Deruan angin bukan lagi sekadar tiupan. Ia berdesing tajam, seakan-akan menjerit membelah telinga.
Arka memecut meredah belantara bagaikan sebutir meteor biru. Akar berselirat dan gaung cetek dilepasinya dalam sekelip mata. Segala-galanya di sekeliling remaja itu kabur menjadi garisan-garisan panjang.
Hebat. Dia berasa sangat hebat.
Jantungnya mengepam rakus, menolak cas-cas elektrik ke segenap urat saraf. Sisa ketakutan yang membelenggunya di arena tadi sudah lesap sama sekali. Ia kini digantikan dengan satu keyakinan mutlak yang sedang galak membakar dada.
SWOOSH!
Tiga bilah anak panah bercahaya hijau tiba-tiba meluru dari arah rimbunan gelap di sebelah kanan. Ia membelah angin, menyasarkan tepat ke lehernya.
Arka mendengus. Itu pasti serangan hendap daripada Pewaris yang mahukan mata mudah untuk terus memanjat ke kedudukan Sepuluh Teratas.
Jika dia berfikir secara rasional, atau jika dia masih Arka yang sama sebelum melangkah masuk ke Cabaran Wangsa, dia pasti akan mengelak pantas dan terus memecut ke garisan penamat.
Namun, darah di dalam tubuhnya mendadak memberontak buas.
Berani mereka serang aku? desis hatinya penuh amarah.
Arka mengelak pantas. Kakinya mencengkam tanah selut lalu memberhentikan tubuhnya secara mengejut. Kali ini, dia memilih untuk tidak meneruskan perlumbaan. Sebaliknya, dia membelok tajam dan memecut lurus ke arah rimbunan tempat si penyerang hendap sedang bersembunyi.
Di luar medan Cabaran Wangsa, tinggi di platform pemerhati, rahang Jelal terketap rapat.
Matanya tajam menembus skrin hologram yang sedang memaparkan pergerakan Arka. Daripada suapan visual itu, rentak larian Arka jelas berubah mendadak. Jelal cukup masak dengan corak tersebut. Itu bukan lagi larian untuk menyelamatkan diri, tetapi rentak seorang pemangsa yang dahagakan pertumpahan darah.
Akal rasional remaja itu sudah mula ditelan oleh Kuasa Halilintar.
“Jangan lakukannya, budak,” gumam Jelal tegang. “Tamatkan perlumbaan sesegera mungkin.”
Sementara itu, di dalam rimbunan semak, si penyerang hendap menelan liur.
Nafasnya tersekat. Matanya terbeliak luas merenung ke hadapan. Pada awalnya, dia begitu yakin sasarannya akan mati atau lari bertempiaran. Sebaliknya, garisan cahaya biru itu kini merobek ruang, meluru lurus ke arahnya dengan kelajuan yang tidak masuk akal.
Tangannya terketar-ketar menyeluk tabung panah. Dia pantas cuba menarik tali busur buat kali kedua. Namun, kelajuan serta aura membunuh Pewaris Halilintar itu benar-benar menanam ketakutan yang merantai pergerakannya.
Belum sempat anak panah ditarik penuh, satu bayang muncul menutupi ruang pandangannya.
KRAK!
Satu tumbukan deras singgah tepat ke rahang si penyerang.
Pewaris malang itu terpelanting ke sisi. Dia merempuh keras pangkal pokok gergasi sebelum terjelepok ke tanah.
Arka tidak berhenti di situ. Dia meluru ke depan lalu terus duduk menindih tubuh lawan.
“Berani kau serang hendap aku!” laungnya.
Tangannya diangkat tinggi lalu diayun bertubi-tubi ke muka musuh. Tumbukan demi tumbukan dilepaskan tanpa belas kasihan. Hakikatnya, Arka langsung tiada sebarang pengalaman bertempur. Dia tidak pernah menghadiri waima satu kelas seni bela diri pun. Namun pada saat ini, Kuasa Halilintar sedang memandu setiap pergerakan ototnya.
Kuasa mutlak itu merapatkan jurang pengalamannya dengan sempurna. Ia menjadikan setiap hentakan penumbuk Arka terlampau jitu, padu, dan penuh dengan aura membunuh yang sangat pekat.
Wajah lawannya lebam kebiruan. Tulang hidungnya patah.
Namun secara tiba-tiba, tubuh yang sedang dikerjakannya itu pecah menjadi serpihan cahaya, lalu ghaib dari pandangan.
BUK!
Tumbukan Arka sekadar singgah ke atas tanah selut. Dia faham, sistem Cabaran Wangsa baru sahaja bertindak membawa mangsa yang telah tewas itu keluar dari medan cabaran. Sekalipun begitu, kemarahan di dalam dadanya masih membuak-buak.
Arka perlahan-lahan bangun. Dia berdiri di situ buat beberapa saat. Hujung bibirnya ternaik, mengukir satu senyuman angkuh yang langsung tidak padan dengan identiti asalnya.
Dia teringat akan amaran Jelal—bahawa pertempuran jarak dekat bukanlah strategi terbaik buat masa ini. Arka mendengus sinis. Penjaga Wangsa itu salah. Dia baru sahaja membuktikan sebaliknya. Dia boleh bertarung jarak dekat. Dia yakin, dengan Kuasa Halilintar, dia bukanlah lawan yang mudah untuk ditumpaskan oleh sesiapa di dalam hutan ini.
Dia meludah marah ke tanah. “Sampah.”
Namun, senyuman bongkak itu mati serta-merta.
Satu denyutan tajam tiba-tiba menikam pangkal dadanya.
Arka tersentak. Langkahnya terhenti mengejut.
Dia terbongkok ke hadapan sambil menekan dada. Nafasnya rakus menyedut udara. Paru-parunya seakan-akan terbakar. Seluruh urat sarafnya menegang dan kejang.
Biarpun Jelal mengatakan tubuhnya kini sepuluh kali ganda lebih kuat, hakikat asalnya tetap kejam. Sebelum ini, Arka hanyalah seorang remaja yang terlampau biasa. Fakta itu tidak berubah. Berstatus sepuluh kali ganda lebih kuat daripada seorang budak ‘biasa-biasa’ langsung tidak menjadikannya kebal.
Ya, rasa sakitnya mungkin jauh berkurangan, dan daya tahannya lebih tinggi. Namun, pergerakan ekstrem, kelajuan luar biasa, dan pertempuran sebentar tadi jelas memberikan satu kejutan drastik kepada mental serta sistem biologi tubuhnya yang masih mentah.
Dahi Arka berkerut menahan bisa.
Rasa sesal pantas menghentam kewarasannya. Arka sedar, dia baru sahaja tewas kepada keangkuhan. Nasihat dan amaran Jelal ternyata benar. Bertempur secara berhadapan dengan fizikal yang tidak terlatih adalah satu kesilapan yang amat besar.
Arka pantas menggelengkan kepala, membuang pantas sisa amarah yang masih membusut di dalam dada. Tanpa membuang masa walau sesaat lagi, dia mengetap gigi lalu kembali memecut meredah hutan tebal itu menuju ke garisan penamat.
Sepanjang lariannya, hutan belantara itu mula mempamerkan wajah sebenar. Ia bukan lagi sebuah laluan lumba yang sunyi, sebaliknya telah bertukar menjadi sebuah zon perang yang menggila.
Peserta Cabaran Wangsa pada kali ini melebihi seribu orang. Mustahil untuk Arka tidak bertembung dengan Pewaris lain di dalam radius belantara tersebut.
Di sebelah kirinya, letupan bebola api membakar rimbunan semak, mendedahkan pertempuran berdarah antara dua kumpulan yang saling membunuh. Di sebelah kanannya pula, kedengaran jeritan nyaring seorang Pewaris yang sedang disiat oleh jerat sulur paut berduri.
Bukan itu sahaja. Arka turut sempat melihat kilauan cahaya Kiub Ganjaran yang terapung di tengah-tengah kawasan lapang. Kiub itu kini menjadi pusat pertumpahan darah. Terdapat beberapa Pewaris dari Wangsa bawahan yang bertindak bijak dengan membentuk pakatan. Mereka bekerjasama membina perangkap untuk membolot mata ganjaran, sambil mengumpan dan menyembelih para Pewaris yang berlari secara solo.
Arka tidak peduli. Dia hanya menundukkan wajah, memfokuskan lariannya sepenuhnya.
Namun, kelajuan kilatnya itu hampir sahaja memakan diri.
Sedang Arka meluncur pantas melepasi dua batang pokok gergasi, telinganya menangkap satu bunyi siulan halus yang membelah udara. Sepasang matanya membulat ngeri.
Tidak jauh di hadapan, berpuluh-puluh utas dawai logam yang terlampau nipis dan hampir lutsinar telah direntang merentasi laluan tersebut, membentuk satu jerangkap samar yang berselirat. Jika dia terus merempuhnya pada kelajuan kilat ini, tubuhnya pasti akan terkerat hidup-hidup menjadi kepingan cahaya.
Arka meronta untuk memperlahankan langkah, namun momentum kilatnya terlampau laju untuk dihentikan secara mengejut.
VOOM!
Satu gelombang bunyi berfrekuensi tinggi mendadak meledak dari arah kanopi pokok.
Gelombang itu merobek udara lalu menghentam jerangkap samar tersebut. Kesemua dawai logam itu terus hancur berderai menjadi habuk besi sebelum sempat ia menyentuh kulit Arka.
Akibat terkejut, Arka tersadung akar pokok lalu terhempas ke tanah selut. Dia bergolek beberapa kali sebelum bingkas bangun dan membuka kekuda. Percikan kilat biru terus menyala di hujung jarinya, bersedia untuk melepaskan tembakan Peluru Halilintar.
“Tenang, kawan. Tenang.”