Switch Mode

Arka: Pewaris Halilintar – Bab 13

Hierarki dan Sejarah

Langit di atas kanopi pokok gergasi itu tiba-tiba berubah warna.

Cahaya yang pada mulanya terang-benderang perlahan-lahan meredup. Sedang mereka leka membelah belantara, keadaan sekeliling mendadak bertukar senja, sebelum keseluruhan kanopi hutan itu terus diselimuti oleh kegelapan malam.

Arka yang sedang memecut di sisi Sang-O mula memperlahankan rentak. Kepalanya mendongak memandang dada langit yang kini memaparkan sebutir bulan penuh.

“Sekejap. Dalam Cabaran Wangsa ini, cuaca memang boleh berubah dari siang kepada malam secara tiba-tiba?” soal Arka curiga.

Sang-O ketawa kecil. Dia melompat melepasi sebatang akar pokok gergasi dengan amat bersahaja.

“Boleh. Sama seperti di dunia luar. Ia boleh bergilir antara siang dan malam berkali-kali. Sebabnya? Cabaran masih belum selesai,” jawab Sang-O sambil mendarat ringan. “Cabaran kali ini pun mungkin sama.”

“Bukan ke garisan penamat itu sudah dekat?” dahi Arka berkerut. “Kenapa perlu mengambil masa yang lama?”

Tawa Sang-O makin galak. “Dekat? Memanglah di atas peta ia kelihatan lurus dan dekat. Tetapi apabila kau bertempur, kau akan kehabisan tenaga. Kau terpaksa berhenti untuk berehat. Lagipun, Cabaran Wangsa mana ada yang mudah, kawan. Pasti akan muncul pelbagai halangan sebelum kita betul-betul tiba di garisan penamat.”

Sang-O menepis dahan di hadapannya sebelum menyambung.

“Ada halangan yang memakan masa. Ada halangan yang memaksa kita bekerjasama dengan Pewaris lain, sebelum akhirnya dikhianati. Ini bukan sekadar perlumbaan. Ini adalah medan ujian.”

Arka mengangguk faham. Penjelasan itu masuk akal. Namun, fikirannya melayang kepada nasib Pewaris yang lain.

“Kau sudah ada banyak pengalaman, bukan? Ujian apa yang pernah berlaku sebelum ini?” soal Arka lagi.

“Aku rasa lebih baik aku terangkan dari awal. Boleh?”

Arka mengangguk.

“Cabaran Wangsa ini berlangsung sekurang-kurangnya dua kali sebulan,” terang Sang-O, suaranya sedikit mendatar meredah angin malam. “Sebelum ini, bentuk ujian lebih kurang sama dengan sekarang. Ada pertempuran, perlumbaan, ketahanan fizikal, dan ujian strategi.”

Pemuda bertunik hijau itu menoleh memandang Arka.

“Tetapi, sebelum ini, jumlah mata yang ditawarkan oleh Cabaran Wangsa sangat rendah. Kiub Ganjaran juga tidak banyak. Untuk pusingan kali ini… memandangkan cabaran sudah masuk ke fasa pertengahan, mungkin semuanya telah berubah. Ditambah pula dengan kehadiran kau.”

Langkah Arka sedikit goyah. “Aku? Apa bezanya kalau aku tiba-tiba masuk? Mata aku sifar.”

Sang-O ketawa. “Sistem Cabaran Wangsa ini unik. Dalam mana-mana pusingan sekalipun, walau sekadar saringan awal… sebaik sahaja wujud penyertaan daripada mana-mana Pewaris Wangsa Agung, kesukaran keseluruhan cabaran akan melonjak naik secara automatik. Ganjaran juga akan menjadi berlipat ganda lebih lumayan.”

Sang-O menjongketkan kening tebalnya. “Tidak cukup dengan itu, jumlah penonton elit yang datang ke arena juga akan bertambah. Perkara ini secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang kepada para Pewaris Wangsa bawahan.”

“Peluang? Peluang apa?”

“Begini,” Sang-O merendahkan tubuhnya melepasi jerat sulur paut. “Untuk pengetahuan kau, mereka yang bertanding pada hari ini… bukan semuanya menetap di Bandar Metro Selatan. Bandar ini cuma bertindak sebagai tuan rumah. Para Pewaris di sini datang dari pelbagai alam dan dimensi yang berbeza.”

Mendengarkan skala dunia itu, Arka terlopong.

Alam? Dimensi berbeza? Otaknya bergelut untuk memproses maklumat gila tersebut.

“Biar aku mudahkan,” sambung Sang-O. “Setiap Wangsa dikelaskan mengikut status atau hierarki. Hierarki paling puncak, tentulah Lima Wangsa Agung. Bara, Badai, Gempa, Salju, dan… Halilintar. Di bawah Wangsa Agung, wujud ratusan Wangsa Mulia. Turun lagi ke bawah, wujud ratusan Wangsa Besar. Dan yang paling bawah, adalah Wangsa biasa. Ribuan jumlahnya.”

Sang-O menepuk dadanya sendiri. “Wangsa Sona seperti aku ini, sekadar bertaraf biasa. Majoriti yang bersaing di Bandar Metro Selatan ini juga dari kelas biasa. Tetapi, ada Lima Wangsa Besar yang menghantar Pewaris elit mereka ke sini—Karo, Viteri, Sura, Pascoli, dan Avera. Pewaris merekalah yang mendominasi kedudukan Sepuluh Terbaik di papan pendahulu sekarang.”

“Jadi, apa kaitannya dengan penonton elit itu?” celah Arka, cuba mencari titik hubung.

“Fikir secara logik, Arka. Jurang antara Wangsa Besar dengan Wangsa Agung terlampau jauh. Apabila muncul kelibat Pewaris Halilintar seperti kau, penonton dari kalangan elit—seperti ketua-ketua atau para Penjaga dari Wangsa Besar dan Wangsa Mulia—pasti akan berpusu-pusu datang untuk menonton. Kalau ada Pewaris kelas bawahan yang mempamerkan potensi atau kehebatan luar biasa pada malam ini, besar kemungkinan Wangsa elit ini akan menawarkan mereka tempat untuk diserap masuk ke dalam Wangsa mereka.”

Arka faham, namun dia sedikit keliru. Kepalanya digaru perlahan.

“Tunggu sekejap. Macam mana Wangsa lain boleh menerima Pewaris dari susur galur Wangsa yang berbeza? Bukankah kuasa setiap Wangsa itu berbeza? Aku sangka setiap kuasa ini bersifat unik dan perlukan darah keturunan yang tulen sahaja.”

Sang-O meledakkan ketawa. Dia sudah mengagak persoalan itu akan timbul.

“Ramai yang beranggapan sedemikian. Tetapi hakikatnya, sesetengah ‘kuasa’ itu bukanlah keajaiban darah keturunan semata-mata. Ia sekadar kemahiran. Sebagai contoh, teknik manipulasi bunyi Wangsa Sona ini boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja yang memahami hukum frekuensi. Cuma, mereka yang memiliki darah tulen seperti aku akan mendapat kelebihan biologi secara semula jadi berbanding mereka yang dari luar.”

Sang-O tersenyum nipis. “Lagipun, mana-mana Wangsa elit tidak akan menolak peluang untuk mengutip bakat luar demi menguatkan angkatan tentera mereka. Namun, Wangsa Agung seperti Halilintar atau beberapa Wangsa Mulia teratas… itu berbeza. Tahap kalian sangat tegas dalam urusan mengambil orang luar demi menjaga ketulenan darah, serta merahsiakan teknik dan kuasa mutlak tersebut.”

Arka mengangguk faham. Fikirannya masih padat dengan pelbagai persoalan yang berselirat. Bagaimana mereka merentas dimensi? Apakah bentuk rupa alam yang lain?

Namun, dia memilih untuk menolak persoalan tersebut ke tepi. Ada soalan yang jauh lebih mendesak.

“Jadi… apa sebenarnya tujuan mutlak Cabaran Wangsa ini diadakan?”

Sang-O menarik nafas panjang. Rentak lariannya masih stabil.

“Untuk mengelakkan perang berdarah,” jawab Sang-O ringkas namun berat. “Dahulu, Wangsa-wangsa ini asyik berperang kerana mahu merebut wilayah, dimensi, dan alam. Jadi, satu sistem dan kuasa kuno telah dibangkitkan hasil persetujuan semua ketua Wangsa untuk mengawal keamanan seluruh alam. Cabaran Wangsa inilah penyelesaiannya.”

Sang-O menatap lurus ke arah bulan penuh di langit malam.

“Mata yang dikumpul oleh para Pewaris dan kedudukan akhir mereka akan menentukan masa hadapan Wangsa itu sendiri. Sama ada sesebuah Wangsa itu kekal status, naik taraf, atau jatuh menjunam, semuanya ditentukan di medan ini. Setakat hari ini, belum pernah ada perubahan status yang terlalu drastik. Jadi, semua Wangsa masih menerima ketetapan sistem ini dengan hati yang terbuka.”

Arka terdiam. Dia mula nampak betapa besarnya beban yang sedang diletakkan di atas bahu setiap Pewaris di dalam hutan ini.

Ini bukan pertandingan untuk kebanggaan peribadi. Ini adalah pertaruhan nasib sesebuah tamadun.

“Satu lagi,” tambah Sang-O ceria, memecah kesunyian. “Ganjaran akhir yang ditawarkan oleh Cabaran Wangsa ini sangat menarik. Sebab itulah semua keluarga bermati-matian menghantar wakil Pewaris terbaik mereka. Tetapi kalau kau tanya aku apakah ganjaran utamanya… aku pun tidak tahu. Wangsa aku tidak benar-benar tahu. Aku masuk ke sini pun kerana dipaksa oleh keluarga sahaja.”

Langkah Arka terasa sedikit berat.

Dia hanya menundukkan wajah. Suasana malam yang dingin langsung tidak mampu mendinginkan dadanya. Maklumat mengenai hierarki Wangsa, dimensi berbeza, dan tanggungjawab keamanan antara alam ini… semuanya terlampau besar. Ia terlalu padat untuk dihadap, dihirup, dan dihadam oleh seorang pemuda biasa pada satu malam yang sama.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset