Switch Mode

Raja Bayang – Bab 6

Rancangan

“Kita langsung tak ada sebarang persamaan.” Pandangan dingin Annia menyapu wajah Noah. “Kalau bukan sebab ibu awak rawat penyakit ayah saya, haluan kita takkan pernah bersilang.”

Dia menarik nafas sejeda. Matanya memandang tepat pada mata Noah. “Jangan berangan yang pertolongan sekecil itu beri awak tiket untuk langgar batas darjat dan menyelit masuk ke dalam keluarga kami. Saya, Annia Jauhar, takkan sesekali bersuamikan orang seperti awak dan memalukan diri saya sendiri.”

Dia menapak selangkah ke hadapan. Nadanya sarat dengan penghinaan. “Awak nak berlakon elegan macam mana pun, silakan. Nak berlagak macam budak budiman pun, teruskan. Tapi, di hadapan keluarga elit, awak tak akan dapat sembunyikan asal-usul awak.”

Dia menyentuh pakaian Noah. “Baju ni. Kalau setakat sehari dua sahaja awak dapat pakaian yang cantik sebegini, ia tetap tak akan mampu tutup darjat rendah awak.”

Annia merenungnya tajam. “Awak mungkin nampak lebih bersih berbanding pekerja zon perumahan yang menyedihkan tu, tapi itu tak bermakna apa-apa. Kalau awak fikir saya akan jatuh hati pada awak, benarkan awak jejak kaki ke dalam Keluarga Jauhar, atau tolong ibu bapa awak dapat kerja di zon komersial ni… itu satu aangan-angan kosong.”

Dia mengangkat dagu, lagak angkuh. “Tindakan ibu saya melayan keluarga awak tak lebih daripada sekadar berbudi bahasa. Jadi, jangan rasa kita sekufu dan tolong faham apa akibatnya kalau awak dan keluarga awak cuba untuk bertindak melampaui batas.”

Noah kekal diam dan tenang. Dia sekadar merenung Annia, menanti kanak-kanak perempuan itu selesai melepaskan amarah atau lebih tepat, selesai menghinanya.

Selepas memuntahkan segala cacian itu dalam satu nafas, dahi Annia berkerut. Riak wajah Noah langsung tidak berubah walaupun sedikit. Dia berasa geram bercampur kecewa melihat ketenangan budak lelaki itu, menyebabkan reaksi wajah Annia dan nadanya bertukar lebih dingin. “Saya beritahu semua ni supaya awak sedar di mana tempat awak. Awak tak layak untuk saya, dan saya takkan sesekali benarkan awak jadi suami saya. Bangunlah dari mimpi bodoh tu!”

Noah terus merenungnya tanpa riak. Selepas jeda seketika, dia bertanya, “Dah habis?”

Annia tersenyum sinis. “Dah. Kalau awak ada apa-apa nak cakap, cakap sekarang.”

Satu tawa kecil terlepas dari bibir Noah. Membalas renungan tajam itu, dia menjawab, “Pertama sekali, saya patut berterima kasih pada awak.”

Riak wajah Annia serta-merta bertukar keliru, seakan-akan tidak percaya.

Noah langsung tidak mempedulikan reaksi itu. “Terima kasih sebab tolak saya. Sekarang, saya boleh elak daripada bergaduh dengan ibu bapa angkat saya.”

Dahi Annia berkerut. Rasa curiga mula merayap. Bukan ke ayah dia yang bersungguh-sungguh nak jodohkan dia dengan aku?

“Kedua,” tambah Noah, “terima kasih sebab ingatkan saya. Dalam dunia ni, budak perempuan manja macam awak pun tak boleh dipandang rendah.”

Kening Annia bergetar. Dibesarkan dalam persekitaran elit yang kejam memaksanya matang lebih awal berbanding kanak-kanak biasa. Seawal usia lapan tahun, dia sudah mula merancang masa depannya. Namun, budak lelaki yang berdiri di hadapannya ketika ini berbicara dengan nada matang yang cukup menakutkan, seolah-olah dia telah melalui kepahitan hidup berpuluh-puluh tahun lamanya.

Baru sahaja Annia membuka mulut untuk membalas, Noah pantas berpusing untuk beredar. Dia tidak berhenti, jauh sekali menoleh ke belakang. “Saya mungkin tak pandai main pedang, dan mungkin tak mahir menunggang kuda… tapi saya ada cita-cita, saya ada impian saya sendiri dan awak… tak layak untuk ada di sisi saya bila impian saya tercapai nanti.”

Annia kaku membeku. Matanya terpaku merenung kelibat Noah yang semakin menjauh. Seumur hidupnya, belum pernah dia dilayan sebegini hina. Budak bawahan itu berani membelakangkannya dan berlalu pergi begitu sahaja?

Darah panas menyerbu ke wajah Annia. Dia mengetap rahang rapat-rapat. Namun, didikan ketat golongan elit pantas merampas kembali kawalan dirinya, memaksa amarah yang membuak itu ditelan semula ke dalam dada. Tanpa membuang masa, dia melajukan langkah mengejar Noah. Biarpun kakinya diayun pantas melepaskan geram, postur tubuhnya dipaksa kekal tegak dan elegan persis seorang gadis bangsawan sejati.

Menghampiri pintu dewan utama, Noah sengaja melambatkan langkah. Dia berhenti tanpa menoleh ke belakang. Tidak lama kemudian, Annia tiba tepat di belakangnya dengan nafas yang sedikit tertahan, namun riaknya pantas dikawal agar kekal tenang.

“Tunggu!” desis Annia. “Kalau orang dewasa tanya nanti, beritahu mereka yang awak dah ada orang lain yang awak suka.”

Noah mula menyambung langkahnya. “Kenapa pula saya kena buat macam tu?” soalnya bersahaja.

“Sebab—”

“Sebab ayah awak dah pun bersetuju dengan aturan ni,” cantas Noah dengan nada dingin, tidak memberi ruang langsung untuk budak perempuan itu menghabiskan ayat. “Awak satu-satunya pihak yang masih membantah. Maksudnya, kalau saya kata ‘ya’ hari ni, kita tetap akan dikahwinkan tak kira betapa kuat pun awak meronta. Betul tak?”

Wajah Annia yang tadinya agresif terus bertukar pucat. Tekaan Noah tepat. Andai Noah bersetuju, ayahnya pasti akan memaksa perkahwinan itu diteruskan atas dasar terhutang budi. Segala insiden hari ini hanyalah taktik yang dirancang oleh dia dan ibunya, Puan Besar Kartika, semata-mata untuk memberi tekanan supaya Taha dan Jura menarik diri secara sukarela.

“Macam mana awak tahu?!” soal Annia, jelas tersentak.

“Awak sendiri yang bongkarkan semuanya pada saya,” balas Noah bersahaja. “Kalau awak betul-betul ada kuasa untuk menolak, awak akan terus sebut ‘tak nak’ dan pergi. Awak takkan buang masa soal siasat dan ugut saya panjang lebar. Ibu awak pula, memang licik. Saya yakin dia sekarang tengah manipulasikan ibu bapa angkat saya supaya mereka sendiri yang tarik diri.”

Annia terkedu. Noah baru sahaja mendedahkan perancangan rahsianya dan ibunya dengan tepat. Untuk sesaat, perasaannya digigit rasa gerun. Segala niatnya dibaca dengan terlalu mudah oleh budak lelaki yang disangkanya naif ini. Sambil menggigit bibir, dia menekan rasa panik yang mula merayap. “Kalau saya yang tolak, saya bimbang ibu bapa awak akan langkah kami dan terus pergi mengadu pada ayah saya.”

Noah menggeleng perlahan. “Tak. Kalau awak sendiri yang berkeras tolak perkahwinan ni, hal ni akan terus selesai. Benda ni sebenarnya mudah, tapi ego awak tu yang merumitkan keadaan.”

“Macam mana awak boleh yakin sangat?” Dahi Annia berkerut. Dia jelas meluat melihat tahap keyakinan budak lelaki itu.

“Sebab awak risau penilaian awak terhadap ibu bapa angkat saya silap,” cantas Noah sinis. “Awak risau mereka berani untuk terus mengadu pada Tuan Besar Jauhar bukan?”

Noah ketawa kecil. “Jangan risau. Mereka cukup sedar di mana taraf mereka.”

Annia terdiam sejenak, masih enggan mengalah. “Kalau macam tu, kenapa bukan awak saja yang tolak dan cakap awak sukakan orang lain? Selesai masalah.”

“Bukan ke awak ni keturunan bangsawan yang bijak?” soal Noah, membalas dengan jelingan tajam dari ekor matanya. “Awak masih tak nampak? Atas tiket anak bangsawan, awak ada kuasa penuh untuk menolak. Saya ni cuma anak angkat dari zon setinggan. Saya tak ada hak langsung untuk berkata tidak.”

Annia memandangnya. Satu senyuman sinis perlahan-lahan terukir di bibirnya sebaik sahaja dia menyedari hakikat itu. “Faham. Awak nak saya yang menolak supaya ibu bapa awak anggap awak tak cukup bagus. Dengan cara tu, mereka takkan lepaskan marah pada awak.”

Noah tahu rancangannya sudah terbongkar, namun riaknya langsung tidak berubah. “Apa-apapun, saya dah beritahu apa yang awak patut buat. Saya tak ada hak untuk cakap tidak. Pandai-pandailah awak tanggung sendiri akibat perbuatan awak.”

Selesai berkata-kata, Noah terus melangkah masuk ke dalam dewan, meninggalkan Annia di belakang.

“Awak—!” Mata Annia menikam tajam belakang tubuh Noah. Dia mengetap rahang menahan geram lalu bergegas mengekori langkah Noah kembali ke dalam.

“Selamat kembali, Cik Muda.” Pelayan bersut hitam itu menarik nafas lega melihat kelibat mereka berdua. Dia pantas mempamerkan senyuman profesional.

Annia sememangnya produk didikan elit. Hanya dalam beberapa langkah, dia menelan habis amarahnya. Riak wajahnya terus bertukar tenang dan dingin seperti biasa.

Petang itu, kereta kuda berlambangkan bunga putih kembali membelah jalan dari zon komersial menuju ke zon perumahan. Sebaik sahaja ia berhenti, Noah dan ibu bapa angkatnya turun lalu melangkah terus ke rumah.

Jura mengerling gementar ke arah wajah suaminya yang tegang. Sambil menggenggam erat tangan Noah, wanita itu pantas membuka kunci pintu hadapan.

“Alasan bodoh!” bentak Taha. Amarahnya meletus sebaik sahaja pintu ditutup rapat di belakang mereka. “Mereka terang-terang hina darjat kita! Bangsawan… hah! Semuanya munafik yang bongkak!”

“Shh!” Jura panik. Matanya meliar memeriksa tingkap. “Perlahankan suara awak! Awak nak orang luar dengar ke?!”

Taha terpaksa menelan kata-kata bisanya. Dia menghenyakkan punggung di atas kerusi, membisu dalam kekecewaan yang berat. Di era ini, mengutuk golongan elit komersial adalah satu jenayah besar yang mampu mengundang maut.

“Noah, masuk bilik dan berehatlah,” kata Jura lembut, cuba meredakan ketegangan. “Kamu mesti penat. Nanti Mak Cik panggil bila makanan dah siap.”

Taha merenung Noah. Mulutnya terbuka, namun tiada sepatah kata pun yang terkeluar. Biarpun hatinya sarat dengan kekecewaan, pengalaman tinggal bersama-sama selama sebulan ini membuktikan Noah hanyalah seorang budak yang lurus. Mustahil anak angkatnya itu berani mencetuskan masalah atau memuntahkan kata-kata biadab untuk menyinggung Keluarga Jauhar.

Pada akhirnya, Taha hanya mampu menyalahkan diri sendiri dan isterinya kerana memasang angan-angan terlalu tinggi.

Noah mengangguk perlahan sebelum berlalu ke biliknya.

Masa berlalu pantas. Selepas empat bulan yang memenatkan, musim tengkujuh akhirnya melabuhkan tirai, memberi laluan kepada cuaca cerah yang lebih hangat.

Pada suatu pagi, Taha memandang Noah yang sudah pun bangun awal seperti biasa. Lelaki itu mengukir senyuman mesra. “Noah, tak lama lagi sekolah akan dibuka. Apa kata pak cik hantar kamu ke sana untuk belajar membaca dan menulis?”

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset