Switch Mode

Arka: Pewaris Halilintar – Bab 4

Cabaran Wangsa

Angin menderu kasar di atas bumbung tersebut. Walau bagaimanapun, hembusan sejuknya langsung tidak mampu memadamkan api amarah yang sedang membakar dada Arka.

Matanya mencerlung tajam merenung lelaki selekeh di hadapannya. Riak wajah lelaki itu terlalu tegang. Ini bukan satu gurauan gila. Serta-merta, segala logik yang dipegang Arka selama dua puluh tahun mula retak.

“Aku tanya kau ni! Kalau betul ibu bapa aku wujud, kenapa sanggup buang aku kat rumah anak yatim?” Suara Arka bergetar menahan marah. “Dan apa benda sebenarnya dalam badan aku ni? Kau cakap ni kuasa? Habis tu kenapa aku rasa macam disumpah seumur hidup?!”

Lelaki itu menyedut rokoknya dalam-dalam.

“Sebab kau, aku, kita… memang disumpah. Tapi bukan oleh alam atau Tuhan. Wangsa kita disumpah oleh sejarah.” Asap dihembus perlahan, lalu pudar dibawa angin.

“Wangsa?” Dahi Arka berkerut. Istilah itu kedengaran terlalu asing.

“Wangsa Agung Halilintar,” balas lelaki itu ringkas. “Bayangkan sebuah empayar keluarga besar. Satu garis keturunan mutlak yang memegang kuasa halilintar. Namun, lima ratus tahun lepas, Ketua Wangsa kita buat satu kesilapan besar.”

Lelaki itu berjeda seketika sebelum menyambung. “Keputusan silap itu terus menjadi tiket emas untuk para Penguasa dan Wangsa Agung yang lain. Ia menghalalkan rancangan mereka—rancangan untuk memusnahkan kita sepenuhnya dari muka bumi.”

“Kejap.”

Arka mengangkat tangan, merentap naratif itu dengan kasar. Riak wajahnya jelas mula rimas. “Lima ratus tahun? Aku tanya fasal mak bapak aku. Apa kaitan sejarah purba ni dengan aku yang terbuang kat rumah anak yatim dua puluh tahun lepas? Tak payah nak melalut. Jawab soalan aku.”

Hujung bibir lelaki itu ternaik sedikit, membentuk satu senyuman yang sangat pahit.

“Kaitannya… buruan tu tak pernah tamat, budak. Dendam mereka diwarisi. Dan dua puluh tahun lepas, mereka akhirnya berjaya kesan dan kepung keluarga kau.”

Pandangan lelaki itu jatuh ke arah jalan raya di bawah sana. “Wangsa kita terlalu kuat untuk ditumbangkan dari depan. Jadi, musuh mula main taktik kotor.”

Dia mengetuk hujung rokoknya perlahan. Sisa abu gugur jatuh ke lantai.

“Setiap kali keluarga kau tumbangkan musuh yang menceroboh, para Penguasa memusingkan fakta.” Lelaki itu menyambung tenang, namun setiap patah perkataannya berbisa. “Setiap titis darah musuh yang tumpah demi mempertahankan keluarga… dijadikan alasan. Dijadikan bukti.”

Lelaki itu menoleh, lalu mengunci pandangannya tepat ke dalam mata Arka.

“Kononnya Wangsa Agung Halilintar adalah wangsa yang gilakan darah. Satu ancaman kepada dunia yang wajib dihapuskan.” Dia merenung wajah Arka yang mula bertukar pucat. “Kau faham apa maksudnya tu? Itu bukan lagi peperangan, budak. Itu adalah pembantaian beramai-ramai yang dihalalkan atas nama keadilan.”

Tekak Arka terasa berpasir. Ruang mindanya bergegar keras. Segala persoalan yang merantai hidupnya sejak kecil kini terungkai, merempuh masuk ke dalam akalnya sebagai satu realiti yang kejam, sekalipun semuanya kedengaran gila.

“Jadi… mereka mati?” Suara Arka mengendur. Dia hampir berbisik. “Dan kau bawa aku lari ke rumah anak yatim?”

