Sebuah struktur monolit gergasi terpacak kukuh, dikelilingi oleh tembok tinggi. Kawalan keselamatan di pintu masuk dikawal ketat oleh barisan tentera bersenjata berat. Walaupun ia hanyalah sebuah sarang raksasa Gred F, tempat ini menjana pendapatan jutaan dolar setiap hari.
Beribu-ribu Pemburu masuk, membunuh raksasa, dan menjual hasil ‘pembersihan’ yang mereka peroleh dari dalam.
Monolit itu memancarkan cahaya biru terang, menandakan ia adalah sebuah sarang raksasa biasa yang stabil dengan risiko rekahan yang sangat rendah. Sekiranya cahaya itu bertukar jingga dan kemudian merah, itu adalah amaran maut.
Pembersihan yang dilakukan secara berkala mengekalkan warna biru tersebut, mengubah tempat berbahaya ini menjadi lubuk emas bagi para Pemburu pemula. Pada sangkaan Leon, sarang raksasa sebegini sepatutnya mempunyai risiko kematian yang sangat rendah.
Namun, sewaktu dia berjalan menghampiri lokasi ini, dia terdengar perbualan di antara beberapa orang Pemburu. Kata mereka, angka korban tetap sentiasa bertambah setiap hari. Ada yang terbunuh kerana terlalu bongkak, ada yang dikhianati rakan sepasukan yang tamak, dan ada yang sekadar bernasib malang.
Jaga hati, Leon. Jaga hati, bisik Leon kepada dirinya sendiri. Jangan bongkak. Jangan rasa kebal.
Dia menarik nafas panjang, mengumpul ketenangan. Kad Lesen Pemburu miliknya dikeluarkan dan diserahkan kepada pengawal di pintu masuk. Di sebalik tembok pelindung itu, kelihatan beberapa kumpulan Pemburu sedang sibuk menyelenggara kelengkapan tempur, manakala sebahagian lagi sekadar rancak berbual.
Ada juga yang menjerit-jerit mencari ahli baharu untuk melengkapkan kuota pasukan mereka. Di tengah-tengah monolit biru itu, wujud sebuah struktur empat segi yang menyerupai sebuah pintu. Pintu itulah laluan rasmi ke dalam sarang raksasa.
Bagi mereka yang bergerak dalam pasukan, ahli-ahli perlu menyentuh pintu itu dalam sela masa beberapa saat—tidak melebihi seminit—supaya mereka dapat dipindahkan ke tingkat pertama secara bersama-sama.
Jika terlambat, mereka masih dibawa ke tingkat pertama namun dipisahkan. Dua, tiga atau lebih kumpulan berbeza mampu wujud pada tingkat yang sama namun tidak akan bertembung walau sekali. Tiada siapa lagi yang mampu merungkai misteri bagaimana pemisahan ini berlaku.
Leon melihat sebuah pasukan sedang bersiap sedia di hadapannya. Dia menahan rasa ingin tahunya dan berdiri beberapa langkah ke belakang, memberi ruang kepada pasukan itu masuk dahulu. Tidak lama kemudian, kelibatnya yang menunggu keseorangan mula menarik perhatian Pemburu lain di sekeliling.
“Wei, budak tu nak masuk seorang diri ke?” tanya seorang Pemburu kepada rakannya.
“Ada lagi rupanya yang tak sedar diri,” balas rakannya sambil tersenyum sinis.
“Biarkan sajalah dia. Mesti dia tu Pemburu Gred B yang menyamar,” celah seorang lagi sebelum dia ketawa terbahak-bahak.
Gelak tawa dan perbualan yang memperlekehkan itu kedengaran jelas. Apapun, Leon memilih untuk memekakkan telinga. Dia menunggu dengan sabar sehingga seluruh ahli pasukan di hadapannya hilang dalam satu kerdipan cahaya. Setelah seminit yang disyaratkan berlalu, dia melangkah ke hadapan. Tapak tangannya dilekapkan pada permukaan pintu empat segi itu.
Dalam sekelip mata, tubuhnya ghaib. Pandangannya berubah.
Dia kini berdiri di dalam sebuah gua batu kapur yang sangat luas. Belum sempat dia menyesuaikan diri, kehadirannya terus menyentap tumpuan dua ekor mawas hitam setinggi satu meter.
“Raksasa?!” laung Leon tanpa sengaja. “Kenapa cepat sangat?!”
Dia benar-benar belum bersedia. Tubuhnya tiba-tiba terasa tegang. Sangkanya, dia sempat untuk melihat sekeliling dan merangka strategi terlebih dahulu. Namun, dua ekor mawas itu tidak memberikannya sebarang ruang dan peluang. Makhluk itu segera menerpa ke arahnya.
Dalam keadaan tergesa-gesa dengan tubuh yang menggigil ketakutan, dia pantas mengangkat kedua-dua belah tangannya dan menghalakan tepat ke arah mawas yang menyerang.
“Bebola Api!” laung Leon, panik.
Tanpa dia sedar, dia telah menembak dua Bebola Api serentak dari kiri dan kanan tapak tangannya. Dia terus menembak dan menembak tanpa henti. Matanya terpejam sendiri. Tangannya dihayunkan ke kiri dan kanan sambil mulutnya tidak berhenti melaung nama magis tersebut.
Letupan kuat bergema. Sebaik sahaja bebola api itu menghentam wajah, kedua-dua ekor mawas itu terus terpelanting, memekik kesakitan yang amat sangat. Pada tahap kecederaan ini, mawas-mawas itu tidak mungkin lagi selamat. Tembakan Bebola Api yang menyusul terus menghentam titik kecederaan yang sama, menamatkan nyawa raksasa itu serta-merta.
Leon yang masih melepaskan tembakan perlahan-lahan membuka matanya. Adrenalin dipam laju ke seluruh tubuh. Dia hanya dapat melihat kepulan asap tebal dan tiada lagi suara jeritan kedengaran.
Perlahan-lahan, dia mengurangkan jumlah tembakan sebelum berhenti sepenuhnya. Kedua-dua ekor raksasa itu sudah rentung. Selang beberapa detik kemudian, bangkai itu berderai menjadi abu yang ditiup angin gua.
“Aku… menang?” soal Leon tidak percaya.
Dia berjaya membunuh dua ekor raksasa Gred F semudah ini? Dia benar-benar buntu. Kakinya melangkah ke arah tempat di mana bangkai mawas tersebut berada sebelum ini. Sebiji Teras Hayat terdampar di situ. Warnanya yang merah menandakan ia adalah Teras Kekuatan.
Saiznya kecil, lebih kecil dari sebiji telur burung merpati. Namun, ia sangat bernilai di pasaran.
“Kalau macam ni, mudah sangat,” ujar Leon, penuh keyakinan.
Teras itu dimasukkan ke dalam beg galas sebelum dia melangkah masuk lebih jauh. Dia tidak perlu menunggu lama. Jeritan mawas yang mati tadi seolah-olah memanggil tiga ekor lagi spesies mereka yang kini sedang meluru ganas ke arahnya.
Kali ini Leon lebih tenang. Dia tersenyum. Dia juga baru menyedari satu perkara. Sebaik sahaja tahap penguasaan magisnya bertambah, dia tidak perlu lagi melaung nama serangan. Hanya dengan satu lintasan niat, Bebola Api mampu diseru bertubi-tubi. Tiada satu pun tembakannya tersasar. Raksasa yang meluru itu rentung di pertengahan jalan.
Sebiji lagi Teras Kekuatan digugurkan daripada kumpulan mawas itu. Teras Hayat bukanlah sesuatu yang pasti wujud setiap kali raksasa dibunuh. Memperoleh dua teras daripada lima ekor raksasa sudah dikira dia mempunyai tuah yang agak baik.
Leon memasukkan teras itu ke dalam beg. Kali ini, dia bergerak seperti dirasuk. Dia tidak lagi berjalan perlahan-lahan. Jika semudah ini dia kalahkan musuh, lebih baik dia bergerak lebih laju. Dia mula berlari.
Selang beberapa detik kemudian, dia bertembung lagi dengan lima ekor mawas. Nasib mereka sama. Hangus menjadi debu.
Leon semakin teruja. Semakin ghairah. Dia menumbangkan raksasa dan mengutip Teras Hayat semudah memetik jari. Tidak pernah sekalipun dia membayangkan dirinya mampu melakukan perkara sebegini. Berkali-kali dia mencubit lengannya sendiri semata-mata untuk memastikan semua ini bukanlah mimpi.
Tidak sampai beberapa minit kemudian, Leon sudah menyelesaikan tingkat pertama. Kelajuannya amat pantas. Dia mengawal rentak nafas, bersedia untuk aras seterusnya.
Pergerakannya sangat lincah sewaktu menuruni anak tangga melingkar menuju ke tingkat dua. Semakin lama, pergerakannya menjadi semakin laju.
Sepanjang berada di dalam Syurga Mawas, dia membuat kesimpulan bahawa mawas-mawas ini selalunya menyerang secara berkumpulan, dalam lingkungan tiga hingga lima ekor. Semuanya menyerbu membabi buta apabila hidung mereka dapat menghidu kehadiran Leon. Namun, dia tidak membenarkan walau seekor pun menembus masuk ke dalam radius empat meter daripadanya. Tembakan demi tembakan bebola api terus menimpa musuh sebaik sahaja kelibat mereka masuk ke dalam jarak penglihatannya.
Dan begitulah, satu keajaiban yang tidak masuk akal sedang tercipta di dalam sarang raksasa Syurga Mawas hari itu. Tanpa rehat walaupun sesaat, seorang Pemburu Gred F baharu telah membersihkan tingkat kedua… kemudian ketiga… kelima… dan terus meredah tanpa halangan sehinggalah ke penghujung tingkat kesembilan.
“Akhirnya!”
Satu jeritan kepuasan terhambur kuat dari mulut Leon tatkala dia berdiri tegak di hadapan pintu kawasan Ketua sarang raksasa.
“Ketua Sarang!” laung Leon menembus ruang gua. “Malaikat Maut dah datang!”