Switch Mode

Senjata Jiwa – Bab 3

Tok Kadir

Air sejuk membasahi perca kain lusuh. Tariq mengelap sisa darah pada bibir pucat Laila dengan penuh berhati-hati. Hatinya hancur melihat dada adik kandungnya itu berombak lemah, diiringi bunyi siulan nafas yang menyeksakan.

Dia menarik selimut nipis, menutupi tubuh adiknya yang sedang menggigil.

“Sabar, Laila,” bisik Tariq lembut di telinga Laila. “Abang akan usahakan sesuatu.”

Tariq kemudian duduk bersila di atas lantai papan yang berkeriut. Fikirannya ligat berputar, mencari jalan keluar dari lorong buntu ini. Teras Aethel Tulen. Di mana seorang budak miskin sepertinya mampu mendapatkan barang berharga gred tertinggi itu?

Di ibu kota Empayar Valerius? Mustahil. Dia akan ditembak mati sebelum sempat melepasi gerbang utama. Di markas tentera sempadan? Mustahil untuk Jeneral atau mereka yang berpangkat tinggi menyimpannya di situ.

Hanya ada satu tempat yang mempunyai kemungkinan menyimpan artifak purba itu. Sebuah tempat yang tidak dikawal oleh tentera empayar, kerana tiada manusia waras yang berani menjejakkan kaki ke sana.

Zon Larangan. Hutan Besi Purba.

“Jangan buat benda bodoh, Tariq.”

Satu suara parau dan serak memecah kesunyian malam, menghentak lamunannya.

Tariq menoleh ke arah ruang dapur yang gelap. Bunyi tongkat kayu mengetuk lantai papan kedengaran. Dari sebalik bayang-bayang, muncul susuk tubuh seorang lelaki tua yang berjalan terhencut-hencut, mengheret kaki kirinya yang cacat.

Tok Kadir.

Wajah lelaki tua itu dipenuhi parut luka yang dalam, kesan sejarah silam yang tidak pernah diceritakannya kepada sesiapa. Mata kanannya buta, diselaputi selaput putih yang mengerikan, manakala mata kirinya yang masih elok merenung tajam, seolah-olah mampu membaca isi hati cucunya.

“Saya tiada pilihan, Tok,” balas Tariq perlahan, nadanya mendatar. “Tabib Yagus kata Laila hanya ada masa seminggu. Hanya Teras Aethel Tulen yang mampu selamatkan dia. Dan saya rasa… saya tahu di mana nak carinya.”

Langkah Tok Kadir terhenti serta-merta. Urat pada leher lelaki tua itu timbul. Rahangnya bergerak-gerak menahan getar.

“Kau… kau mahu masuk ke Hutan Besi Purba?” Suara Tok Kadir mendesir, bagai menahan marah yang sedia meletus.

Tariq tidak membalas. Dia tidak bereaksi. Dia tidak mengangguk. Diamnya sudah cukup untuk memberi jawapan.

“Jangan!” herdik Tok Kadir, seraya menghentakkan hujung tongkatnya ke lantai dengan kuat. “Kau sudah hilang akal? Tempat itu bukan hutan! Ia adalah neraka yang ditinggalkan di atas muka bumi!”

“Tapi di sana ada runtuhan purba, Tok! Mungkin ada sisa Teras Aethel—”

“Di sana hanya ada kematian!” cantas Tok Kadir pantas. Dada lelaki tua itu berombak laju. Dia melangkah merapati Tariq. Mata kirinya mencerlung garang. “Dengar sini, Tariq. Hutan Besi Purba bukanlah tempat untuk manusia. Bukan untuk sesiapa. Aku rasa aku dah berkali-kali ceritakan menegenai tempat itu. Ia tapak peninggalan perang zaman purba yang disumpah!”

Tariq menundukkan wajahnya, membiarkan herdikan datuknya bergema di segenap ruang pondok kecil itu. Dia tahu dan dia masih ingat semua kisah yang dikaitkan dengan Hutan Besi Purba. Tapi, dia buntu. Dia tiada pilihan lain lagi ketika ini.

“Kau rasa kenapa anjing-anjing Empayar Valerius tidak masuk ke sana?” sambung Tok Kadir dengan soalan. Suaranya mula bertukar menjadi bisikan yang meremangkan bulu roma. “Mereka takut, Tariq. Tanah dan udara di sana jauh lebih tercemar dari Lembah Sisa. Kabus beracun memenuhi kawasan dan raksasa… Raksasa ganas yang lahir dan terkesan dengan sisa tenaga Aethel tercemar akan merobek tubuh kau sebelum kau sempat menjerit meminta tolong Tuhan!”

