Kapten Malik tidak memandang rendah ancaman Zayn.
Dia bergerak perlahan-lahan ke hadapan. Memandangkan sistem pedang tenaganya lumpuh sementara dan juga timbulnya perasaan untuk beradu tenaga, Kapten Malik sengaja menetapkan kuasa perisai ke tahap dua puluh peratus. Objektifnya jelas; dia mahu menguji had kekuatan remaja ini tanpa perlu menggunakan kekuatan penuh Sut Mekanika.
Dua puluh peratus, itu pun sudah dirasakan terlalu memandang tinggi remaja ini.
Ekor matanya sentiasa melirik penuh waspada ke arah Dom, memastikan lelaki tua itu tidak menarik keluar senjata tersembunyi yang lain.
Kemudian, tanpa amaran, but keluli Kapten Malik memecut deras. Tubuh perisainya meluncur laju membelah angin, merapati Zayn dalam sekelip mata sebelum satu tumbukan berkuasa hidraulik diayun padat memecah wajah remaja itu.
Zayn yang buta seni tempur terus dihujani panik. Otaknya gagal merangka cara menepis pukulan sepantas itu. Terdorong oleh naluri semata-mata, dia melontarkan penumbuk kirinya menongkah asakan Mekanika tersebut secara semberono.
“Budak! Kau nak adu tulang dengan Sut Mekanika ke?!” jerit Dom dari belakang.
Jantung lelaki tua itu seakan-akan berhenti berdegup. Jika lengan kurus remaja itu berkecai, tiada apa lagi yang mampu menyelamatkan mereka ketika ini. Riwayat mereka berdua pasti tamat di sini.
Satu dentuman kuat menggegarkan ruang udara malam.
Gelombang tenaga meledak ganas dari titik pertembungan dua penumbuk tersebut. Hempasan angin yang terhasil melibas rakus, menundukkan pepohon tinggi di sekeliling mereka seolah-olah pantai itu tiba-tiba dibadai taufan.
Dom ternganga. Dia kelam-kabut melompat lalu merangkul erat pangkal pokok berhampirannya demi mengelakkan tubuh tuanya diterbangkan seretan badai tersebut.
Debu pasir berpusar lebat. Tatkala pepasir itu mula luruh menjejak bumi, nafas Kapten Malik serta-merta tersekat di sebalik visor. Dia sangka pertembungan itu pasti memberikan kesan kepada remaja itu.
Namun, apa yang dilihatnya sekarang, Zayn langsung tidak berganjak walau seinci pun!
Tumbukan remaja kurus itu bukan sekadar berdiri teguh menahan asakan, sebaliknya daya yang ada pada tumbukan itu jauh lebih kuat, memaksa but keluli Kapten Malik terseret mencalar pasir beberapa meter ke belakang.
“Mustahil… dia sekuat ini?” Urat leher Malik menegang.
Egonya benar-benar tercabar. Malik tidak lagi berlembut. Kuasa Sut Mekanika ditingkatkan mendadak ke tahap lima puluh peratus. Dia meluru membelah jarak. Kali ini, serangannya dilancarkan bertali arus bagai ribut menderu. Tumbukan cangkuk, tendangan maut, dan libasan siku yang diayun tanpa belas untuk meremukkan tulang.
Namun, tiada satu pun serangan maut itu berjaya menumbangkan Zayn.
Walaupun pergerakan remaja itu sangat kasar dan kelam-kabut, tubuhnya mampu menyerap setiap serangan dengan sempurna. Sesekali, Zayn cuba membalas pukulan, namun dek ketiadaan asas tempur, ayunannya yang primitif itu begitu mudah dibaca lantas ditepis pantas oleh tentera elit itu.
Ketika itu jugalah Malik tersedar akan satu perkara. Berbalas serangan dengan remaja ini membuatkan minda perlahan-lahan Malik berjaya menghubungkan satu perkara.
Serangan kasar, melulu, dan tanpatidak berseni ini adalah corak serangan yang sama meremukkan tulang temulang raksasa mutasi yang ditemuinya di tepi pantai tadi.
Malik memandang Zayn. Dia menelan liur.
Budak inilah pemangsa berdarah yang menewaskan anjing mutasi tersebut!
Tiba-tiba, sistem amaran di dalam visor Malik berkelip, memberikan amaran merah. Hentaman berulang kali pada tubuh Zayn telah memaksa sutnya beroperasi melebihi had kuasa yang telah ditetapkannya. Jika dia meneruskan pertempuran jarak dekat ini tanpa menggunakan kuasa penuh, sut ini akan berhenti berfungsi dan akan memakan dirinya.
Kapten Malik sedar dia perlu menukar strategi.
Dia melompat lincah ke belakang untuk membuka jarak. Tangannya pantas menarik keluar pistol tenaga di pinggang.
Melihat muncung senjata tersebut mula menyala, Dom terus melepaskan pelukannya pada batang pokok.
“Biar betul dia ni!” jerit Dom, memecut lintang-pukang menyelamatkan diri ke arah sisa runtuhan konkrit yang terletak jauh dari pusat pertempuran. Dia sudah tidak sempat untuk menarik Zayn. Dia hanya mampu berdoa agar Zayn ada anomali yang jauh lebih luar biasa dari apa yang dia bayangkan. Dia ingin Zayn selamat.
Kapten Malik teragak-agak sejenak. Jika anomali ini mati ditembak, semua usahanya akan musnah. Namun, nalurinya membisikkan satu perkara yang dia tidak inginkannya menjadi nyata—remaja ini tidak akan tumbang semudah itu.
Picu ditekan tanpa belas.
Tiga das tembakan bebola tenaga dilepaskan bertubi-tubi.
Zayn tergamam. Pancaran cahaya biru itu menderu menembusi kegelapan. Bebola tenaga itu menebuk terus ke lengan dan bahu kirinya. Darah memercik membasahi pakaian penjara. Zayn mendesis menahan kesakitan yang merobek kulit dan tubuh lantas terundur beberapa tapak ke belakang.
“Budak!” laung Dom. Dia ingin berlari ke arah Zayn. Namun, langkahnya terhenti sebaik sahaja dia melihat apa yang terpampang di depan mata.
“Bi-bi-biar betul?!” gumam Dom, tidak percaya.
Tubuh Malik juga terkaku. Dia tidak percaya apa yang sedang dilihatnya.
Luka tembus pada lengan dan bahu itu langsung tidak melemahkan tubuh Zayn. Sebaliknya, sisa daging yang berasap itu mula berdenyut. Otot dan tisu kulitnya bercantum dan membaik pulih dalam kelajuan yang menongkah hukum biologi. Hanya dalam beberapa saat, luka tembusan itu tertutup kemas tanpa meninggalkan waima sebaris parut.
Zayn meraba lengan kirinya sendiri. Matanya terbeliak luas. “A-apa yang dah jadi dengan badan aku ni?!”
Dia menoleh pantas ke belakang untuk mencari kelibat Dom. Namun, bayang orang tua itu sudah lama lesap di sebalik kegelapan runtuhan konkrit.
Di hadapannya, ego Kapten Malik sudah direntap sepenuhnya.
Logik akalnya merumuskan satu jawapan. Anomali ini adalah raksasa bertopengkan manusia. Jika dia tidak melumpuhkan sasaran ini ke tahap paling kritikal, mustahil dia mampu menyeret jasad ini pulang.
Malik mengetap rahang. Pedang tenaganya yang tadi bermasalah disentap keluar lalu dipaksa menyala semula. Bilah cahaya biru itu kembali mendesis garang. Tanpa amaran, sistem penimbal graviti pada tumit perisainya diaktifkan pada tahap maksimum.
Malik meluru deras membelah angin. Pedangnya diayun tinggi, mensasarkan satu tetakan tepat untuk memotong putus lengan remaja itu.
Melihat bilah maut itu melibas deras ke arahnya, cengkaman panik kembali merantai tubuh Zayn. Kakinya kaku memaku bumi.
Namun, tepat sebelum pedang itu merobek jasad Zayn, satu siulan tajam membelah ruang udara malam.
Sebiji bebola tenaga berwarna oren terang menderu deras dari arah laut, sebelum merempuh rusuk Kapten Malik!
Satu dentuman yang amat dahsyat meledak.
Daya impak letupan itu terlalu gila, meranapkan terus sisa runtuhan konkrit di sekeliling mereka. Tubuh Kapten Malik terpelanting membelah udara, tercampak jauh sebelum terhempas ganas ke dalam sisa runtuhan batu.
Wap haba meruap mendadak, menyelubungi dada pantai dengan kepulan asap tebal kelabu.
Zayn terbatuk-batuk teruk. Tangannya pantas mengibas sisa debu panas yang menyesakkan paru-paru.
Dari sebalik tirai asap itu, kedengaran derapan but berat memijak pasir, melangkah tenang merapati posisinya.
Seorang wanita bertubuh tegap melangkah keluar dari dalam kabus malam. Sut taktikal lusuhnya tersarung kemas. Di atas bahu kanannya, terpikul laras gergasi sebuah bazuka yang masih mendesiskan asap panas pada hujung muncung.
Wanita itu mengukir senyuman sinis. Sepasang matanya langsung tidak mempedulikan Zayn yang sedang cemas di bawah. Sebaliknya, pandangan tajam wanita itu terus menikam menembusi runtuhan konkrit tempat persembunyian Dom tadi.
“Oi, Ooi,” laung wanita itu, nadanya keras namun bersahaja. “Lain kali, tolonglah panggil kami dulu kalau kau dah terlepas dari penjara.”