“Ibu bapa kau jadikan tubuh mereka sebagai benteng.” Lelaki itu menjatuhkan putung rokok ke atas lantai konkrit, sebelum memijaknya sehingga bara terpadam. “Semata-mata untuk berikan aku masa bawa kau keluar dari situ. Ke sini.”

Dia kembali mengangkat muka, merenung menembus terus ke dalam anak mata Arka.

“Aku diamanahkan untuk bawa dan lindung kau di sebuah tempat yang takkan dijangka oleh sesiapa. Aku kunci kuasa Halilintar kau. Aku butakan mata Penguasa daripada mengesan kau.”

Arka tersentak. Pandangannya perlahan-lahan melorot jatuh pada tapak tangan kanannya. Arus kilat biru pekat masih meliuk-lentok buas di celah jemarinya.

“Maksud kau… sumpahan biologi aku selama ni…”

“Itu bukan sumpahan. Bukan juga penyakit,” pangkas lelaki itu pantas. Nada suaranya mendatar, tetapi padat menampar dada.

Dia melangkah setapak, merapati Arka.

“Tubuh kau sekadar bagi amaran. Amaran bahawa kunci yang aku pasang tu takkan bertahan lama.” Lelaki itu mendongak, merenung awan hitam yang masih bergolak di dada langit. “Dan hari ni… alam sendiri dah tak mampu lagi menahan kuasa Halilintar dalam diri kau.”

Arka terkelu. Matanya mencerlung ke arah kawah jalan raya yang hancur berasap di bawah sana. Bencana gila sebentar tadi… adakah semua itu berpunca daripadanya?

Dia pantas membuka mulut. Akalnya mendesak untuk bertanya apa sebenarnya yang berlaku pada bandar ini. Namun, belum sempat bait kata terluah, udara di atas bumbung itu berdesir kasar.

Ruang di hadapan mereka tiba-tiba berubah. Ia meretak seakan-akan cermin yang pecah seribu, sebelum terkoyak luas membelah realiti.

Tiga susuk tubuh ganjil melangkah keluar dari rekahan dimensi tersebut.

Arka berundur beberapa tapak ke belakang. Matanya membulat. Di hadapannya kini berdiri seorang lelaki bersisik kelabu tebal dengan rupa biawak bertanduk. Di sebelahnya pula, satu entiti bermata empat dengan rahang keluli. Manakala terapung di udara, satu makhluk lutsinar yang bercahaya biru.

Mereka adalah Tiga Pemerhati Bandar Metro Selatan.

Walau bagaimanapun, sebaik sahaja menjejakkan kaki ke lantai bumbung, tiada langsung sisa keangkuhan pada susuk tubuh ketiga-tiga makhluk tersebut. Sebaliknya, mereka kekal berdiri jauh dari sana. Mata masing-masing merenung tepat ke arah lelaki gelandangan di sebelah Arka dengan riak yang cukup pucat dan gerun.

“Err… Penjaga Wangsa Agung Halilintar.” Vael, makhluk lutsinar itu mula bersuara perlahan. Nadanya dikawal ketat, berhati-hati agar tidak memprovokasi lelaki tersebut. “Kami bukan datang mencari masalah. Kami sekadar membawa mandat mutlak Cabaran Wangsa.”

Lelaki gelandangan itu langsung tidak membalas. Dia hanya menyilangkan kedua-dua belah tangan di dada. Serentak dengan itu, aura membunuh yang amat pekat mula meruap keluar dari tubuhnya, menyesakkan udara di atas bumbung.

Zox menelan liur. Rahang kelulinya bergetar. “Sebenarnya, Pusingan Saringan Pertama dah bermula enam bulan lepas. Tapi… Pewaris Halilintar ni telah dimasukkan secara rasmi ke dalam Cabaran Wangsa.”

“Cabaran seterusnya akan bermula dalam masa tiga puluh minit,” sampuk Goru laju. Dia tidak mahu berlengah. “Lebih baik dia masuk. Kalau dia tarik diri, dia akan terima sumpahan Cabaran Wangsa.”

Mata lelaki gelandangan itu mencerlung tajam. Niat asalnya, dia ingin membawa Arka lari jauh dari situ. Namun, sumpahan Cabaran Wangsa bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah.

Sesiapa yang terpilih, terikat sepenuhnya.

Hukum cabaran itu tidak berpaksikan lokasi, sebaliknya ia merantai darah. Sekiranya Arka ingkar, nyawanya akan cuba diragut serta-merta walau di ceruk mana sekalipun dia bersembunyi. Memandangkan keadaan kuasa Arka yang masih tidak terkawal dan keadaan Penjaga Wangsa itu sendiri… mustahil untuk dia membantu Arka mematahkan sumpahan tersebut.

Selain itu, ada satu lagi realiti yang sedang merantai akal Sang Penjaga. Cabaran Wangsa ini bukan sekadar pentas bunuh-membunuh. Pemenang mutlaknya kelak boleh memilih salah satu dari Lima Ganjaran.

Pentas berdarah inilah jalan tunggal. Ia adalah satu-satunya kunci untuk merampas, membersihkan nama, dan membangkitkan semula takhta Wangsa Agung Halilintar yang sudah lama berkubur.

Melihatkan Penjaga itu hanya diam membisu, Vael pantas menyeluk jubah lutsinarnya lalu melemparkan sesuatu ke arah Arka.

Arka menyambut lemparan itu secara refleks. Seutas gelang perak. Permukaannya terasa sejuk, sarat dengan ukiran simbol aneh yang langsung tidak pernah dilihatnya seumur hidup.

“Masa dah suntuk.” Vael terus mengundur selangkah, menghampiri rekahan dimensi di belakangnya. “Kau kena sedia. Pewaris Wangsa lain dah lalui Cabaran ni enam bulan lebih awal. Mereka jauh lebih kuat—”

“M-m-maksud dia lebih berpengalaman!” pangkas Goru pantas. Suara garaunya pecah menahan cemas, risau jika ayat rakannya sebentar tadi mengundang amarah Sang Penjaga. “Bukan lebih kuat! Cuma lebih berpengalaman!”

Selesai sahaja berkata sedemikian, tanpa membuang masa walau sesaat pun, ketiga-tiga Pemerhati itu melompat masuk semula ke dalam rekahan dimensi. Beberapa saat kemudian, ruang yang terkoyak itu tertutup rapat, melenyapkan mereka dari pandangan.

Arka ditinggalkan terpinga-pinga.

Dia merenung ruang kosong di udara yang baru sahaja tertutup itu, sebelum membelek gelang perak di tangannya dengan penuh curiga. Dia lantas berpaling, merenung lelaki gelandangan yang dipanggil Penjaga Wangsa tersebut.

“Cabaran apa pula ni?” Suara Arka mendatar, seakan-akan sudah terlampau letih dengan segala informasi gila yang menghentam otaknya hari ini. “Tiga ekor raksasa tadi tu siapa? Dan gelang ni untuk apa?”

Lelaki itu membiarkan soalan Arka berlalu ditiup angin. Sebaliknya, dia melangkah rapat dengan riak wajah yang cukup tegang.

“Sejauh mana kau mahir guna kuasa Halilintar?” soalnya serius.

Arka terkelu. Dia memicit pangkal hidungnya. Nafas dihela perlahan, seolah-olah sedang mengaut sisa sabar yang masih berbaki di dalam kepala.

“Kau cakap kau perhati aku siang malam selama dua puluh tahun, kan?” balas Arka mendatar, langsung tidak menyembunyikan nada sindirannya. “Aku sentuh skrin telefon pun berasap. Macam mana aku nak tahu cara guna kuasa yang aku sendiri baru sedar wujud sepuluh minit lepas?”

Lelaki itu terkedu. Renungan tajamnya kendur serta-merta. Dia meraup jambangnya yang serabai tatkala mindanya baru mula menghadam realiti tersebut.

“Betul juga,” gumamnya perlahan.

Arka hanya bersandar pada tembok bumbung sambil memeluk tubuh. “Jadi, apa yang aku perlu buat sekarang?”

Penjaga itu melepaskan keluhan yang sangat berat.

“Kalau macam tu, aku latih kau sekarang.” Matanya kembali mencerlung tajam. “Sekurang-kurangnya, supaya kau tak kalah… atau mati dalam Cabaran Wangsa kali ni.”

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset