Hai semua! Bila sebut saja novel fantasi, minda kita sering kali melayang jauh ke dunia rekaan yang dipenuhi dengan naga, ahli sihir, dan kesatria berbaju besi.
Biasanya karya luar negara lah, kan?
Sebenarnya, industri novel Melayu turut memiliki khazanah karya fantasi yang sangat besar dan semakin mendapat tempat di hati pembaca.
Dari naskhah fizikal yang tersusun di rak kedai buku sehinggalah ke platform pembacaan digital moden, genre ini terus mekar.
Sebab itulah dalam artikel kali ini, kami akan bawa anda menyelami dunia novel fantasi Melayu secara mendalam, meneliti evolusinya, dan meneroka mengapa ia berpotensi menjadi genre utama dalam sastera tempatan.
Jom baca!
.
Novel Fantasi: Dunia Tanpa Sempadan
.
Sebelum kita pergi lebih jauh, penting untuk kita fahami apa yang membuatkan karya fantasi ini berbeza daripada genre lain.
Novel fantasi pada asasnya membawa pembaca melangkah keluar dari kotak realiti.
Ia adalah sebuah naratif di mana penulis mempunyai kuasa mutlak untuk mencipta hukum alam yang baharu, sistem magis yang unik, dan kepelbagaian makhluk yang tidak wujud di dunia nyata.
Dalam erti kata lain, penulis ‘mencipta’ dunianya sendiri.
Menarik kan?
.
Apa Sebenarnya Novel Fantasi?
.
Novel fantasi adalah bentuk penceritaan yang tidak terikat dengan logik sains atau realiti kehidupan harian kita.
Tidak seperti novel cinta atau seram yang kebiasaannya berlatarbelakangkan dunia sebenar, fantasi memberikan kebebasan mutlak kepada penulis.
Pembinaan dunia atau world-building memainkan peranan yang sangat penting.
Penulis perlu mereka cipta segalanya dari kosong; bermula dari bentuk muka bumi, sistem politik, sehinggalah kepada pantang larang kuasa yang digunakan oleh watak-watak di dalamnya.
.
Kenapa Ada Yang Suka Baca Novel Fantasi?
.
“Saya tak boleh nak follow kalau baca novel macam ni. Tak mampu saya bayangkan apa yang penulis tulis. Jadi saya DNF je semua buku macam ni.”
.
Aduh! Pedih!
Sebenarnya, daya tarikan utama novel fantasi terletak pada keupayaannya memberikan ruang untuk kita berehat sebentar dari tekanan dunia realiti.
Ada ketikanya, fikiran kita memerlukan sesuatu yang berbeza untuk berehat.
Membaca kisah seorang wira biasa yang berlatih keras untuk menewaskan ancaman gergasi, bagi peminat novel fantasi, memberikan mereka satu kepuasan psikologi.
Mereka seolah-olah menyerap semangat pantang menyerah watak tersebut.
Selain itu, rasa ingin tahu untuk meneroka dunia baharu yang penuh misteri membuatkan pembaca sentiasa menyelak halaman demi halaman tanpa henti.
Tapi… kalau tetap rasa tak masuk akal dan susah nak habiskan, tiada masalah.
Tak semua buku sesuai untuk semua pembaca. Jangan tinggal review 1 bintang sebab bukan selera bacaan kita sudah la.
.
Sejarah dan Evolusi Fantasi Melayu
.
Walaupun terma “novel fantasi” kedengaran agak moden, hakikatnya penceritaan berunsur magis ini sudah lama berakar umbi dalam budaya masyarakat kita.
Kita cuma tidak melabelkannya sebagai fantasi pada zaman dahulu.
.
Dari Hikayat Klasik ke Halaman Cetak
.
Jika diteliti semula, sastera lisan dan tulisan klasik Melayu seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Hang Tuah, atau kisah dongeng seperti Bawang Putih Bawang Merah sarat dengan elemen fantasi.
Burung garuda yang boleh bercakap, keris yang memiliki kesaktian terbang, dan puteri yang lahir dari buih lautan adalah bukti bahawa nenek moyang kita mempunyai daya imaginasi yang sangat tinggi.
Elemen-elemen epik ini kemudiannya perlahan-lahan diadaptasi oleh penulis moden dan disuntik ke dalam format novel bercetak, menjadikannya lebih teratur dengan struktur plot yang lebih kemas.
.
Pengaruh Global Terhadap Karya Tempatan
.
Menjelang era 90-an dan 2000-an, pendedahan kepada karya antarabangsa seperti Harry Potter, The Lord of the Rings, serta kemasukan budaya pop timur melalui anime dan manga telah membuka dimensi baharu.
.

Watak utama dalam siri Harry Potter iaitu… Harry Potter.
.
Penulis novel Melayu mula mengadunkan struktur fantasi epik antarabangsa ini dengan identiti tempatan.
Hasilnya, kita dapat melihat kelahiran karya-karya tempatan yang mempunyai ritma aksi yang pantas, sistem magis yang tersusun, namun masih mengekalkan jiwa kemelayuan yang pekat.
Perkembangan ini secara tidak langsung memecahkan genre fantasi kepada beberapa cabang yang lebih khusus.
.
Mengenali Jenis-Jenis dan Sub-Genre Fantasi
.
Dunia fantasi ini sebenarnya sangat meluas.
Bagi memastikan jalan cerita menepati cita rasa pembaca, penulis sering memfokuskan karya mereka kepada sub-genre tertentu.
Berikut adalah pecahan genre fantasi yang paling popular pada masa kini:
.
Novel Fantasi Epik
.
Fantasi epik merupakan kisah yang berlaku di sebuah dunia rekaan sepenuhnya.
Dunia ini tidak mempunyai kaitan dengan geografi bumi kita.
Plot ceritanya berskala besar dan selalunya melibatkan kembara atau peperangan yang bakal menentukan nasib seluruh tamadun.
Watak utama kebiasaannya bermula dari bawah dan terpaksa memikul tanggungjawab besar untuk menyatukan pelbagai puak demi menentang ancaman yang jauh lebih kuat.
Biasanya macam tu.
.
Fantasi Urban
.
Berbeza dengan novel fantasi epik yang berlatarkan zaman seakan-akan purba, fantasi urban membawa magis terus ke tengah-tengah bandar moden.
Bayangkan kehidupan harian di Kuala Lumpur, tetapi di sebalik kesibukan jalan raya, wujudnya organisasi rahsia yang memburu makhluk halus, atau sistem magis yang hanya diketahui oleh segelintir manusia.
Genre ini sangat menarik kerana ia membuatkan pembaca berasa bahawa magis itu mungkin benar-benar wujud di sekeliling mereka.
.
Fantasi Portal dan Fenomena Isekai
.
Genre ini menceritakan tentang watak dari dunia nyata yang secara tiba-tiba ditarik masuk, dihidupkan semula, atau menjumpai portal rahsia yang membawa mereka ke dunia magis.
Terma ‘Isekai’ yang berasal dari Jepun kini sangat meluas digunakan.
Pembaca mudah berasa dekat dengan genre ini kerana watak utama sering kali mempunyai pemikiran dan pengetahuan manusia moden, namun terpaksa menyesuaikan diri untuk terus hidup di dalam dunia fantasi yang kejam.
Tapi, konsep ini agak dilarang dalam penulisan novel fantasi terutamanya buat penulis Muslim kerana ia bercanggah dengan akidah.
.
Novel Fantasi Perkembangan (Progression Fantasy)
.
Fokus utama fantasi perkembangan adalah pada evolusi kuasa dan perkembangan watak utamanya.
Cerita sebegini direka khusus untuk menjejaki latihan yang dilalui oleh watak tersebut.
Setiap kali mereka berjaya melepasi tahap tertentu, mereka akan mendapat kebolehan baharu.
Kepuasan membaca genre ini datang daripada melihat hasil titik peluh watak utama yang bermula sebagai entiti yang lemah, perlahan-lahan naik taraf menjadi watak yang paling berkuasa di dalam penceritaan.
.
Keunikan Elemen Nusantara dan Nilai Kerohanian
.
Walaupun penulis kita terdedah dan banyak mengambil rujukan dari karya luar, novel fantasi Melayu tetap mempunyai keunikan yang tersendiri.
Sentuhan budaya dan latar belakang kepercayaan masyarakat menjadikan karya kita sukar untuk ditiru oleh penulis luar dan menjadikan karya tempatan lebih unik.
Tapi… kenapa agak susah untuk karya kita tembus ke pasaran luar?
Apapun, kita sambung kembali dengan keunikan dalam novel fantasi Melayu.
.
Mengangkat Mitos dan Legenda Tempatan
.
Penulis tempatan amat pakar dalam menyerap dunia mistik Nusantara ke dalam susur galur plot.
Kita tidak perlu risau untuk wujudkan naga dalam penulisan kerana kisah dongeng kita turut mempunyai naga tasik Chini.
Kita tidak perlukan elf atau bunian Eropah kerana kita mempunyai alam bunian kita sendiri yang penuh dengan rahsia dan adatnya yang tersendiri.
Kung-fu? Tai-chi?
Tak perlu.
Penggunaan ilmu persilatan, mitos kepahlawanan, keris berkhadam, dan entiti alam ghaib tempatan menjadikan naratif karya tempatan berasa lebih asli.
Ia membangkitkan persekitaran yang lebih rapat dengan akar umbi dan sejarah bangsa.
.
Keseimbangan Kuasa Sakti, Magis dan Akidah
.
Satu lagi titik perbezaan yang sangat menonjol dalam novel fantasi Melayu adalah penerapan unsur kerohanian yang utuh.
Walaupun watak-wataknya mempunyai kebolehan membelah gunung atau menyeru kuasa elemen, penulis sering meletakkan sempadan akidah yang jelas.
Nilai tauhid sentiasa ditekankan.
Konsep kebergantungan kepada Yang Maha Pencipta ketika berdepan ujian epik sering menjadi teras.
Ia memberikan satu keseimbangan yang cantik; imaginasi bebas terbang tinggi, namun penceritaan tetap berpijak pada asas moral yang kukuh dan tidak memesongkan pembaca.
.
Senarai Novel Fantasi Melayu Popular (Edisi Buku Fizikal)
.
Jika anda baru mahu mula mencari bahan bacaan, kami kumpulkan beberapa judul novel fantasi Melayu dalam bentuk buku fizikal yang memang berbaloi untuk dijadikan koleksi.
Karya-karya ini telah membuktikan bahawa industri buku tempatan mampu menghasilkan novel fantasi dengan kualiti yang tinggi.
.
1. Puteri Bunian Bulan (Aliff Mustafa)
.
Karya ini mendapat banyak pujian kerana ia berjaya menggabungkan cerita dongeng Nusantara dengan pendekatan penceritaan yang lebih moden dan epik.
Ia membawa pembaca mengikuti perjalanan hidup seorang puteri pewaris kerajaan alam ghaib yang terperangkap dalam kemelut perebutan kuasa dan ancaman musuh purba.
Demi menyelamatkan kerajaannya, dia terpaksa membuktikan kekuatan sebenar dan merungkai rahsia keturunannya.
Plotnya dikembangkan dengan kemas, di samping menampilkan koreografi aksi pertarungan sakti yang sangat teliti dan mendebarkan.
.
2. Nirnama (Hilal Asyraf)
.
Satu lagi karya hebat yang sentiasa meniti di bibir peminat genre fantasi aksi tempatan.
Kisah ini berpusat kepada seorang pendekar misteri tanpa nama yang berkelana di sebuah dunia berinspirasikan Nusantara purba.
Dia memikul satu misi peribadi yang berat dan terpaksa berhadapan dengan tentera penceroboh yang zalim.
Penulisannya padat dengan pengembaraan epik, strategi peperangan, dan diselitkan dengan mesej perjuangan serta nilai kerohanian yang kuat.
.
3. Siri Empayar (Teme Abdullah)
.
Siri ini sangat popular dan mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri sejak naskhah pertamanya dikeluarkan.
Ia memfokuskan kepada konflik politik, kesetiaan, dan perseteruan antara dua buah kerajaan besar.
Cerita ini menjejaki perjalanan watak-wataknya yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai muslihat, pengkhianatan, dan ujian getir dalam usaha mempertahankan kelangsungan wilayah mereka.
