknologi menempa logam asas pun mereka masih gagal kuasai. Jadi, macam mana instrumen rumit yang memerlukan ribuan komponen mekanikal dan dawai keluli bertegangan tinggi seperti piano boleh wujud di sini?

Belum sempat Noah melayan fikiran, seorang pelayan, pemuda bersut hitam bergegas keluar dari bangunan tersebut. Dia memandang Taha dan Jura dengan senyuman.

“Puan Besar dah lama tunggu. Sila ikut saya,” katanya sebelum berpusing memandu arah.

Taha menelan liur. Bangunan semegah ini langsung tiada di zon perumahan. Sambil meluruskan postur badannya, dia menggenggam erat tangan Noah lalu mengekori pelayan itu masuk.

Melangkah sahaja ke dalam ruang utama bangunan megah itu, mata mereka disajikan dengan deretan lampu minyak tanah yang bersinar persis batu permata. Jura nampak lebih tenang memandangkan dia pernah beberapa kali dijemput merawat pesakit di zon ini. Bagi Taha, ini kali pertama dia menjejakkan kaki ke tempat sebegini. Melalui pautan tangan mereka, Noah dapat merasai lelaki itu sedikit menggigil. Noah sekadar menggeleng perlahan.

Alunan muzik bergema lembut di segenap ruang dewan yang luas itu. Beberapa pengunjung duduk bertebaran, menikmati hidangan ringan, menghayati melodi, dan berbual separuh berbisik. Semuanya memakai pakaian mewah. Kualiti fabrik, potongan, dan materialnya jauh mengatasi pakaian di zon perumahan, terutamanya dari segi kontras warna yang menonjol.

Pelayan bersut hitam itu berhenti. Dia memberi isyarat tangan dengan sopan ke arah sebuah ruang duduk yang menawarkan lebih privasi berbanding ruangan lain.

Noah menoleh. Dua susuk tubuh sedang duduk di situ. Salah seorang daripadanya adalah seorang wanita jelita dalam lingkungan usia awal tiga puluhan, mengenakan gaun khas dengan riak wajah yang sangat lembut. Duduk di sebelahnya ialah seorang kanak-kanak perempuan berusia sekitar sebelas tahun. Dia berkulit cerah, berambut coklat, dan berwajah bujur. Walaupun masih kecil, kecantikannya sudah cukup terserlah.

Kanak-kanak perempuan itu turut menyedari kehadiran mereka. Pandangannya menyapu wajah kedua-dua orang dewasa itu dengan dingin sebelum berhenti tepat pada Noah. Kali ini, riak terkejut terlihat jelas pada matanya.

Wanita separuh umur itu bangun menyambut mereka dengan senyuman mesra. “Doktor Jura, masa suami saya jatuh sakit hari tu, mujurlah doktor yang rawat dia sampai sembuh. Hari ni dia ada urusan penting, jadi dia tak dapat sertai kita.”

“Tuan Besar Jauhar orang sibuk, kami faham,” balas Taha pantas.

“Silakan duduk,” pelawa wanita itu dengan anggun.

“Ya, ya, terima kasih.” Taha tergesa-gesa menarik kerusi. Gementar yang gagal dikawal membuatkan kaki kerusi itu terseret kasar pada lantai. Beberapa pelanggan di meja berhampiran terus berkerut dahi, mula berbisik tanda rimas.

Jura turut duduk. Pandangan wanita elegan itu kini beralih pada Noah. Walaupun dia sudah beberapa kali mencuri pandang kanak-kanak lelaki tersebut, dia masih terkejut melihat ada kanak-kanak sesempurna Noah. Sambil mengukir senyuman lega, dia memandang Taha. “Inikah anak angkat baharu doktor? Bersih sungguh kulitnya.”

Enggan melepaskan peluang, Taha pantas memuji anak perempuan Keluarga Jauhar itu. “Benar, Puan Besar Kartika. Anak Puan Besar pun sangat cantik. Nampak sopan dan elegan. Tengok gaya pun tahu budak bijak. Memang mewarisi kecantikan Puan.”

Kartika tersenyum manis, lalu terus memotong ke topik utama. “Mengenai urusan perkahwinan tu…”

Tubuh Taha serta-merta mengeras. Jura mula kelihatan gelisah.

“Selagi Annia tak membantah, kami sedia untuk teruskan,” kata Kartika. Mereka tidak menyangka Puan Besar Keluarga Jauhar akan berkata sedemikian. Ia membuatkan Taha dan Jura sedikit terkejut.

Mereka berdua pantas berbalas pandangan. Mata masing-masing memancar penuh harap.

Ketika itu, Annia yang sejak tadi merenung Noah tiba-tiba bersuara. “Saya nak pergi jalan-jalan dengan dia, Bonda.”

Kartika seolah-olah sudah menjangkakan permintaan tersebut. Dia sekadar tersenyum dan memandang Taha serta Jura untuk meminta persetujuan.

Taha pantas memberi reaksi. “Boleh sangat! Noah, pergi teman Cik Muda Annia jalan-jalan. Ingat, jaga Cik Muda elok-elok,” pesannya sambil menepuk kuat bahu Noah sebagai galakan.

Tanpa sepatah kata, Annia turun dari kerusi dan terus melangkah ke arah pintu keluar. Dia langsung tidak menoleh atau menunggu budak lelaki itu mengekorinya.

Noah mengerling ke arah Taha dan Jura. Mata pasangan itu merenungnya dengan harapan yang menggunung. Namun, jauh di sudut hati Noah, perasaannya kekal mati dan kosong. Selepas menunduk hormat kepada Kartika, dia berpusing dan terus mengekori langkah Annia keluar dari dewan.

“Budak tu nampak macam pandai bawa diri,” tegur Kartika sambil tersenyum melihat kelibat Noah berlalu pergi.

“Kami cuba besarkan dia sebaik mungkin…” balas Taha dengan tawa kecil yang serba salah kerana mereka tidak melakukan apa-apa sangat.

Di luar bangunan, Annia menjeling ke arah pelayan yang mengekori mereka lalu melambai tangannya, menghalau pelayan itu pergi. “Awak tak perlu ikut. Saya cuma nak jalan di kawasan berdekatan.”

“Baik, Cik Muda.” Pelayan itu menunduk hormat lalu berundur.

Sebaik sahaja pelayan itu beredar, Annia terus berjalan di hadapan. Dia langsung tidak menoleh atau mengucapkan sepatah perkataan pun kepada Noah, seolah-olah dia sedang berjalan berseorangan.

Memandangkan Noah sudah lama menjiwai erti kesunyian, dia selesa mengekori di belakang. Dia mengambil kesempatan itu untuk memerhati seni bina bangunan dan budaya masyarakat tempatan bagi mengagak taraf hidup serta tahap teknologi di zon komersial tersebut.

Selepas melangkah agak jauh, Annia berhenti secara mengejut. Noah yang leka memerhati sekeliling hampir terlanggar belakang Cik Muda itu. Haruman bunga yang manis menerpa hidungnya. Noah pantas mengundur setapak ke belakang bagi menjarakkan kedudukan mereka.

Annia berpusing perlahan-lahan. Memandangkan usianya lebih tua, ketinggiannya separuh kepala lebih tinggi daripada Noah. Wajah bujurnya yang cantik itu langsung tidak mempamerkan sebarang riak emosi ketika dia menunduk sedikit untuk memandang Noah.

Ketika ini, aura angkuh dan dingin mula terpancar dari tubuh Cik Muda tersebut. Menyedari perubahan suasana tersebut, Noah membalas renungannya dengan tenang.

Melihat betapa bersahajanya reaksi Noah, Annia berasa sedikit terkejut. Namun, wajah dingin itu tetap cuba dikekalkan sedaya upayanya. “Awak pernah dengar fasal opera?” soalnya tiba-tiba.

Noah tersentak seketika. Dia tidak menyangka budak itu akan membuka topik yang tiada kaitan langsung. Dia menggeleng kepalanya.

Sebelum Noah sempat membuka mulut, Annia terus mengasak. “Awak tahu apa-apa fasal gaya muzik klasikal?”

Baru sahaja Noah mahu menjawab, tetapi—

“Awak tahu cara menari tarian dewan?” soal Annia lagi. Nadanya sarat dengan kedinginan, tidak memberi sebarang ruang untuk Noah bersuara.

Noah akhirnya faham. Soalan-soalan itu bukanlah sekadar perbualan biasa; ia adalah satu sesi soal siasat yang dilemparkan penuh dengan rasa meluat. Dia mengunci mulut dan sekadar merenung budak perempuan itu.

“Awak tahu cara menunggang kuda?”

“Awak tahu mengenai seni bermain pedang?”

“Awak ada matlamat atau cita-cita mulia dalam hidup?”

Annia memuntahkan enam soalan itu dalam satu nafas. Dia merenung Noah dengan pandangan kosong sebelum melepaskan kata putusnya. “Kalau awak betul-betul budak bijak, awak patut faham. Awak dan saya langsung bukan orang dari dunia yang sama.”

Dia menarik nafas sebelum menambah, “Awak tiada bezanya dengan sampah pada mata saya. Pada mata Keluarga Jauhar.”

Noah terus meneliti wajah kanak-kanak perempuan itu. Dia benar-benar tidak menyangka kata-kata setajam dan sekejam itu boleh keluar dari mulut seorang budak yang baru berusia tiga atau empat tahun lebih tua daripadanya.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset