Switch Mode

Pemburu Magis: Leon – Bab 2

Lesen Pemburu

Sebaik sahaja daun pintu pangsapurinya dikunci ketat, Leon melepaskan keluhan panjang. Belakang tubuhnya disandarkan pada pintu. Fikirannya sarat memproses segala yang baru sahaja berlaku di padang tadi.

Bukannya dia tidak bersyukur dengan ‘kecacatan’ pada Panel Statusnya itu. Dia cuma perlu tahu batas keupayaannya supaya tidak menjadi mangsa keangkuhan sendiri.

Kalau ada yang tahu aku boleh tembak magis tanpa had, siapa yang tak nak bedah tubuh aku hidup-hidup?

Satu senyuman sinis perlahan-lahan mekar di bibirnya. Jika kapasiti tenaganya benar-benar tiada batas, membersihkan mana-mana sarang raksasa Gred F dan E sepatutnya semudah menjentik jari.

Dia boleh berdiri jauh dari jangkauan kuku raksasa dan membedil Bebola Api tanpa henti. Bayangan dirinya melangkah tenang sambil menembak magis dari kedua-dua belah tangan mula bermain di ruang mata.

Lebih menarik, dia boleh membolot semua hasil rampasan secara mutlak. Solo. Tanpa perlu membahagi untung dengan rakan sepasukan.

sarang raksasa Gred F dan E. Tapi… aku kena uji kekuatan aku berhadapan dengan raksasa dulu, pesannya pada diri sendiri.

Mata Leon melirik ke arah jam digital di atas kabinet televisyen yang menunjukkan pukul sepuluh pagi.

“Awal lagi,” gumamnya sambil tersenyum.

Dia menggerakkan tangan kanannya untuk menyeluk poket sebelum mengeluarkan telefon pintar. Aplikasi bank digital dibuka. Dia ingin menyemak baki akaunnya sekali lagi.

$5,867.

Dahinya berkerut nipis. Boleh tampung sewa tiga bulan… itu pun kalau aku catu makan sekali sehari.

Harta peninggalan mendiang ibu bapanya sudah hampir habis sepenuhnya semata-mata untuk mendapatkan senaskhah Buku Magis Gred F kelmarin.

Tragedi tiga tahun lalu terbayang sekilas.

Tatkala bencana pembukaan sarang raksasa melanda dunia secara tiba-tiba, nyawa ibu bapanya diragut kejam oleh gelombang pertama raksasa yang melarikan diri dari sarang mereka. Leon hanya terselamat kerana dia tertidur di bilik bawah tanah yang merupakan bilik permainan videonya.

Dunia kini dikelilingi sarang raksasa. Di Bandar Aegis ini sahaja, terdapat pelbagai pintu sarang raksasa bertebaran, dikelaskan mengikut ancaman dari Gred F hingga ke Gred SSS. Jika raksasa di dalam sarang itu tidak dihapuskan secara berkala, retakan sarang raksasa akan berlaku. Sempadan dimensi akan pecah, dan makhluk ngeri itu akan membanjiri jalanan, meratah apa sahaja yang bernyawa.

Atas ancaman itulah generasi demi generasi Pemburu diangkat sebagai pelindung, menikmati darjat dan kekayaan yang tidak terbayang dek akal. Dan kini, dia sudah menjadi sebahagian daripada kitaran itu.

Leon kembali tersenyum. Aku kena dapatkan Lesen Pemburu dulu. Kalau tak, aku tak boleh masuk sarang raksasa.

Tanpa lesen rasmi tersebut, mustahil untuk dia melepasi sistem keselamatan tentera yang mengawal zon sarang raksasa. Lagipun, prosesnya sangat mudah. Dia hanya perlu mendaftar nama dan pamerkan kebolehannya kepada panel penilai.

Leon tidak membuang masa. Beg galasnya dicapai pantas sebelum dia meluru keluar menuju ke pusat bandar.

Sejak kemunculan raksasa, penempatan manusia telah distruktur semula di sebalik tembok-tembok kebal yang dikawal oleh Kesatuan Pemburu. Langkah Leon membelah kesibukan ibu kota. Perbezaan kasta di bandar ini sangat ketara. Raut wajah muram rakyat marhaen yang bergelut meneruskan sisa hidup berselang-seli dengan kelibat angkuh para Pemburu yang bergerak laju untuk menyempurnakan misi.

Selang sepuluh minit kemudian, sebaik sahaja but kasutnya memijak lantai marmar Bangunan Kesatuan Pemburu, hawa sejuk pendingin udara menyapa wajahnya. Suasana di lobi utama sangat sibuk. Seorang penyambut tetamu wanita yang berpakaian seragam kemas segera menyapanya dengan senyuman profesional.

“Selamat pagi. Boleh saya bantu?”

“Selamat pagi. Saya nak daftar sebagai Pemburu,” balas Leon tenang.

Wanita itu mengangguk pantas. “Baiklah. Encik boleh ke bahagian kiri bangunan dan ikut arah anak panah terus ke Dewan Pendaftaran.”

“Baik. Terima kasih.”

Sambil mengatur langkah, mata Leon meliar memerhati sekeliling. Deretan panjang manusia bersesak di kaunter-kaunter transaksi. Bau hanyir darah raksasa yang belum dicuci bersih dari pakaian sesetengah Pemburu menusuk hidungnya.

Tenang, Leon. Tenang. Kau nak hadap bau-bau macam ni juga nanti.

Dalam dia cuba menenangkan diri, dia terpandang sesuatu yang segera mencuri tumpuannya. Di papan skrin digital gergasi, harga pasaran Teras Hayat berkelip-kelip menukar angka. Pemburu yang berpoket tebal sanggup berhabis wang membeli Teras Hayat sebagai ‘jalan pintas’ mempercepatkan evolusi tubuh.

Manakala bagi Pemburu miskin, menumbangkan raksasa dan menjual teras adalah sumber ekonomi utama.

Secara puratanya, Teras Atribut Fizikal seperti Kekuatan, Ketahanan, dan Kelajuan pada Gred F dijual pada harga sekitar $1,000 sekeping. Namun, angka untuk Teras Fokus sentiasa berubah dan setiap masa melonjak naik. Bekalannya tidak pernah cukup untuk memenuhi kehendak pasaran Pemburu Magis.

Leon tersenyum. Aku kena ubah strategi. Aku akan jadi penjual teras yang paling banyak.

Kepalanya sudah mula mengira untung yang bakal diraih. Senyumannya melebar.

Langkahnya terhenti apabila melintasi satu sudut pameran eksklusif. Deretan Buku Magis disusun rapi di dalam rak-rak kaca kalis peluru dan bunyi setebal dua inci—direka khusus bagi menghalang mana-mana Pemburu daripada mencuri atau menyerap buku tersebut secara haram dengan membaca mantera.

“Gred F… Gred E… Gred D…” Leon menggumam perlahan sambil jarinya menyusuri permukaan kaca.

Langkah dan nafasnya terhenti mendadak. Matanya tertancap pada plat harga di bawah sebuah Buku Magis Gred C bercahaya ungu.

$500,000?!

Bibir Leon terketap rapat, menahan diri daripada menjerit mencarut di situ juga. Harga yang langsung tidak masuk akal untuk poketnya. Terasa motivasinya diragut sejenak. Dia pantas menggelengkan kepala, memaksa pandangannya beralih dari rak tersebut. Membuang masa berangan di sini tidak akan membantunya langsung.

Beberapa minit kemudian, dia tiba di kaunter Dewan Pendaftaran. Selepas menyerahkan butiran peribadi dan maklumat bank, seorang pegawai membawanya ke sebuah dewan tertutup yang luas dan berlantai keluli sejuk.

Di sebalik cermin pemerhatian yang tebal di tingkat atas dewan itu, tiga kelibat penilai sedang berdiri memerhati. Leon mencongak, cermin itu pasti diperbuat daripada material telap magis untuk menahan sebarang impak serangan. Di tengah-tengah ruang dewan, sepuluh batang Tiang Penguji berdiri kukuh menanti.

Tanpa membuang masa, satu suara garau bergema dari pembesar suara di penjuru siling.

“Leon Fitzgerald. Anda boleh mulakan sekarang.”

Leon melangkah masuk ke dalam bulatan garisan kuning. Dia sudah menetapkan ‘skrip’ persembahannya hari ini. Aksinya tidak boleh kelihatan terlalu luar biasa, tetapi mesti cukup meyakinkan.

Tapak tangan kanannya dihalakan ke sasaran, merangkumkan pandangan ke arah susunan Tiang Penguji.

“Bebola Api!” laungnya sekali, namun yang muncul dari telapak tangannya jauh melebihi jumlah itu.

Lapan das tembakan berturut-turut meluncur laju dari telapak tangannya, tepat menghentam lapan batang tiang yang berbeza. Tiada satu pun sasarannya meleset hasil daripada latihan melepaskan lima ratus tembakan pagi tadi.

Namun, sebaik sahaja bebola api kelapan meletup, Leon terus membongkokkan badannya. Dia meletakkan tangan di lutut, sengaja bernafas dengan kuat seolah-olah peparunya kehabisan oksigen.

Wajahnya dikerutkan, mempamerkan riak kesakitan seorang Pemburu yang baru sahaja memerah titisan terakhir dari kolam tenaganya.

Di sebalik cermin tebal itu, mata Penilai Pertama membulat. “Boleh tahan budak ni.”

“Saya rasa tahapnya dah cecah kemuncak Gred F,” celah Penilai Kedua sambil mencatat sesuatu di tabletnya. “Jarang kita lihat Pemburu Magis yang baru bangkit, tapi terus mampu melangkau beberapa tahap asas sekaligus.”

Penilai Ketiga mengangguk setuju. “Simpan rakaman penilaian dia. Hantar ke pihak atasan. Mereka amat memerlukan bakat baru untuk dilatih.”

Penilai Pertama dan Kedua mengangguk. Mereka juga setuju. Penilai Kedua segera memuat turun rakaman penilaian Leon dan segera dihantar ke pihak atasan.

Manakala bagi Leon pula, penilaian itu tamat di situ. Dia diarahkan keluar.

Tidak sampai sepuluh minit berehat di ruang menunggu, namanya dipanggil. Sekeping Lesen Pemburu rasmi berwarna emas berkilau diserahkan ke tangannya. Tertera nama, umur, dan Gred Pemburunya dalam ukiran timbul.

Dia tahu kenapa reaksi para penilai tadi kelihatan begitu teruja. Kadar kemunculan Pemburu berpotensi tinggi sangat rendah. Di Bandar Aegis ini, takhta Pemburu terkuat hanya dipegang oleh seorang Pemburu Gred B.

Manakala Pemburu Gred C boleh dibilang dengan jari dalam lingkungan puluhan orang sahaja, disusuli beberapa ratus Gred D.

Selebihnya? Hanya ribuan Pemburu lemah Gred E dan F.

Leon membelek kad emas itu. Satu senyuman lebar terukir.

Kini, pintu masuk sarang raksasa di Bandar Aegis sudah terbuka luas untuknya.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset