Switch Mode

Pemburu Magis: Leon – Bab 5

Ketua Sarang

Gema jeritannya sendiri melantun ke dinding gua yang lembap sebelum perlahan-lahan mati ditelan kesunyian. Leon berdiri kaku di hadapan pintu batu gergasi itu. Nafasnya turun naik dengan kencang, menderu pam udara gua yang berbau hapak ke dalam peparunya.

Untuk beberapa saat, dia terdiam membatu. Kesedaran tiba-tiba menghentam benaknya ibarat baldi air sejuk yang terus dicurahkan ke atas kepala.

Apa yang aku merapu ni? Malaikat Maut?

Leon pantas menggelengkan kepala. Dia baru sahaja menumbangkan mawas-mawas bawahan, tetapi keangkuhannya sudah meruap naik menguasai diri. Adrenalin yang mendidih dan realiti memiliki magis tanpa batasan ini benar-benar hampir merampas kewarasannya. Fikirannya sedang hanyut dibuai ilusi kekuasaan.

Jaga hati, Leon. Jangan bongkak. Kau belum kebal, bisiknya perlahan, mengulang semula amaran yang dipasaknya sebelum melangkah masuk ke pintu monolit tadi.

Sambil cuba meredakan degupan jantung yang masih berdegup gila, anak matanya menjeling ke arah Panel Status yang kekal terapung di hujung pandangan.

Angka bagi Fokus dan MP miliknya kekal kaku dengan simbol sengkang ‘-’. Ia menguatkan lagi teori gilanya. Itu bukan bermaksud sifar. Itu bermaksud infiniti. Kuasa tanpa had.

Tangan kanannya meraba tubuh sendiri. Tanpa secalit kecederaan pun, tanpa menelan walau sebiji Pil Tenaga, dia dengan kejamnya telah memanggang rentung kesemua raksasa di laluannya. Bahunya terasa lenguh memikul beg galas yang kini sarat dengan puluhan butir Teras Hayat.

Kini, dia hanya tinggal selangkah sahaja lagi untuk berhadapan dengan Ketua Sarang. Keseorangan.

Leon menarik nafas paling dalam, cuba membuang segala sisa ego di dadanya.

Dia menampar kedua-dua belah pipinya dengan kuat. Rasa pijar yang menggigit kulit wajahnya itu terus menyentap baki keangkuhannya, mengembalikan semula fokusnya ke tahap maksimum.

Dia menghela nafas panjang, menyandarkan kedua-dua belah tapak tangannya pada permukaan pintu batu yang sejuk itu. Dengan satu tolakan padu, daun pintu Ruang Cabaran itu dirempuh terbuka.

Di sebalik pintu itu, sebuah gua melingkar yang luas menyambutnya sebagai arena maut. Di tengah-tengah ruang tersebut, seekor mawas gergasi sedang menanti.

“Rooooaaarrr!!!”

Dinding gua bergegar hebat akibat tempikan mawas itu. Namun, senyuman sinis di wajah Leon tidak sedikit pun pudar. Dia kekal yakin. Mawas gergasi setinggi tiga meter itu seolah-olah tercabar melihat tubuh manusia kecil di hadapannya. Makhluk buas itu terus merempuh lantai batu, meluru deras bagai kereta kebal ke arah Leon.

Leon mengunci posisinya. Dia sudah bersedia. Kedua-dua belah telapak tangannya dihalakan lurus ke arah Ketua sarang raksasa.

Hanya dengan lintasan niat, berdas-das tembakan Bebola Api meledak keluar bertubi-tubi membelah udara gua. Disebabkan saiz musuh yang gergasi, amat mudah untuk kesemua tembakannya mengena.

Gelombang tembakan pertama tepat menghentam dada mawas itu, serta-merta mematikan momentum rempuhannya. Gelombang kedua dan ketiga merobek kejam kedua-dua belah bahu makhluk itu, menolaknya terlentang terundur ke belakang. Gelombang keempat dan kelima meletup serentak tepat di kiri dan kanan kepalanya, memadamkan terus sisa nyawa raksasa itu secara mutlak.

Sebaik sahaja bangkai mawas gergasi itu rebah berdentum di atas lantai batu, satu pancaran cahaya yang menyilaukan memancar terang dari tengah-tengah ruang. Sebongkah kristal hijau perlahan-lahan naik terapung ke udara.

Leon tahu fungsi kristal itu. Ia adalah tanda Pemburu sudah menyelesaikan misi pembersihan mereka di dalam sarang raksasa. Menyentuh kristal hijau tersebut membolehkan mana-mana Pemburu dipindahkan keluar secara automatik dan muncul di kawasan rawak di persekitaran pintu masuk luar sarang raksasa.

Namun, Leon membiarkan kristal itu berpusing di udara. Dia mahu menikmati detik kejayaan ini seketika. Ekspedisi sarang raksasa pertamanya berjaya disapu bersih secara solo.

Langkahnya diatur mendekati bangkai berasap Ketua Sarang untuk memeriksa ganjaran yang dijatuhkan. Tepat di sebelah bangkai tersebut, terdampar beberapa butir Teras Hayat Gred F… berserta sebuah Buku Magis.

Tangan Leon pantas menyambar semua Teras Hayat itu dan menyimpannya ke dalam beg. Kini, anak matanya terkunci pada Buku Magis bercahaya itu.

“Buku Magis Penyembuhan Ringan?” Laju Leon membaca ukiran nama di kulit buku tersebut.