Pembinaan dunianya unik, dan jalan ceritanya sentiasa sarat dengan plot kejutan yang tidak dijangka.
.
4. Saga Takluk Jagat (Zaki Zainol)
.
Kalau anda meminati kisah pengembaraan yang merangkumi estetika alam Melayu purba, ini karya yang patut dimiliki.
Novel ini mengikuti langkah seorang pahlawan yang merentasi dunia yang luas, berdepan dengan pelbagai entiti mistik dan cabaran fizikal yang menguji had kemampuannya.
Penceritaannya menyerap masuk keindahan bahasa klasik namun diolah mengikut rentak moden, menjadikannya padat dengan babak aksi yang mengalir lancar dan mudah dibayangkan.
.
Evolusi Membaca: Peralihan Kepada Web Novel
.
Industri penerbitan tidak pernah berhenti berubah.
Hari ini, format membaca buku fizikal bukan lagi satu-satunya pilihan yang ada di pasaran.
Gaya hidup moden yang pantas telah mengubah cara kita mengambil kandungan, lantas membuka jalan kepada kebangkitan platform novel web atau web novel.
.
Mengapa Novel Web Semakin Popular?
.
Novel web membolehkan pembaca menikmati cerita di mana-mana sahaja hanya menggunakan telefon pintar.
Berbanding menunggu setahun untuk sebuah buku fizikal diterbitkan, novel web dikemas kini secara berkala.
Penulis akan memuat naik bab baharu setiap hari atau minggu.
Format penceritaannya juga direka dengan ritma saspens yang lebih tinggi di hujung setiap bab untuk mengekalkan minat pembaca.
Selain itu, ruang komen membenarkan pembaca berinteraksi secara terus dengan penulis, mewujudkan sebuah komuniti yang menyokong perkembangan sesebuah karya secara aktif.
.
Cabaran Penulis Novel Fantasi Tempatan
.
Di sebalik kepesatan genre ini, penulis fantasi tempatan sebenarnya berdepan dengan pelbagai liku untuk memastikan karya mereka berdiri setanding dengan pasaran luar.
Menulis cerita rekaan penuh bukanlah tugas yang mudah.
.
Pembinaan Dunia (World-Building) yang Meyakinkan
.
Cabaran paling besar adalah memastikan logik di dalam dunia rekaan tidak bercanggah.
Jika penulis mencipta hukum bahawa magis api memerlukan tenaga dari cahaya matahari, peraturan itu mesti dipatuhi sepanjang cerita.
Sebarang kepincangan atau kelompangan plot akan terus merosakkan kepercayaan pembaca terhadap dunia tersebut.
Penulis tempatan perlu banyak melaburkan masa merangka ensiklopedia dunia mereka sendiri sebelum mula menaip bab pertama.
.
Memecahkan Stigma Pasaran
.
Industri bacaan novel Melayu selama ini sangat didominasi oleh genre percintaan atau romance.
Untuk meyakinkan pembaca arus perdana mencuba sesuatu yang baharu seperti fantasi pertempuran atau isekai memerlukan penulisan yang sangat luar biasa.
Namun, kejayaan naskhah-naskhah popular serta sokongan platform web novel kini perlahan-lahan berjaya mengikis stigma ini, membuktikan pasaran fantasi Melayu sentiasa ada dan sedia untuk mekar.
.
Kenali The Bukuz: Platform Novel Fantasi Tempatan
.
Bagi memenuhi permintaan pembaca yang dambakan penceritaan berkualiti, platform tempatan seperti The Bukuz telah muncul sebagai salah satu perintis.
The Bukuz memfokuskan kepada gaya penulisan moden yang bersih, tidak menggunakan laras bahasa yang canggung, dan memastikan setiap perenggan mengalir dengan kemas.
Melalui antaramuka yang mesra pengguna dan sistem pembacaan yang pantas, The Bukuz menjadi rumah kepada pelbagai genre menarik, khususnya fantasi aksi dan progression fantasy.
Menariknya, platform ini sangat menitikberatkan penceritaan yang natural tanpa mencampurkan terlalu banyak terjemahan literal dari bahasa asing yang merosakkan keindahan tatabahasa kita.
Jom baca siri yang ada di The Bukuz.