Switch Mode

Raja Bayang – Bab 4

Permulaan Baru

Noah tiba di kawasan perumahan Jura atau dikenali sebagai zon perumahan. Ia masih terletak di Tembok Luar Titara. Namun, zon ini boleh dikatakan kawasan perumahan yang lebih baik.

Penduduk di zon perumahan ini kebanyakannya masih lagi merupakan pekerja awam biasa. Namun, suasana zon ini jauh berbeza dengan zon setinggan. Udaranya lebih segar dan bersih sepenuhnya daripada bau reput.

Malah di zon ini, taraf hidup Jura sudah dikira mewah. Harga hartanah di sini dua kali ganda lebih mahal berikutan kedudukannya yang jauh dari utara dan bersempadan terus dengan zon komersial di selatan.

Sesiapa yang menetap di zon komersial atau ketenteraan pula dikatakan sangat kaya atau mempunyai pengaruh politik yang besar. Harga rumah di zon komersial itu terlalu mahal; mustahil mampu dibeli oleh rakyat biasa biarpun mereka bekerja seumur hidup.

Setiap zon diasingkan dan dipisahkan oleh tembok tinggi. Pintu utama yang membahagikan setiap zon ini hanya dibuka sekali sehari.

Susun atur ini juga dibina dengan tujuan yang jelas. Penduduk zon perumahan bebas turun ke zon setinggan, dan golongan elit bebas masuk ke mana-mana zon. Sebaliknya, penduduk di zon setinggan dilarang keras merentasi sempadan. Status mereka langsung tidak melayakkan mereka untuk menjejakkan kaki ke zon atasan.

Jura mengeluarkan segugus kunci lalu membuka pintu.

Mata Noah pantas mengimbas ruang dalaman rumah itu. Dia tahu, di sinilah dia akan tinggal buat masa ini.

“Noah, masuklah,” panggil Jura dari sebalik pintu sebuah almari kecil. Dia muncul semula sambil menayang sepasang selipar kapas bersaiz dewasa di tangannya. Bibirnya mengukir senyuman mengusik.

Noah tersentak seketika, namun rasa lega pantas menyusul. Selipar besar itu sah milik seorang lelaki. Ia membuktikan satu lagi syarat ketat untuk mengambil anak angkat pada era ini dipatuhi: pasangan suami isteri yang sah.

“Mari, Mak Cik tolong kamu bersihkan diri,” tegur Jura mesra.

Noah menyangka dia berpeluang berendam di dalam tab mandi, tetapi sangkaannya meleset. Jura hanya merendam sehelai tuala ke dalam air suam lalu mengelap muka dan lengan Noah. Kaedah ‘mandi kering’ ini sama sahaja seperti di rumah anak yatim.

Sekurang-kurangnya, air di sini jauh lebih bersih.

Apa yang Noah tidak tahu, golongan bangsawan di dunia ini juga membersihkan diri dengan cara yang sama. Rakyat era ini percaya bahawa berendam di dalam air akan melemahkan tubuh dan merosakkan sistem imunisasi mereka. Waima golongan elit yang pembersih sekalipun hanya mandi dengan air penuh sekali atau dua kali setahun.

Selesai membersihkan diri, Noah diberikan sepasang pakaian bersih bagi menggantikan baju buruknya, sementara Jura membawanya melihat sekitar rumah.

Hasil pemerhatian Noah, segalanya tepat seperti apa yang diagaknya sebelum ini. Langsung tiada sebarang peralatan sains atau teknologi di situ—hatta sebuah jam loceng mekanikal yang paling asas. Seluruh suasana rumah itu persis kisah dongeng dari buku sejarah, saling tak tumpah seperti zaman pertengahan Eropah jauh sebelum enjin wap dicipta.

Mengingatkan kembali semua yang dilihatnya sepanjang tiga bulan lalu, Noah semakin yakin bahawa tamadun pasca-bencana ini telah mundur sepenuhnya. Mereka bahkan hampir tidak tahu cara untuk menempa dan menggunakan logam asas.

Hakikat ini mula mencetuskan beberapa perancangan baharu di dalam kepalanya.

Langit petang beransur gelap. Udara dingin seakan-akan memanggil hujan untuk turun lagi.

Bimbang Noah mungkin takut akan gelap, Jura menyalakan lampu minyak tanah lebih awal. Hatinya disapa rasa hangat setiap kali melihat wajah tenang anak angkatnya itu disinari cahaya api yang terliuk-liuk.

“Hujan nak turun lagi. Macam mana dengan pak cik?” soal Noah sambil menjeling ke luar tingkap.

Jura tersenyum mendengar keprihatinan budak itu. “Pak cik banyak kerja di kilang sekarang ni, jadi dia tak balik malam ni. Kamu lapar?”

“Kita makan apa malam ni?”

“Tunggu sekejap. Mak Cik nak bagi kamu rasa masakan Mak Cik. Mesti kamu suka,” balas Jura dengan yakin.

***

Pejam celik, sebulan telah berlalu.

Noah telah bertemu dengan bapa angkatnya, Taha. Lelaki separuh umur itu bertubuh tinggi dan kurus. Wajahnya biasa sahaja, tetapi dia mempunyai perwatakan yang lembut. Taha bekerja sebagai tukang jahit. Mesin jahit besar di dalam rumah ini adalah miliknya. Memandangkan musim ‘Salji Hitam’ semakin hampir, dia membawa pulang peralatannya dari kilang kerana tempat kerjanya tidak mempunyai sistem pemanas yang baik.

Pasangan itu jelas telah berbincang tentang rancangan mengambil anak angkat sebelum ini. Namun begitu, Taha tetap terkejut melihat rupa paras Noah yang sangat elok ketika pertama kali mereka bersua. Biarpun budak itu pendiam, Taha sangat suka dan berpuas hati dengan keputusan isterinya.

Pada satu malam, ketika ribut lebat membadai, Noah terjaga akibat desakan pundi kencingnya. Dia bingkas bangun dari katil, menyarung kasut, dan menolak pintu biliknya perlahan-lahan. Semasa melintasi bilik ‘ibu bapanya’, dia terdengar suara mereka berbisik. Dah lewat macam ni, kenapa mereka belum tidur lagi?

Langkah Noah terhenti. Jantungnya berdegup laju.

Rumah pada era ini jelas tidak mempunyai sistem kalis bunyi yang baik. Dia boleh mendengar perbualan mereka menembusi dinding nipis itu dengan jelas.

“Awak betul-betul nak buat macam ni?” Suara Jura kedengaran teragak-agak dari dalam.

“Saya tahu awak dah sayang budak tu. Sejujurnya, saya pun sama. Saya tak sanggup nak berpisah dengan Noah. Tapi, ini peluang sekali seumur hidup.”

Taha diam sebentar sebelum menyambung bicara. “Kalau Keluarga Jauhar berkenan dengan dia, kita akhirnya boleh pindah ke zon komersial dan dapat kerja yang lebih baik. Kalau awak rasa sunyi lepas ni, kita ambil sajalah budak lain. Masa depan Noah dan kewangan kita juga lebih terjamin.”

“Saya bukan risau pasal duit! Kalau Noah masuk Keluarga Jauhar dan terus diam macam tu, orang akan buli dia. Silap-silap bunuh dia!”

Emosi Jura sedikit terkesan dengan cadangan suaminya itu. Dia belum habis. Dia memandang Taha dan berkata, “Awak pun tahu betapa kejamnya golongan elit. Saya pernah tengok seorang doktor berkahwin dengan keluarga bangsawan, tapi dilayan lebih teruk daripada anjing, dan… dan…”

Bilik itu sunyi seketika sebelum Taha mengeluh berat. “Jura, awak tahu dia tu cuma anak yatim dari zon setinggan. Kalau kita tak ambil dia sekalipun, dia tetap akan diambil oleh keluarga lain untuk dijadikan hamba. Lagipun, jadi orang suruhan dalam Keluarga Jauhar tu jawatan yang direbut oleh ramai rakyat biasa.”

“Tapi—”

“Keputusan saya muktamad. Tak ada apa lagi yang perlu dibincangkan.”

Suasana di dalam bilik itu kembali sepi.

Noah yang mendengar segala-galanya sambil berdiri di luar pintu, menundukkan kepalanya. Dia perlahan-lahan menggenggam tangannya sehingga buku limanya bertukar pucat, sebelum melepaskannya. Dia mengheret tubuhnya yang terasa berat kembali ke bilik persis mayat hidup, terus melupakan niat asalnya ke tandas.

Dia duduk bersendirian dia atas katil, melayan perasaan sambil mendengar bunyi rintik hujan di luar. Dadanya bagai dicengkam kesakitan yang tajam. Walaupun baru sebulan dia tinggal bersama-sama pasangan itu, Jura menjaganya dengan teliti dan ikhlas. Kehangatan kasih sayang wanita itu benar-benar menyentuh hatinya. Dia langsung tidak menyangka kepercayaan rapuh itu akan hancur dalam sekelip mata. Seolah-olah dunia ini sengaja mengejek kenaifannya, melempar hatinya kembali ke realiti yang sejuk dan kejam.

Buat pertama kalinya selepas bangun semula dari dtidurkan selama tiga ratus tahun, Noah benar-benar berasa dirinya keseorangan.

Dia teringat semula pada keluarganya, pada ayahnya yang tegas dan ibunya yang penyayang. Wajah adik perempuannya yang selalu merajuk setiap kali telinganya dicubit, tiba-tiba menjelma di ruang mata.

Kenapa…? Tiba-tiba sahaja matanya terasa hangat.

Namun, rasa sedih itu pantas ditepis. Noah mengetap rahang dan kembali mengepal penumbuknya. Hatinya yang rapuh kembali mengeras. Memandangkan aku takkan dapat jumpa keluarga aku lagi… aku takkan biarkan diri aku dipermainkan sesuka hati di sini. Biar aku yang paksa dunia asing ni tunduk pada aku.

Tiada siapa sedar, di sebalik lebatnya hujan malam itu, seorang kanak-kanak baru sahaja membulatkan tekad yang bakal mengubah arus sejarah tamadun ini.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset