Sang-O berhenti betul-betul di hadapan Arka. Uncang kecil di tangannya dihulurkan bersahaja.
“Kacang kuda?” pelawa Sang-O, kening tebalnya dijongketkan sedikit. “Bagus untuk stamina. Aku panggang sendiri guna resipi rahsia malam tadi. Rangup.”
Arka terkedu. Matanya turun melihat uncang tersebut, lalu naik memandang wajah Sang-O bersilih ganti. Di tengah-tengah hutan berdarah yang sarat dengan manusia gila, pemuda bertunik hijau ini… menawarkan kacang kuda?
“Tenang, kawan. Aku tak ada niat jahat. Kalau aku tak pecahkan dawai tu tadi, kau dah tersingkir sekarang,” tegur pemuda itu sambil menepuk-nepuk sisa habuk di seluarnya. “Lagipun, rasa sakit sebelum kau disingkirkan tu… sama macam rasa sakit bila nyawa kau benar-benar dicabut.”
Dahi Arka berkerut. Dia masih belum menurunkan tahap waspadanya. Tanpa sedar, tangan kanannya diangkat. Jari telunjuk dihunus lurus ke hadapan, bersedia untuk mengecas Peluru Halilintar pada bila-bila masa.
“Kenapa kau tolong aku?” soal Arka tegang.
Sang-O tertawa kecil. Dia melangkah setapak ke hadapan. Daripada riak wajah dan bahasa tubuhnya, pemuda itu jelas berbicara tanpa sekelumit pun niat membunuh.
“Sebab kita berdua ada banyak persamaan. Kira kau ni penyelamat maruah aku jugalah bila kau ambil alih kedudukan tu.”
Kening Arka bertaut rapat. Tumpuannya sedikit terganggu dengan kata-kata itu.
“Penyelamat maruah? Kedudukan? Apa yang kau merepek ni?”
Senyuman di ulas bibir Sang-O makin melebar.
“Mungkin kau tak perasan. Sebelum Cabaran Wangsa ni bermula tadi, ada paparan papan pendahulu gergasi di arena. Sebelum ni, peserta rasmi cuma ada seribu orang. Dan aku… adalah Pewaris di tempat yang paling corot.”
Sang-O menuding ibu jari ke dadanya sendiri dengan bangga.
“Tapi, bila kau tiba-tiba masuk sebagai peserta ke-1001 tanpa sebarang mata, aku dah tak jadi yang tercorot! Terima kasih, kawan!”
Sejurus menghabiskan ayatnya, Sang-O terus ketawa berdekah-dekah. Tawanya bergema jujur dan cukup bersahaja, seolah-olah dia langsung tidak mengambil peduli akan ancaman maut di sekeliling mereka.
Mendengarkan penjelasan yang langsung tidak masuk akal itu, Arka terdiam.
Segala ketegangan pada urat sarafnya seakan-akan lebur ditiup angin. Perlahan-lahan, cas kilat biru di hujung jarinya terpadam. Lengan kanannya dijatuhkan kembali ke sisi. Manusia pelik di hadapannya ini nyata bukanlah satu ancaman.
“Kau dari Wangsa mana?” soal Arka, biarpun masih terselit sedikit rasa curiga. “Dan kau mampu kawal bunyi?”
“Aku Sang-O. Pewaris Wangsa Sona,” balas pemuda bertunik hijau itu dengan jujur. “Kami cuma guna manipulasi bunyi. Bukan dari susur galur Wangsa yang besar pun. Sangat berbeza jika nak dibandingkan dengan Wangsa kau.”
Sang-O melambai tangan, memberi isyarat supaya Arka merapat kepadanya.
Pemuda itu merendahkan tubuh, berselindung di sebalik akar gergasi, lalu menuding jarinya melepasi rimbunan semak yang gelap.
“Sini kejap,” panggil Sang-O perlahan.
Arka akur. Dia merendahkan postur lalu merapat. Matanya mengekori arah jari Sang-O.
Tanpa dia sedari, jauh di kejauhan sana, satu pertempuran berskala besar sedang meletus. Letupan bebola api, serpihan ais, dan pusaran angin saling bertembung merobek kawasan lapang tersebut.
“Tengok tu,” terang Sang-O mendatar. “Itu semua Pewaris Wangsa bawahan yang berpakat. Mereka gabungkan kuasa tanah, air, dan angin semata-mata untuk membolot Kiub Ganjaran dan menyembelih Pewaris solo yang lain. Dalam perlumbaan gila ni, masing-masing sanggup lakukan apa saja.”
Arka menelan liur. Dia hanya memerhati dalam diam.
Sang-O menoleh ke arahnya. Matanya mula bersinar teruja.
“Jujur aku cakap, aku masuk Cabaran Wangsa ni pun sebab dipaksa oleh keluarga. Selagi aku tak kacau orang dan aku berjaya sampai ke penamat hidup-hidup, cukuplah. Tapi, bila aku nampak kau tadi… aku tiba-tiba rasa seronok. Teringin juga nak tengok aksi Pewaris Wangsa Halilintar depan mata.”
Mendengarkan harapan yang terlalu tinggi itu, riak wajah Arka berubah mendadak.
Bahunya sedikit kendur. Kesedaran mengenai betapa mentah dan lemahnya asas pertempuran yang dia miliki kini memukul dadanya. Segala keyakinan yang membusut tadi seakan-akan bocor, meninggalkan pandangan yang kerdil pada anak matanya.
Perubahan air muka yang terlampau jelas itu mudah dibaca oleh pemuda yang selicik Sang-O.
Mata Sang-O membulat. Reaksinya kelihatan terkejut besar.
“Kejap. Jangan cakap dengan aku… kau baru bangkitkan kuasa kau?” teka Sang-O, merenung Arka atas dan bawah.
Arka terdiam. Pada mulanya, dia mahu berterus-terang. Namun keegoan darah yang mengalir di dalam uratnya pantas memberontak. Egonya tercabar hebat.
“Ada masalah ke?” pangkah Arka dingin. Egonya pantas menyusuli kata-kata itu dengan satu ugutan keras. “Atau kau nak rasa sendiri Kuasa Halilintar?”
Sang-O pantas mengangkat kedua-dua belah tangannya separa bahu. Dia menggeleng laju bersama sengihan menenangkan. “Tak. Tak ada masalah langsung. Aku bukannya pandang rendah pada kau. Aku cuma terkejut.”
Dia berdeham kecil. “Cuma, umur kau berapa sekarang?”
“Dua puluh,” balas Arka.
“Dua puluh?” soal Sang-O semula, sebelum satu keluhan yang teramat panjang dan berat terlepas dari bibirnya. Dia menepuk dahi.
“Kawan, Pewaris Wangsa lain… paling lewat pun mereka akan bangkitkan kuasa pada usia lima tahun. Lepas tu, setiap hari mereka akan berlatih bertempur. Kalau kau masih baru…”
Sang-O mengurut tengkuknya. Riak mukanya kini kelihatan amat kelakar, berkerut seribu seolah-olah sedang menghitung beban bala yang baru sahaja dikutipnya.
“Nampak gayanya, niat aku nak tengok aksi hebat Halilintar tu tinggal angan-angan sajalah. Silap-silap, aku yang kena jadi pengasuh kau hari ni,” gumamnya perlahan, seakan-akan menyesali nasib badan.
Sedang Arka memendam rasa, Sang-O pantas menyeluk poket tuniknya. Dia mengeluarkan sebuah uncang kecil yang lain, lalu merungkai ikatannya. Pemuda itu mula mengira sesuatu di dalam uncang tersebut dengan begitu khusyuk.
Arka sekadar mengerutkan dahi. Dia langsung tidak tahu apa yang sedang dikira oleh Sang-O di tengah-tengah perlumbaan maut ini.
Selepas beberapa saat, Sang-O mengangguk puas.
“Bolehlah. Cukup lagi rasanya,” gumam Sang-O sendiri, sebelum menyimpan kembali uncang tersebut ke dalam saku.
Dia menoleh semula ke arah Arka, lalu menepuk bahu pemuda itu, melayannya persis kawan lama.
“Macam nilah. Aku tawarkan diri untuk jadi sekutu kau. Dengan telinga dan pengalaman aku, berserta kelajuan kau… kita berdua pasti boleh mengelak daripada bahaya dan sampai ke garisan penamat,” pelawa Sang-O tenang. “Cuma, aku ada satu syarat.”
Arka mengangkat kening. “Apa dia?”
“Bila kita dah keluar dari sini nanti, kau mengaku depan orang ramai yang aku ni kawan kau. Boleh?”
“Hah?”
“Alah, boleh kan? Bangga sikit aku kalau dapat kawan dengan Pewaris Wangsa Halilintar,” sengih Sang-O lebar.
Arka terkesima.
Di tengah-tengah cabaran berdarah ini, wujud pula seorang manusia yang terlalu santai, langsung tidak mementingkan sebarang kedudukan mahupun mata ganjaran.
Arka melepaskan satu keluhan nipis lalu memalingkan wajahnya.
“Suka hati kaulah. Tapi kau kena jawab soalan-soalan aku nanti. Aku ada banyak sangat perkara yang aku tak faham dalam dunia gila ni.”
“Boleh. Boleh,” balas Sang-O seraya tersengih.
Arka akhirnya turut tersenyum. Sekurang-kurangnya, di dalam kegelapan yang dipenuhi dengan kawanan pemangsa ini, dia kini mempunyai sepasang lagi mata dan telinga untuk membantunya terus hidup.