“Habis tu, Tok nak suruh saya buat apa?!” Tariq tiba-tiba berdiri. Suaranya meninggi, memecah tembok kesabarannya. Air mata lelakinya bergenang di tubir mata.

“Tok nak suruh saya duduk diam di sini? Tengok Laila muntah darah setiap malam? Tengok sumpahan tu koyakkan peparu dia dari dalam, satu persatu, sampai dia berhenti bernafas? Begitu?!”

Nafas Tariq tercungap-cungap. Dia menuding jari ke arah adiknya yang terbaring kaku.

“Laila satu-satunya keluarga yang saya ada selain Tok. Kalau harga nyawa dia terletak di Hutan Besi Purba, biar saya mati diratah raksasa daripada hidup sebagai abang yang tak guna!”

Keadaan kembali sepi. Hanya bunyi cengkerik dan siulan nafas Laila yang kedengaran.

Tok Kadir terdiam kaku. Wajah tuanya berkerut seribu. Dia merenung wajah Tariq lama, sebelum keluhan berat dilepaskan. Keluhan yang sarat dengan kekesalan dan kepedihan. Tanpa membalas walau sepatah kata lagi, lelaki tua itu berpusing, mengheret kaki cacatnya kembali ke dalam bilik gelap.

“Sesiapa yang masuk ke sana, tidak akan pernah kembali, Tariq. Jangan buang nyawa kau.” Itulah amaran terakhir Tok Kadir sebelum dia melangkah keluar. Tariq tidak tahu ke mana datuknya pergi. Mungkin cuba untuk menenangkan diri.

Dia tidak peduli. Sekalipun Tok Kadir adalah satu-satunya keluarga kandung yang dia ada selain Laila, dia akan tetap dengan keputusannya. Dia akan masuk ke Hutan Besi Purba. Jika sekalipun Tok Kadir yang berada di situasi Laila, Tariq akan tetap lakukan yang sama. Dia tidak akan biarkan ahli keluarganya mati dengan mudah.

Kegelapan malam semakin pekat.

Suhu di Lembah Sisa jatuh mendadak, menggigit tulang. Angin malam bersiul menembusi celah-celah zink pondok yang berlubang.

Di sudut pondok, Tariq duduk mencangkung di bawah limpahan cahaya bulan yang samar-samar.

Satu bunyi nyaring kedengaran memecah kesunyian malam. Kemudian, bunyi itu datang lagi. Berulang-ulang kali.

Tariq sedang menggesek bilah pisau buruannya pada seketul batu asah pudar. Wajahnya dingin, tiada sebarang emosi. Matanya hanya tertumpu pada kilatan logam yang terhasil akibat geseran itu.

Pisau itu tidaklah besar, bilahnya juga sudah banyak yang sumbing. Ia bukanlah senjata seorang pahlawan, jauh sekali mampu menembusi kulit haiwan liar apatah lagi raksasa. Namun, itulah satu-satunya senjata yang dia miliki.

Dari dalam bilik, kedengaran dengkuran Tok Kadir. Lelaki tua itu sudah pun lama lena.

Tariq berhenti mengasah pisau. Dia mengelap bilah itu dengan hujung bajunya, lalu menyelitkannya ke dalam sarung kulit yang diikat ketat pada paha kanan. Dia mencapai sebuah beg galas kanvas yang sudah sedia diisi dengan seutas tali rami, bekalan air separuh penuh, dan sekeping roti kering.

Persiapannya ringkas. Perjalanannya hanya ada dua penghujung; pulang membawa penawar, atau jasadnya hilang menjadi baja Hutan Besi Purba.

Tariq melangkah perlahan menghampiri Laila. Dia membongkok, mencium dahi adiknya yang terasa sejuk umpama ais.

“Abang pergi sekejap ya, Laila,” bisik Tariq ke telinga adiknya. “Abang janji, abang akan bawa balik penawar itu.”

Dia membetulkan kedudukan selimut Laila, mungkin itu adalah kali terakhir. Kemudian, tanpa menoleh ke belakang lagi, Tariq melangkah keluar dari pondok, menyusup ke dalam tirai malam yang gelap gelita.

Langkah pertamanya telah bermula. Sebuah keputusan gila yang bakal mengubah bukan sahaja nasib adiknya, malah takdir seluruh dunia.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset