Cahaya merah malap dari naskhah kulit tebal itu berkelip halus, memantul pada wajah Leon. Dia merenung lama Buku Magis di atas meja kayunya. Bebola Api. Sejenis magis Gred F. Kasta paling hina dalam hierarki Pemburu.
Skrin telefon pintarnya yang retak di sebelah buku itu memaparkan angka yang menyakitkan mata: $5,867. Baki simpanan yang ditinggalkan oleh mendiang ibu bapanya, kini hampir licin. Golongan bangsawan di Bandar Aegis mungkin membuang puluhan ribu dolar untuk hidangan malam, namun bagi Leon, naskhah di hadapannya ini adalah nyawa. Tiket tunggal untuk keluar dari kasta terbawah dunia baru ini.
“Kalau aku gagal, aku cuma boleh bertahan beberapa bulan lagi,” gumam Leon, lemah.
Dalam dunia baru ini, pekerjaan biasa tidak lagi mampu untuk menampung kehidupan. Sebab itulah dia mengambil keputusan drastik ini.
Jari-jemarinya yang kasar menyentuh permukaan buku itu. Kulitnya terasa hangat, seolah-olah berdenyut menyedut haba bilik. Leon menarik nafas panjang. Dia menekan naskhah tersebut ke dada dan memejamkan mata. Lafaz mantera kebangkitan bergetar di bibirnya.
“Aksara terikat, jiwa diseru. Jiwaku adalah bayaran, tubuhku adalah bekas. Bangkit dan menyatu denganku,” lafaz Leon.
Serta-merta, haba membahang merempuh tulang rusuknya. Nafas Leon tersekat di kerongkong. Jantungnya berdegup gila, mengepam satu tenaga asing yang membakar seluruh urat nadinya. Dia terdorong ke belakang, mencengkam sisi meja menahan kesakitan yang mencucuk-cucuk sebelum ritma itu perlahan-lahan bertukar menjadi kelegaan. Ototnya terasa lebih padat.
Jadi, ini rasanya, desis hati Leon.
Sebaik sahaja kelopak matanya dibuka, naskhah di pelukannya sudah ghaib menjadi debu bercahaya yang berterbangan di udara. Di ruang pandangannya, sebuah skrin biru lutsinar terapung tanpa bunyi.
===== PANEL STATUS =====
[Leon]
HP : 100
MP : –
Atribut Fizikal
Kekuatan : 10
Ketahanan : 10
Kelajuan : 10
Atribut Mental
Fokus : –
Magis
[1] Bebola Api – F
=====
Dahinya berkerut seribu. Pandangannya terpaku pada dua barisan atribut. Tiada nombor. Hanya garisan sengkang yang mati.
Leon meraup wajahnya kasar. Peluh sejuk mula merenik di pelipis. Macam mana MP dengan Fokus aku boleh kosong?
Setiap Pemburu yang normal wajib mempunyai nilai berangka pada setiap atribut mereka. Angka itu yang menentukan sejauh mana kolam tenaga magis mereka mampu bertahan di dalam sarang raksasa—sarang raksasa yang tidak pernah tidur. Lebih tinggi nilai Fokus, lebih besar kapasiti MP untuk melancarkan tembakan atau sebarang bentuk magis. Jika nilai Fokusnya tiada, bermakna dia hanyalah… apa?
Pemburu atau bukan?
Atau dia hanya separa Pemburu?
“Aduh! Kenapa aku kena hadap benda pelik-pelik macam ni?” rungutnya sambil menarik rambut. “Aku boleh guna magis Bebola Api atau tidak sekarang?”
Gigi diketap kuat. Dia cuba memikirkan beberapa kemungkinan namun dia berakhir tanpa satu pun.
Tak boleh jadi. Aku kena uji benda ni.
Leon pantas menyarung jaket kelabu lusuhnya, menyambar kad akses pangsapuri, dan melangkah keluar.
Padang awam yang terletak sepuluh minit dari kediamannya sunyi sepi. Angin sejuk pagi menampar wajah, membawa bau tengik sisa kumbahan dari lorong sebelah. Di tengah-tengah padang yang berumput botak itu, beberapa batang Tiang Penguji pacakan Kesatuan Pemburu berdiri kaku.
Logam aloi khas itu direka untuk menyerap hentaman dan segala bentuk magis tahap rendah; tempat Pemburu baharu mengukur potensi tanpa meruntuhkan bangunan sekeliling atau membahayakan nyawa orang lain.
Leon membetulkan kuda-kudanya pada jarak sepuluh meter. Tapak tangan kanannya dihalakan lurus ke arah tiang.
Serta-merta, dia merasai satu bentuk tenaga berdenyut hangat di dalam dadanya. Tanpa perlu berfikir, mindanya secara naluri tahu bagaimana untuk menarik tenaga tersebut dan menyalurkannya terus ke telapak tangan. Ilmu magis itu kini sudah terpasak kukuh menjadi memori ototnya.
Hujung jarinya menggeletar halus menahan debar.
“Bebola Api!” serunya mendesak.
Satu gumpalan api bersaiz bola lisut meledak keluar dari telapak tangannya dengan daya tolakan yang mengejutkan. Haba panas yang meruap tiba-tiba menampar wajah Leon, membuatkan bahunya refleks tersentak ke belakang.
Akibatnya, tembakan sulung itu tersasar. Bebola api tersebut meluncur laju melepasi sisi Tiang Penguji dan terus menghentam permukaan tanah. Bam!
Letupan kecil bergema, menghamburkan percikan api dan debu ke udara. Nyalaan api mula memamah rumput kering di kawasan tersebut. Namun, sebelum api itu sempat marak, satu bunyi klik mekanikal yang tajam bergema dari tapak Tiang Penguji. Serta-merta, pancutan wap pemadam bertekanan tinggi menyembur keluar secara automatik, membunuh sisa api itu dengan desiran mendesis yang kuat.
Leon ternganga. Matanya terkebil-kebil. “Menjadi? Aku boleh tembak bebola api?”
Walaupun bidikannya meleset teruk, magisnya berfungsi dengan sempurna. Tetapi yang lebih aneh, dalamannya tidak berasa kosong. Tenaganya tidak terasa berkurang atau dalam kes Leon, dia tidak berasa penat.
Berdasarkan apa yang dia baca di forum, perkongsian daripada Pemburu lain, lima das tembakan sudah cukup untuk mengeringkan kolam tenaga Pemburu Gred F yang baru bangkit. Memerah tenaga magis melebihi had akan membuatkan mereka muntah darah atau terus rebah pengsan.
Mungkin… cukup lima kali aku akan rasa penat?
Leon menelan liur. Dia tiada cara lain selain dari terus menguji untuk mengetahui batasnya. Dia menaikkan tangan kanannya sekali lagi. Urat di lehernya menegang.
“Bebola Api. Bebola Api. Bebola Api.”
Tiga das tembakan meluru berturut-turut. Dua tembakan berjaya menggegarkan tiang tersebut. Manakala satu lagi tersasar, membakar rumput. Sekalipun begitu, Leon tersenyum kecil.Semua itu kerana masih tiada rasa kelesuan. Dadanya langsung tidak berombak lelah.
Lagi. Aku boleh tembak lagi.
Sepuluh. Dua puluh. Lima puluh das tembakan.
Apabila angka serangannya memecah batas seratus, dahi Leon mula berdenyut nyeri. Bukan kerana kolam tenaganya kekeringan, tetapi akalnya buntu memproses realiti gila ini. Kapasiti tembakan ini sudah melangkaui had. Pemburu Gred C sekalipun pasti sudah tersungkur kehabisan nafas jika membedil tanpa henti begini.
Sebaik sahaja pusingan tembakan itu melepasi paras lima ratus, bahu Leon jatuh ke bawah. Dia berhenti secara mengejut. Matanya merenung Tiang Penguji yang kini merah menyala. Asap tebal berkepul-kepul naik, seolah-olah besi yang baru diketuk di dalam relau tempa.
“Berapa had aku sebenarnya?” soal Leon, tidak tahu siapa yang mampu memberikannya jawapan. Dia benar-benar tidak tahu apa yang sedang berlaku kepada dirinya.
Bunyi desiran rumput berkeriuk di bawah tapak kasutnya tatkala Leon berundur setapak.
Suasana padang kembali sunyi. Leon menoleh ke kiri dan kanan dengan pantas. Matanya diliarkan ke arah lorong-lorong gelap di pinggir padang. Jantungnya kembali berdegup kencang.
Tolonglah jangan ada mata yang nampak.
Jika pihak Kesatuan Pemburu—atau lebih teruk, organisasi gelap yang mengawal pasaran Teras Hayat—menghidu anomali ini, dia pasti akan diheret ke makmal bawah tanah dan dibedah hidup-hidup. Tiada siapa yang waras akan melepaskan lombong emas sepertinya.
Dia merenung telapak tangannya yang masih berasap nipis. Skrin lutsinar kembali terbayang di ruang fikirannya. Nilai sengkang pada MP dan Fokus miliknya itu sebenarnya mungkin memberikan satu maksud yang cukup menakutkan.
Ia bukan bermaksud kosong.
Ia bermaksud infiniti.