Dadanya berombak kencang tatkala jari-jemarinya menyentuh permukaan buku itu. Sekalipun hanya berstatus Gred F, harganya di pasaran cukup mahal kerana magis ini amat berkesan merawat luka terbuka dan kecederaan ringan Pemburu ketika di dalam misi.

Leon berbelah bahagi; patutkah dia terus menyerap buku tersebut, atau menjualnya menjadi wang tunai?

Lama dia terdiam membatu. Kristal hijau di tengah bilik itu langsung tidak diendahkannya. Akhirnya, dia melabuhkan punggung, duduk bersila bertenang di atas lantai batu di sebelah bangkai Ketua sarang raksasa.

Matanya merenung Buku Magis, kemudian beralih memandang kristal hijau. Mindanya ketika ini ligat menyusun rancangan seterusnya. Dia sedang merangka strategi untuk mendaki takhta Pemburu terkuat di Bandar Aegis sesegera mungkin.

Namun, ada satu perkara yang mengganggu fikirannya ketika ini.

“Kalau aku keluar sekarang, orang pasti pelik,” gumamnya.

Bayangkan, seorang Pemburu Gred F yang baru menerima Lesen Pemburu pagi tadi, mampu menyapu bersih Syurga Mawas dalam masa kurang satu jam. Semua mata pasti akan memandang curiga. Hanya Pemburu Gred B dan ke atas sahaja yang mempunyai keupayaan luar biasa sedemikian rupa.

Leon menarik nafas lega. Nasib baik dia tidak mempamerkan keupayaan magis tanpa had sewaktu ujian penilaian. Dia harus sedar diri. Pada waktu ini, dia cuma memiliki kapasiti MP yang terlampau besar. Ia sama sekali tidak bermaksud dia sudah kebal atau kuasanya setanding dengan impak dan kuasa serangan seorang Pemburu Gred B.

Jika tersilap langkah, Pemburu Gred C mahupun Gred D yang lebih pantas masih mampu menyusup dari arah belakang dan membunuhnya dengan mudah. Jadi, rancangan yang paling selamat adalah kekal merendah diri sehinggalah dia cukup kaya untuk membeli Buku Magis gred tinggi; magis yang dapat melengkapi MP tanpa batasnya.

Leon melepaskan keluhan berat. “Hujungnya, aku tetap perlukan wang yang banyak.”

Ketika itu jugalah dia teringat akan sesuatu. Dia mula mengira semula segala ganjaran yang berjaya diraihnya pada hari ini.

Sebuah Buku Magis Gred F dan lebih empat puluh butir Teras Hayat, hasil daripada seratus enam puluh ekor mawas yang dibunuh.

Keterujaannya kembali membuak. Dalam satu ekspedisi sahaja, dia sudah mampu membolot ganjaran sebanyak ini. Jika dikira secara kasar, dia yakin nilai semua barang ini tidak kurang daripada $60,000. Dalam masa tidak sampai satu jam!

Aku tak perlu kongsi dengan sesiapa kalau bergerak solo. Fikirannya ligat merangka jalan. Aku tak perlu buang masa. Aku yakin aku boleh buat lebih laju lagi.

Jika ini adalah nilai minimum yang boleh diperoleh, bayangkan hasilnya jika dia mengulang ekspedisi ini beberapa kali lagi?

Minda Leon pantas mengimbas semula segala data dan kajian yang pernah dibacanya mengenai jenis ganjaran Ketua Sarang. Jika benar dia mempunyai kapasiti MP infiniti, wujud beberapa Buku Magis yang sangat sempurna untuknya. Cuma, dia masih perlu menguji sama ada nilai Fokusnya membenarkan dia terus menyerap magis gred tinggi atau tidak.

Leon menarik nafas panjang, cuba meredakan debaran di dadanya sebelum memuktamadkan satu keputusan.

Rancangan yang bermain di fikirannya ketika ini agak berisiko. Namun, ini sajalah jalan paling pantas dan berkesan untuk menyingkirkan sebarang ancaman pada masa hadapan, tidak kira sama ada ancaman itu datang daripada raksasa mahupun manusia yang tamak.

Bencana yang melanda dunia telah mencipta realiti baharu, tetapi lumrah rakus manusia tidak pernah berubah. Kehidupan kini jauh lebih kejam dan sentiasa dikelilingi maut. Nyawa seorang Pemburu boleh melayang akibat dibaham raksasa, ataupun dibunuh dan dirompak oleh rakan Pemburu lain. Malah yang paling menakutkan, nyawa mereka boleh dilenyapkan tanpa jejak oleh pihak berkuasa sekiranya enggan tunduk kepada arahan.

Bagi menjamin kelangsungan hidupnya sepanjang proses membina kekuatan, Leon memerlukan magis pertahanan dan serangan yang seimbang. Dia juga sangat memerlukan magis pergerakan pantas untuk membantu melarikan diri pada saat genting. Kuasa dengan pakej lengkap seperti itu hanya boleh didapati menerusi Buku Magis Gred C dan ke atas.

Masalah utamanya kekal sama; harga paling murah untuk sebuah Buku Magis Gred C sahaja sudah mencecah angka $500,000.

Leon merenung kristal hijau yang masih terapung di tengah-tengah bilik Bos tersebut. Satu persoalan utama kembali bermain di benaknya.

Apakah langkah seterusnya yang perlu dia lakukan sekarang?

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset