Switch Mode

Senjata Jiwa – Bab 2

Nilai Nyawa

Tangan kanan Tariq perlahan-lahan ditarik keluar dari saku seluarnya yang berlubang.

Nafasnya tertahan di kerongkong. Jari-jemarinya menggeletar kecil saat dia membuka genggaman di hadapan wajah pengawal Empayar yang sedang mencerlung garang.

Sekeping gear tembaga yang sudah patah dan berkarat terdedah di tapak tangannya.

Kristal Aethel tadi telah pun dia jatuhkan secara senyap-senyap melalui lubang saku seluar terus ke dalam celah kasut butnya yang longgar, pada saat pengawal itu mencengkam kolar bajunya tadi. Sebuah pertaruhan nyawa yang dilakukan dalam persekian saat.

Pengawal berbadan sasa itu mendengus kasar. Dia melepaskan kolar Tariq dengan kasar. Sangka Tariq, setakat itu sahaja dia akan diperlakukan dengan ganas.

“Sampah!” herdik pengawal.

PAK!

Satu tamparan kuat hinggap di pipi Tariq. Wajah pemuda itu terpusing sebelum terpelanting dan jatuh tersembam ke atas tanah. Hujung bibirnya pecah. Darah mengalir laju dan segera bercampur dengan tanah berdebu. Namun, dia tidak berani meludah darah itu apatah lagi melawan. Dia menunduk memandang tanah debu, membiarkan pengawal itu merampas gear patah tersebut sebelum berlalu pergi dengan gelak tawa yang menghina.

Tariq melepaskan nafas panjang yang menggeletar. Nyawanya, dan kristal di dalam kasutnya, masih terselamat.

Mujurlah, desis hati Tariq. Terima kasih, Tuhan. Bantu aku hari ini.

Tariq kembali berdiri perlahan-lahan. Para Pengawal Empayar meneruskan sesi pengutipan ‘cukai keselamatan’ mereka.

Tidak lama kemudian, matahari mula berlabuh, meninggalkan ufuk langit Lembah Sisa dalam rona jingga kelam.

Tariq melangkah pantas meredah lorong-lorong sempit di antara pondok-pondok usang. Tangannya menggenggam erat sebuah botol kaca kecil di sebalik baju. Botol itu berisi cecair hijau pekat. Ia adalah ubat penahan sakit yang baru sahaja ditukarnya di pasar gelap menggunakan Kristal Aethel gred rendah tadi.

Dia tersenyum riang kerana dengan ubah ini, kesakitan Laila dapat dikurangkan sedikit. Sudah beberapa hari adik kandungnya itu mengerang, menahan kesakitan yang teramat sangat. Namun, setiap kali ditanya, Laila pasti akan berlagak kuat, semata-mata tidak mahu merisaukan Tariq.

Langkahnya terhenti di hadapan sebuah pondok separuh runtuh yang hanya beratapkan zink berlubang dan berdindingkan kain kanvas tebal.

“Abang dah balik,” laung Tariq, penuh ceria.

Sebaik sahaja dia menyelak tirai kanvas itu, satu bunyi yang meruntun jiwa memecah kesunyian ruang sempit tersebut.

“Uhuk! Uhuk… uhuk!”

Batuk itu panjang dan kering. Seakan-akan ada serpihan kaca di dalam peparunya.

Di sudut pondok yang suram, diterangi hanya dengan cahaya pelita minyak gas yang malap, terbaring seorang kanak-kanak perempuan di atas tikar mengkuang lusuh.

Laila. Adiknya yang baru mencecah usia sepuluh tahun itu meringkuk menahan perit. Tubuh kecilnya menggigil.

Tariq segera meluru, melutut di sisi adiknya.

“Abang dah balik, Laila. Abang ada bawa ubat.” Suara Tariq dipaksa lembut, cuba menyembunyikan getar ketakutan.

Dia memangku kepala Laila. Wajah kanak-kanak itu pucat lesi bak mayat. Namun, apa yang paling mengerikan adalah pada bahagian dada dan lehernya. Di sebalik kulit Laila yang nipis, kelihatan urat-urat halus yang bersinar dengan cahaya biru malap.

Itulah Sumpahan Debu Aethel.

Penyakit yang membunuh ribuan hamba abdi dan penduduk miskin secara senyap. Sisa toksik dari kilang penapis kristal Empayar Valerius yang meruap ke udara perlahan-lahan meresap ke dalam peparu mangsa, menukarkan tisu lembut pernafasan menjadi serpihan kaca tajam. Setiap helaan nafas ibarat menelan kaca.

“Abang…” Laila bersuara lemah, matanya separuh terbuka. “…sakit… sangat. Laila… tak boleh nafas.”

“Minum ini sikit. Nanti sakit itu hilang.”

Tariq membuka penutup botol kaca itu dan menyuapkan cecair hijau pekat tersebut ke mulut adiknya. Biasanya, ubat murahan ini mampu meredakan batuk Laila sekurang-kurangnya untuk beberapa hari, memberi ruang untuk kanak-kanak itu bernafas dengan tenang.

Namun hari ini, sesuatu yang berbeza berlaku.

Sebaik sahaja ubat itu melepasi kerongkong Laila, mata kanak-kanak itu membulat. Dia mendada, seolah-olah seluruh nafasnya disentak keluar.

Satu batuk yang amat keras dilepaskan.

Cecair merah pekat menyembur keluar dari mulut Laila, membasahi wajah dan tangan Tariq.

Tariq terkedu. Mulutnya ternganga. Darah segar menitis dari telapak tangannya. Apabila dia merenung dengan lebih teliti, terdapat serpihan debu kristal biru yang sangat halus bercampur dalam genangan darah adiknya.

Laila kembali rebah di atas tikar, nafasnya kini berbunyi seperti siulan angin yang tersekat di celah gua sempit. Dia tidak sedarkan diri.

“Laila! Laila!” Tariq menjerit panik. Tangannya menggeletar memeluk tubuh kecil yang semakin sejuk itu.

Tirai kanvas di pintu tiba-tiba diselak. Tabib Yagus, satu-satunya pengamal perubatan di Lembah Sisa, melangkah masuk dengan wajah yang tegang. Beliau sudah berada di luar sejak tadi, menunggu kepulangan Tariq. Ada perkara yang ingin dibincangkan dengan Tariq.

Namun, saat dia terdengar bunyi batuk yang mengerikan serta jeritan Tariq. Dia segera meluru masuk. Dia tahu pasti ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku.

Melihat darah di lantai, Tabib Yagus bergegas menghampiri.

“Tepi, Tariq!” arah Tabib Yagus.

“Tolong. Tolong adik saya, Tabib Yagus,” pinta Tariq.

Tabib Yagus mengangguk sebelum meletakkan dua jarinya di leher Laila, merasa denyutan nadi yang semakin lemah. Kemudian, beliau membuka kelopak mata Laila dan menyuluh cahaya pelita ke arah dada kanak-kanak itu.

Cahaya biru di urat Laila kini berdenyut pantas, semakin terang menembusi kulit.

Tabib Yagus menarik nafas berat. Beliau menggelengkan kepala, melepaskan keluhan yang mematikan segala harapan Tariq.

“Ubat penawar hijau itu sudah tidak berkesan lagi, Tariq.” Suara Tabib Yagus perlahan, bernada pasrah. “Sumpahan itu telah merebak. Kristal Aethel di dalam peparunya sudah mula mencengkam salur darah utama. Badannya sedang menolak ubat.”

“Tak mungkin!” Tariq memaut lengan tua itu. Matanya merah berkaca. “Mesti ada ubat lain! Akar kayu? Cecair herba dari ibu kota? Saya boleh cari, Tabib! Beritahu saya apa yang diperlukan!”

Tabib Yagus menatap wajah Tariq dengan pandangan simpati yang mendalam.

“Hanya ada satu sahaja penawar yang boleh mencairkan sumpahan ini sepenuhnya, Tariq. Teras Aethel Tulen.”

Bagaikan ada petir menyambar tepat ke jantung, pegangan Tariq pada lengan tabib itu terlerai.

Teras Aethel Tulen.

Kristal gred tertinggi yang menyalurkan tenaga tulen tanpa sebarang bendasing. Ia adalah tenaga utama yang menggerakkan kapal udara Empayar Valerius, dan hanya golongan bangsawan atasan atau jeneral perang yang berani menyimpannya. Golongan bawahan pasti akan dibunuh jika menyimpan kristal itu dari pengetahuan empayar.

“Itu… itu mustahil,” bisik Tariq, suaranya pecah. “Harganya…”

“Ya,” potong Tabib Yagus perlahan. “Harganya senilai nyawa sepuluh juta orang hamba. Ia bukan sesuatu yang boleh dibeli dengan duit syiling tembaga atau sisa galian yang kamu kumpul berbulan-bulan.”

Dia berjeda seketika. “Lagipun, adik kamu sudah tidak punya masa untuk menanti berbulan-bulan lamanya. Hayatnya sudah tidak lama.”

Keadaan di dalam pondok itu bertukar sepi. Hanya bunyi nafas Laila yang tersekat-sekat kedengaran.

“B-b-berapa lama?”

Tabib Yagus bangkit berdiri, menyapu debu pada seluarnya. Sebelum melangkah keluar, beliau menoleh memandang Tariq buat kali terakhir.

“Aku minta maaf, Tariq. Berdasarkan rentak denyutan nadi adikmu, kau hanya ada masa seminggu. Itu paling lama.” Dia diam seketika. “Aku sebenarnya ke mari untuk berbincang sesuatu. Tapi, nanti sahajalah. Aku tidak ingin mengganggu.”

Tirai kanvas ditutup, Tabib Yagus melangkah pergi, membiarkan Tariq keseorangan dalam kegelapan.

Seminggu.

Tariq merenung darah yang sudah mengering di telapak tangannya. Perasaan tidak berdaya yang selama ini mencengkam jiwanya perlahan-lahan berubah bentuk. Kesedihan itu hangus, digantikan dengan satu rasa marah yang membara.

Rasa marah kepada dunia.

Rasa marah kepada takdir.

Rasa marah kepada Empayar Valerius.

Dia perlahan-lahan mengangkat wajahnya. Matanya yang tadi digenangi air mata, kini memancarkan tekad seorang manusia yang sudah tiada apa-apa lagi untuk hilang.

Jika ubat itu bernilai sepuluh juta nyawa, maka dia akan merampasnya, biarpun terpaksa menempah maut.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset