Musim tengkujuh.
Pada mulanya, cuaca masih cerah. Namun, awan hitam menelan matahari sekelip mata. Di sebuah kawasan setinggan, para penduduk mula panik. Mereka mencampak alatan kerja masing-masing dan bertempiaran lari ke dalam pondok usang milik mereka saat hujan lebat mula menyiram bumi.
“Dah mula ke?” soal seorang penduduk.
“Macam awal pula tahun ni,” balas seorang lagi.
Apapun, mereka tiada pilihan. Awal atau lewat, ia sudah bermula. Air banjir naik mendadak. Ia melimpahi jalan tanah merah dan menenggelamkan pondok-pondok sehingga ke paras bendul pintu. Sistem perparitan usang yang tidak diselenggara di kawasan itu gagal berfungsi sepenuhnya. Perlahan-lahan, kawasan setinggan itu bertukar menjadi sehuah tasik keruh.
Begitu juga di dalam Rumah Anak Yatim Harapan. Situasi sama turut dialami mereka.
Berhampiran pintu masuk, seorang wanita dalam lingkungan usia 30-an menjerit memberi arahan kepada beberapa belas orang kanak-kanak yang berusia antara tujuh hingga sebelas tahun. Sekalipun masih kecil, mereka tetap bekerjasama untuk mengangkut guni pasir dan kelam-kabut menyusunnya di hadapan pintu bagi menahan air yang semakin naik.
“Noah, marilah tolong!”
“Biar sajalah dia tu, budak tu kan bodoh.”
“Tak guna betul!”
Dalam keadaan tubuh lencun berpeluh dan keletihan, beberapa orang budak lelaki merenung tajam ke arah seorang budak lelaki pucat yang berdiri kaku di tepi tingkap. Jika sekarang ini bukanlah di dalam situasi yang mencemaskan, pasti mereka sudah lama memukulnya. Tapi tidak untuk situasi kali ini. Mereka memilih untuk menelan amarah dan kembali memindahkan guni pasir.
Budak lelaki itu katanya berumur lapan tahun, tetapi tubuhnya yang tinggi dan kurus membuatnya nampak seperti budak sebelas tahun. Ciri paling menonjol pada dirinya adalah kulitnya yang terlalu cerah atau mereka di sini memanggilnya pucat. Ia merupakan satu perbezaan ketara yang mengundang cemburu kanak-kanak lain yang berkulit gelap akibat sentiasa berpanas di bawah matahari.
Nama budak ini adalah Noah. Sebenarnya, dia bukanlah bodoh seperti yang mereka katakan. Dia… sedikit istimewa.
Macam mana aku nak jadi berguna sikit? Kesian pula tengok yang lain. Noah mengeluh di dalam hati. Sudah tiga bulan berlalu sejak dia sedar dan keluar dari sebuah peti kriogenik, namun tubuhnya masih terlalu lemah. Sekadar berdiri tegak pun sudah cukup meletihkannya, inikan pula mahu memikul guni pasir.
Dia tahu dia bernasib baik. Ketika bencana itu mula melanda Arkana, pihak Institut Bencana baru sahaja menyiapkan prototaip peti kriogenik tersebut. Mereka belum sempat menjalankan sebarang ujian. Mereka juga tiada jaminan bahawa ia akan berjaya.
Kalaulah mereka tahu projek ini akan berjaya, getus hati Noah.
Siapa sangka, Noah yang memegang kunci dan harapan untuk masa hadapan, bangkit semula selepas ditidurkan selama tiga ratus tahun. Andai mereka tahu, lebih baik jika individu yang lebih berkelayakan mengambil tempatnya.
Sebab itulah ketika ini, tiada sekelumit pun rasa gembira di dalam hatinya. Dia masih hidup, masih bernafas. Namun, ibu bapa dan adik perempuannya telah mengorbankan nyawa mereka, menghadapi ‘kiamat’ tersebut.
Mustahil mereka masih hidup. Dah tiga ratus tahun.
Di dunia baharu ini, dunia di mana tiga ratus tahun telah berlalu ini, dia hidup sebatang kara. Banyak perkara baru yang perlu dipelajarinya. Dunia bukan semakin maju ke hadapan. Sebaliknya, mundur ke belakang. Segala kepakaran dan pengetahuan yang dia ada sukar untuk dia gunakan dalam keadaan serba kekurangan ini.
Apa yang paling menyulitkan Noah adalah tubuhnya sendiri yang belum boleh dikawal seperti biasa. Tiga ratus tahun tanpa pergerakan, menjadikan seluruh tubuhnya lemah.
Walaupun begitu, dia enggan menyerah kalah. Keluarga dan seluruh ahli Institusi Bencana telah mengorbankan segalanya demi memberinya peluang kedua ini. Dia tidak akan mensia-siakannya. Dia bukan sahaja akan bertahan hidup, dia akan mendaki ke puncak walau dengan apa cara sekalipun dan membuatkan mereka yang telah tiada berasa bangga.
Dia akan pastikan manusia kembali ke zaman kegemilangan mereka. Mujurlah selepas bencana tersebut, manusia tidak pupus sepenuhnya. Semasa Noah mula-mula merangkak keluar dari runtuhan fasiliti Institut Bencana dan peti simpanan sejuk itu, dia menyangka bahawa dia adalah manusia terakhir di muka bumi. Dia kemudian sedar bahawa tamadun ini masih bertahan. Selepas tiga abad bergelut untuk hidup, mereka membina semula masyarakat.
Malangnya, dunia dan teknologi lama sudah mati. Teknologi moden musnah sama sekali. Elektrik pula sekadar mitos di sini, memaksa kehidupan asas manusia kembali ke zaman kegelapan.
Di luar tingkap, ribut akhirnya mula reda.
Paras air di sebalik guni pasir tidak lagi naik seperti tadi. Kanak-kanak di Rumah Anak Yatim Harapan yang bertungkus-lumus sejak tadi mula bersandar lesu pada dinding rumah.
Gaya mereka tidak ubah seperti anggota tentera yang baru sahaja selesai berperang sementara wanita penjaga mereka pula mendongak, memandang langit yang kembali cerah. Dia mengukir senyuman manis.
“Baiklah. Semua siap-siap,” arahnya. “Jom pergi ke kantin untuk makan malam.”
Mata kesemua kanak-kanak itu terus bersinar. Mereka segera menyarung kasut jerami masing-masing dan pantas membentuk barisan yang teratur.
“Noah, jom makan.” Seorang budak lelaki berusia tujuh tahun menepuk bahu Noah lalu menunjuk ke arah kantin.
Itu Taro, salah seorang daripada beberapa orang kanak-kanak yang melayannya dengan baik. Memandangkan dialek Melayu tempatan telah berubah secara drastik sepanjang tiga ratus tahun ini, Noah tidak faham sepatah kata pun sewaktu dia mula-mula tiba di sini. Sikapnya yang sentiasa diam membuatkan mereka fikir dia mempunyai kecacatan mental. Secara automatik, dia dicampak ke dalam kumpulan buangan bersama Taro.
Rumah anak yatim itu terbahagi kepada dua kumpulan: kanak-kanak normal yang ditinggalkan, dan kanak-kanak yang dikatakan cacat yang dibuang keluarga.
Noah mengangguk dan mengekori Taro. Taro menunduk, baru sahaja mahu mengingatkan Noah tentang kasutnya, namun terhenti. Dia sedikit terkejut kerana Noah sudah pun memakai kasut jerami hijau mudanya. Taro tersenyum bangga. Baginya, tidak sia-sia selama ini dia mengingatkan Noah.
Lain pula yang bermain di dalam fikiran Noah. Dia memandang kasut jerami tersebut. Plastik sudah tidak wujud lagi. Pakaian dan kelengkapan jerami menjadi kebiasaan. Jerami ini bukanlah jerami biasa seperti apa yang dikenalinya. Ia merupakan jerami yang telah mengalami mutasi. Ia mempunyai lapisan lilin yang menjadi pilihan kalis air terbaik dan menjadi antara bahan keperluan mutlak ramai.
Noah teringin untuk mengkaji bahan ini namun dia mempunyai keterbatasan dari segi peralatan. Dia kembali memandang ke hadapan, melihat kumpulan kanak-kanak itu.
Mereka kini sedang berjalan berhati-hati di atas laluan batu sempit ke arah kantin. Andai mereka tergelincir ke dalam air keruh sedalam buku lali itu, ia bermakna mereka bakal menempah risiko jangkitan, sekalipun terhadap budak yang paling sihat di kalangan mereka. Noah tertanya-tanya akan tahap perubatan pada zaman ini jika air sebegitu sahaja sudah cukup untuk membuatkan mereka sakit.
Banyak juga benda yang aku perlu kaji, bisik hati Noah. Dia tidak akan mengeluh. Memang itulah tujuan dia dipilih untuk ditidurkan dan bangkit pada hari ini.
Setibanya di kantin, kanak-kanak normal terus merampas tempat duduk terbaik. Noah, Taro, dan budak-budak ‘cacat’ yang lain membelok terus ke sudut kebiasaan mereka. Mereka duduk mengelilingi sebuah meja batu yang diperbuat daripada timbunan batu.
“Aku dengar ada doktor dan pekerja binaan nak datang esok.”
“Puan Dalila cakap kita kena tunjuk perangai elok-elok.”
“Bayangkan kalau doktor yang ambil kita jadi anak angkat.”
“Aku lebih suka pekerja binaan. Mana tahu dapat peluang panjat Tembok Gergasi Titara dan tengok dunia luar.”
Taro dan yang lain berbisik teruja. Noah hanya memerhatikan mereka. Tiada seorang pun daripada mereka kelihatan normal. Ada yang kudung telinga, jari, kaki dan ada yang mempunyai parut mengerikan di wajah. Dari segi bicara, mereka kedengaran normal.
Noah mendengar penuh teliti, tetapi kekal membisu.
“Sayang betul otak Noah rosak. Kalau ikut rupa dengan badan dia, mesti dia kena pilih,” keluh Taro, memandang Noah dengan rasa kasihan yang tidak dibua-buat.
Kanak-kanak lain menggelengkan kepala mereka. Mereka ada perjanjian: siapa yang dijadikan anak angkat dan menikmati hidup selesa, akan datang semula ke sini untuk membantu yang lain.
Pada zahirnya, Noah nampak seperti calon paling menjanjikan, tetapi “kecacatan mentalnya” menghancurkan peluang itu. Malah, jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang tidak mempunyai anggota yang cukup, mereka mempunyai peluang yang lebih cerah kerana mereka sekurang-kurangnya boleh faham arahan dan melakukan kerja-kerja buruh.
Mendengar rasa simpati Taro, Jib—seorang budak lelaki kurus yang normal di meja sebelah—tersenyum sinis.
“Tengoklah muka cacat kau orang ni. Kau orang betul-betul ingat ada orang nak ambil kau orang ke?”
Kata-katanya menarik perhatian kanak-kanak normal yang lain. Mereka merenung tajam ke arah kumpulan Noah dan Taro dengan rasa jijik yang langsung tidak disembunyikan. Bagi mereka, mereka adalah anak yatim dengan darjat yang lebih tinggi.
Noah kekal diam, pandangannya merayap dingin ke wajah mereka. Dia mungkin terperangkap dalam tubuh kanak-kanak, tetapi mindanya jauh lebih matang dan bijaksana berbanding mereka semua.
Dia yakin jika dia bertemu dengan individu paling bijak dalam tamadun ini, dia pasti akan diiktiraf sebagai yang lebih bijak.
Melihatkan Noah yang mula memandang wajah mereka, Riz merenung balas ke arahnya.
“Tengok budak bodoh ni. Kita kutuk dia pun dia tak faham.”
Mereka yang lain ketawa besar.
“Cacat.”
“Tunggulah sampai umur kau orang tiga belas tahun. Pasti akan dicampak ke dalam lombong dan jadi buruh percuma.”
Kumpulan kanak-kanak normal itu kembali ketawa. Mengejek kanak-kanak yang dikatakan cacat sudah mula menjadi hiburan buah mereka.
Tidak lama kemudian makanan akhirnya tiba. Namun, kumpulan kanak-kanak normal masih belum berhenti.
Puan Dalila menengking, “Diam! Kau orang nak makan ke tak?”
Serta-merta, kesemua mereka diam. Mereka tidak berani mencari masalah dengan penjaga wanita ini. Jika anginnya kurang baik, tidak mustahil mereka tidak akan mendapat makanan pada malam ini.
***
Keesokan harinya.
Awan kelabu berpecah dan bergerak menjauh sekaligus membenarkan cahaya matahari masuk untuk menyinari keseluruhan kawasan setinggan.
Ia merupakan suatu bentuk rahmat yang jarang berlaku pada musim sebegini. Cuaca ini membawa khabar gembira buat semu penduduk kawasan setinggan ini. Mereka dapat kembali bekerja.
Manakala bagi para penghuni Rumah Anak Yatim Harapan, hari ini adalah Hari Anak Angkat. Keluarga yang telah mendaftarkan diri mereka sebelum ini akan datang ke sini untuk memilih anak angkat.
Noah, sekalipun masih kanak-kanak, sudah terbiasa bangun awal pagi, dua jam sebelum mereka yang lain bangun. Dia melipat alas tidur dengan kemas dan mencuci muka menggunakan air telaga yang sangat dingin. Jika dulu, mustahil untuk dia membersihkan diri sebegini. Pemanas air sentiasa digunakan.
Sewaktu dia ingin mencapai pakaiannya, dia terperasan ada sehelai sapu tangan ungu yang jatuh ke lantai. Pergerakannya terhenti seketika.
Noah mengukir senyum. Fikirannya kembali ke malam pada hari pertama dia bangun dan keluar dari peti kriogenik. Cuaca pada malam tersebut sangat sejuk.
Mujurlah ada seorang kanak-kanak perempuan yang membawanya ke rumah anak yatim ini. Sapu tangan itu digunakan untuk mengelap wajah Noah yang kotor dan langsung diberikan kepadanya.
Kanak-kanak perempuan itu ada bercakap-cakap dengannya namun pendengarannya ketika itu kurang jelas dan dia juga cuba untuk memahami dialek Bahasa Melayu yang berubah itu.
Pernah suatu hari, Taro melihat Noah sedang membelek-belek sapu tangan tersebut. Katanya, hanya mereka dari Tembok Tengah atau Tembok Dewa Titara. Mereka itu adalah golongan elit.
Golongan elit? Adakah teknologi mereka lebih baik?
Itulah persoalan yang berulang kali bermain di fikiran Noah. Jika benar, dia perlu mendapatkan permit untuk masuk ke sana. Hanya dengan cara itu sahajalah dia dapat untuk berinteraksi dengan bijak pandai tamadun jni.
Noah menyimpan semula sapu tangan tersebut ke dalam poket seluarnya. Perlahan-lahan, dia melangkah ke sebuah kawasan lapang di perkarangan rumah anak yatim itu.
Noah menarik nafas dalam. Dia tidak tahu sama ada udara sekarang lebih segar berbanding udara pada tiga ratus tahun lalu atau ia mempunyai pencemaran yang tidak dapat dihidu olehnya. Namun, masih mampu untuk bernafas, itu adalah rahmat terbesar buatnya ketika ini.
“Aku kena diterima jadi anak angkat. Dengan segera,” gumamnya perlahan.
Jika umurnya menjejak tiga belas tahun dan tidak diterima oleh mana-mana keluarga sebagai anak angkat, dia akan diambil oleh Persatuan Buruh Titara untuk bekerja sebagai buruh percuma.
Sekalipun nama persatuan itu kedengaran sah, mereka adalah sindiket pemerdagangan manusia. Dia akan dikerah untuk bekerja sehingga mati.
Lepas tiga ratus tahun pun ada lagi?
Bila difikirkan semula, ia langsung tidak pelik. Apa yang ada pada tiga ratus tahun yang lalu, sudah dilakukan beribu-ribu tahun sebelumnya. Hati manusia tetap sama.
Menjelang pagi, kanak-kanak lain sudah siap mandi, menyarung pakaian terbaik mereka dan beratur rapi.
“Tiada keluarga akan pilih budak tak mandi.” Itulah apa yang selalu dipesan oleh Puan Dalila.
Sewaktu mereka beratur, bakal ibu bapa angkat mereka berjalan menyusuri barisan tersebut untuk menilai mereka.
Kanak-kanak itu, sekalipun masih kecil, penuh dengan muslihat untuk memenangi hati bakal ibu bapa angkat mereka.
Salah seorang kanak-kanak, namanya Ara, memandang orang-orang dewasa itu dengan pandangan yang penuh suci. Sehinggakan ada beberapa orang yang terus ‘cair’ dengan pandangannya.
Ara mula bersorak di dalam hati. Namun, sebaik sahaja mereka terpandang Noah, yang lain sudah tidak menarik pada pandangan mereka.
Tinggi, kurus dan memiliki kulit yang cerah. Noah sangat menonjol berbanding kanak-kanak lain. Dia juga memancarkan ketenangan dan aura yang sangat asing untuk mereka temukan di kawasan sebegini.
Bakal ibu bapa angkat itu semuanya tergamam. Noah adalah calon terbaik.
Noah kekal tenang. Dia juga sedang menilai mereka. Semuanya seperti sedang berjalan lancar sehinggalah ada satu suara memecah kesunyian.
“Tunggu.”