Switch Mode

Zoran: Pertempuran Dewa – Bab 3

Keputusan

Tepat pada saat Zen cuba menghadam realiti yang tidak masuk akal ini, skrin telefon pintarnya yang retak kembali berkelip-kelip. Deretan mesej daripada Blake—sahabat baiknya sewaktu di universiti—masuk bertalu-talu. Pemuda itu mengingatkannya agar segera ke Blok Akademik 1 untuk urusan pendaftaran pasukan perintis Zenith.

“Pasukan perintis?” gumam Zen perlahan.

Ingatannya mula berputar kembali pada hari ini, sepuluh tahun yang lalu. Blake bersungguh-sungguh mengajaknya kerana hari ini adalah detik bersejarah—hari di mana mereka bersepakat untuk membentuk pasukan mereka sendiri sebelum pelayan Zoran dilancarkan sepenuhnya malam ini.

Namun, Zen tidak terburu-buru.

Dia bersiap dengan tenang, memperkemaskan dirinya sebelum melangkah keluar dari bilik asrama menuju ke Universiti Avalon. Sepanjang perjalanan, fikirannya jauh menerawang.

Zenith Guild. Nama organisasi itu kini mengundang rasa benci yang sarat di dalam dadanya.

Zen ingat semuanya dengan teramat jelas. Dulu, Wilfred adalah individu yang paling boleh dipercayainya. Mereka berdua memerah keringat, bersengkang mata, dan membina Zenith bersama-sama dari kosong. Zen mencurahkan segala jiwa raganya di barisan hadapan untuk menaikkan nama Zenith. Ia sekaligus membolehkan Wilfred meraih kekayaan, pengaruh, dan kuasa yang luar biasa di Bandar Avalon.

Tambahan pula, Wilfred datang dari keluarga berada. Proses permulaan terutamanya dari segi dana untuk menubuhkan guild menjadi sangat mudah. Ditambah pula dengan kekuatan yang dipamerkan oleh Zen, mengemudi barisan serangan Zenith, mereka berjaya menjadi salah sebuah guild paling berjaya di bandar ini.

Namun, pengorbanannya dibalas dengan sebilah pisau tajam yang menembusi jantungnya di atas balkoni The Grand Sky Hall.

Tetapi, itu adalah takdir semalam atau… kehidupan lalunya. Di garis masa sekarang, ia masih lagi takdir yang belum berlaku.

Kini, dia telah kembali. Dia memegang kelebihan mutlak tentang selok-belok Zoran, rahsia dan masa hadapan yang tidak diketahui oleh sesiapa pun di dunia ini. Sudah tentu dia tidak akan membina Zenith bersama Wilfred lagi. Dia tidak akan menjadi batu loncatan yang hanya menguntungkan orang lain.

Dia mahu merintis jalannya sendiri. Dia mahu melunaskan segala hutang yang membelenggu hidupnya sejak nahas jalan raya yang meragut nyawa ibu bapanya. Untuk mencapai semua itu, dia harus menubuhkan guild sendiri, membina empayarnya sendiri, dan tidak lagi tunduk kepada sesiapa.

Sebaik sahaja Zen tiba di Blok Akademik 1, matanya menangkap satu susuk tubuh kurus dan tinggi di hadapan bangunan tersebut. Pemuda berkulit gelap itu kelihatan cemas, mundar-mandir di sepanjang koridor.

Itu adalah Blake.

“Zen! Aku ingat kau tak nak datang,” tegur Blake, suaranya sarat dengan kelegaan bercampur panik. “Nasib baik sistem pendaftaran belum tutup. Tinggal nama kau dan aku sahaja untuk mengisi slot pasukan perintis. Kena guna ID, sebab tu tak boleh buat dulu untuk kau.”

Blake menarik tangan Zen, namun tubuh Zen keras, tidak berganjak walau selangkah. Blake berpaling. “Kenapa ni?”

Zen menggeleng perlahan. Wajahnya serius. “Aku tak rasa nak sertai Zenith Guild.”

“Apa maksud kau? Kau jangan main-main. Lama aku tunggu kau.”

Zen tersenyum. Matanya memandang tepat Blake. “Jom buat guild kita sendiri? Kau nak ikut aku?”

Blake terdiam. Mereka berdua adalah kenalan lama yang bertemu di dalam sebuah MMORPG sebelum ini, sewaktu zaman sekolah. Wilfred pula menjadi sebahagian dari kumpulan mereka dalam permainan video yang sama sebelum mereka bertiga akhirnya bertemu di universiti ini.

Hubungan Zen dan Blake sangat rapat. Tidak ubah seperti adik-beradik. Hubungan dia dan Wilfred pula hanya rapat selepas Zen banyak menyumbang dalam menaikkan nama Zenith.

Ada sebab mengapa dia mengajak Blake kali ini. Dalam garis masa kehidupan lalu, Blake telah membuktikan bakat yang luar biasa dalam bidang pengurusan. Walaupun dia kurang menyerlah sebagai seorang pemain, Blake pernah menguruskan ratusan ribu ahli Zenith dengan sangat sistematik.

Namun begitu, Zen tetap akan menghormati apa sahaja keputusan Blake. Dia sedar dia tidak mempunyai apa-apa ketika ini, dan keadaan kewangan keluarga Blake juga tidak begitu baik. Blake memilih untuk bermain Zoran semata-mata demi mencari wang belanja untuk meneruskan hidup.

Mendengar kata-kata Zen, Blake terkedu. Matanya terkebil-kebil.

“Kejap,” ujar Blake. Tapak tangannya menyentuh dahi Zen. “Kau tak sihat ke?”

Bagi Blake, semua ini seperti terlalu tiba-tiba. Bukan itu sahaja. Zen yang berdiri di hadapannya hari ini terasa amat berbeza. Dia… terlalu tenang. Biasanya, Zen akan menjadi sangat teruja setiap kali perancangan dan hala tuju Zenith Guild disebut. Dia akan sentiasa setuju dengan apa sahaja rancangan Wilfred.

Zen ketawa kecil mendengar soalan sahabatnya itu. Dia membalas, “Tak. Aku sihat dan aku… serius, Blake. Aku nak cari jalan aku sendiri dalam Zoran.”

“Zen, jangan mengarut. Kau tahu tak berapa harga sebuah VR Headset?”

Zen mengangguk.

“Bagus kalau kau tahu. $8,000 harga dia! Lagi satu…” Blake menarik nafas dalam, menyusun kata untuk membetulkan semula fikiran sahabatnya yang sedikit pelik hari ini. “Kau perlu ada sekurang-kurangnya enam orang ahli tetap untuk kau daftar guild secara rasmi.”

Zen tersenyum. Dia tahu semua itu. Lagipun, dengan memori dan informasi masa hadapan yang dia ada, dia sudah mempunyai senarai pemain yang ingin direkrut. Cumanya, dia perlu menanti sehingga Zoran dilancarkan secara rasmi untuk dia mencari sasaran-sasaran tersebut.

Blake mengerutkan dahi. “Aku lupa benda paling penting. Nak buat guild, kau kena ada modal. Kos operasi, elaun ahli, latihan dan… banyak, Zen. Banyak.”

Zen masih mendiamkan diri. Dia hanya membiarkan Blake meluahkan segala kerunsingan. “Kau perlukan paling tidak $70,000… Tak. $100,000 untuk mulakan semua ini dengan selesa.”

Dia memandang Zen. “Kau ada tak duit sebanyak tu sekarang?”

Blake sangat faham tentang situasi kewangan Zen. Dia tahu keluarga Zen sudah tiada, jadi dia mahu menyedarkan sahabatnya dari angan-angan gila ini.

“Kau betul. Buat masa ni, nak beli satu VR Headset untuk diri aku sendiri pun aku tak mampu.” Zen mengangguk, mengakui kebenaran itu. “Tapi, kita tak perlukan duit tu sekarang.”

“Kalau kau tahu kau tak ada duit, kenapa sibuk nak buat guild sendiri?” pintas Blake, melepaskan keluhan berat. “Kan lagi bagus kita ambil duit dari Zenith dulu. Kita nak main dan kita… nak hidup, Zen.”

Zen menepis lembut tangan Blake yang cuba menariknya. Dia menatap mata sahabatnya dengan pandangan yang dalam. “Aku tetap dengan keputusan aku. Aku takkan biarkan hidup aku terikat dengan Wilfred. Jadi, Blake… kau nak ikut aku atau tak?”

Melihat wajah Zen yang begitu tegang dan serius, Blake sedar sahabatnya itu langsung tidak bergurau.

Ini satu kerja gila. Sudah terang lagi bersuluh, dalam mana-mana fasa awal pelancaran permainan realiti maya, mustahil untuk sesiapa pun menjana keuntungan dalam masa yang singkat. Semuanya memerlukan pelaburan wang dan masa, bukannya membuahkan hasil sekelip mata.

Blake diam merenung wajah Zen. Lama dia berbelah bahagi sebelum melepaskan satu keluhan berat sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Yalah, yalah! Kau bos. Aku ikut,” putus Blake, akhirnya akur. “Tapi… macam mana dengan VR Headset? Kita takkan boleh log masuk kalau peranti tu tak ada, kan?”

Riak wajah Zen yang tegang sebentar tadi beransur kendur. Dia tersenyum lebar lalu menepuk bahu Blake beberapa kali.

“Inilah baru kawan aku! Pasal VR Headset tu, kau jangan risau. Kau lupa ke Zoran ada sediakan tawaran percubaan untuk pelajar universiti? Selagi kita tunjukkan kad pelajar dekat pusat pengedaran di dewan tu, kita boleh pinjam VR Headset secara percuma selama sepuluh hari. Jom, kita ambil sekarang.”

Baru sahaja hendak mengatur langkah, pergerakan Blake terhenti. Wajah gelapnya tiba-tiba bertukar pucat.

“Kejap… habis tu, lepas sepuluh hari kita nak buat apa?”

Masa depannya seakan-akan bertukar gelap-gelita. Kenapalah dia boleh terpengaruh dengan kata-kata Zen tadi? Selepas tempoh percubaan itu tamat, mereka tetap perlu membeli VR Headset sendiri. Dari mana dia mahu mencari wang sebanyak $16,000 untuk peranti mereka berdua dalam masa yang sesingkat itu?

“Bab duit, kau serahkan pada aku.”

Zen mengukir senyuman penuh makna. Ya, mengumpul $16,000 dalam masa sepuluh hari memang kedengaran seperti satu angan-angan kosong. Tetapi, dengan memori dan rahsia masa hadapan yang kukuh tersemat di mindanya, segala-galanya bakal berubah.

Pelancaran Zoran malam ini adalah titik tolak kebangkitannya semula.

Sebaik sahaja selesai mendaftar dan mengambil peranti percuma tersebut, Zen dan Blake berpecah haluan. Zen menggunakan baki wang simpanannya yang semakin susut untuk membeli dua kotak besar mi segera. Kotak-kotak itu disumbat ke bawah meja kayu di dalam bilik asramanya yang sempit.

Ia sudah cukup untuk bekalan lebih sepuluh hari.

Selepas menghantar pesanan ringkas kepada Blake tentang koordinat lokasi pertemuan pertama mereka di dalam Zoran kelak, Zen mengunci pintu biliknya dari dalam.

Kini, dia hanya menunggu dengan sabar.

16 Julai 2040. Jam 9:00 malam.

Di dalam ruang bilik yang gelap dan sunyi, skrin perantinya bercahaya suram. Zen berbaring tenang di atas katil besi hitam itu. VR Headset yang dipinjam, perlahan-lahan dilekapkan pada wajahnya.

Satu nafas panjang ditarik. Jarinya menekan butang mula. Matanya dipejam rapat.

“Zoran… kali ini, aku akan takluk kau.”

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset